Showing posts with label Honda. Show all posts
Showing posts with label Honda. Show all posts

Saturday, June 18, 2016

Honda RS150R: Pencabar terbaru takhta Raja Kapcai / The newest challenger for the King of Underbone throne

Salam sejahtera,

Minggu ini merupakan minggu yang begitu sibuk buat saya. Terdapat dua perasmian penting yang berlaku dalam minggu ini iaitu perasmian motosikal Honda RS150R pada Isnin, 13 Jun 2016, manakala esoknya (14 Jun 2016) pula ialah perasmian Proton Perdana generasi kedua. Maaf kerana lambat hendak menulis mengenai kedua-dua model tersebut kerana saya bergegas ke kampung halaman di Segamat pada masa itu. Maka, saya akan cuba menyiapkan entri mengenai kedua-dua model tersebut hari ini, bermula dengan Honda RS150R terlebih dahulu.

Jika anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita 2015 yang diadakan pada Februari 2015, saya menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 yang dipinjamkan oleh bekas rakan serumah saya untuk menjayakan siri reviu ini. Hasilnya ialah satu siri reviu bagi tiga batang jalan raya yang dijalankan secara balik hari serta merangkumi jarak perjalanan keseluruhan sejumlah 883 km. Pada masa itu, Suzuki Belang R150 itulah satu-satunya "raja kapcai" dengan saiz enjin terbesar. Namun, disebabkan kurangnya usaha promosi daripada Suzuki Assemblers Malaysia, motosikal ini tidak begitu banyak kelihatan di atas jalan raya dan ditenggelami populariti Yamaha 135LC yang lebih kecil sedikit saiz enjinnya. Seterusnya, Yamaha meneruskan dominasinya dengan mengeluarkan model Yamaha Y15ZR yang menggugat terus kedudukan Suzuki sebagai raja kapcai dalam erti kata sebenar. Kini, Honda turut sama menyertai perang merampas takhta Raja Kapcai melalui model kapcai flagship terbaru mereka iaitu Honda RS150R.

Program pembangunan model Honda RS150R ini mula dijalankan di Vietnam yang merupakan salah satu pasaran terbesar motosikal kapcai di Asia Tenggara. Malah, Bandar Raya Ho Chi Minh turut mendapat jolokan sebagai "kota motosikal" berikutan jumlah motosikal yang jauh lebih banyak daripada kereta. Malah, disebabkan status Vietnam sebagai negara membangun, pelbagai ragam pengguna motosikal kapcai dapat anda perhatikan - di Vietnam, motosikal kapcai itulah sedan keluarga, dan motor kapcai itulah lori yang berkeupayaan membawa ternakan dan hasil pertanian. Justeru, Honda Vietnam mengambil kesempatan membangunkan sebuah model raja kapcai yang disasarkan kepada anak-anak muda di sana, dan hasilnya ialah motosikal Honda Winner 150 yang mula dikeluarkan di Vietnam pada April 2016. Honda Winner itu kemudiannya dilancarkan di Indonesia sebagai Honda Supra GTR150, dan seterusnya dilancarkan di Malaysia sebagai Honda RS150R. Ironinya, ia belum lagi dilancarkan di Thailand.

Sekarang kita pergi pula kepada bahagian enjin pula. Suzuki Belang R150 menggunakan enjin Suzuki FXR150 yang telah dijinakkan, manakala Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti Yamaha FZ150i. Sementara itu, Honda RS150R pula menggunakan enjin sama seperti model Honda CBR150R, tetapi bukan daripada jenis yang sama seperti yang pernah dibawa masuk ke Malaysia sebelum ini. Enjin Honda CBR150R generasi pertama merupakan enjin berlejang pendek (oversquare)  berukuran 63.5 x 47.2 mm, manakala enjin yang digunakan dalam RS150R ini sebenarnya diambil daripada model CBR150R generasi ketiga yang mana enjinnya dibangunkan di Indonesia. Enjin CBR150R generasi ketiga itu merupakan enjin serba baharu yang berlejang panjang (undersquare) berukuran 57.3 x 57.8 mm, manakala generasi kedua pula menggunakan enjin sama seperti generasi pertama tetapi sistem karburetor digantikan dengan pancitan bahan api PGM-FI. Enjin RS150R yang dibangunkan di Indonesia itu pertama kali digunakan pada model jalanan Honda CB150R dan seterusnya Honda Sonic. Dari segi sistem bahan api pula, kedua-dua Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR menggunakan pancitan bahan api manakala Suzuki Belang R150 pula menggunakan karburetor; namun, pengganti Belang generasi sekarang yang sudah pun dilancarkan di Indonesia pada Februari 2016 pula menggunakan enjin sejukan air serba baharu yang disuap oleh sistem pancitan bahan api.

Sekarang mari kita bandingkan dari segi prestasi pula. Suzuki Belang R150 paling berkuasa dalam kelasnya, menghasilkan keluaran kuasa 16.5 PS @ 9,500 rpm, tetapi kilasan yang terhasil pula paling kecil iaitu 12.76 N-m @ 8,500 rpm disebabkan penggunaan enjin berlejang pendek (62 x 48 mm). Yamaha Y15ZR pula menghasilkan tork tertinggi dalam kelasnya iaitu 13.8 N-m @ 7,000 rpm hasil penggunaan enjin SOHC berlejang panjang (57 x 58.7 mm), tetapi kuasa kudanya adalah yang paling kecil antara ketiga-tiganya iaitu 15.4 PS @ 8,500 rpm. Sementara itu, Honda RS150R pula berada di tengah-tengah bagi kedua-dua kuasa kuda dan tork, iaitu 15.63 PS @ 9,000 rpm dan tork 13.5 N-m @ 6,500 rpm. Hasilnya, Suzuki Belang R150 yang saya uji sebelum ini menghasilkan kelajuan maksimum 136 km/j, manakala kelajuan standard Yamaha Y15ZR (dipanggil Yamaha Exciter 150 di Vietnam) pula lebih kurang sama iaitu 136 km/j. Sementara itu, Boon Siew Honda mendakwa bahawa kelajuan maksimum bagi Honda RS150R ini ialah 150 km/j - mungkin keseimbangan antara kuasa kuda dan tork menjadikan Boon Siew Honda berani mendakwa angka kelajuan maksimum sedemikian. Ironinya, Honda RS150R merupakan raja kapcai yang paling berat antara ketiga-tiga model yang dibandingkan, iaitu 119 kg berat kering berbanding Yamaha Y15ZR (115 kg) dan Suzuki Belang R150 (108 kg).

Apa lagi yang patut dibandingkan antara ketiga-tiganya...? Ketiga-tiganya mempunyai brek cakera depan dan belakang, tetapi saiz brek cakera hadapan Belang paling besar antara ketiga-tiganya. Ketiga-tiganya juga menggunakan gandingan takometer analog dan speedometer digital. Dari segi lampu hadapan pula, Belang masih menggunakan mentol-mentol biasa manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED. RS150R pula menggunakan lampu hadapan LED. 

Mengenai lampu isyarat membelok pula, di sinilah terletaknya punca kekecewaan utama para peminat motosikal RS150R - Honda RS150R menggunakan lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang, manakala model serupa di Vietnam dan Indonesia tiada pula lampu isyarat membelok capang serupa digunakan. Sementara itu, Yamaha hanya menggunakan lampu isyarat membelok capang belakang, manakala Belang yang memang sudah lama keluar sebelum 2013 tiada lampu isyarat membelok capang; jika Suzuki Assemblers Malaysia bercadang untuk membawa masuk penggantinya itu, kita boleh menjangkakan model tersebut bakal menggunakan lampu signal capang depan dan belakang.




Peraturan UNECE mewajibkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan 240 mm. Namun, disebabkan saiz fender Honda RS150R yang langsing, maka lampu isyarat membelok hadapan capang terpaksa dipasang oleh Boon Siew Honda
(Kredit gambar: Careta)


Kenapa pula Honda RS150R dipasang lampu signal hadapan capang tetapi Yamaha Y15ZR pula tak payah...? Dalam satu entri oleh Careta, Boon Siew Honda ada mendedahkan rasional di sebalik pemasangan lampu isyarat capang hadapan tersebut. Menurut Boon Siew Honda, mereka terpaksa memasang lampu isyarat capang hadapan sebagai memenuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2013, yang memerlukan jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan sehingga sekurang-kurangnya 240 mm antara permukaan menyala, manakala jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok belakang pula 180 mm. Dalam konteks motosikal kapcai yang mempunyai fender hadapan dan ekor yang begitu langsing, ia bermaksud motosikal kapcai baharu yang dikeluarkan bermula tahun 2013 perlu memasang lampu-lampu isyarat membelok capang bagi membolehkan model-model tersebut lulus peraturan baharu tersebut. Dalam kes Yamaha Y15ZR pula, fender hadapannya pula lebih gemuk, membolehkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan yang dipasang pada fender lulus peraturan UNECE tanpa perlu menggunakan lampu isyarat membelok capang. 

Kenapa pula peraturan menjarakkan lampu isyarat membelok tersebut diperkenalkan...? Sebabnya adalah kerana tidak mahu cahaya lampu isyarat membelok ditenggelami kesilauan cahaya lampu kepala yang jauh lebih terang. Dalam kes lampu belakang pula, kalau diikutkan memanglah lampu belakang tidak begitu terang, tetapi kita perlu ingat bahawa ada penunggang yang memasang kotak barangan di belakang, yang tentunya akan sedikit-sebanyak menyembunyikan lampu signal tersebut. Kalau tidak memasang kotak barangan sekalipun, lampu-lampu signal belakang boleh terlindung oleh paha pembonceng. Sebab itulah ia perlu dijarakkan, walaupun tidak sebesar jarak lampu signal hadapan. Jika anda tidak sukakan lampu isyarat capang hadapan itu, anda boleh sahaja mengubah pendawaian lampu isyarat hadapan untuk pergi ke lampu-lampu posisi pada fender, dengan mentol-mentol lampu posisi fender digantikan dengan mentol jingga - itu pun kalau anda pandai dalam bidang pendawaian elektrik motosikal.

Dari segi pengendalian pula, pengendalian Honda RS150R adalah yang paling baik antara ketiga-tiganya, kerana ia menggunakan tayar-tayar yang lebih besar. Saiz tayar belakang RS150R dan Y15Z adalah sama (120/70-R17), tetapi tayar hadapan RS150R pula lebih besar (90/80-R17). Saiz tayar hadapan Y15Z sama seperti Belang iaitu jenis 70/90-R17, manakala tayar belakang Belang pula paling kecil (80/90-R17).

Begitulah perbandingan antara Honda RS150R dengan dua lagi raja kapcai yang lain iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Honda RS150R ini boleh anda miliki dengan harga RM8,213.94 termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Memandangkan sudah semakin banyak pencabar dalam segmen raja kapcai 150 cc ini, maka saya serahkan kepada anda sendiri untuk membuat pilihan berasaskan kepada bajet serta selera anda.




Spesifikasi Honda RS150R

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.16 cc
Lubang x lejang: 57.3 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.63 PS @ 9,000 rpm
Tork maksimum: 13.5 N-m @ 6,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 119 kg
Kelajuan maksimum: 150 km/j (dakwaan pengeluar)

Apa yang saya suka
  1. Lampu-lampu hadapan LED yang terang
  2. Tayar yang paling lebar dalam kelasnya, menjadikan pengendalian di selekoh paling meyakinkan
  3. Imbangan terbaik antara prestasi dan penjimatan bahan api
Apa yang saya tidak suka
  1. Berpotensi untuk menjadi motosikal sasaran pencuri
  2. Lampu-lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang yang mencacatkan rupanya (sila baca keterangannya di atas)


Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
  2. Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap


Spesifikasi Yamaha Y15ZR

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j


Apa yang saya suka
  1. Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
  2. Lampu hadapan yang lebih terang
  3. Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan





Pandangan keseluruhan Honda RS150R




Honda RS150R ini menggunakan lampu-lampu isyarat membelok capang di hadapan...




...dan belakang




Seperti raja-raja kapcai 150 cc lain, Honda RS150R ini menggunakan gabungan takometer digital serta speedometer dan panel LCD digital




Enjin yang digunakan oleh Honda RS150R adalah sama seperti pada Honda CBR150R generasi ketiga
(Semua kredit gambar: Careta)

Friday, June 10, 2016

Honda Civic 2016: Civic terbaik pernah dibina / 2016 Honda Civic: The best Civic ever built



Tidak seperti kelaziman yang mana syarikat-syarikat automotif cenderung memperagakan model-model seksi setiap kali majlis perasmian model kereta baharu, Honda Malaysia pula mengambil pendekatan menggunakan model wanita bertudung semasa perasmian Honda Civic FC bagi menghormati bulan Ramadan
(Kredit gambar: Careta)





Salam sejahtera,

Semalam (10 Jun 2016), generasi kesepuluh Honda Civic telah selamat dilancarkan oleh Honda Malaysia. Model yang diberi kod FC ini menggantikan generasi kesembilan Civic (FB) yang dilancarkan pada tahun 2012, menjadikan jangka hayat pengeluaran Civic FB lebih pendek (4 tahun) daripada pendahulunya iaitu Civic generasi kelapan (FD). Ini merupakan kali kedua Blog Jalan Raya Malaysia menulis mengenai Honda Civic selepas entri pandu uji generasi kesembilan disiarkan pada tahun 2012..

Seperti dua generasi lepas, Honda Amerika diberi tanggungjawab merekabentuk generasi kesepuluh Civic ini, bermatlamatkan agar dapat menarik semula pembeli muda untuk memilikinya. Generasi kesembilan dipendekkan jangka hayatnya berikutan reka bentuknya yang dianggap "kurang menarik" walaupun tidaklah sebegitu teruk. Jika dibandingkan dengan generasi kelapan, rekaan generasi kelapan yang begitu futuristik dan anggun serta kelihatan betul-betul seperti sebuah "kereta Ah Beng" sejati menjadikan Civic generasi kelapan masih digilai peminat automotif sehingga sekarang, meskipun kalau diikutkan ia tiada penunjuk jarak sehingga tangki kosong seperti pada kereta Proton Gen-2 yang dibina lebih awal. Justeru, bermodalkan formula kejayaan generasi kelapan, para pereka di Amerika Syarikat menghasilkan sebuah kereta yang nampak jauh lebih canggih, lebih anggun serta memenuhi kriteria "kereta Ah Beng" sejati - hasilnya ialah Honda Civic FC yang dapat anda lihat sekarang. Selain itu, untuk generasi kesepuluh ini Honda tidak lagi menghasilkan dua rekaan berbeza bagi Civic sebagaimana dua generasi terdahulu - kali ini model Civic Eropah dengan Civic Amerika Syarikat (model Malaysia juga dikira dalam keluarga Civic AS) berkongsi satu rekaan global yang sama.






Varian 1.5TC-P menggunakan 100% lampu-lampu LED bagi lampu isyarat membelok, lampu kepala dan lampu kabut (atas), manakala varian lain pula menggunakan lampu isyarat membelok jenis mentol biasa dan lampu kepala halogen jenis projektor (bawah)
(Kredit gambar: Paul Tan)


Tarikan utama bagi Civic FC ini ialah lampu-lampu hadapannya yang terdiri daripada dua lapis lampu-lampu LED bagi lampu isyarat membelok dan lampu kepala, yang kelihatan seperti butiran berlian yang disusun dalam dua baris, menjadikannya nampak anggun, mewah dan canggih. Ia disempurnakan dengan jalur lampu pencahayaan siang (DRL) putih. Tidak cukup dengan itu, lampu kabut hadapannya juga adalah dari jenis LED. Namun, hanya varian paling mahal sahaja yang dilengkapi lampu-lampu LED di hadapan; model-model spesifikasi lebih rendah pula menggunakan mentol biasa bagi lampu isyarat membelok serta lampu kepala dan lampu kabut jenis halogen. Lampu belakang yang digunakan pula sama - jalur lampu LED merah berbentuk seperti sepit ketam bagi lampu posisi belakang dan lampu brek, manakala lampu brek dan lampu undur pula menggunakan mentol biasa.




Jangan terpedaya dengan imej jarum takometer Civic FC - ia sebenarnya animasi paparan LCD dan hanya muncul selepas enjin dihidupkan


Sekarang mari kita lihat dalamannya pula. Paparan meter Civic kali ini bukan lagi dari jenis dua lapis seperti pada dua generasi terdahulu dan juga pada Honda Insight. Sebaliknya, ia digantikan dengan panel meter satu lapisan yang konvensional tetapi mengekalkan rekaan kombinasi meter laju digital dan takometer analog. Tidak cukup dengan itu, Honda membawakan kepada anda satu lagi kejutan - takometer yang digunakan itu sebenarnya bukanlah takometer sebenar tetapi sekadar animasi pada paparan LCD warna beresolusi tinggi yang besar. Anda tidak akan dapat melihat takometer tersebut sekiranya enjin dimatikan. Menariknya, kesemua varian Civic FC yang dijual di Malaysia menggunakan paparan meter yang canggih ini, berbanding model Thailand yang mana varian spesifikasi rendah pula menggunakan takometer biasa serta paparan LCD monokrom bernombor biasa.












Paparan skrin sentuh dari atas ke bawah: (1) Menu utama; (2) Tetapan kenderaan; (3) Mod telefon bebas tangan; (4) Tetapan penyaman udara; (5) Mod navigasi
(Semua kredit gambar: Paul Tan)


Bagi sistem audio pula, kesemua varian Civic FC yang dijual di Malaysia menggunakan unit skrin sentuh 7 inci yang turut diintegrasikan dengan kawalan penyaman udara - dengan kata lain, anda boleh mengawal pendingin udara melalui skrin sentuh sama dengan radio Civic ini. Caranya sangat mudah - hanya perlu tekan butang Climate dan anda boleh mengawal suis utama penyaman udara, kelajuan kipas serta mod hembusan angin, dan seterusnya tekan butang Climate sekali lagi untuk keluar ke srin radio. Varian turbo premium dilengkapi kawalan suhu dwizon seperti pada Honda Accord, manakala varian lain pula menggunakan kawalan suhu zon tunggal biasa. Tidak cukup dengan itu, Civic kali ini turut dilengkapi salur penyaman udara belakang sebagaimana Accord. Bagi sistem navigasi, hanya varian turbo premium sahaja dilengkapi sistem navigasi, manakala bagi varian lain pula anda boleh memasang sendiri penerima isyarat GPS di kedai-kedai aksesori. Radio Civic FC ini dilengkapi dua port USB untuk memainkan lagu dan mengecas telefon pintar anda, serta satu port HDMI untuk memainkan video daripada telefon pintar anda menggunakan kabel MHL.

Sementara itu, rekaan stereng yang digunakan seakan sama seperti Civic FB, tetapi butang-butang kawalannya sedikit berbeza. Kawalan kelantangan bunyi kali ini tidak lagi disepadukan dengan butang-butang arah, tetapi diasingkan kepada kawalan elektrostatik, yang memerlukan anda mengurutnya ke atas dan ke bawah menggunakan ibu jari kiri untuk melaras kelantangan bunyi.

Satu lagi kejutan di dalam Civic kali ini ialah ketiadaan tuas brek tangan. Mana perginya brek tangan...? Sebenarnya, brek tangan pada Civic kali ini digantikan dengan suis brek parkir elektrik di sebelah kanan tombol gear yang dikendalikan dengan cara sama seperti tingkap kuasa - tekan ke bawah untuk melepas brek parkir dan tarik ke atas untuk menarik brek parkir. Sementara itu, butang Econ dialihkan di sebelah kiri tuas gear. Sementara itu, kerusi pemandu dilengkapi dengan suis-suis pelarasan elektrik 8 hala, satu lagi ciri mewah yang dijadikan sebagai ciri standard bagi kesemua varian.

Sementara itu, rekaan Civic kali ini menampakkan ruang dalaman yang sebegitu besar tetapi ruang but pula pada zahirnya nampak kecil disebabkan rekaan garis bumbungnya, menjadikannya kelihatan seakan model hatchback. Namun, setelah dibuka, ruang but belakang sebenarnya agak besar, boleh memuatkan barangan sehingga 519 L. But belakang Civic kali ini tidak dibuka menggunakan kunci, tetapi menggunakan suis getah hitam yang tersembunyi di balik but serta satu lagi suis tekan yang tersembunyi di celah-celah pintu pemandu. Suis-suis ini hanya boleh dibuka sekiranya fob kunci ada berhampiran, sekaligus mengurangkan risiko kecurian pada but.

Sebut tentang fob kunci, saya ingin menyebut tentang sistem kemasukan pintar yang hanya memerlukan anda menyimpan fob kunci di dalam kocek seluar anda. Apa yang anda perlukan hanyalah menekan butang getah pada hendal pembuka pintu untuk mengunci atau membuka kunci. Kalau fob kunci tiada, pintu tidak boleh dibuka. Tidak cukup dengan itu, pintu akan terkunci sendiri sekiranya anda berjauhan dari kereta, mengurangkan risiko kecurian. Butang penghidup tekan digunakan untuk menghidupkan dan mematikan enjin tanpa memerlukan kunci. Kesemua ini merupakan ciri standard bagi kesemua varian Civic FC.

Akhir sekali, mari kita jengah apa yang ada di sebalik bonet hadapan kereta ini. Civic kali ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu enjin 1.8 L pernafasan biasa (NA) dan enjin 1.5 L turbo. Varian paling murah menggunakan enjin R18 1.8 L yang sama seperti dua generasi terdahulu, yang dikenali kerana penjimatan minyaknya. Sementara itu, varian pertengahan dan premium pula menggunakan enjin 1.5 L turbo bagi menggantikan enjin-enjin 2 liter yang digunakan pada tiga generasi terdahulu. Meskipun hanya 1.5 liter, namun kuasa yang dihamburkan itu sama kuat seperti enjin 2.4 liter kerana selain menggunakan pengecas turbo, enjin Earth Dreams 1.5 L VTEC Turbo ini juga menggunakan teknologi pancitan terus petrol (GDI). Meskipun Proton lebih dahulu menggunakan enjin turbo seperti pada Proton Preve, Proton Exora Bold dan Proton Suprima S, namun enjin VTEC Turbo ini menggunakan penyejuk perantara (intercooler) yang lebih besar daripada enjin Campro Turbo serta menggunakan tekanan penggalak yang lebih tinggi. Justeru, sungguhpun enjin Campro Turbo lebih besar (1.6 liter), namun ia hanya menghasilkan 138 kuasa kuda berbanding enjin 1.5 L VTEC Turbo yang menghamburkan 173 kuasa kuda. Namun, Proton sudah tentu tidak akan berdiam diri kerana mereka kini sedang menyiapkan satu keluarga baharu enjin GDI yang mana enjin 1.5 liter turbo mereka dijangka akan menghasilkan 180 kuasa kuda. Kedua-dua enjin yang digunakan pada Civic FC ini digandingkan dengan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menjadikannya sangat jimat minyak serta memperoleh pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) bagi kesemua varian.

Tiga varian ditawarkan oleh Honda Malaysia, iaitu 1.8S (paling murah), 1.5TC dan 1.5TC-P (paling mahal). Harga bagi setiap varian ialah RM113,800 (1.8S), RM127,800 (1.5TC) dan RM135,800 (1.5TC-P), termasuk GST, insurans dan cukai jalan.



Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Risalah Honda Civic FC



Spesifikasi Honda Civic 1.8S 2016

Enjin: R18Z1 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.8 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,799 cc
Lubang x lejang: 81 x 87.3 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 141 PS @ 6,500 rpm
Tork: 174 N-m @ 4,300 rpm
Jarak roda: 2,700 mm
Berat kering: 1,251 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j (dakwaan pengeluar)
Saiz tayar: 215/55R16



Spesifikasi Honda Civic 1.5TC / 1.5TC-P 2016

Enjin: L15B7 DOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang VTEC 1.5 liter pancitan terus sejukan cecair dengan pengecas turbo tatal tunggal (single-scroll) MHI TD03 dan injap buangan dalaman
Tekanan penggalak: 113.76 kPa (1.1376 bar)
Sesaran: 1,496 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 174 PS @ 5,500 rpm
Tork: 270 N-m @ 1,700-5,500 rpm
Jarak roda: 2,700 mm
Berat kering: 1,316 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j (dakwaan pengeluar)
Saiz tayar: 215/50R17



Apa yang saya suka:-
  1. Lampu-lampu LED hadapan yang sangat anggun
  2. Enjin turbo 1.5 liter yang lebih berkuasa tetapi lebih jimat minyak
  3. Paparan meter, sistem audio serta kawalan penyaman udara yang lebih canggih
  4. Dilengkapi salur penyaman udara belakang
  5. Varian paling murah pun dapat merasa banyak ciri-ciri mewah

Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada - tetapi bagi orang lain pula sudah tentulah CVT





Bahagian hadapan Honda Civic 1.5TC-P 2016




Bahagian belakang Honda Civic 1.5TC-P 2016




Reka bentuk lampu belakang seakan sepit ketam ini hampir sama seperti generasi kesembilan tetapi jauh lebih menarik




But Civic ini boleh memuatkan barangan sehingga 519 liter




Kamera undur turut disertakan sebagai ciri standard bagi Civic baharu ini




Butang penghidup tekan




Butang-butang pada stereng ini hampir sama seperti Civic generasi kesembilan, tetapi kawalan bunyi diasingkan ke suis kawalan elektrostatik




Sistem audio dengan skrin sentuh 7 inci yang turut berfungsi mengubab tetapan kenderaan, tetapan penyaman udara dan juga sistem navigasi




Jika enjin dimatikan, takometer tidak akan kelihatan kerana takometer dalam model ini sebenarnya animasi sahaja




Beberapa suis kawalan di sebelah pemandu termasuklah suis amaran parkir hadapan, suis Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan suis Bantuan Mula Bukit (HSA)




Enjin VTEC Turbo 1.5 liter ini menggantikan enjin 2 liter pernafasan biasa (NA) pada generasi sebelumnya




Sekali lagi, enjin R18Z1 ini terus digunakan bagi varian termurah susulan penjimatan petrol yang dihasilkan




Tiada lagi tuas brek tangan biasa - Honda Civic ini menggunakan suis brek parkir elektrik di sebelah kanan tombol gear. Butang Econ pula di sebelah kiri tombol gear

Monday, May 30, 2016

Honda Future FI: Hero penjelajah (lebih) jauh / Honda Future FI: Long(er)-distance exploration hero

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf berikutan penangguhan projek reviu FTRoadpedia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada saat-saat akhir ke satu tarikh yang akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, susulan perasmian pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah FT13 dari KM43 dekat pekan Balung, Tawau sehingga ke Bulatan Checkpoint Semporna (KM45), yang akan saya ulas dalam entri seterusnya. Sebagai pengganti, saya akan bawakan kepada anda entri mengenai Honda Future FI, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta satu entri sulung hasil kolaborasi antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan laman portal automotif Careta, yang akan saya umumkan tidak lama lagi.

Saya mulakan dengan entri mengenai Honda Future FI. Empat tahun lepas, saya ada menulis mengenai model asal Honda Future yang mula dikeluarkan pada Julai 2012. Hasilnya, entri tersebut menjadi entri paling popular dan paling banyak dibaca di Blog Jalan Raya Malaysia, dengan jumlah pembaca melebihi 27 ribu orang. Malah, komen-komen bagi entri tersebut mencecah 326 komen, yang mana kebanyakannya mengenai nasihat serta petua ubah suai motosikal, sehinggakan saya terpaksa menulis satu entri khas mengenai petua-petua ubah suai motosikal yang dibenarkan dan yang diharamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenapa model ini dikeluarkan...? Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2012, Honda Future, bersama-sama dengan Honda Wave Dash 110 generasi kedua yang dikeluarkan pada tahun 2013, merupakan model kapcai paling laris keluaran Boon Siew Honda. Malah, Honda EX5 110 (dan penggantinya iaitu Honda EX5 FI) pun tidak dapat menandingi populariti kedua-dua model ini. Namun, entah di mana silapnya, Boon Siew Honda sering dikritik oleh peminat motosikal Malaysia sejak akhir-akhir ini berikutan kualiti buatan yang semakin merosot, yang mana saya syaki berpunca daripada komponen-komponen yang diimport. Antara masalah kualiti yang sering disebut-sebut termasuklah set penutup badan (cover set) bergegar, klac tergelincir (masalah pada enjin), susah masuk gear (masalah pada enjin), sehinggalah kepada enjin cepat rosak sehingga terpaksa dibaik pulih (overhaul) tatkala bacaan odometer tidak sampai 50,000 km. Motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya sendiri pun mengalami masalah klac mudah tergelincir, cover set bergegar serta enjin cepat rosak dan terpaksa dibaik pulih penuh (full overhaul) semasa bacaan odometer baru sahaja sekitar 67,000 km, sedangkan motor-motor kapcai lain yang pernah saya gunakan pula iaitu Modenas Kriss 2 dan Yamaha Lagenda 110 dibaik pulih semasa bacaan odometer melebihi 95,000 km. Sungguhpun demikian, masih ramai yang tetap memilih untuk membeli Honda Future, terutamanya dari kalangan mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja, yang rajin berkonvoi serta yang sering pulang ke kampung menaiki motosikal - kebanyakannya atas faktor kos penyelenggaraan yang mudah dan murah. Menyedari masalah kualiti yang dihadapi, Boon Siew Honda kini sedang berusaha menambah baik kualiti motosikal kapcai keluaran mereka terutamanya di bahagian enjin, bermula dengan Honda Future FI, dengan melanjutkan tempoh waranti sehingga 3 tahun untuk enjin (bahagian lain pula 2 tahun), yang saya sifatkan sebagai tempoh waranti terpanjang yang berani diberikan oleh mana-mana pengeluar kapcai.

Selain itu, Boon Siew Honda juga dikritik kerana lambat membawa masuk model kapcai pancitan bahan api, meskipun Honda mempelopori teknologi pancitan bahan api kos rendah yang dipermudahkan untuk motor kapcai serta merupakan pengeluar pertama bagi motor kapcai pancitan bahan api pada tahun 2003 melalui model Honda Wave 125i di Thailand, disusuli pula di Indonesia pada tahun 2005. Sementara itu, Boon Siew hanya mula membawa masuk model kapcai pancitan bahan api melalui Honda EX5 FI yang bukan merupakan model kapcai flagship mereka. Susulan dengan itu, Boon Siew Honda kini menggantikan model kapcai flagship mereka iaitu Honda Future yang selama ini menggunakan karburetor kepada model pancitan bahan api pula.

Honda Future FI turut menerapkan beberapa perubahan baharu bagi membezakannya dengan model lama. Antaranya, lampu kepala yang menggunakan dua biji mentol biasa digantikan dengan sebiji mentol halogen yang bukan sahaja lebih terang, malah lebih jimat elektrik sebanyak 25%. Ini membolehkan lebih banyak tenaga elektrik dirizabkan bagi kegunaan sistem pancitan bahan api, memandangkan pam bahan api merupakan komponen pancitan bahan api yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik.

Saiz tangki bahan api berkurangan daripada 5.6 L bagi model berkarburetor kepada 5.4 L berikutan ruang yang dimakan oleh modul pam bahan api. Namun, ia tetap berupaya memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan setangki penuh. Jika model lama mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 250 km bagi setangki penuh, anda boleh jangkakan peningkatan jarak perjalanan kepada sekitar 270 km bagi model pancitan bahan api ini, menjadikan Honda Future FI sebagai hero penjelajah lebih jauh.

Sistem pancitan bahan api PGM-FI yang digunakan direka bentuk agar tidak banyak memakan kuasa bateri, kurang komponen yang diperlukan berbanding sistem pancitan oleh pesaing seperti Yamaha, dan yang paling penting ialah sistem yang digunakan ini sangat jimat minyak. Namun, model Honda Future FI ini kurang berkuasa berbanding model terdahulu yang berkarburetor (9.27 PS vs 9.6 PS). Oleh itu, jika ada di kalangan pemilik Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang teringin untuk berhijrah kepada Honda Future FI, nasihat saya ialah lebih baik anda terus menggunakan Lagenda Fuel Injection anda itu kerana Lagenda Fuel Injection lebih berkuasa berbanding Future FI.

Namun, apa yang menggembirakan para peminat motor kapcai di Malaysia ialah Future FI ini tiada lampu isyarat membelok capang di belakang, menjadikan Honda Future FI sebagai model kapcai pancitan bahan api kedua yang tidak dilengkapi lampu isyarat capang di belakang selepas Modenas 118EFI. Jika diperhatikan, kebanyakan model kapcai baharu sejak tahun 2013 menggunakan lampu isyarat capang di belakang bagi mematuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh JPJ. Namun, penggunaan lampu isyarat capang di belakang bagi model-model kapcai dikritik oleh para peminat motor kapcai di Malaysia kerana selain mencacatkan reka bentuknya, lampu isyarat capang belakang juga sangat mudah patah akibat disigung kenderaan lain. Malah, ada pemilik yang sengaja menggantikan lampu isyarat capang asal kepada jenis yang lebih kecil ataupun mencabutnya terus, menyebabkan orang di belakang tidak tahu sekiranya penunggang tersebut mahu membelok ke kiri atau kanan. Cuma yang tidak sedapnya ialah lampu belakangnya diturun taraf daripada jenis LED kepada jenis mentol biasa yang lebih pendek jangka hayatnya. Sepatutnya kalau sudah nama pun Honda Future, maka Boon Siew Honda sepatutnya mengekalkan lampu belakang LED ini, kerana lampu-lampu LED inilah salah satu daya penarik utama Honda Future.

Honda Future FI ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian brek gelendong belakang (RM6,072.74) serta varian brek cakera belakang (RM6,358.94) termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiada lagi varian rim lidi dikeluarkan, dan kedua-dua varian ini dilengkapi brek cakera hadapan, penghidup elektrik, rim sport dan ruang simpanan bawah pelana yang boleh memuatkan sebiji topi keledar muka penuh sebagai alatan standard.



Spesifikasi Honda Future FI

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 125 cc
Sesaran: 124.9 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 9.3:1
Kuasa kuda: 9.27 PS (6.81 kW) @ 7,500 rpm
Tork: 10.02 N-m @ 5,500 rpm
Jarak roda: 1,258 mm
Berat kering: 105 kg (model brek gelendong belakang); 107 kg (model brek cakera belakang)
Muatan tangki bahan api: 5.4 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Segala kelebihan yang ada pada motor pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, lebih mudah dihidupkan ketika sejuk)
  2. Jarak perjalanan lebih jauh bagi setangki penuh
  3. Tiada lampu isyarat membelok capang

Apa yang saya tidak suka
  1. Harganya yang lebih mahal daripada model lama
  2. Kurang berkuasa daripada model berkarburetor terdahulu
  3. Lampu belakang diturun taraf daripada jenis LED kepada mentol





Honda Future FI - nampak serupa dengan model lama yang berkarburetor tetapi tidak sama




Dua biji mentol biasa pada lampu kepala Honda Future berkarburetor digantikan dengan sebiji mentol halogen pada model pancitan bahan api ini




Yang ini ramai mat motor kapcai di Malaysia suka - tiada lampu isyarat membelok capang di belakang - tetapi yang tidak sedap ialah lampu belakang LED ditukar kepada mentol biasa




Bahagian belakang Honda Future FI - yang ini model brek gelendong belakang




Tangki belakang Future FI lebih kecil sedikit kerana sebahagian ruang dimakan oleh modul pam bahan api




Ruang simpanan bawah pelana (aka U-box) yang cukup besar untuk memuatkan sebiji topi keledar bermuka penuh
(Semua kredit gambar: Careta)

Wednesday, February 17, 2016

Apa yang patut anda tahu tentang Proton Perdana generasi kedua / What you should know about the second-generation Proton Perdana



Hanya bahagian lampu belakang sahaja yang ditunjukkan seketika semasa pendedahan terawal model Perdana 2016 ini


Salam sejahtera,

Pagi semalam (16 Februari 2016), Proton telah membuka tempahan bagi model generasi kedua Proton Perdana yang ditunggu-tunggu selama ini. Proton Perdana generasi kedua sememangnya model yang amat ditunggu-tunggu setelah sekian lama Proton ketiadaan model segmen D setelah model generasi pertama sudah lama dihentikan pengeluarannya.

Proton Perdana generasi pertama mula dibangunkan sebagai model kereta saiz sederhana (segmen D) bagi memenuhi keperluan untuk dijadikan sebagai kereta rasmi kerajaan. Sebelum Perdana dibangunkan, model-model Proton sebelumnya hanya sekadar model-model kereta keluarga biasa yang sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas dari titik A ke titik B tanpa ciri-ciri mewah. Bagi kegunaan sebagai kereta rasmi kerajaan, sudah tentulah Proton perlu mengeluarkan sebuah kereta yang mempunyai ciri-ciri mewah serta menampilkan ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi daripada mana-mana model Proton yang lain, selaras dengan fungsi kereta rasmi kerajaan yang berfungsi bagi mengangkut para pegawai tinggi kerajaan dengan selamat, di samping sebagai simbol maruah negara. Takkanlah pegawai tinggi kerajaan pakai kereta cikai pula...? Daripada situlah lahirnya Proton Perdana.

Proton Perdana generasi pertama dibangunkan berasaskan model Mitsubishi Galant Eterna (generasi ketujuh). Model terawal Perdana digerakkan oleh enjin 2 liter 4G63 4 silinder. Namun, harus saya ingatkan di sini bahawa enjin 4G63 yang digunakan itu bukanlah jenis yang sama seperti yang digunakan pada sembilan model terawal Mitsubishi Lancer Evolution; enjin yang digunakan pada model terawal Perdana adalah dari jenis SOHC 16 injap 4 silinder yang mampu menghasilkan 135 bhp pada 6,000 rpm dan kilasan 176 N-m pada 4,750 rpm. Angka-angka ini setanding dengan enjin 16 injap M111.940 yang digunakan pada Mercedes-Benz E200 (W124) model tahun 1994, yang mampu menghasilkan kuasa kuda 134 bhp. Pada tahun 1998, enjin 4G63 digantikan dengan enjin 6A12 V6 2 liter yang lebih berkuasa, menghasilkan 148 bhp pada 6,750 rpm dan tork 179 N-m pada 4,000 rpm. Proton Perdana generasi pertama ini juga merupakan model pertama Proton yang dilengkapi dua biji beg udara dan sistem brek cegah kunci (ABS).

Seperti kebanyakan model Proton pada masa itu, Proton Perdana mempunyai jangka hayat pengeluaran yang sangat panjang. Ia mula dikeluarkan pada penghujung tahun 1994 sehingga tahun 2009. Sepanjang dekad 1990an, ia boleh dikatakan setaraf dengan model-model pesaing yang lain seperti Honda Accord dan Toyota Camry. Namun, sepanjang dekad 2000an pula, Proton Perdana sudah semakin ketinggalan dari segi teknologi yang diterapkan. Model-model pesaing sudah mula menggunakan penyaman udara kawalan digital, paparan odometer LCD serta dilengkapi sistem navigasi GPS, yang mana kesemuanya tidak ada pada Perdana. Kotak gear automatik 4 kelajuan yang digunakan pula bukanlah dari jenis elektronik dengan logik kecerunan, tetapi sekadar kawalan hidraulik tanpa logik kecerunan. Enjin V6 yang digunakan pula memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi berbanding enjin 4 silinder. Sebab itulah sepanjang dekad 2000an, jualan Perdana semakin merosot dan terus merosot, dengan hanya mengharapkan tender kerajaan bagi membekalkan kereta rasmi kerajaan sebagai sumber utama jualan. 

Sehubungan dengan itu, Proton tiada pilihan melainkan terpaksa membangunkan model generasi kedua bagi menggantikan model lama Perdana. Namun, membangunkan model serba baharu memerlukan kos yang sangat tinggi, dan ia dianggap tidak berbaloi untuk Proton yang hanya mampu menjual sedikit sahaja Perdana pada ketika itu. Maka, pilihan yang ada hanyalah penjenamaan berlesen bagi model-model keluaran syarikat lain. Cubaan pertama bermula pada tahun 2004 dengan Volkswagen, tetapi ia gagal dimeterai berikutan syarat Volkswagen yang mensyaratkan Proton untuk menjual sebahagian besar sahamnya kepada Proton, satu syarat yang tentunya ditolak mentah-mentah oleh Proton, memandangkan ia dianggap satu "penjajahan bentuk baru". Seterusnya, Proton bekerjasama dengan Mitsubishi Motors Australia pada tahun 2005 untuk menggunakan model Mitsubishi 380 sebagai asas bagi model generasi kedua, tetapi ia sekali lagi gagal kerana Mitsubishi Motors Australia mengehentikan operasi kilang mereka pada tahun 2008, sekaligus menandakan berakhirnya pengeluaran model kereta terakhir yang dibangunkan sendiri oleh Mitsubishi Motors Australia. Seterusnya, Proton cuba bekerjasama dengan Nissan pada tahun 2011 untuk menjadikan Nissan Fuga sebagai asas generasi kedua Perdana tetapi ia sekali lagi gagal.

Sebagai pilihan terakhir, Proton bekerjasama dengan Honda pada tahun 2012 untuk melesenkan model Honda Accord generasi kelapan sebagai asas kepada Perdana generasi kedua. Secara kebetulan, Honda sudah pun menghentikan pengeluaran Accord generasi kelapan setelah model generasi kesembilan dilancarkan pada tahun 2013. Namun, model yang disalin bulat-bulat daripada Accord generasi kelapan itu hanya diedarkan sebagai kereta rasmi kerajaan sahaja dan tidak dijual kepada pengguna biasa. Selain itu, Perdana generasi kedua (aka Accordana) itu juga dikeluarkan secara kontrak oleh kilang Honda Malaysia di Alor Gajah dan bukannya oleh kilang Proton di Shah Alam ataupun Tanjung Malim.




Rekaan lampu hadapan Proton Perdana 2016


Model yang boleh dibeli oleh orang biasa pula menggunakan reka bentuk luaran yang 100% berbeza berbanding model "Accordana" yang hanya dikhaskan untuk pegawai tinggi kerajaan. Model tersebut mula ditampilkan dalam filem Kapsul yang menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Proton sebagai pengguna pertamanya. Ia menampilkan lampu-lampu belakang LED yang direkabentuk dengan sebegitu cantik. Lampu hadapannya pula menggunakan lampu-lampu projektor yang direkabentuk sebegitu anggun serta dilengkapi lampu pencahayaan siang (DRL) jenis jalur LED, berbeza daripada lampu DRL Proton Preve dan Suprima S yang menggunakan beberapa biji LED putih yang disusun sebaris. Selain itu, Perdana 2016 ini juga dilengkapi empat sensor parkir di bahagian belakang, pertama kali seumpamanya pada Proton.




Gambar spyshot yang mendedahkan rekaan dalaman Proton Perdana 2016


Jika diperhatikan pada lampu-lampunya, anda langsung tidak akan menyangka bahawa Perdana baharu ini sebenarnya masih berasaskan pelantar Accord generasi kelapan. Berbeza dengan Preve, Suprima S dan Iriz yang menggunakan casis RESS (Struktur Keselamatan Diperkukuhkan) Proton, Perdana generasi kedua ini pula menggunakan casis G-CON Honda. Gambar spyshot oleh laman blog automotif Paul Tan turut mendedahkan beberapa lagi design cues Accord bagi bahagian dalaman Perdana generasi kedua itu. Papan pemuka yang digunakan agak serupa dengan Accord, tetapi ia menampilkan sistem navigasi GPS sebagai ciri standard. Penyaman udara yang digunakan juga sama seperti Accord, iaitu daripada jenis dwizon kawalan digital, juga pertama seumpamanya pada Proton. 

Dari segi enjin pula, Perdana 2016 ini turut menawarkan pilihan enjin yang sama seperti Accord generasi kelapan, iaitu sama ada enjin R20A3 2 liter SOHC i-VTEC ataupun enjin K24Z2 2.4 liter DOHC i-VTEC. Kedua-dua pilihan enjin dipadankan dengan transmisi Hondamatic H5 5 kelajuan. Namun, akan ada perubahan besar pada penghujung 2017 yang mana pada masa itu Perdana akan mula menggunakan enjin NE01 2 liter serba baru yang dikerjakan semula setelah Proton membeli kesemua paten bagi enjin tersebut daripada Petronas. Selain itu, ada kemungkinan juga enjin GDI 1.5 liter turbo serba baharu yang sedang dibangunkan oleh Proton juga dipertimbangkan sebagai pilihan enjin pada penghujung 2017. Apa pun pilihan enjin pada masa itu, kedua-duanya akan digandingkan dengan kotak gear CVT baharu dengan penukar tork oleh Aisin.




Spesifikasi awal bagi Proton Perdana 2016


Dengan pendedahan awal bagi spesifikasi Perdana 2016 ini, maka kita boleh menjangkakan pelancarannya akan disempurnakan dalam pertengahan Mac ini. Spesifikasi penuh akan saya sertakan sebaik model ini dilancarkan kelak.

Kredit berita: Paul Tan
Semua kredit gambar: Paul Tan

Wednesday, April 29, 2015

Honda EX5 Dream 110 kini dilengkapi pancitan bahan api PGM-FI / The Honda EX5 Dream 110 is now equipped with PGM-FI fuel injection

Salam sejahtera,

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Honda merupakan syarikat pengeluar motosikal yang mengeluarkan model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia iaitu Honda Wave 125i pada tahun 2003. Model tersebut dibangunkan oleh Honda Thailand hasil daripada kejayaan mereka membangunkan satu sistem pancitan bahan api kos rendah yang diasaskan daripada teknologi pancitan bahan api PGM-FI mereka. Seterusnya, PT Astra Honda Motor membawa masuk teknologi PGM-FI pada tahun 2005, diikuti negara-negara Eropah yang membawa masuk model Honda Innova 125i ke sana.

Malangnya, Boon Siew Honda, pengeluar serta pengedar motosikal Honda di Malaysia, tidak pula membawa masuk teknologi tersebut di Malaysia tatkala negara-negara jiran sudah merasai kecanggihan teknologi pancitan bahan api pada motosikal kapcai, meskipun tatkala harga minyak Malaysia melambung pada takat tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2007. Malah, pesaing-pesaingnya iaitu Modenas, Yamaha dan Suzuki sudah jauh meninggalkan Honda di belakang dengan model-model kapcai pancitan masing-masing, iaitu Modenas 118EFI, Yamaha Lagenda Z 115 Fuel Injection dan Suzuki Smash 115 FI. Akibatnya, Boon Siew Honda sering dikecam oleh peminat motosikal di negara ini kerana tidak membawa masuk teknologi berkenaan sehinggakan sudah jauh ditinggalkan oleh para pesaing. Malah, Malaysia pada keseluruhannya sudah pun ketinggalan 12 tahun di belakang Thailand dalam pembangunan teknologi pancitan bahan api untuk motosikal kapcai.

Hanya pada hari semalam (28 April 2015) barulah Boon Siew Honda melancarkan model Honda EX5 Dream FI bagi menggantikan model Honda EX5 Dream 110 berkarburetor. Sejak model asal EX5 Dream 100 yang mula dikeluarkan pada tahun 1987 dihentikan pengeluarannya pada 31 Disember 2013, EX5 Dream 110 yang menggantikannya gagal meneruskan kegemilangan pendahulunya itu meskipun ia menggunakan enjin yang lebih besar. Antara punca utama kenapa sambutan terhadap EX5 Dream 110 tidak sehebat pendahulunya itu adalah disebabkan oleh rekaan lampu belakangnya yang kurang menarik. Justeru, selain untuk menjadi model motosikal kapcai pancitan bahan api sulung keluaran Boon Siew Honda, EX5 Dream FI dikeluarkan bagi menangani beberapa kelemahan yang ada pada EX5 Dream 110 asal.

Jika diperhatikan pada rekaan lampu belakangnya, EX5 Dream FI ini ternyata lebih menarik daripada EX5 Dream 110 kerana rekaan lampu belakangnya kali ini mempunyai design cues yang menyerupai lampu asal EX5 Dream 100 lama. Namun, saya terpaksa mengakui bahawa ramai di kalangan peminat motosikal kapcai di Malaysia yang tidak suka akan rekaan lampu isyarat membelok jenis "capang" sebegini. Sungguhpun anda tidak suka akan rekaan lampu isyarat membelok sebegini, namun kita terpaksa menerima hakikat bahawa penggunaan lampu isyarat membelok belakang jenis capang kini diwajibkan menurut Peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Dengan kata lain, jika anda memasang unit lampu belakang yang disepadukan bersama-sama lampu isyarat membelok, anda boleh dikenakan tindakan saman oleh JPJ walaupun lampu isyarat membelok itu berfungsi sepenuhnya.

Sekarang kita beralih pula kepada enjinnya pula. Enjin yang digunakan masih sama, tetapi kali ini ia menggunakan pancitan bahan api PGM-FI bagi menggantikan karburetor lama. Hasilnya, enjin EX5 Dream FI kali ini lebih berkuasa berbanding EX5 Dream 110 berkarburetor (8.47 PS vs 7.67 PS) dan lebih jimat minyak (58.3 km/L vs 53.8 km/L). Oh ya, EX5 Dream FI kali ini menggunakan tangki minyak yang lebih besar (4.3 L vs 4.0 L), jadi setangki penuh petrol pada motosikal EX5 Dream FI boleh membawa anda dengan lebih jauh berbanding EX5 Dream 110 lama (250 km vs 214 km).

Namun, ada satu perkara yang saya kurang senang akan Honda EX5 Dream FI ini - harganya. Jika sebelum ini Honda EX5 Dream 110 dijual dengan harga antara RM3,708.00 (model penghidup tendang) sehingga RM4,145.00 (model penghidup elektrik), EX5 Dream FI pula dijual dengan harga antara RM4,299.00 (model penghidup tendang) sehingga RM4,529.00 (model penghidup elektrik). bagi sebuah model kapcai yang sekadar menggunakan rim lidi dan brek gelendong hadapan dan belakang, harga sebegitu boleh dikatakan begitu mahal. Apa tidaknya, hanya tambah sekitar RM200 lebih sudah boleh dapat beli motosikal Modenas 118EFI yang dilengkapi penghidup elektrik, rim sport dan brek cakera hadapan. Apa pun, pilihan terletak pada tangan anda sendiri.

Spesifikasi Honda EX5 Dream FI

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 110 cc
Sesaran: 109.1 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 8.47 PS @ 7,500 rpm
Tork: 8.4 N-m @ 6,000 rpm
Jarak roda: 1,212 mm
Berat kering: 98 kg (model penghidup tendang); 99 kg (model penghidup elektrik)
Muatan tangki bahan api: 4.3 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Segala kelebihan yang ada pada motor pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, lebih mudah dihidupkan ketika sejuk)
  2. Tangki minyak yang lebih besar
  3. Tahan lasak dan boleh dipercayai sehingga berzaman
Apa yang saya tidak suka
  1. Harganya yang kali ini mahal dan kurang berbaloi dengan model motosikal yang hanya menggunakan rim lidi dan brek gelendong hadapan dan belakang
  2. Slot kuncinya masih belum cukup selamat - Honda sepatutnya menggunakan slot kunci berpenutup seperti model-model kapcainya yang lain





Honda EX5 Dream FI menggantikan pendahulunya yang menggunakan karburetor






Rekaan lampu hadapan masih sama seperti pendahulunya






Rekaan lampu belakangnya pula mempunyai sedikit design cues seperti Honda EX5 Dream 100 lama, tetapi dengan lampu isyarat membelok jenis capang






Meternya direka semula agar lebih ringkas tetapi lebuh mudah dibaca






Slot kuncinya masih mempunyai kelemahan yang sama seperti pendahulunya kerana tiada penutup slot
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Saturday, July 19, 2014

Honda Jazz generasi ketiga selamat dirasmikan / Third-generation Honda Jazz was launched

Salam sejahtera,

Honda Malaysia telah selamat merasmikan generasi ketiga bagi model kereta hatchback segmen B global mereka, Honda Jazz, untuk pasaran Malaysia pada 16 Julai 2014. Saya sepatutnya menulis entri mengenainya pada hari kelmarin ataupun semalam tetapi menangguhkannya kerana mahu menghormati ahli-ahli keluarga mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas akibat bedilan peluru berpandu pada 17 Julai 2014. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mangsa.

Sedikit mengenai Honda Jazz ini. Model kereta hatchback subpadat global ini mula dikeluarkan pada tahun 2001 di Jepun sebagai Honda Fit sebelum ia turut dijual di Amerika Syarikat, Eropah dan seterusnya Asia Tenggara. Nama Honda Fit digunakan di Jepun dan Amerika Syarikat, manakala Eropah dan Asia Tenggara pula menggunakan nama Honda Jazz. Terdapat dua ciri utama yang menjadikan Honda Jazz sangat dikenali, iaitu kedudukan tangki minyaknya di bawah kerusi hadapan dan bukannya di bawah kerusi belakang sebagai mana kereta-kereta lain, serta kerusi belakangnya yang istimewa kerana boleh dilipat melalui pelbagai cara - ia boleh dilipat menegak ke atas untuk memuatkan barangan tinggi seperti pasu bunga, serta boleh dilipat ke bawah untuk meningkatkan muatan kargo. Nak angkut papan luncur...? Boleh, hanya lipat kerusi penumpang hadapan serta kerusi belakang kiri untuk memuatkannya. Malah, anda boleh melipat kedua-dua kerusi hadapan jika mahu tidur di dalamnya seselesa tidur di atas katil. Sebab itulah kerusi-kerusi Honda Jazz ini dikenali sebagai Ultra Seats atau Magic Seats.

Semasa Jazz mula-mula dibawa masuk ke Malaysia, daya penarik utama yang digunakannya ialah penjimatan bahan apinya, berikutan penggunaan enjin i-DSI yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Enjin i-DSI menjimatkan bahan api melalui penggunaan dua biji palam pencucuh bagi setiap silinder (kereta lain menggunakan hanya sebiji palam pencucuh sesilinder), menjadikan pembakaran bahan api lebih lengkap. Asalnya, Jazz menggunakan enjin i-DSI 1.3L sebelum beralih kepada enjin i-DSI 1.5L. Seterusnya, varian enjin VTEC-E turut diperkenalkan. Kedua-dua pilihan enjin tersebut juga digunakan pada model Honda City generasi keempat. Ciri-ciri yang diterapkan pada kedua-dua model i-DSI dan VTEC kekal sama. Asalnya, Honda Jazz yang dijual di Malaysia adalah buatan Jepun (model i-DSI 1.3L) sebelum beralih kepada buatan Thailand (model 1.5L i-DSI dan VTEC).

Model generasi kedua dilancarkan pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin 1.5L i-VTEC yang turut digunakan pada Honda City generasi kelima, dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 5 kelajuan bagi mengatasi masalah kerosakan CVT akibat terlampau panas (anehnya, kesemua kes kerosakan CVT itu hanya berlaku di Malaysia sahaja). Enjin i-VTEC yang digunakan itu merupakan enjin 1.5L yang paling berkuasa dalam kelasnya. Varian hibrid turut diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai model import dari Jepun sebelum ia mula dipasang di kilang Honda Malaysia di Alor Gajah. Tidak lama kemudian, varian petrol turut dipasang di Alor Gajah, sekaligus menjadikan harganya turun mendadak dan semakin mampu dimiliki.

Jazz generasi ketiga akhirnya dilancarkan di Jepun pada tahun 2013. Model generasi ketiga Honda Fit di Jepun menggunakan enjin-enjin Earth Dreams dengan pancitan terus petrol (GDI) serta transmisi CVT Earth Dreams, tetapi model Asia Tenggara pula menggunakan enjin i-VTEC daripada generasi kedua yang telah ditala semula. Ia dilancarkan di Malaysia pada 16 Julai 2014 dengan tiga pilihan varian, tetapi masih belum diketahui bila varian hibrid bagi generasi ketiga akan dilancarkan.

Saya berkesempatan ke Kah Motor Selayang pada hari perasmiannya untuk melihat sendiri kereta Honda Jazz generasi ketiga itu. Dalamannya lebih kurang sama seperti Honda City - ia menggunakan meter, radio dan kawalan penyaman udara yang sama seperti City. Apa tidaknya, City dan Jazz memang dibina menggunakan pelantar yang sama. Sungguhpun demikian, masih terdapat beberapa perbezaan antara City 2014 dengan Jazz 2014 ini:-
  1. City 2014 ada suis mod ECON tetapi Jazz 2014 pula tiada suis ECON, sesuatu yang amat menghairankan, memandangkan butang ECON sudah menjadi ciri standard kereta-kereta Honda bermula dengan Honda Insight.
  2. Suis cermin sisi elektrik City 2014 terletak pada papan pemuka, manakala suis cermin sisi elektrik Jazz 2014 pula terletak pada hendal pintu pemandu, bersebelahan suis tingkap kuasa. Pada generasi sebelumnya, kedudukan suis cermin sisi elektrik bagi kedua-dua Jazz dan City adalah terbalik.
  3. Tiada salur penyaman udara belakang pada Jazz 2014 sebagai mana City 2014, meskipun pada varian termahal.
  4. Tali pinggang keledar penumpang tengah belakang Jazz 2014 adalah daripada jenis tiga titik, tetapi menggunakan jenis yang lebih kurang sama seperti Perodua Myvi generasi kedua - tarik tali pinggang keledar dari atas dan masukkan penyangkuk pada lubangnya yang terletak bersebelahan pengatup tali pinggang keledar sebelah kanan, sebelum memakai tali pinggang keledar itu seperti biasa. Sejujurnya, saya kurang menyukai tali pinggang keledar seperti itu kerana selain ia melecehkan, tali pinggang sebegitu sedikit sebanyak mengganggu penglihatan cermin belakang.
  5. But belakang Jazz 2014 dibuka melalui suis pembuka pada pintu but itu sendiri, manakala City 2014 pula menggunakan kunci dan tuas pembuka konvensional.

Sesi pandu uji akan dijalankan sebaik kereta pandu uji disediakan di bilik-bilik pameran Honda tidak lama lagi.


Laman web rasmi: http://www.honda.com.my
Laman Facebook Kah Motor Selayang: Klik sini

Spesifikasi Honda Jazz 2014

Enjin: L15A7 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.5 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.3:1
Kuasa kuda: 120 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 N-m @ 4,600 rpm
Jarak roda: 2,530 mm
Berat kering: 1,067-1,088 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Dilengkapi VSA dan 6 biji beg udara bagi varian termahal
  2. Enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya serta terbukti sangat jimat minyak kini jadi semakin jimat
  3. Jazz kini mempunyai lebih varian bersesuaian dengan bajet anda
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada paddle shifter walaupun pada Gred V
  2. Jenis tali pinggang keledar penumpang tengah belakang yang mengganggu penglihatan cermin belakang







Bahagian hadapan Honda Jazz 2014 Gred V






Pandangan bahagian tepi







Pandangan bahagian belakang






Jazz generasi ketiga bagi pasaran Malaysia tidak pula menggunakan enjin Earth Dreams tetapi masih menggunakan enjin L15A7 yang ditala semula






Rekaan meter Jazz yang menyerupai City 2014






Seperti City 2014 Gred V, Honda Jazz 2014 Gred V juga menggunakan radio dan penyaman udara kawalan skrin sentuh






Saya kurang menyukai jenis tali pinggang keledar yang digunakan untuk penumpang tengah belakang kerana ia mengganggu penglihatan cermin belakang






Ruang but belakang Jazz mungkin tidak sebesar City memandangkan Jazz sebuah kereta hatchback, tetapi kerusinya boleh dilipat melalui pelbagai cara untuk memaksimumkan muatannya