Kali ini saya ingin berkongsi satu cerita mengenai satu fenomena Internet yang sedang heboh diperkatakan di Malaysia sekarang. Fenomena yang saya maksudkan sekarang itu tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah "Jadilah Seperti Rashid".
Apa hebatnya si Rashid ini...? Laman Facebook Jadilah Seperti Rashid ini diwujudkan sebagai seloka yang ada kalanya mempunyai unsur sindiran terhadap cara hidup tidak baik yang sering diamalkan oleh orang-orang kita. Namun, tidak seperti cara biasa orang lain menyindir dengan kata-kata yang ada kalanya menyakitkan hati, Jadilah Seperti Rashid ini pula menggunakan watak Rashid yang "menegur" dan "memberi nasihat" penuh seloka supaya semua orang mencontohi perbuatan Rashid. Ia konsep yang cukup mudah tetapi ternyata berkesan. Menurut maklumat awal yang saya perolehi, laman Facebook Jadilah Seperti Rashid ini diilhamkan daripada laman Be Like Bill dari United Kingdom tetapi diolah mengikut citarasa tempatan. Dalam masa lebih kurang 2 hari selepas laman tersebut diwujudkan, laman Facebook Jadilah Seperti Rashid berjaya memperoleh lebih 200,000 sukaan, dengan purata sekitar 70 sukaan sejam. Hebat, kan...? Watak Rashid ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pernah beberapa kali ditampilkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan baru-baru ini oleh TV3.
Soalnya, siapa sebenarnya Rashid ini...? Temuramah oleh TV3 yang disiarkan dalam Buletin Utama semalam mendedahkan empat orang admin di sebalik laman Facebook Jadilah Seperti Rashid iaitu Muhsin, Ahmad, Sham dan Yusuf - tiada siapa pun di antara mereka berempat ini yang bernama Rashid. Namun, menurut temuramah tersebut, sebenarnya ada lagi 4 orang admin yang masih belum didedahkan identiti mereka tetapi turut bersama-sama berkarya atas nama Rashid. Dengan kata lain, watak Rashid tersebut ternyata watak fiksyen semata-mata yang sengaja dicipta bagi "menyindir" atau "menegur" perbuatan negatif orang-orang kita secara relaks dan santai.
Soalnya, kenapa pilih nama Rashid...? Kenapa bukan Mamat, Sharifuddin, Razak, Ah Chong dan sebagainya...? Bagi menjawab persoalan tersebut, admin laman Jadilah Seperti Rashid ada menulis satu kemaskini status berhubung pemilihan nama Rashid. Menurut mereka, nama Rashid ini memang dipilih kerana perkataan "Rashid" bermaksud "penunjuk jalan" dalam Bahasa Arab. Malah, kerajaan khalifah Islam pertama selepas kewafatan Rasulullah juga dinamakan sebagai kerajaan Kulafa' ar Rashidin, yang secara harfiahnya bermaksud "barisan pentadbir yang menunjukkan jalan". Ia kerana setelah kewafatan Rasulullah, kehidupan masyarakat Islam pada ketika itu menjadi kelam-kabut dan hilang arah kerana hilangnya Rasulullah yang selama ini menjadi menunjuk jalan kepada mereka. Namun, memandangkan adalah mustahil untuk Rasulullah hidup kembali, maka empat orang khalifah memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu sebagai ketua negara bagi menyatupadukan umat Islam dan memakmurkan negara Islam.
Jika diikutkan kepada konteks Jadilah Seperti Rashid pula, admin-adminnya mengakui bukan senang hendak menegur perbuatan negatif segelintir orang-orang kita. Kalau ditegur cara lembut, para pembuat onar tidak akan mengendahkannya dan hanya akan menjadi semakin "naik lemak". Namun, dika ditegur cara kasar pula, tahu pula mereka melenting ataupun terasa. Maka, pendekatan yang digunakan oleh laman Jadilah Seperti Rashid ini adalah dengan menggunakan watak Rashid berserta seloka berkias yang bersifat menegur ataupun menyindir tetapi dengan cara yang santai, dengan harapan bagi menunjukkan bahawa apa yang dilakukan segelintir orang-orang kita selama ini sebenarnya tidak betul.
Secara peribadinya, saya sendiri turut menyukai konsep Jadilah Seperti Rashid ini. Apa tidaknya, mereka turut memaparkan nasihat atau sindiran terhadap perbuatan buruk segelintir pengguna jalan raya kita. Namun, saya hanya kongsikan sebahagian sahaja gambar "nasihat" Rashid dalam entri ini, memandangkan adminnya sangat rajin memuat naik gambar (sekitar 10 gambar "nasihat" Rashid dimuat naik setiap hari); selebihnya, saya akan kongsikan secara berkala dalam laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia.
Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda satu video menarik yang diterbitkan oleh Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM). Video ini merumuskan tentang kenapa lebuh raya ekspres perlu mengutip tol.
Oleh kerana sudah terlalu banyak entri dalam Blog Jalan Raya Malaysia yang menerangkan rasional kutipan tol, izinkan saya membuat sedikit rumusan mengenai video ini secara sepintas lalu. Lebuh raya ekspres merupakan satu kemudahan premium yang menawarkan satu laluan alternatif yang lebih selesa dan lebih menjimatkan masa berbanding menggunakan jalan raya biasa. Ia berbeza daripada jalan raya biasa yang dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas dari titik A ke titik B. Sebab itulah kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya biasa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil kutipan cukai. Oleh kerana jalan raya biasa dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas sahaja, maka sudah tentulah terdapat banyak halangan yang melambatkan perjalanan seperti persimpangan searas, rumah-rumah, gerai-gerai tepi jalan, kedai-kedai, kebun-kebun orang, ladang-ladang, kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar. Justeru, lebuh raya ekspres berupaya menyediakan tahap keselesaan, penjimatan masa serta had laju operasi yang lebih tinggi dengan menghalang sepenuhnya semua akses kepada segala premis hartanah dan hanya dihubungkan ke jalan-jalan raya utama melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya.
Persimpangan searas merupakan salah satu halangan lazim di jalan persekutuan dan negeri yang bukan sahaja menjadi punca kesesakan dan kelambatan perjalanan di jalan persekutuan dan negeri, tetapi juga boleh jadi berbahaya dan mengancam nyawa pengguna jalan raya
Sebaliknya, lebuh raya ekspres menambah baik tahap keselamatan melalui penggunaan persimpangan bertingkat berlainan aras, membolehkan had laju operasi dinaikkan daripada 90 km/j kepada 110 km/j
Namun, kemudahan premium ini tidak didatangkan secara percuma tetapi ada bayarannya. Kos pembinaan lebuh raya ekspres jauh lebih mahal daripada jalan raya biasa. Kenapa pula kos pembinaan lebuh raya ekspres lebih mahal...? Jalan raya boleh dibina dengan kos yang paling murah dengan mengikut bentuk muka bumi dengan tarahan atau penambakan tanah yang minima, tetapi ia akan menghasilkan jalan raya yang berbengkang-bengkok dan berbahaya. Untuk membina jalan raya yang lebih baik dan lebih selamat, maka bukit-bukit terpaksa ditarah. Lurah-lurah yang tidak berapa dalam perlu ditambak dengan tanah. Kedua-dua kerja ini melibatkan penggunaan jentera yang memerlukan bahan api diesel serta penyelenggaraan berkala. Jika perlu merentas gaung yang lebih dalam ataupun sungai, jambatan perlu dibina. Jika terpaksa merentasi kebun-kebun atau rumah-rumah orang, maka pampasan perlu dibayar. Kesemuanya memerlukan duit. Hendak parkir jentera-jentera pembinaan pun kena bayar juga, apatah lagi menggunakannya. Upah pekerja juga perlu dibayar kerana mereka membina jalan raya bagi menyara keluarga masing-masing. Maka, untuk membina lebuh raya ekspres, kosnya sangat mahal kerana spesifikasi lebuh raya ekspres memerlukan kecerunan seminima mungkin (atau dengan kata lain, hanya boleh landai dan tidak boleh dibina curam), jejari selekoh semaksima mungkin (atau dengan kata lain, tidak boleh ada selekoh tajam), yang bermaksud banyak tenaga kerja, penggunaan jentera serta pembinaan struktur (pembetung, longkang, benteng, jejambat, jambatan, persimpangan bertingkat, dsb.) yang dilibatkan dalam pembinaan lebuh raya ekspres.
Itu baru cerita kos pembinaan. Daripada mana pula datangnya duit untuk membina lebuh raya ekspres...? Tidak seperti jalan raya biasa yang mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan, kerajaan tidak menghulurkan walau sesen pun wang untuk membina lebuh raya ekspres. Sebaliknya, syarikat konsesi pula yang perlu meminjam wang di bank. Jika sudah pinjam wang di bank, maka sudah tentulah kena bayar balik sebagaimana anda perlu membayar hutang rumah dan hutang kereta. Jadi bagaimana syarikat konsesi lebuh raya hendak membayat balik hutang bank...? Itulah sebabnya syarikat konsesi mengenakan tol di lebuh raya. Kenapa pula kerajaan tidak membina sendiri lebuh raya secara percuma...?Kos pembinaan lebuh raya terlalu mahal tetapi hanya segelintir yang tinggal di sepanjang laluannya sahaja yang menerima manfaatnya, jadi adalah tidak adil jika ia dibina menggunakan wang cukai daripada rakyat di seluruh pelosok negara termasuklah dari negeri-negeri yang memang tiada lebuh raya ekspres seperti Sabah dan Sarawak. Jumlah wang yang digunakan untuk membina lebuh raya ekspres sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina lebih banyak sekolah, hospital, masjid, balai raya serta jalan raya asas.
Setelah lebuh raya sudah siap, maka sudah tentulah ia perlu diselenggara agar tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetap terjamin. Nampak sahaja ada lubang terus tampal. Jika kawasan sama berlubang banyak kali, ia perlu diperkukuhkan dan diturap semula. Perabot jalan yang rosak (papan tanda, pengadang jalan, lampu jalan dsb.) perlu diperbaiki atau diganti. Mentol lampu jalan yang terbakar perlu diganti. Rumput panjang perlu dipotong supaya haiwan liar atau haiwan berbisa tidak memasuki lebuh raya. Pagar yang rosak perlu diganti. Longkang tersumbat perlu dibersihkan. Hentian rehat dan hentian sebelah perlu dibersihkan setiap hari. Bil elektrik, bil air dan bil telefon perlu dibayar. Oleh kerana yang melakukan kesemua kerja penyelenggaran itu ialah manusia, maka mereka juga perlu dibayar. Jadi, daripada manakah datangnya duit untuk membayar kesemuanya itu kalau bukan daripada kutipan tol...?
Khidmat lori tunda syarikat konsesi lebuh raya secara percuma merupakan satu perkhidmatan lepas jualan yang tidak ditawarkan di mana-mana jalan persekutuan dan negeri
(Kredit kepada: Wenn Experiences)
Setelah anda membayar tol, anda bukan sahaja disajikan dengan perjalanan yang lebih selesa dan lebih selamat, tetapi anda turut disediakan dengan khidmat lepas jualan yang tidak mungkin anda perolehi di mana-mana jalan persekutuan mahupun negeri. Jika kereta anda rosak, anda tidak perlu membazirkan wang membayar kepada lori-lori tunda dengan ongkos yang ada kalanya tidak masuk akal, sebaliknya anda hanya perlu memanfaatkan telefon kecemasan untuk mendapatkan khidmat tundaan secara percuma oleh syarikat konsesi lebuh raya. Setelah tiba di plaza tol terhampir, kakitangan syarikat konsesi lebuh raya boleh membantu anda mendapatkan bengkel kereta yang paling boleh dipercayai dan bukannya "pomen-pomen cap ayam" yang membaiki kereta dengan kemahiran sama seperti tikus membaiki labu. Jika kereta anda rosak di jalan persekutuan atau negeri, anda hanya mampu mengharap belas ihsan pemandu lain yang lalu-lalang untuk membantu anda. Kalau kereta anda rosak berhampiran bengkel kereta milik kenalan anda, tak apalah juga. Begitu juga kalau anda ada nombor telefon mekanik atau pengusaha lori tunda yang anda kenali. Bagaimana kalau anda tiada semua itu...? Wallahualam.
Begitulah kisahnya tentang rasional lebuh raya ekspres dikenakan tol. Tiada satu pun benda percuma di muka bumi ini kecuali udara yang anda hanya perlu sedut sahaja. Nak tadah air hujan pun memerlukan alat yang perlu dibeli atau dibuat sendiri. Nak masuk ke tandas untuk melepaskan hajat pun kena bayar 30 sen, inikan pula kalau nak guna lebuh raya ekspres yang lebih cepat dan lebih selesa. Jalan raya biasa memang percuma, tetapi anda perlu membayarnya dengan masa yang dibazirkan untuk mengharungi halangan di sepanjang laluannya. Jika anda guna lebuh raya ekspres, anda rugi wang tetapi anda untung masa. Jika anda guna jalan raya biasa, anda untung wang tetapi anda rugi masa. Ataupun, anda boleh juga gunakan panduan memintas tol kami jika anda mahu menggunakan lebuh raya ekspres tetapi tidak mahu membayar tol, tetapi anda tetap perlu melencong jauh dan tetap tiba ke destinasi lebih lambat daripada yang membayar tol. Pilihan terletak di tangan anda. Namun, ada masanya yang mana anda rugi kedua-dua wang dan masa di lebuh raya ekspres, iaitu tidak lain dan tidak bukan semasa musim perayaan. Jadi, jawapan mengenai laluan yang mana sepatutnya anda pilih sudah ada, jadi jangan merungut jika anda terpaksa membazirkan duit tol puluhan ringgit hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Anda tidak mampu untuk mengubah kesesakan, tetapi anda mampu untuk mengubah haluan stereng kereta anda.
Untuk penerangan lebih lanjut mengenai kutipan tol lebuh raya ekspres, saya hanya sertakan sebahagian sahaja entri mengenainya:-
Negara telah dikejutkan dengan insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang dilaporkan hilang dalam penerbangan MH370 oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing sekitar jam 2.40 pagi pada 8 Mac 2014. Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar jam 12.41 pagi hari yang sama dan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
Rakaman radar mengenai kedudukan pesawat sepanjang perjalanan dari KLIA sehingga terputus hubungan
Apa yang menjadi misteri dalam insiden ini ialah tiada panggilan kecemasan ke pusat kawalan trafik udara oleh juruterbang bertugas pada ketika itu. Selain itu juga, pesawat tersebut juga langsung tidak ada memancarkan sebarang isyarat kecemasan, petanda cuaca buruk ataupun masalah teknikal sebelum ia tiba-tiba hilang dari skrin radar. Apa pun, adalah tidak adil bagi menyalahkan juruterbang, pembantunya serta kru penerbangan semata-mata, kerana kapal terbang tersebut masih lagi belum ditemui. Tambahan pula, siasatan bagi sebarang insiden udara lazimnya memakan masa yang amat panjang, ada kalanya sehingga bertahun-tahun lamanya.
Sebenarnya, MAS mempunyai rekod keselamatan antara yang paling cemerlang di dunia sebagaimana yang diakui oleh Skytrax, bersama-sama Asiana Airlines, Qatar Airways, Cathay Pacific, Singapore Airlines dan Kingfisher Airlines. Hanya keenam-enam syarikat penerbangan ini sahajalah yang berjaya memperoleh penarafan penuh 5 bintang oleh Skytrax kerana rekod keselamatan yang paling cemerlang. Tambahan pula, pesawat Boeing 777-200ER yang digunakan itu juga adalah pesawat Boeing yang mempunyai rekod keselamatan terbaik, dengan hanya dua sahaja insiden udara terdahulu. Pesawat tersebut merupakan pesawat Boeing pertama yang menggunakan teknologi terbang melalui wayar, sistem pengurusan penerbangan berkomputer sepenuhnya serta direkabentuk menggunakan komputer sepenuhnya.
Apa pun, sama-samalah kita mendoakan keselamatan pesawat tersebut, juruterbang, pembantu juruterbang, kru penerbangan serta seluruh penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut. Kami di Blog Jalan Raya Malaysia turut berkongsi kesedihan bersama-sama keluarga penumpang dan kru penerbangan yang terlibat dalam Penerbangan MH370 tersebut.
Where'd You Go oleh Fort Minor - lagu ini saya tujukan khas buat seluruh ahli keluarga penumpang dan kru penerbangan MH370
Brian O'Conner (kanan, lakonan Paul Walker) dan Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel), dua teraju utama siri francais filem Fast & Furious
Brian O'Conner (right, played by Paul Walker) and Dominic Toretto (played by Vin Diesel), two main protagonists of the Fast & Furious movie franchise
Salam sejahtera,
Siapa tidak kenal dengan watak Brian O'Conner lakonan Paul Walker yang menerajui siri francais filem The Fast and the Furious bersama-sama dengan Dominic Toretto lakonan Vin Diesel. Mereka berdua bersama-sama mengangkat siri francais The Fast and the Furious sebagai filem lumba haram kereta tersohor di dunia selama lebih sedekad dengan aksi-aksi lumba haram yang mendebarkan. Namun, segala-galanya berubah pada 30 November 2013 apabila para peminat francais tersebut dikejutkan dengan kematian Paul Walker dalam satu nahas jalan raya di Valencia, Santa Clarita, California, Amerika Syarikat kira-kira pukul 3.30 pm waktu tempatan. Ia menjadikan filem Fast & Furious 7 yang bakal ditayangkan pada tahun 2014 sebagai filem terakhir lakonannya.
Paul William Walker IV dilahirkan pada 12 September 1973 di Glendale, California. Bapanya, Paul William Walker III, merupakan seorang kontraktor pembetungan manakala ibunya, Cheryl, merupakan seorang bekas model fesyen. Sebaik tamat persekolahan tinggi, Paul Walker IV melanjutkan pelajaran dalam bidang biologi marin sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Greetings everyone,
Everyone is familiar with Brian O'Conner character played by Paul Walker for The Fast and the Furious movie franchise together with Dominic Toretto played by Vin Diesel. Both of them had popularized The Fast and the Furious franchise as the most notorious street racing movie franchise in the planet for more than a decade with adrenaline-pumping street racing scenes. However, everything had changed on 30 November 2013 when the fans of the franchise was shocked by the news of the death of Paul Walker in a road crash at Valencia, Santa Clarita, California, United States at about 3.30 pm local time. It had made the Fast & Furious 7, which will be released on 2014, as his last movie ever.
Paul William Walker IV was born on 12 September 1973 in Glendale, California. His father, Paul William Walker III, was a sewer contractor, while his mother, Cheryl, was a former fashion model. After graduated from high school, Paul Walker IV continued his study further, majoring in marine biology before actively acting.
Kereta Nissan Skyline GT-R R32 kepunyaan Paul Walker yang digunakan dalam 2 Fast 2 Furious
Paul Walker's own Nissan Skyline GT-R R32 used in 2 Fast 2 Furious
Sebenarnya, karier Paul Walker sebagai model bermula seawal umur 2 tahun apabila dia menjadi model untuk iklan Pampers. Kerjaya lakonannya pula bermula pada tahun 1985. Namun, namanya paling terkenal semasa dia mula berlakon dalam filem The Fast and the Furious pada tahun 2001. Berikutan kejayaan filem tersebut, dia berlakon dalam hampir kesemua siri filem dalam francais Fast & Furious (kecuali The Fast and the Furious: Tokyo Drift). Dalam filem 2 Fast 2 Furious, judul kedua bagi siri francais Fast & Furious, dia menggunakan kereta Nissan Skyline GT-R R32 jenis pandu kanan (biasanya Amerika Syarikat menggunakan kereta pandu kiri dam memandu di lorong kanan) kepunyaannya sendiri.
Actually, Paul Walker's career as a model began as early as when he was 2 years old, when he became a model for a Pampers advertisement. His profession as an actor began in 1985. In 2001, Walker's breakthrough role arrived when acting in The Fast and the Furious. Due to the success of the movie, he played for almost all titles in the Fast & Furious franchise (except The Fast and the Furious: Tokyo Drift). In 2 Fast 2 Furious, the second title of the Fast & Furious franchise, he used his own right-hand-drive Nissan Skyline GT-R R32 (normally Americans drive left-hand-drive cars on the right lane).
Video kebakaran kereta Porsche Carrera GT yang dinaiki Paul Walker
A video clip of the Porsche Carrera GT that was boarded by Paul Walker being engulfed in flames
Pada 20 November 2013, Paul Walker datang ke Valencia untuk menjayakan satu pertunjukan amal bagi mengutip derma untuk tabung bantuan mangsa Taufan Haiyan di Filipina. Dia dan rakannya, Roger Rodas, beredar dengan menaiki sebuah Porsche Carrera GT merah kepunyaan Rodas. Namun, kereta tersebut hilang kawalan lalu melanggar sebatang tiang lampu dan sebatang pokok sebelum ia terbakar dan meletup. Menurut seorang anggota bomba veteran di tempat kejadian, adalah mustahil untuk menyelamatkan Walker dan Rodas daripada Porsche Carrera GT yang terbakar itu, memandangkan suhu pada jarak 2 kaki daripada kereta tersebut sudah mencecah 2,000 °F (1,093 °C). Akibat nahas jalan raya tersebut, kedua-dua Walker dan Rodas maut di tempat kejadian. Paul Walker meninggalkan seorang anak perempuan, Meadow, yang berusia 15 tahun.
On 20 November 2013, Paul Walker went to Valencia for a charity event to raise funds for the victims of Typhoon Haiyan in the Philippines. He and his friend, Roger Rodas, left on a red Porsche Carrera GT owned by Rodas. However, the car went out of control and hit a street light post and a tree before it burst into flames. According to a veteran firefighter at the site, it was impossible to save Walker and Rodas from the burning Porsche Carrera GT, as the temperature around 2 feet away from the car had already reached 2,000 °F (1,093 °C). Due to the road accident, both Walker and Rodas died on the spot. Paul Walker left behind a 15-year-old daughter named Meadow.
Bangkai kereta Porsche Carrera GT yang rentung akibat kemalangan dan kebakaran susulan
The remains of the charred Porsche Carrera GT due to the accident and the subsequent fire
Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Paul Walker atas kematiannya yang mengejut. Kematiannya merupakan satu kehilangan besar terhadap dunia hiburan dan automotif global.
Malaysian Highway Blog would like to express great condolences to the family of the late Paul Walker for his sudden death. His death is indeed a great loss for the global automotive and entertainment industries.
Terlebih dahulu, masih belum terlewat untuk kami di Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga bagi pegawai polis dan tentera yang terkorban akibat serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada Mac 2013. Sesungguhnya pengorbanan mereka yang syahid demi mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli pengganas pimpinan Jamalul Kiram III, "Sultan Sulu" palsu yang sekadar ingin memuaskan nafsu besarnya untuk menguasai Sabah atas dakwaan yang sebegitu dangkal, amat dihargai seluruh rakyat Malaysia.
Sebagai satu penghargaan kepada wira-wira negara, saya mengambil kesempatan menyertakan satu video klip peminat yang dibuat khusus bagi mengenang jasa mereka. Lagu ini berjudul "In My Remains" oleh Linkin Park, yang merupakan salah satu lagu di dalam album terkini mereka, Living Things (harfiah: Benda Hidup).
Marilah kita sedekahkan Surah al-Fatihah dan Surah Yasin kepada anggota pasukan keselamatan beragama Islam, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang syahid.
Hari ini saya ingin memperkenalkan satu segmen baru di Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu Media Jalan Raya Malaysia. Media Jalan Raya Malaysia menampilkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya Malaysia dalam media popular seperti filem, siri drama, novel, lagu mahupun permainan video. Entri pembuka bagi segmen Media Jalan Raya Malaysia ialah filem Karak yang ditayangkan pada tahun 2011 terbitan United Studios milik trio adik-beradik KRU yang pernah dikenali sebagai sebuah kumpulan rap Malaysia yang popular tahun 1990an. Filem tersebut merupakan filem seram yang menampilkan cerita-cerita hantu popular yang dikaitkan dengan Lebuhraya Karak E8/FT2.
Filem tersebut mengisahkan sekumpulan empat sahabat yang terdiri daripada Nik, Zura, Ida dan Jack sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2. Namun, kesesakan luar biasa di lebuh raya tersebut di Persimpangan Karak menyebabkan mereka memilih untuk keluar dari lebuh raya dan sebaliknya melalui Jalan Persekutuan 2. Semasa berhenti rehat di pekan Karak, Nik dan Jack diganggu hantu semasa berada di sebuah tandas yang usang dan tidak terurus. Semasa mereka meneruskan perjalanan di jalan raya persekutuan itu, sekali lagi mereka diganggu hantu sehingga menyebabkan kereta yang dipandu Jack hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Setelah Zura berjaya mendapatkan rakan-rakannya, mereka menjumpai sebuah rumah di dalam hutan yang didiami oleh Tok Malam serta sepakat untuk menumpang di rumah tersebut sementara menunggu hari siang untuk mendapatkan bantuan. Namun demikian, pelbagai kejadian seram berlaku semasa mereka berada di rumah tersebut. Adalah didedahkan bahawa hantu-hantu yang mengganggu mereka selama ini asalnya merupakan hantu belaan arwah isteri Tok Malam, manakala pada penghujung cerita pula didedahkan bahawa Nik, Ida dan Jack sebenarnya sudah mati akibat kemalangan tersebut; "rakan-rakan" Zura semasa di rumah Tok Malam pula adalah hantu-hantu yang mahu menyesatkan Zura.
Setelah menonton filem tersebut, saya amat memuji usaha Norman, Yusry dan Edry memartabatkan jalan raya Malaysia melalui filem ini. Ia dibuktikan melalui penggunaan kod laluan yang betul bagi papan tanda lebuh raya tersebut seperti dalam poster promosinya. Namun, kelemahan ketara filem ini ialah kurang realisme pada jalan-jalan yang digunakan dalam filem ini. Misalnya, jika anda perhatikan betul-betul pada "Lebuhraya Karak" yang digunakan dalam babak terawal filem ini, "lebuh raya" tersebut sebenarnya ialah jalan-jalan raya sekitar Putrajaya dan bukannya Lebuhraya Karak E8/FT2 yang sebenar, boleh dikenali melalui bentuk tiang lampunya. Begitu juga dengan "jalan Karak lama" dalam filem tersebut sebenarnya ialah jalan di Hulu Langat (kemungkinan sama ada Jalan Negeri Selangor B52, B19 atau B116) dan bukannya Jalan Persekutuan 2 ataupun Jalan Gombak-Bentong FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama yang sebenar). Namun demikian, saya percaya KRU tentunya tidak mahu menggunakan lokasi sebenar kerana tidak mahu perkara buruk terjadi kepada seluruh kru produksi dan para pelakon, berikutan pengalaman sebenar mereka sendiri yang pernah diganggu hantu di Lebuhraya Karak FT2 semasa awal kerjaya muzik mereka. Sebab itulah mereka terpaksa menggunakan lokasi lain bagi tujuan penggambaran dan "mencipta" sendiri "Lebuhraya Karak E8/FT2" dan "Jalan Karak Lama FT2" versi mereka bagi filem ini melalui teknik imej janaan komputer (CGI).
Sebagai langkah penambahbaikan, saya cadangkan agar KRU mengkaji sistem papan tanda jalan raya Malaysia secara mendalam supaya dapat menimbulkan realisme dalam filem sebegini meskipun tidak dibuat di lokasi sebenar. Penggunaan fon tulisan mestilah dari jenis FHWA Gothic Siri E ataupun fon Transport, kerana kedua-dua fon inilah yang diterima pakai sebagai fon piawai bagi papan tanda jalan raya Malaysia.
Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada KRU kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang saya sifatkan sebagai filem tempatan pertama yang benar-benar memartabatkan jalan raya Malaysia. Mungkin saya perlu cadangkan kepada KRU agar menerbitkan sebuah filem mengenai kisah perjuangan pekerja JKR serta anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 pada tahun 1970an di tengah-tengah ancaman pengganas komunis. Sekurang-kurangnya, filem sedemikian berupaya menerapkan sifat patriotik, cintakan negara serta menghargai jasa pekerja JKR serta anggota tentera yang terkorban semasa menyiapkan Lebuhraya Timur-Barat FT4 tersebut, di samping mendidik rakyat agar memartabatkan jalan raya Malaysia.
Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, sila klik sini untuk sejarah Lebuhraya Karak dan klik sini untuk reviu eksklusif Lebuhraya Karak E8/FT2.
Maklumat filem
Pengarah: Yusry Abdul Halim
Penerbit: Yusry Abdul Halim, Edry Abdul Halim dan Norman Abdul Halim
Penulis: Yusry Abdul Halim (lakon layar); Norman Abdul Halim (cerita asal)
Pelakon:-