Showing posts with label Highway illumination. Show all posts
Showing posts with label Highway illumination. Show all posts

Tuesday, February 16, 2016

Istimewa Tahun Baru Cina 2016: Melawat semula Lebuhraya Lekas E21 - kini diterangi lampu sepenuhnya...!!! / 2016 Chinese New Year Special: Lekas Expressway E21 revisited - now fully-lit...!!!




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, warga kota - terutamanya kaum Cina - sudah pun kembali semula ke kota setelah bercuti panjang di kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 8 Februari 2016. Saya hanya pulang semula ke kampung pada tarikh tersebut kerana perlu menemani adik lelaki saya yang ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur akibat demam denggi. Sebab itulah entri ini agak lambat ditulis, ditambah pula dengan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini.

Jika anda sering mengikuti entri-entri Blog Jalan Raya Malaysia semasa musim perayaan, anda tentunya sudah menyedari bahawa setiap kali musim perayaan, saya lebih menggalakkan anda semua menggunakan kombinasi Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dan Lebuhraya Lekas E21 untuk ke selatan berbanding terus menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sebabnya...? Jika sekarang ini semua pengguna jalan raya yang hendak ke selatan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya percaya anda pastinya berasa sangat menyesal kerana terpaksa membayar tol yang mahal hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Sebab itulah pembinaan Lebuhraya Lekas E21 sememangnya satu langkah yang bijak, kerana lebuh raya tersebut berperanan mengalihkan sekurang-kurangnya sepertiga daripada aliran trafik yang hendak ke selatan. Hasilnya anda boleh saksikan sendiri pada peta Waze dan Google Maps pada telefon pintar anda. Jika anda terlepas membaca reviu Lebuhraya Lekas E21 ini, anda masih boleh membacanya di sini.

Daya penarik terbaharu untuk menggalakkan penggunaan Lebuhraya Lekas E21 ini sudah tentulah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Inisiatif pemasangan 1,446 batang tiang lampu jalan LED ini diambil oleh Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dengan kos keseluruhan lebih kurang RM16 juta. Majlis perasmian penyempurnaan kerja-kerja pemasangan lampu jalan ini diadakan pada 31 Januari 2016 di Plaza Tol Setul, yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Kenapa Lebuhraya Lekas E21 perlu dipasang lampu jalan...? Meskipun Lebuhraya Lekas E21 terbukti berjaya mengurangkan kesesakan jajaran Nilai-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2, namun masih ramai yang enggan menggunakan lebuh raya tersebut atas alasan keadaannya yang begitu gelap dan sunyi pada waktu malam. Akibatnya, Lebuhraya Lekas E21 kekal lengang, mengakibatkan syarikat konsesinya mengalami kerugian akibat kadar aliran trafik yang terlalu rendah. Selain itu, kadar aliran trafik yang rendah juga mengakibatkan pendapatan peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang jatuh sehingga mengakibatkan banyak gerai di situ yang sudah ditutup.

Untuk meningkatkan kembali kadar aliran trafik di E21, pelbagai langkah diambil bagi menggalakkan orang ramai menggunakan E21. Kami sendiri turut serta dalam usaha mempromosikan Lebuhraya Lekas E21 ini melalui reviu kami mengenainya. Hebahan oleh pelbagai pihak turut diadakan bagi menggalakkan penggunaan E21, termasuklah oleh PLUS Malaysia Berhad sendiri. Perbandingan kadar aliran trafik pada musim perayaan juga dijadikan sebagai alat untuk mempromosikan lebuh raya tersebut. Hasilnya, semakin ramai yang menggunakan E21 terutamanya dari kalangan orang-orang Kajang dan Seremban. Pun begitu, masih ramai yang enggan menggunakannya pada waktu malam disebabkan keadaannya yang gelap. Justeru, Lekas mengambil inisiatif memasang lampu jalan supaya E21 terang-benderang pada waktu malam, sekaligus menarik minat lebih ramai pengguna lebuh raya menggunakannya pada waktu malam.

Saya berkesempatan untuk kembali semula ke Lebuhraya Lekas E21 untuk mengalami sendiri pengalaman pemanduan setelah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Hasilnya memang amat memberangsangkan kerana semakin ramai pengguna lebuh raya yang lebih yakin untuk menggunakan E21 pada waktu malam. Ia sememangnya satu perkembangan positif buat Lekas kerana jika trend sebegini berterusan, maka sudah tentulah Lekas akhirnya berupaya memperoleh keuntungan setelah sekian lama rugi sejak E21 mula-mula dibuka.

Kepada pihak pengurusan Lekas, syabas saya ucapkan. Pun begitu, mereka masih belum boleh bersenang-lenang lagi; masih ada lagi kerja yang perlu dilakukan oleh mereka agar lebih ramai pengguna menggunakan E21. Sekarang Lekas perlu tumpukan perhatian terhadap usaha mempromosikan Kawasan Rehat dan Rawat Beranang pula. Hentian rehat tersebut memang besar, tetapi sayangnya banyak gerai di situ yang sudah ditutup. Semasa saya mencuba E21 setelah lampu jalan dipasang pun saya dapati kesemua gerai di situ sudah ditutup pada waktu malam. Jadi bagaimana hendak menarik lebih ramai orang mengunjungi hentian rehat tersebut...? Ada banyak pendekatan yang perlu diambil. Lekas perlu membuka semula tawaran sewaan gerai di situ. Seterusnya, mereka perlu membina stesen minyak di situ. Syarikat-syarikat minyak sudah tentu akan "banyak songeh" dalam hal ini, tetapi percayalah, jika stesen minyak dibina di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang, pasti ramai pengguna lebuh raya akan membanjiri hentian rehat tersebut. Buktinya anda boleh saksikan di Kawasan Rehat dan Rawat Kundang di Lebuhraya Latar E25 yang dikunjungi ramai pengguna lebuh raya setelah pembinaan stesen minyak Petronas di situ. Paling penting, pihak Lekas perlu kerap mengadakan acara seperti "uptown Beranang", medan Sate Kajang dsb. agar dapat menarik ramai pengguna lebuh raya mengunjunginya. Dalam hal ini, Lekas boleh belajar daripada Grand Saga bagaimana mereka mengubah Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 daripada hentian rehat yang hidup segan mati tak mahu kepada hentian rehat yang sentiasa dikunjungi pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1. Jika Lekas berupaya mentransformasikan hentian rehat mereka di Beranang menjadi hentian rehat yang sibuk, sudah tentulah lebih ramai lagi yang mahu menggunakan Lebuhraya Lekas E21 sebagai pilihan utama ke selatan.

Monday, October 12, 2015

Mythbuster: Memasang lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya sebenarnya tidak bagus untuk mata / Installing street lights along the entire roadway is bad for eyesight



Lebuhraya Karak E8/FT2 dipasang dengan lampu jalan LED untuk mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam akibat selekoh tajam dan turun naik bukit curam


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia kerana beban tugas yang tinggi menggunung sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sehinggakan saya tidak dapat mencari ruang masa untuk mengemaskini blog ini, walaupun sekadar untuk entri-entri yang agak ringan. Untuk mengubat kerinduan anda semua, saya akan membawakan satu entri Mythbuster mengenai dakwaan kononnya pemasangan lampu jalan membantu penglihatan malam secara total, yang mana saya menyanggahnya dalam entri ini. Kenapa saya menyanggahnya...?

Memang tidak dinafikan, pemasangan lampu jalan sangat penting agar pengguna jalan raya dapat melihat dengan lebih jelas terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti di simpang jalan, di selekoh, kawasan perumahan, sekolah, masjid, dsb. Namun, ia tidaklah bermakna setiap inci jalan perlu diterangi lampu jalan, kerana lampu jalan tidak mengambil alih peranan lampu kepala kenderaan secara mutlak sebagai sumber pencahayaan utama pengguna jalan raya, tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem pencahayaan.

Semalam, Berita Harian ada membuat satu liputan mengenai pemasangan lampu jalan LED di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Gua Tempurung, yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di situ. Punca utama kes-kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut adalah berpunca daripada beza kelajuan yang begitu besar antara kenderaan ringan yang bergerak laju dan lori-lori berat yang bergerak perlahan disebabkan keadaan bukit curam dengan kecerunan sekitar 7%. Selain daripada Gua Tempurung, lampu-lampu jalan LED juga dipasang di jajaran merentas Banjaran Keledang (Jelapang-Terowong Menora) dalam program yang sama. Namun, program pemasangan lampu jalan di jajaran pergunungan sebegini bukanlah perkara baharu; Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sudah melaksanakannya terlebih dahulu.

Susulan daripada kejayaan program-program pemasangan lampu-lampu jalan di jajaran pergunungan yang berbahaya, maka ramai pengguna jalan raya yang meminta agar lampu jalan dipasang di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres. Namun, tahukah anda bahawa pemasangan lampu jalan di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres sebenarnya tidak bagus untuk mata anda...? Mungkin ramai yang tidak akan mempercayai akan fakta ini, tetapi begitulah hakikat.

Untuk menunjukkan dalil pertama bagaimana lampu jalan boleh memudaratkan penglihatan anda, cuba pandu di lebuh raya ekspres melalui sebuah persimpangan bertingkat. Sepatutnya, tahap penglihatan anda sebelum, semasa dan selepas melepasi persimpangan tersebut kekal sama bagus. Namun, cuba anda pandu di lebuh raya sama melalui persimpangan bertingkat yang sama pada waktu malam. Anda tentunya tidak akan mengalami masalah semasa melalui persimpangan tersebut yang terang-benderang disinari cahaya lampu jalan, tetapi semasa anda meninggalkan persimpangan tersebut, anda akan mengalami rabun ayam sebelum mata anda berupaya menyesuaikan diri beberapa minit kemudian. Kenapa keadaan sebegini berlaku...? Semasa anda mula memasuki persimpangan bertingkat yang disinari lampu jalan dari laluan lebuh raya yang gelap dan tidak berlampu, anak mata anda dengan pantas akan mencerut untuk menyesuaikan mata anda dengan perubahan keamatan cahaya yang meningkat mendadak. Namun, sebaik anda meninggalkan persimpangan bertingkat dan kembali semula ke keadaan gelap, anak mata anda memang akan membesar kembali untuk meningkatkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata, tetapi retina anda akan lambat memproses imej yang dilihat untuk dihantar ke otak akibat kekurangan cahaya. Sebab itulah anda akan mengalami rabun ayam selama beberapa minit sebaik sahaja meninggalkan kawasan yang terang-benderang, dan ia lebih ketara bagi pemandu dari kalangan warga tua yang kebanyakannya mempunyai daya penglihatan yang semakin merosot.

Itu baru dalil pertama. Untuk dalil kedua pula, cuba pandu di jalan persekutuan biasa yang gelap dan lengang - dengan menggunakan suluhan tinggi (high beam). Jika ada kereta dari arah bertentangan, anda dapat mengenalpastinya dari jauh dan terus merendahkan suluhan lampu kepala kereta anda. Namun, jika anda memandu di jalan raya yang terang-benderang diterangi lampu jalan - khususnya lampu jalan LED yang lebih terang - anda akan dapati bahawa cahaya lampu kepala kereta lain sudah ditenggelami cahaya lampu jalan. Kenapa pula keadaan sebegini berlaku...? Ia berlaku akibat perbezaan kontras - di jalan raya yang gelap, perbezaan kontras adalah sangat besar kerana suluhan lampu kepala kereta merupakan satu-satunya sumber cahaya di situ, menjadikan kenderaan dari arah bertentangan lebih mudah kelihatan. Namun, di jalan raya yang diterangi lampu jalan pula, cahaya lampu kepala kereta dari arah bertentangan lebih sukar kelihatan kerana sudah ditenggelami cahaya lampu jalan yang lebih mendominasi ruang. Justeru, penerangan sebegini seharusnya berupaya untuk menjawab persoalan kenapa kemalangan jalan raya masih boleh berlaku di jalan raya yang terang-benderang disinari lampu jalan.

Dalil ketiga yang membuktikan bahawa pemasangan lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya boleh merosakkan mata anda ialah ancaman pencemaran cahaya. Pencemaran cahaya bermaksud penggunaan cahaya tiruan yang berlebihan sehingga boleh merosakkan mata, di samping boleh mengganggu ekosistem terutamanya terhadap tumbuhan serta haiwan yang bergantung kepada kehadiran cahaya untuk aktiviti seharian (kebanyakan haiwan liar keluar mencari makan pada waktu malam yang gelap). Pemasangan lampu jalan secara berlebihan sering dipersalahkan sebagai punca utama kepada pencemaran cahaya. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran cahaya yang disebabkan oleh lampu jalan:-

  1. Suhu warna cahaya - sebelum dekad 1980an, lampu jalan jenis wap raksa yang memancarkan cahaya berwarna siang sejuk (cool daylight) dengan suhu warna lebih 5,000 K, bersamaan dengan suhu warna cahaya matahari pada waktu siang. Oleh kerana suhu warna sebegini lebih kurang sama seperti cahaya matahari pada waktu siang, maka ia boleh menyebabkan ahli-ahli astronomi tidak dapat melihat bintang-bintang, di samping mengganggu aktiviti harian haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bermula dekad 1980an, lampu wap raksa mula diharamkan dan secara beransur-ansur digantikan dengan lampu wap merkuri dengan suhu warna sekitar 3,500 K. Suhu warna sebegini kurang mengganggu aktiviti ekosistem dan boleh ditapis oleh balai-balai cerap.
  2. Arah suluhan lampu jalan - Jika anda perhatikan betul-betul, anda akan mendapati ada tiang lampu yang mempunyai lengkuk atau cabang yang besar sebelum disambungkan kepada kepala lampu (jenis lama), dan ada juga jenis yang mana tiangnya lurus menegak dan disambungkan pada kepala lampu melalui penggunaan sesiku L ataupun sambungan T (jenis baru). Setiap jenis tiang lampu ini ada kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Jenis lama memerlukan kepala lampu disuluh ke bawah sahaja, maka untuk suluhan yang lebih menyeluruh, ia memerlukan sama ada lebih banyak tiang lampu ataupun penggunaan lemsa berbentuk cembung yang menyerakkan cahaya ke kawasan yang lebih luas, yang juga boleh mengakibatkan pencemaran cahaya. Sementara itu, kepala lampu jalan pada tiang lampu jenis baharu boleh disasarkan pada sudut tertentu untuk mengelakkan cahaya terlepas keluar ke tepi jalan, tetapi jika tersilap sasaran, cahaya berlebihan masih boleh terlepas ke bahagian bertentangan jalan pula.
  3. Bentuk lensa lampu jalan - Salah satu punca pencemaran cahaya melibatkan penggunaan lampu jalan ialah penggunaan lensa jenis cembung yang menyerakkan  cahaya ke bahagian tepi untuk memaksimakan kawasan liputan cahaya lampu jalan. Maka, penyelesaiannya sangat mudah iaitu melalui penggunaan lensa jenis leper kerana cahaya hanya akan disasarkan ke bawah, tetapi ia sudah tentu akan mengehadkan liputan pencahayaan. Jadi bagaimana pula hendak menambah kawasan liputan pencahayaan...? Liputan kawasan pencahayaan masih boleh ditingkatkan melalui rekaan pemantul lampu jenis berbilang pemantul yang boleh memantulkan cahaya ke arah yang tertentu sahaja.






Kepala lampu jalan jenis baru (atas) dan lama (bawah)



Jadi sejauh manakah bahaya pencemaran cahaya ini...? Selain merosakkan mata anda, pencemaran cahaya boleh meningkatkan risiko kanser prostat dan kanser payudara akibat pengurangan penghasilan melatonin (sejenis antioksida yang dihasilkan oleh badan kita) akibat pendedahan berterusan kepada cahaya. Di samping itu, pendedahan berterusan kepada cahaya tiruan boleh menyebabkan sakit kepala yang lebih kerap, kelesuan badan, penurunan fungsi seks dan peningkatan keresahan.

Kesimpulannya, anda tidak seharusnya marah-marah sekiranya PLUS Malaysia Berhad tidak memasang lampu jalan di keseluruhan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Pemasangan lampu jalan seharusnya dihadkan kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti kawasan bandar, persimpangan, selekoh tajam, jambatan atau jejambat panjang serta jajaran pergunungan. Kalau setakat di jajaran lengang yang lurus dan rata, tak perlulah pasang lampu jalan terlalu banyak. Terlalu banyak bergantung kepada lampu jalan sebenarnya hanya akan lebih banyak merosakkan mata anda serta boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan yang lain secara beransur-ansur seperti kanser prostat, kanser payudara dan mati pucuk. Jadi apa patut anda lakukan sekarang...? Banyakkan memakan lobak merah dan tomato dan laburkan wang anda untuk memasang lampu kabut bagi membantu penglihatan pada waktu malam.

Thursday, November 13, 2014

Lampu jalan LED vs wap natrium - mana lebih baik...? / LED vs sodium vapour street lights - which one is better...?





Lampu jalan wap natrium seperti yang digunakan di Lebuhraya Duke E33 vs lampu jalan LED seperti yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 - yang manakah lebih baik...?


Salam sejahtera,

Seperti yang pernah saya tulis dalam entri mengenai Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 beberapa bulan lalu, saya ada menyatakan bahawa MRR2 FT28 merupakan salah satu daripada tiga batang jalan persekutuan yang menjalani program perintis pemasangan lampu jalan LED. Hasilnya, semakin banyak jalan raya dan lebuh raya yang dipasang dengan lampu jalan LED, dengan memanfaatkan penjimatan tenaga elektrik yang sangat ketara berbanding lampu jalan konvensional.

Jika kita kaji semula sejarah pemasangan lampu jalan di seluruh dunia, pemasangan lampu jalan sebenarnya sudah lama dilaksanakan sejak zaman kegemilangan tamadun Rom dan Yunani purba, jauh lebih lama sebelum penciptaan mentol lampu pijar oleh Thomas Alva Edison pada 22 Oktober 1879. Pada masa itu, lampu jalan yang digunakan adalah daripada jenis lampu minyak dan seterusnya lampu gas, yang mana kedua-duanya perlu dinyalakan secara manual. Mentol lampu elektrik pertama ciptaan Thomas Edison pula menggunakan filamen yang diperbuat daripada karbon yang mampu bertahan selama 13 jam sebelum terbakar, sebelum beliau menambah baik mentol lampu ciptaannya dengan menggunakan buluh berkarbon yang tahan selama 1,200 jam.

Sungguhpun demikian, lampu pijar bukanlah lampu elektrik pertama yang digunakan sebagai lampu jalan. Lampu jalan terawal sebenarnya merupakan lampu arka karbon. Ia menghasilkan cahaya yang cukup terang bersesuaian dengan fungsinya, tetapi filamennya cepat terbakar dan cahaya yang dihasilkan juga menyilaukan mata. Maka, ia digantikan dengan lampu pijar yang lebih boleh diharap. Seterusnya, lampu pijar mendominasi lampu-lampu jalan di seluruh dunia sehinggalah penciptaan lampu nyahcas berkeamatan tinggi (HID). Dua jenis lampu HID yang digunakan sebagai lampu jalan ialah lampu wap raksa dan lampu wap natrium.

Lampu wap raksa merupakan jenis lampu HID tertua yang digunakan sebagai lampu jalan. Semasa ia mula dihidupkan, ia menghasilkan cahaya biru gelap yang secara beransur-ansur berubah menjadi cahaya putih siang yang sama seperti lampu pendarflour biasa, dengan suhu warna melebihi 5,000 K. Namun, warna putih siang yang dihasilkan itu mempunyai tiga kelemahan utama iaitu penghasilan sinar ultraungu yang berbahaya, pencemaran cahaya dan juga tahap kebolehnampakannya semasa cuaca buruk serta pada waktu malam. Ia berikutan sifat warna putih yang terdiri daripada cahaya merah, hijau dan biru dengan keamatan yang sama. Berikutan kelemahan pada lampu wap raksa, ia kemudiannya digantikan dengan lampu wap natrium pula.

Sementara itu pula, lampu wap raksa menghasilkan cahaya jingga-merah jambu gelap semasa ia mula dihidupkan sebelum berubah menjadi kekuningan. Maka, ia menjadi pilihan utama sebagai lampu jalan kerana warna kuning yang dihasilkan itu lebih membantu penglihatan pada waktu malam. Selain itu juga, cahaya yang dihasilkan kurang mencemar berbanding lampu wap raksa, sekaligus sesuai digunakan berhampiran balai cerap serta kawasan pembiakan hidupan liar seperti penyu.

Perkembangan teknologi pencahayaan elektrik didorong oleh keinginan untuk menghasilkan sistem pencahayaan yang bukan sahaja lebih cekap tenaga, malah kurang mencemar serta lebih mesra alam. Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) sebagai lampu jalan adalah hasil daripada perkembangan teknologi pencahayaan terkini. Asalnya hanya sekadar digunakan sebagai lampu penunjuk pada peralatan elektronik, teknologi pembinaan LED kini semakin maju sehingga ke tahap boleh digunakan sebagai lampu kepala kereta dan sistem pencahayaan tiang tinggi (high-mast lighting). Potensi besar LED sebagai lampu jalan adalah disebabkan sifatnya yang sangat cekap tenaga. Sebiji lampu LED 6 watt menghasilkan cahaya yang sama terang seperti mentol pendarflour padat (CFL) 18 watt, mentol halogen 75 watt dan mentol pijar 100 watt.

Namun, adakah lampu LED semestinya lebih bagus daripada lampu wap natrium...?

Pada tahun 2011, Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Kementerian Kewangan mula menjalankan satu program perintis pemasangan lampu jalan LED di tiga batang jalan persekutuan utama di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Persekutuan FT2, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dan Jalan Lapangan Terbang Subang FT15. Menurut Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, pemasangan lampu jalan di ketiga-tiga jalan terbabit mampu mengurangkan kos bil elektrik sebanyak 50% pada tahun 2011. 

Sungguhpun penggunaan lampu jalan LED terbukti menjimatkan kos bil elektrik, ia tidak bermakna lampu jalan LED sangat sempurna. Menurut satu laporan oleh blog automotif terkemuka Paul Tan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa lampu wap natrium kekal menjadi pilihan utama bagi sistem pencahayaan jalan raya Malaysia. Kenapa bukan lampu jalan LED...? Menurut Datuk Seri Fadillah Yusof, hasil kajian yang dilakukan oleh pakar sepanjang tempoh projek perintis pemasangan lampu jalan LED mendapati bahawa lampu wap natrium lebih sesuai digunakan untuk pencahayaan jalan raya, manakala lampu jalan LED pula lebih sesuai bagi aplikasi pencahayaan kawasan perumahan. Rasionalnya adalah kerana hasil kajian mendapati bahawa tahap pencahayaan di sepanjang MRR2 FT28 didapati kurang ideal terutamanya ketika hujan di malam hari.

Kenapa pula tahap pencahayaan lampu jalan LED kurang memuaskan ketika hujan...? Boleh dikatakan hampir kesemua lampu jalan LED yang digunakan menghasilkan cahaya putih siang (lebih kurang 6,500 K), manakala lampu jalan wap natrium pula menghasilkan cahaya kekuningan (kurang 3,000 K). Maka, apabila hari hujan, pembiasan pada cahaya lampu wap natrium boleh dikatakan agak sekata dan kurang berselerak, berbanding cahaya lampu LED yang pembiasannya sangat berselerak sehingga menyebabkan kurang cahaya tampak yang sampai ke atas jalan.

Sungguhpun lampu LED masih mempunyai kelemahannya tersendiri berbanding lampu wap natrium, ia masih boleh diperbaiki dan ditambah baik. Penambahbaikan yang saya cadangkan kepada para pengeluar lampu jalan LED adalah dengan mengeluarkan lampu jalan LED yang menghasilkan cahaya putih suam kerana pembiasan cahaya semasa hujan kurang berselerak, sekaligus membantu penglihatan pemandu semasa memandu dalam keadaan hujan lebat pada waktu malam. Ia terbukti melalui tahap pencahayaan di Persimpangan Sri Damansara di MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih suam, yang mana tahap pencahayaan di situ lebih jelas berbanding di kawasan lain di sepanjang MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih siang. Justeru, para pengeluar lampu jalan LED tidak seharusnya berputus asa untuk menghasilkan lampu jalan LED yang lebih baik, kerana Thomas Edison sendiri pun 999 kali gagal semasa hendak mencipta mentol lampu pijar sehinggalah percubaannya yang keseribu yang benar-benar berjaya.

Dalam entri seterusnya, saya ingin membawakan kepada anda satu entri Mythbuster - adakah benar memasang lampu jalan di kesemua jalan raya di Malaysia membantu penglihatan penngguna jalan raya secara total...? Nantikanlah jawapannya hanya dalam Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Monday, May 28, 2012

Perihal lampu jalan / All about street lights

Salam sejahtera,

Lampu jalan merupakan salah satu perabot jalan yang penting bagi menerangi jalan raya supaya pemanduan pada waktu malam atau semasa cuaca buruk menjadi lebih selamat, terutamanya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan seperti kawasan kediaman dan persimpangan. Namun, tahukan anda apa saluran betul untuk melaporkan kerosakan lampu jalan?

Secara amnya, rata-rata pengadu mensasarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai saluran untuk melaporkan kerosakan lampu jalan. Namun, sebenarnya tidak semua lampu jalan adalah milik TNB.

Untuk pengetahuan semua, hanya lampu jalan yang dipasang pada tiang elektrik TNB sahaja yang merupakan lampu jalan milik TNB. Biasanya, kebanyakan lampu jalan TNB mendapat bekalan elektrik daripada wayar khas yang kelihatan seakan "wayar hidup keempat" (jenis halus; dikira dari atas) pada wayar pengagihan elektrik jenis lama, ataupun wayar jenis halus pada wayar pengagihan jenis berpintal yang lebih baharu. Wayar halus itu seterusnya disambungkan ke kotak meter elektrik fasa tunggal yang berisi meter, suis utama, fius, suis pemasa serta suis peka cahaya. Ini memudahkan lampu jalan tersebut dibilkan. Bil elektrik bagi lampu jalan TNB ini ditanggung sepenuhnya oleh TNB.




Tiang lampu jalan individu. Objek kecil berbentuk silinder pada tiang lampu ialah suis peka cahaya.



Ada juga lampu-lampu jalan di luar bandar tidak disambungkan ke wayar halus tersebut, sebaliknya disambungkan terus ke suis peka cahaya dan ke wayar fasa dan neutral sebagaimana rumah biasa. Lampu-lampu individu yang dihidupkan menggunakan suis peka cahaya selalunya terdiri daripada lampu jalan luar bandar di bawah skim pemasangan lampu jalan hasil kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta TNB, ataupun lampu jalan individu peribadi. Anda boleh memohon kepada TNB untuk memasang lampu jalan di hadapan rumah ada dengan kadar tarif kadar rata 26.1 sen sekilowatt jam termasuk penyelenggaraan. Oleh itu, sudi-sudikanlah merujuk kepada Pengurus TNB daerah masing-masing untuk memohon lampu jalan individu.





Tiang lampu berhias di Jalan Syed Putra ini adalah tanggung jawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)




Lampu jalan Lebuhraya Karak E8/FT2 adalah tanggung jawab MTD Prime



Jenis kedua lampu jalan ialah lampu jalan jenis tiang khas. Tiang lampu jenis besi galvani paling banyak digunakan, diikuti tiang lampu berhias. Namun, tahukan anda bahawa tiang lampu tersebut bukan terletak di bawah tanggung jawab TNB? Tiang-tiang lampu mempunyai pemiliknya sendiri, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, syarikat konsesi lebuh raya, dsb. Hanya tiang lampu besi galvani dalam kawasan premis milik TNB seperti pencawang masuk utama, stesen janakuasa serta Universiti Tenaga Nasional (Uniten) adalah tiang lampu di bawah tanggung jawab TNB.

Jadi bagaimana hendak mengenal pasti pemilik tiang lampu ini? Semua tiang lampu berhias adalah milik PBT. Tiang lampu milik JKR ditandakan dengan pelekat JKR negeri. Semua tiang lampu di sepanjang lebuh raya ekspres adalah milik syarikat konsesi lebuh raya ekspres. Jika tiang lampu besi galvani terletak di bandar tetapi tiada pelekat JKR, maka tiang tersebut adalah milik PBT.

Kesimpulannya, salurkanlah laporan kerosakan lampu jalan pada pihak yang betul untuk mengelak sebarang kesulitan serta kelambatan tindakan.