Showing posts with label SKVE. Show all posts
Showing posts with label SKVE. Show all posts

Sunday, October 6, 2013

Melawat semula SKVE E26: Lebuh raya dua lorong di Seksyen 3 / SKVE E26 revisited: Two-lane expressway at Section 3

Salam sejahtera,

Pada pertengahan tahun lalu, saya telah pun menguji SKVE E26 semasa Seksyen 2 lebuh raya tersebut dari Saujana Putra ke Telok Panglima Garang telah dibuka dengan rasminya. Hampir setahun setengah kemudian, saya kembali semula ke SKVE E26 setelah jajaran terakhir lebuh raya tersebut ke Pulau Indah dibuka dengan rasminya.

Seperti biasa, saya memulakan perjalanan dari arah Lebuhraya Kajang SILK E18 dekat Universiti Tenaga Nasional (Uniten), kerana saya ingin mengetahui sejauh mana perubahan kadar aliran trafik di sepanjang SKVE E26 selepas hampir setahun setengah. Jajaran percuma SKVE E26 masih juga sibuk seperti biasa. Sementara itu, kadar aliran trafik di sepanjang Seksyen 1b (Exit 2606 Persimpangan SKVE-Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra) dan Seksyen 2 semakin meningkat, memandangkan jajaran tersebut membolehkan pengguna lebuh raya untuk ke Banting. Buat masa sekarang, lebih kurang separuh daripada gerai-gerai di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas di kedua-dua hala sudah pun dibuka, cuma masih belum ada stesen minyak lagi.

Saya mula memasuki Seksyen 3 sebaik sahaja melepasi Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Dalam reviu bagi jajaran terdahulu, saya telah pun memberikan bayangan bahawa jajaran terakhir SKVE E26 bakal dibina sebagai lebuh raya dua lorong, yang mana memang betul pun. Untuk pengetahuan anda, SKVE E26 Seksyen 3 merupakan lebuh raya ekspres dua lorong sebenar kedua yang dibina dengan kawalan masuk penuh, hanya di belakang Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa dua lorong dan bukannya empat lorong seperti biasa? Baca reviu ini sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

SKVE E26 melintasi Jalan Banting FT5 dan seterusnya Jambatan Sungai Langat untuk memasuki Pulau Carey. Sebaik memasuki Pulau Carey, hanya ada kelibat estet kelapa sawit sehingga hampir 20 km. Maka tidak hairanlah kenapa jajaran ini sangat lengang. Jika lebuh raya yang sangat lengang sebegini terus dibina 4 lorong, maka sudah tentulah SKVE Holdings akan mengalami masalah kewangan akibat unjuran trafik yang terlalu rendah. Lagipun, bukannya ada apa-apa yang menarik pun di Pulau Indah daripada sekadar pelabuhan semata-mata.

Binaan pertama yang saya temui sebaik memasuki Pulau Carey hanyalah sepasang stesen penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tidak seperti stesen penguatkuasaan di jalan raya dua lorong biasa yang hanya dibina sebuah sahaja dan salah satu hala perlu membelok ke kanan, stesen penguatkuasaan di Pulau Carey ini pula memang dibina sepasang bagi mengelakkan pengguna daripada membelok ke kanan. Dengan kata lain, unsur kawalan masuk penuh masih dapat diterapkan meskipun sekadar lebuh raya tunggal dua lorong.

Setelah menunggang dengan penuh sabar di sepanjang lebuh raya dua lorong yang sangat lengang ini, saya akhirnya tiba di Jambatan Selat Lumut... eh...? Mana perginya Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey...? Bukankah dalam blueprint asal lebuh raya tersebut sepatutnya ada dibina persimpangan tersebut? Sepanjang Pulau Carey, hanya ada estet kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri, jadi adalah tidak berbaloi untuk membina persimpangan tersebut terlebih dahulu. Mungkin setelah Pulau Carey semakin maju barulah persimpangan tersebut akan dibina.

Jambatan Selat Lumut merupakan mercu tanda utama di sepanjang SKVE E26 Seksyen 3 ini. Selain daripada menjadi jambatan tertinggi di Selangor (ketinggian maksimum: 25 m dari aras laut), ia juga merupakan satu-satunya jambatan di Malaysia yang dilengkapi lorong kecemasan lori. Kenapa pula perlu ada lorong kecemasan lori, bukankah SKVE E26 melalui kawasan tanah rendah? Jambatan tersebut sebenarnya sangat hampir dengan Plaza Tol Pulau Indah, jadi SKVE Holdings mahu mengelakkan kes lori melanggar plaza tol seperti yang sering berlaku di Jelapang sebelum ini, memandangkan jambatan ini mempunyai kecerunan 4%. Selain itu, keadaan SKVE E26 Seksyen 3 yang dibina 2 lorong sahaja menyebabkan ada kecenderungan oleh segelintir pemandu bebal untuk makan jalan akibat memotong ketika sudah terlalu dekat. Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sungai Johor E22 juga mempunyai kecerunan sama iaitu 4%, tetapi tiada lorong kecemasan lori kerana kedua-dua jambatan tersebut dibina sebagai jambatan lebuh raya kembar, jadi tiada kecenderungan untuk makan jalan semasa memotong.

Akhirnya saya tiba di Plaza Tol Pulau Indah, plaza tol terakhir di sepanjang SKVE E26. Sepatutnya ada sepasang hentian rehat dibina sebaik sahaja selepas plaza tol tersebut, tetapi buat masa sekarang ia masih belum dibina lagi. Ia mungkin akan mula dibina sebaik sahaja bilangan pengguna lebuh raya yang hendak ke Pulau Indah meningkat, dan kalau ia dibina sekalipun, ia hanya akan dibina sebagai hentian rehat kecil sahaja. SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah.

Satu-satunya persimpangan bertingkat yang dibina buat masa ini di sepanjang Seksyen 3 ialah Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah di KM52, dihubungkan ke sebatang jalan raya baharu yang masih belum siap sepenuhnya untuk ke Pelabuhan Barat. Hanya jalan menghala Pelabuhan Barat sahaja yang dibuka, manakala jajaran ke Zon Bebas Pulau Indah pula masih belum dibina.

Secara amnya, jajaran terakhir bagi SKVE E26 ini dibina dengan mutu kejuruteraan tertinggi, memandangkan majoriti pengguna sasaran bagi jajaran ini terdiri daripada lori-lori yang hendak ke Pelabuhan Barat. Berbeza dengan jajaran terakhir Lebuhraya Senai-Desaru E22 yang dikecam kerana dibina hanya dua lorong sahaja, saya tidak ada mendengar sebarang bentuk komplen pun mengenai jajaran terakhir SKVE E26 ini, berikutan kualiti turapan yang sangat bagus dan keadaan lebuh raya yang sangat lengang. Maka, memang berpatutan jika Seksyen 3 ini dibina hanya 2 lorong sahaja dan bukannya 4 sebagaimana kelaziman.

Jika anda terlepas reviu jajaran terdahulu SKVE E26, anda boleh membacanya di sini.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini







SKVE menggunakan papan tanda sebegini untuk menunjukkan zon lebuh raya dua lorong






Memasuki zon lebuh raya dua lorong






Melintasi Jalan Banting FT5






Menaiki Jambatan Sungai Langat untuk ke Pulau Carey






Satu-satunya jalan raya bebas tol di Pulau Carey






Keadaan di SKVE E26 Seksyen 3 sangat lengang






Lorong kecemasan lori di pangkal Jambatan Selat Lumut






Menaiki Jambatan Selat Lumut






Pemandangan Selat Lumut dari atas jambatan






Plaza Tol Pulau Indah






Kawasan Rehat dan Rawat Pulau Indah hanya akan mula dibina sebaik sambutan pengguna lebuh raya menggalakkan






SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah






Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah

Wednesday, June 13, 2012

Reviu eksklusif SKVE E26 / SKVE E26 exclusive review

Salam sejahtera,

Seperti yang pernah dijanjikan, Blog Jalan Raya Malaysia kali ini membawakan satu reviu eksklusif Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 khas kepada anda. Pada reviu sebelum ini, saya telah menceritakan serba-sedikit mengenai E26 diikuti beberapa reviu terawal oleh beberapa blogger.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, SKVE E26 merupakan lebuh raya timur-barat kelima di Lembah Klang selepas Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor E25. Lebuh raya sepanjang 52 km ini asalnya dibina oleh kerajaan persekutuan sebagai jalan masuk utama ke Putrajaya dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Exit 2606 Persimpangan SKVE, siap pada tahun 2000. Selepas itu, jajaran seterusnya bagi SKVE terbengkalai selama enam tahun sehinggalah SKVE Hondings Sdn. Bhd. mengambil alih projek berkenaan pada tahun 2006. Jajaran Putrajaya-Saujana Putra (Seksyen 1B) siap pada tahun 2010.

Semalam saya mengambil kesempatan untuk mencuba keseluruhan jajaran SKVE yang sudah dibuka dari Exit 1809/2600 Persimpangan Uniten sehinggalah ke Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Jajaran terawal dari Uniten sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE diuruskan oleh JKR Selangor dan Putrajaya, jadi sebab itulah papan tandanya berwarna biru.

Memandangkan kembara kali ini dilakukan semasa waktu sibuk (rush hour), maka hanya sedikit sahaja gambar yang diambil bagi jajaran percuma ini. Di Exit 1809 Persimpangan Uniten, lebuh raya E26 ini adalah sambungan daripada Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (Silk) E18, maka papan tanda di persimpangan tersebut berwarna hijau. Jajaran SKVE yang diuruskan oleh JKR ini mempunyai dua sistem nombor persimpangan, iaitu sistem pernomboran biasa (digunakan oleh SKVE Holdings) serta sistem pernomboran khusus (digunakan oleh JKR). Sistem pernomboran khusus ini dikira dari satu, tidak seperti sistem pernomboran lebuh raya biasa yang terdiri daripada empat digit (dua digit pertama mengikut kod lebuh raya, manakala dua digit terakhir adalah nombor persimpangan). Misalnya, Exit 1 Persimpangan Hospital Serdang (Timur) boleh disebut sebagai Exit 2601, dan seterusnya sehinggalah Exit 6 Persimpangan SKVE, yang boleh disebut sebagai Exit 2606.

Exit 2606 Persimpangan SKVE adalah persimpangan pertama di dalam kawasan penyelenggaraan SKVE Holdings, sebelum tiba di plaza tol pertama di E26 iaitu Plaza Tol Ayer Hitam (jangan terkeliru dengan Ayer Hitam di Johor). Sebaik melepasi Plaza Tol Ayer Hitam, bilangan lorong berkurangan daripada enam lorong kepada empat lorong.

Dalam entri sebelum ini, salah seorang pembaca iaitu Abdul Aziz A Wahab ada menyebut mengenai selekoh tajam di kolam bekas lombong di Puchong. Walaupun selekoh tersebut memang tajam dan lebih selamat dikenakan had laju 90 km/j, namun saya amat tidak bersetuju dengan had laju 90 km/j yang dikenakan sepanjang lebuh raya ini. Had laju 90 km/j ini terlalu perlahan, sekaligus boleh menyebabkan rasa mengantuk kepada pemandu berikutan pemandangan yang sama sahaja (monotonous). Dengan kata lain, had laju 90 km/j ini sebenarnya lebih berbahaya dan bukannya lebih selamat. Tmbahan pula, jarak antara persimpangan yang jauh menjadikan had laju 90 km/j ini tidak relevan sama sekali. Hanya selekoh tajam di kolam bekas lombong Puchong sahaja yang sesuai (dan sepatutnya) dikenakan had laju sedemikian.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra, yang seterusnya dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6. Sebaik melepasi persimpangan ini, bilangan lorong bertambah semula menjadi enam lorong. SKVE Holdings turut mengambil inisiatif meletakkan papan tanda melarang keras kenderaan berat menggunakan lorong kanan. Langkah ini memang patut dipuji.

Saya sempat melihat Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas, yang saya sifatkan sebagai hentian rehat yang begitu besar, siap dengan tanah rizab yang mencukupi untuk memuatkan dua stesen minyak. Saya cukup suka akan lampu jalan berhias yang digunakan di sini. Memandangkan SKVE Holdings telah melabur besar untuk mendirikan sepasang hentian rehat sebesar ini, maka SKVE Holdings perlulah melakukan promosi besar-besaran untuk menarik peniaga membuka perniagaan mereka di sini, di samping menghidupkan hentian rehat ini dengan pelbagai aktiviti seperti bazar "uptown" sebagaimana di Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukong di Lebuhraya Cheras-Kajang E7, serta pertunjukan kereta berhias di Kawasan Rehat dan Rawat Layang di Lebuhraya Senai-Desaru E22. SKVE turut membina markas utama mereka yang masih belum dihuni lagi di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas arah Putrajaya.

Tidak jauh dari hentian rehat ini terletak Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas yang masih dalam pembinaan, yang seterusnya bakal disambung dengan Lebuhraya Pantai Barat E28 yang masih dalam perancangan. Beberapa reviu terawal SKVE menunjukkan beberapa kesan jalan mendap sepanjang Kilometer 28 - 30 sehingga ada sambungan jambatan yang kurang rata berhampiran Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Namun, SKVE Holdings nampaknya telah bertindak pantas dengan memperbaiki bahagian jalan yang mendap tersebut. Sungguhpun demikian, saya nasihatkan para pemandu agar berhati-hati dan tidak memandu terlalu laju kerana jalan masih agak mendap walaupun sudah berkurangan sedikit. Fenomena ini berikutan jajaran lebuh raya SKVE ini yang dibina di kawasan tanah gambut yang lembut dan mudah mendap. Itulah sebabnya kenapa jajaran Seksyen 2 dari Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra sehingga Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang dibuka lewat setahun daripada jadual, kerana masa yang diambil untuk memadatkan tanah bagi asas lebuh raya adalah lama.

SKVE E26 dibuka sehingga setakat Exit 2609 Telok Panglima Garang, di mana dari sini anda boleh ke Banting atau Klang melalui Jalan Langat FT5. Saya berpatah balik masuk semula ke lebuh raya dan menemui sesuatu yang menarik di jejambat Persimpangan Telok Panglima Garang. Saya dapati jajaran lebuh raya yang belum dibuka itu berubah daripada lebuh raya kembar empat lorong kepada lebuh raya tunggal dua lorong, sama seperti di jajaran Cahaya baru-Bandar Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa SKVE E26 di jajaran tersebut cuma dibina dua lorong sahaja? Tidak ada apa-apa tempat menarik yang dilalui di jajaran terakhir E26 selain daripada Pelabuhan Barat serta ladang kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey. Dengan kata lain, kadar aliran trafik di jajaran ketiga nanti adalah rendah dan sebahagian besar hanya terdiri daripada lori-lori kontena. Namun, kawalan masuk di jajaran berkenaan mestilah dipastikan penuh melalui pembinaan persimpangan bertingkat penuh dengan pengasingan aras di Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey. Simpang tiga biasa tidak boleh dibina sama sekali. Selain itu, simbol lebuh raya bagi jajaran dua lorong itu juga patut mengguna simbol kereta dan bukan simbol lebuh raya biasa, sebagaimana yang saya tekankan dalam isu yang sama di E22.

Saya meneruskan perjalanan saya dan keluar dari SKVE di Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra untuk pulang melalui Lebuhraya Elite E6. Lebuhraya Elite E6 dihubungkan dengan SKVE E26 melalui sebuah bulatan besar yang turut dihubungkan dengan kawasan perumahan Saujana Putra. Dalam pemerhatian saya, saya dapati keadaan di situ tidak semeriah yang disangka. Kawasan perumahan tersebut tidak berapa hidup walaupun dihubungkan terus melalui lebuh raya. Penemuan saya ini sekaligus menangkis dakwaan kononnya pembinaan lebuh raya boleh meningkatkan nilai hartanah sesuatu kawasan perumahan. Siapa yang tahan kalau terpaksa bayar tol setiap hari untuk ke mana-mana sahaja? Memang ada jalan bebas tol, tetapi itu pun sekadar jalan kampung dua lorong yang mengelirukan. Dengan itu, Lebuhraya Damansara-Puchong E11 sebenarnya tidak layak dipanggil lebuh raya ekspres kerana ia sebenarnya cuma sekadar jalan arteri yang asalnya percuma untuk lalu lintas tempatan sebelum ia bertukar menjadi laluan perompak duit penduduk.

Apa pula laluan alternatif yang anda boleh gunakan juga anda tidak mahu membayar tol? Memang ada laluan alternatif yang anda boleh gunakan, iaitu Jalan Dengkil-Banting B18. Untuk menggunakannya dari arah Uniten, keluar dari SKVE di Exit 2606 Persimpangan SKVE menuju ke Dengkil melalui Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan jalan terus sehingga anda tiba di persimpangan searas berlampu isyarat di Dengkil. Persimpangan searas tersebut menghubungkat B18 dengan FT29, maka belok kanan dan terus sehingga ke Banting. Mudah bukan?

Apa pun, syabas dan tahniah kepada SKVE Holdings atas pembukaan Seksyen 2 E26 ini, dan saya amat mengharapkan agar mutu perkhidmatan serta kualiti pembinaan pada jajaran akan datang tidak mengecewakan.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.

(Kemaskini - Jajaran terakhir SKVE E26 kini sudah dibuka! Baca reviu mengenainya di sini.)


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.skveholdings.com/







SKVE bermula dari Exit 1809 Persimpangan Uniten






Exit 2606 Persimpangan SKVE






Plaza Tol Ayer Hitam






Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra






Laluan enam lorong ke Tanjung Dua Belas






Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas






Hentian rehat ini masih belum dibuka






Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas ini masih dalam pembinaan






SKVE Holdings bertindak pantas menangani masalah jalan mendap di sini






Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang






Plaza Tol Telok Panglima Garang






Simpang tiga ke Jalan Langat FT5






Lebuh raya yang belum dibuka ini bertukar daripada lebuh raya empat lorong kepada dua lorong






Plaza Tol SKVE Saujana Putra






Bulatan Saujana Putra menghubungkan SKVE E26 ke Lebuhraya Elite E6

Tuesday, June 5, 2012

Sepintas lalu: SKVE E26 / Overview: SKVE E26

Salam sejahtera,

Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) merupakan sebuah lebuh raya yang merentasi bahagian selatan Lembah Klang seperti Putrajaya dan Cyberjaya sebelum melalui Telok Panglima Garang dekat Banting dan akhir sekali Pulau Indah. Fasa terawal lebuh raya ini siap pada tahun 2000 sebagai laluan masuk utama ke Putrajaya. Ia juga menjadi laluan perintis bagi Lebuhraya Kajang SILK E18 dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Sungai Ramal, Kajang sebelum disambung sehingga ke Mines.

Fasa pertama lebuh raya dikira dari Persimpangan Uniten sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE yang disambungkan ke Lebuhraya Damansara-Puchong E11 dan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29. Kemudian, fasa seterusnya bagi lebuh raya ini terbengkalai selama enam tahun sehinggalah SKVE Holdings Sdn. Bhd. meneruskan projek lebuh raya terbengkalai ini sehinggalah Seksyen 1B dari Exit 2606 Persimpangan SKVE sehingga Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra.

Minggu lalu pada 29 Mei 2012, Seksyen 2 SKVE dari Saujana Putra ke Telok Panglima Garang sudah dibuka kepada lalu lintas. Memandangkan saya belum berkesempatan untuk mengadakan reviu khas SKVE, izinkan saya memetik reviu dari dua bloggers iaitu Abdul Aziz A Wahab dan Zakwan-Nayli. Terima kasih saya ucapkan kepada kedua-dua bloggers ini kerana sudi berkongsi reviu awal untuk tatapan para pembaca.

Menurut Abdul Aziz, Seksyen 2 SKVE sebenarnya lewat setahun daripada jadual. Puncanya? Menurut seorang pengunjung di blog Kelapa Muda yang dipercayai terlibat dalam pembinaan E26 Seksyen 2, jajaran tersebut melalui kawasan tanah gambut yang mudah mendap serta mengambil masa untuk 'dirawat'. Tak apalah, faktor ini sememangnya faktor luar jangka. Yang penting, syarikat konsesi tetap mahu mempersembahkan sebuah lebuh raya yang bermutu tinggi tanpa cacat-cela untuk manfaat semua pengguna jalan raya. Namun, ia tidak bermakna mendapan tidak berlaku langsung, dan ia terbukti apabila didapati sambungan pada penyambung jambatan sebelum Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang tidak rata.

Menurut satu lagi reviu oleh blogger Zakwan-Nayli, keadaan lebuh raya SKVE E26 sangat gelap pada waktu malam kerana tiada lampu jalan. Sebagai sebuah lebuh raya di Lembah Klang, pemasangan lampu jalan amat diperlukan untuk mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada keadaan jalan yang gelap serta banyak kenderaan.

Walaupun saya belum berkesempatan untuk mencuba jajaran E26 Seksyen 2, saya pernah melalui Seksyen 1B dari Saujana Putra ke Putrajaya beberapa kali. Daripada situ, saya mendapati terdapat kelemahan ketiga yang tidak disebut oleh kedua-dua blogger tadi - had laju terlalu rendah. Oleh kerana jarak antara persimpangan bertingkat begitu jauh, maka sepatutnya had laju dinaikkan kepada 110 km/j dan bukannya 90 km/j sebagaimana sekarang. Saya sendiri pun tidak faham apa rasionalnya had laju yang begitu rendah diletakkan sedangkan lebuh raya tersebut tidak sesak, tambahan pula jarak antara persimpangan bertingkat juga jauh.

Jika ada kesempatan, insya-Allah saya sendiri akan membuat reviu menyeluruh mengenai lebuh raya E26 ini serta menemuramah sendiri dengan "orang kuat" SKVE sebagaimana yang pernah saya lakukan pada Lebuhraya Latar E25.

Kredit kepada: Abdul Aziz A Wahab, Kelapa Muda dan Zakwan-Nayli


Kemaskini: Blog Jalan Raya Malaysia telah membuat satu reviu eksklusif di SKVE E26. Sila klik sini untuk membaca reviu eksklusif khas buat anda.



Gambar oleh Abdul Aziz A Wahab



Permukaan jalan yang kurang rata pada ‘joint’ antara tanah dan jambatan.



Lagi ‘joint’ yang kurang rata pada jambatan sebelum susur keluar ke Telok Panglima Garang.



R&R Tanjung Dua Belas. Dijangka meriah apabila WCE siap.



Susur keluar Tanjung Dua Belas ke WCE.
Perkataan yang dikaburkan:
E28 Banting
B18 KLIA
E28 Sabak Bernam



Jejambat susur keluar Tanjung Dua Belas ke WCE yang masih dalam pembinaan.




Gambar oleh Zakwan-Nayli