Sunday, October 28, 2018

Doraemon: Alat pemansuh tol / Doraemon: A gadget to abolish toll



Gambar sekadar hiasan semata-mata


Salam sejahtera,

Untuk entri kali ini, saya bawakan kepada anda sebuah episod yang diilhamkan daripada siri anime Doraemon, siri anime kegemaran kanak-kanak yang pernah disiarkan di saluran televisyen ntv7 sebelum ia dihentikan siarannya oleh ntv7. Dalam siri Doraemon, penonton pastinya mengenali watak Suneo Honekawa, seorang budak bermata sepet dan bermulut muncung yang terkenal kerana keceluparan mulutnya dan suka menunjuk-nunjuk akan kekayaannya.

Namun, dalam entri kali ini pula saya ingin membawakan watak Suneo Honekawa di alam nyata, tidak lain dan tidak bukan Tony Pua, Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan Malaysia. Meskipun Suneo di alam nyata tidaklah sekaya Suneo di alam anime, namun persamaan yang paling ketara antara kedua-dua versi Suneo tersebut ialah keceluparan mulut mereka - dalam kes alam nyata, keceluparan (atau istilah lebih tepat lagi, sembang kencang) yang ditunjukkan sering memakan dirinya balik, khususnya mengenai isu pemansuhan tol lebuh raya ekspres dan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) vs Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).






Cuba perhatikan, apakah persamaan antara kedua-dua video di atas ini...?


Memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia berbicara mengenai isu-isu jalan raya dan lebuh raya, maka sudah tentulah kami mengupas mengenai isu pemansuhan tol, salah satu manifesto Pakatan Harapan yang menjadi antara senjata utama mereka untuk mengalahkan Barisan Nasional yang merupakan parti pemerintah paling lama memegang kuasa selama 61 tahun sehinggalah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Antara yang paling lantang mempolitikkan isu tol sudah tentulah Tony Pua, yang membuat dakwaan pada tahun 2009 kononnya "kos sebenar untuk pengambilalihan lebuh raya daripada konsesi adalah dalam sekitar RM25 bilion". Malah, dalam video YouTube yang disiarkan pada April 2018 sempena kempen PRU-14, dia mendakwa bahawa kononnya kos mengambil alih Lebuhraya Maju E20 (MEX) sepanjang 26 km cumalah 1.32 bilion sahaja, yang diambil bulat-bulat daripada angka kos pembinaannya dan mempertikaikan rasional tempoh konsesi 30 tahun kepada MEX. Serius lawak.




Video propaganda Tony Pua kononnya kos mengambil alih MEX E20 cuma RM1.32 bilion sahaja


Oh, baru saya tahu. Kalau diikutkan logik Tony Pua, para pekerja MEX merupakan hamba abdi yang tidak dibayar gaji mereka dan tiada keluarga untuk disara. Malah, mereka tidak perlu memakai walau seurat benang sekalipun semasa bekerja. Sementara itu, turapan permukaan lebuh raya juga adalah daripada jenis yang sangat kebal daripada bedilan kereta kebal Israel dan tahan beribu-ribu tahun lamanya (macam jalan batu zaman Empayar Rom purba dahulu) dan tidak akan berlubang walau 1 mm sekalipun. Lampu jalan di MEX E20 juga tidak perlu dibayar bil elektriknya kerana menggunakan pelita minyak tanah - nanti sekejap, bukankah harga minyak tanah sekarang lebih mahal daripada diesel...? Di samping itu juga, bekalan air untuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan pula diperoleh dari perigi buta yang dikorek di belakang bangunan R&R yang tidak perlu dibayar bil airnya. Oh ya, bagaimana pula dengan projek MEX 2 E20 yang dipanjangkan 16 km lagi sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)...? Oh, fasa sambungan itu dibina dengan menggunakan Robot Segera yang dipinjam daripada Doraemon secara percuma, manakala jentera-jentera binaan pula menggunakan air kencing sebagai bahan apinya. Sebab itulah Suneo Honekawa...eh silap, Tony Pua mendakwa bahawa kos mengambil alih kesemua lebuh raya ekspres di Malaysia cuma RM25 bilion dan bukannya sekitar RM400 bilion seperti yang didakwa Menteri Kerja Raya sebelum ini, Datuk Seri Fadillah Yusof.




Rupa Robot Segera yang dipinjam daripada Doraemon


Dakwaan yang dikeluarkan oleh Tony Pua itu hanya membuktikan kedangkalan ramai ahli-ahli politik termasuklah Tony Pua sendiri yang cuma pandai bercakap di atas kerusi empuk dan di dalam bilik berhawa dingin semata-mata mahu memancing undi rakyat - tanpa pernah sekali pun menjejakkan kaki sendiri ke pejabat-pejabat syarikat konsesi lebuh raya, apatah lagi ke tapak-tapak projek lebuh raya yang sedang dalam pembinaan. Kalau setakat sembang kencang sahaja tanpa pernah meninjau sendiri operasi lebuh raya ekspres, khinzir pun boleh terbang. Sebab itulah saya sedikit pun tidak mempercayai janji-janji ahli politik yang mendakwa mahu memansuhkan tol, kerana saya tahu dia memang tidak akan mampu melakukannya. Jika berjaya sekalipun, pasti ada harga lain yang terpaksa dibayar oleh rakyat, seperti jalan berlubang tidak diselenggara mahupun pampasan yang terpaksa dibayar menggunakan duit rakyat, dibuktikan daripada apa yang berlaku setelah pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol bermula tengah malam 1 Januari 2018.

Kepada Tony Pua, biar saya sekolahkan anda balik tentang kenapa dakwaan anda kononnya kos pengambilalihan kesemua lebuh raya cuma RM25 bilion itu sebagai dangkal dan tidak berasas. Sebab utama yang paling mudah, baki hutang PLUS Malaysia kepada pihak bank sahaja sudah lebih daripada angka RM25 bilion yang anda dakwa. Ok, mungkin anda persoalkan, kenapa PLUS pinjam RM30 bilion (5 kali ganda kos pembinaan E1 & E2) sedangkan kos pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 cuma RM5.95 bilion (mengikut nilai ringgit tahun 1994)...? Pertama, adakah pada hari pertama beroperasi sahaja PLUS terus dapat untung...? Tidak, mana-mana lebuh raya ekspres akan bermula dengan kerugian selama beberapa tahun sehinggalah melepasi kadar trafik harian purata (ADT) minimum yang membolehkan syarikat konsesi mula mencatatkan keuntungan (break-even). Jadi, soalan yang patut anda tanya ialah berapa tahun dan berapa ADT minimum yang diperlukan untuk melepasi takat break-even. Bukannya main pukul rata mengatakan kononnya "hari-hari banyak kereta lalu, takkan tak untung". Saya pun boleh cakap, "Hari-hari pelanggan datang ke kedai, mustahil ada kedai boleh rugi" kalau logik sedangkal itu yang digunakan. Jadi, jika pengusaha kedai perlu memikirkan berapa ramai pelanggan yang datang membeli barangan dan berapa bayak barang yang dijual sebelum dapat balik modal, sama jugalah seperti syarikat konsesi lebuh raya yang memerlukan berapa banyak kenderaan yang melaluinya sebelum mula untung.

Sesetengah lebuh raya hanya perlu beberapa tahun sahaja untuk mula untung manakala sesetengah yang lain pula sudah lebih sedekad pun masih rugi seperti yang dialami oleh Lebuhraya Kajang SILK E18 yang menanggung kerugian lebih 10 tahun sebelum ia diambil alih oleh Prolintas. Maka, duit pinjaman bank yang bernilai beberapa kali ganda kos pembinaan asal itu penting sebagai modal permulaan operasi lebuh raya untuk bertahan sehingga mula mencatatkan keuntungan.

Kedua, duit pinjaman bank yang bernilai berkali ganda lebih tinggi daripada kos asal pembinaan lebuh raya itu juga penting sebagai modal untuk naik taraf lebuh raya pada masa akan datang. Untuk kes MEX misalnya, duit itulah yang digunakan sebagai modal untuk membina projek MEX2 E20 tanpa perlu meminjam daripada bank lagi. Habis tu takkan nak buat hutang lagi untuk membina MEX2 E20...? Nak panjangkan tempoh konsesi sampai berapa abad lagi...? Juga, perhatikan betul-betul jajaran KL-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2 - sudah berapa kalikah ia dilebarkan daripada sekadar 4 lorong kepada 6 lorong dan seterusnya 8 lorong bagi jajaran Nilai-Seremban...? Sudah berapa kalikah Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban bersalin kulit bermula daripada sekadar hentian sebelah yang hanya ada sebuah stesen minyak Petronas sahaja pada asalnya...? Semuanya daripada duit pinjaman bank tersebut.




Lain kali, jangan percaya akan janji memansuhkan tol oleh mana-mana parti politik kerana terbukti hancing


Justeru kepada Tony Pua, formula matematik yang anda gunakan semasa mengira kos pengambilalihan konsesi lebuh raya yang hanya menggunakan angka-angka kos pembinaan semata-mata sebenarnya tidak lebih daripada sekadar ajaran sesat lagi menyesatkan. Saya sudah sebut banyak kali sebelum ini dan saya ulang sekali lagi kali ini. Untuk mengambil alih syarikat konsesi, anda bukan sahaja perlu bayar kos pembinaan lebuh raya, malah anda perlu membayar pampasan kepada pekerja & peniaga gerai hentian rehat yang hilang mata pencarian mereka, di samping menanggung baki hutang syarikat konsesi yang masih belum dilangsaikan. Capische...? Sebaiknya, anda tanya sendiri Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenapa beliau sendiri menolak sebarang manifesto memansuhkan tol - kerana majoriti lebuh raya ekspres dibina semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat, jadi beliau tahu manifesto sebegitu memang tidak mampu ditunaikan.




Adakah semudah itu untuk memujuk Tun Dr. Mahathir yang lebih dahulu makan garam dalam hal lebuh raya ekspres menerima idea anda untuk memansuhkan tol itu...?




Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pegawai khas menteri

Friday, October 26, 2018

Teksi vs Grab: Kenapa rakyat Malaysia enggan naik teksi lagi / Taxicabs vs Grab: Why Malaysians refuse to board taxicabs again



Tak perlulah salahkan orang lain atas kegagalan yang berpunca daripada salah sendiri


Salam sejahtera,

Sejak akhir-akhir ini isu pemandu teksi begitu hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi susulan insiden 10 orang pemandu teksi Langkawi bersikap biadab dan melemparkan kata-kata kesat seperti "Kencing...!!!" terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi semasa pertemuan khas dengan para pengusaha teksi di situ. Pertemuan tersebut diadakan bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut yang dihadapi para pengusaha teksi Langkawi yang mendakwa mata pencarian mereka terjejas terlalu teruk bahana kewujudan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab. Kenapa Grab dipersalahkan...? Mudah sahaja - kerana para pengguna sistem pengangkutan awam majoritinya lebih gemar menggunakan Grab berbanding teksi, malah jika disebut perkataan "teksi" sahaja pun mereka merasa jelek dan meluat.




Kalau di hadapan Perdana Menteri pun boleh berperangai biadab dan kurang ajar, dengan pelanggan apatah lagi




Mahukah anda menaiki teksi jika pemandunya berlagak samseng seperti ini...?


Kenapa orang awam amat membenci perkhidmatan teksi sehingga ke tahap amat mengalu-alukan perkhidmatan teksi mengalami kepupusan...? Semuanya disebabkan reputasi teksi Malaysia yang dinobatkan sebagai perkhidmatan teksi paling teruk di dunia. Bukan saya kata, tetapi maklumat tersebut dihimpunkan oleh laman portal perkhidmatan teksi British LondonCabs.co.uk. Menurut laman portal tersebut, pemandu teksi Malaysia termasyhur kerana suka mengenakan tambang mencekik darah tahap Yahudi Israel, enggan menggunakan meter, suka melencong daripada laluan sepatutnya (supaya dapat mengenakan tambang tahap Yahudi Israel hasil perbatuan lebih yang direkodkan pada meter), berperangai biadab, enggan mengambil pelanggan, memilih pelanggan, enggan menghantar pelanggan melalui kawasan sesak, keadaan teksi yang daif, kotor, berbau busuk dan asyik rosak. Paling teruk apabila ada pemandu teksi yang menunjukkan perangai samseng apabila mereka menyerang pemandu Grab (dan sebelum ini,Uber) dan merosakkan kereta mereka.




Kompilasi 10 sebab kenapa pengguna tidak suka menaiki teksi
(klik untuk besarkan)


Bagaimana pula dengan khidmat e-panggilan seperti Grab...? Sungguh mudah, dengan menggunakan aplikasi Grab, anda hanya perlu hidupkan tetapan lokasi, tetapkan destinasi yang dituju, dan buat pembetulan lokasi anda berada sekiranya lokasi anda berada yang dipaparkan adalah tersasar berbanding lokasi sebenar. Seterusnya, aplikasi akan mengira jumlah tambang yang perlu dibayar mengikut kadar tambang dan juga jarak yang dilalui. Sekiranya anda setuju dengan tambang yang dipaparkan, klik butang Tempah. Pemandu Grab yang ada berhampiran akan menjawab dan seterusnya datang mengambil anda. Sebaik sahaja tiba, bayar mengikut tambang yang dipaparkan oleh aplikasi Grab.




Aplikasi Grab memudahkan penggunanya memanggil pemandu, mengetahui kadar tambang dengan telus dan memberi penarafan kepada pemandu - sebab itulah tambang Grab murah dan yang paling penting, pemandunya bersopan-santun


Kenapa lebih ramai pengguna menggunakan app e-panggilan seperti Grab...? Selain struktur tambang yang lebih murah, lebih telus dan lebih adil, rata-rata pemandu Grab juga sangat bersopan-santun dan berbudi bahasa. Ini kerana sebarang komplen daripada pengguna yang mendakwa seseorang pemandu Grab itu biadab boleh mengakibatkan pemandu itu bakal hilang pekerjaannya. Maka, pemandu Grab tiada pilihan selain menjaga kelakuan mereka di hadapan penumpang. Di samping itu juga, kereta yang digunakan oleh pemandu Grab rata-ratanya kenderaan baru yang cantik dan bersih.

Mungkin ada di kalangan pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang merupakan pemandu teksi berasa meradang apabila membaca entri ini dan mengatakan saya menyebelahi pemandu Grab. Untuk berlaku adil, saya ceritakan serba sedikit pengalaman saya ketika menggunakan teksi. Semasa tahun-tahun terawal saya tinggal di Batu Caves, memang saya ada beberapa kali menggunakan teksi, tetapi sangat jarang - itu pun kerana kerosakan kenderaan sama ada motosikal atau kereta. Sepanjang hanya beberapa kali saya menggunakan teksi, alhamdulillah boleh dikatakan dalam hampir kesemua pemandu yang saya dapat itu rata-ratanya bersopan-santun, sentiasa senyum, tiada marah-marah, tiada membuat hal, menggunakan meter dan tidak mengenakan tambang mencekik darah. 

Saya percaya pasti anda semua menganggap pengalaman saya ketika menaiki teksi itu satu bentuk keajaiban, tetapi memang itulah yang berlaku. Namun, itu semua memang benar berlaku sekitar tahun 2011-2013 tatkala aplikasi e-panggilan masih belum wujud lagi. Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya. Namun, dalam era di mana masyarakat sekarang sudah menolak cara konvensional menahan teksi, saya percaya ramai di antara pemandu teksi yang pernah membawa saya dahulu itu sudah berhenti memandu teksi. Malah, pemandu teksi di kawasan perumahan saya pun boleh dikatakan sudah pupus sekarang. Sebab apa...? Semuanya disebabkan masih ramai pemandu teksi lain yang masih tidak mengubah perangai buruk mereka - tambang cekik darah, perangai biadab, enggan mengambil penumpang, tidak guna meter, suka melencong, teksi kotor, berbau busuk dan sering rosak. Kepada golongan yang enggan membuang tabiat lama mereka, bagaimana anda mengharapkan kami kembali menggunakan teksi jika anda masih lagi meneruskan segala tabiat buruk yang menyebabkan para pemandu teksi dicemuh dan dijauhi masyarakat...?




Siapa sebenarnya yang lebih zionis daripada Yahudi Israel...?




Jika perangai seperti ini yang ditunjukkan ramai pemandu teksi, jangan hairanlah jika anda hilang pelanggan.


Kepada para pemandu teksi sekalian, anda seharusnya sedar bahawa anda sekarang sedang berada dalam industri perkhidmatan di mana rajanya ialah pelanggan anda dan bukannya anda. Sikap sombong tidak seharusnya ada kerana pelanggan berhak memilih perkhidmatan mana yang paling memuaskan untuk mereka. Jadi, tunjukkanlah khidmat terbaik anda kepada mereka. Nampak sahaja kelibat penumpang, terus ambil tanpa banyak soal. Jika pelanggan anda mahu ke tengah-tengah pusat bandar raya tatkala waktu gegas, pergi sahaja tanpa banyak soal. Jika ada meter, gunakan untuk meyakinkan pelanggan bahawa anda tidak menipu mereka. Pastikan teksi anda sentiasa dicuci dan disembur pewangi kerana anda memandu teksi dan bukannya lori sampah. Paling penting, sentiasa murah senyuman ketika dengan pelanggan kerana pelanggan yang berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan anda pasti akan datang mencari anda lagi dan lagi. Itu sahajalah cara untuk memulihkan kembali keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan teksi, bukannya mendesak pengharaman aplikasi e-panggilan tatkala perkhidmatan yang anda tunjukkan itu sendiri teruk.

Serius saya katakan, saya sebenarnya berasa kasihan melihat sebilangan pemandu teksi yang berkelakuan baik, jujur dan tidak "membuat tahi" seperti ramai pemandu yang lain, tetapi perangai buruk yang dipamerkan pemandu lain itu menyebabkan pemandu yang bagus pun turut merasa kesannya. Namun, apa boleh buat. Krisis yang dihadapi pemandu sekarang bukanlah krisis "siapa rampas pelanggan siapa", tetapi lebih kepada krisis keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan teksi yang kini sudah lenyap. Justeru, daripada anda sibuk hendak membelasah pemandu Uber dan merosakkan kereta mereka, lebih anda berusaha untuk memulihkan kembali keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan teksi.

Thursday, October 25, 2018

FTRoadpedia Sarawak Finale: Senarai hajat - Jalan Pintasan Brunei / Wishlist - Brunei Bypass



Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, salah satu daripada 9 pos imigresen yang terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan dari Miri ke Sindumin


Salam sejahtera,

Menutup siri entri FTRoadpedia Sarawak ialah entri Senarai Hajat mengenai cadangan sebatang jalan raya baharu yang bakal memintas Brunei Darussalam. Cadangan tersebut timbul kerana kesulitan untuk melintasi 9 pos imigresen semata-mata hendak memandu dari Miri ke Sindumin di Sarawak. Apa tidaknya, daerah Limbang diapit oleh dua bahagian Brunei Darussalam, manakala Brunei Darussalam itu pula diapit oleh daerah Miri dan Lawas. Macam kek lapis Sarawak. Kenapa boleh jadi begitu...?




Sebut tentang kek lapis Sarawak, saya sempat membeli beberapa biji kek lapis Sarawak di kedai kek lapis Sarawak Siti Payung yang terkenal di Miri


Untuk mengetahui kenapa daerah Limbang dan Lawas boleh terkepung sehinggakan hendak ke Limbang atau Lawas adalah ibarat hendak memasuki daerah lain sedangkan kedua-duanya masih dalam negeri Sarawak, kita perlu mengetahui sejarah Sarawak terlebih dahulu. Asalnya pada zaman dahulu, Sarawak merupakan sebahagian jajahan takluk Brunei Darussalam, bersama-sama dengan bahagian barat Sabah. Kesultanan Sarawak yang merupakan sebuah negeri di bawah naungan Brunei wujud dari tahun 1599 hingga 1641 semasa mangkatnya satu-satunya Sultan Sarawak, Sultan Tengah Manga kerana dibunuh. Pada masa itu, Sarawak hanya merujuk kepada kawasan lembangan Sungai Sarawak, atau lebih tepat lagi, Bahagian Kuching sekarang. Sultan Tengah merupakan putera kepada Sultan Brunei sebelum pembentukan negeri Sarawak. Setelah mangkatnya Sultan Tengah, Sarawak kembali sebagai jajahan takluk Brunei.

Negeri Sarawak moden yang kita kenali sekarang wujud pada tahun 1841 semasa kedatangan seorang pelayar British bernama James Brooke. Pada masa itu, kerajaan Brunei Darussalam sedang mengalami keadaan huru-hara akibat pemberontakan dan perebutan kuasa susulan penemuan bijih antimoni di kawasan Kuching. Setelah Brooke berjaya menghentikan pemberontakan dan keadaan huru-hara di situ, Sultan Brunei memajakkan kawasan Kuching kepada Brooke. Bermula daripada hanya kawasan Kuching, semakin lama semakin banyak jajahan yang dipajakkan kepada Brooke sehingga merangkumi seluruh negeri Sarawak yang kita kenali sekarang. Bagi pentadbiran negeri Sarawak, James Brooke mewujudkan satu sistem ketua kerajaan yang diwarisi secara monarki yang kita kenali sebagai Raja Putih Sarawak.




Sistem jalan raya sedia ada memerlukan anda melimpasi Brunei meskipun sekadar hendak ke Limbang dari Miri


Disebabkan struktur geografi dan politik Sarawak dan Brunei, maka Lebuhraya Pan Borneo yang mula dirancang pembinaannya pada tahun 1965 terpaksa merentas Brunei Darussalam, dan juga terpaksa merentas sebegitu banyak pos imigresen. Penderitaan sama terpaksa dihadapi rakyat Brunei yang tinggal di Daerah Temburong apabila hendak ke daerah lain di Brunei terutamanya Daerah Brunei dan Muara yang menempatkan Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei.

Sehubungan dengan itu, maka kedua-dua kerajaan Brunei dan Sarawak merancang untuk membina jalan pintasan bagi menghubungkan antara wilayah masing-masing. Brunei sedang membina Jambatan Temburong sepanjang 30 km merentasi Teluk Brunei bagi menghubungkan Daerah Temburong dengan Bandar Seri Begawan, dengan kos keseluruhan BND1.6 bilion. Jambatan Temburong dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2019.

Sementara itu, Malaysia pula merancang untuk membina Jalan Pintasan Brunei yang pastinya jauh lebih panjang. Rancangan pembinaan jalan pintasan tersebut mula disuarakan seawal dekad 1980an lagi. Malah, cadangan laluannya turut dimasukkan dalam atlas terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.) semasa zaman persekolahan saya dahulu. Cadangan Jalan Pintasan Brunei ini akan bermula di Long Lopeng melalui Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FQC1 ke Ba' Kelalan dan Bario sebelum ke Long Seridan dan seterusnya ke Long Lama dan Marudi sebelum berakhir di Jalan Bintulu-Miri FQA1. Untuk ke Limbang pula, satu laluan cabang boleh dibina dari Jalan Pintasan Brunei ke Limbang melalui Nanga Medamit. Apa pun, kita tunggu sahaja sehinggalah jajaran sebenar dimuktamadkan oleh JKR Sarawak.

Kenapa Jalan Pintasan Brunei ini sangat penting...? Pertama, tidak semua penduduk di Bahagian Limbang yang memiliki pasport, khususnya yang tinggal di pedalaman. Maka, sudah tentulah pesakit dari kawasan pedalaman seperti Ba' Kelalan berdepan masalah kerenah birokrasi di sempadan. 

Kedua, Jalan Pintasan Brunei dapat memberikan akses kepada pengangkutan jalan raya yang berkualiti buat penduduk pedalaman. Memang ada jalan yang dibina di bawak Projek Jiwa Murni seperti di Ba' Kelalan dan Marudi, tetapi kualiti jalan yang terhasil sangat teruk. Sebab apa...? Sebab jalan raya Projek Jiwa Murni tidak dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi sekadar dibina dengan cara sama seperti pembinaan jalan kampung iaitu sekadar rawatan permukaan sebelum dihamparkan dengan lapisan asas kerikil dan aspal yang nipis, itu sahaja. Sebab itulah jalan yang terhasil cepat rosak kerana tidak mampu menampung beban trafik yang tinggi. Jika dibandingkan, sekiranya Jalan Pintasan Brunei dibina sebagai jalan super two di bawah piawaian JKR R5, ia boleh tahan muatan kenderaan berat, boleh menampung sehingga 100,000 kenderaan sehari serta selamat dipandu sehingga had laju reka bentuk 100 km/j.

Ketiga, beberapa buah petempatan di pedalaman seperti Ba' Kelalan dan Bario terletak begitu hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia. Maka, sudah tentulah kawasan-kawasan tersebut terdedah dengan ancaman kegiatan yang melanggar undang-undang seperti penyeludupan dsb. Sebelum ini kita sudah pun menyaksikan bagaimana pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 membantu menghalang kegiatan pengganas komunis yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand, dengan mempercepatkan pergerakan pasukan keselamatan. Atas sebab yang sama juga, kerajaan Indonesia kini giat melaksanakan pembinaan Jalan Lintas Kalimantan Poros Utara yang juga dikenali sebagai Jalan Lintas Perbatasan. Justeru, kerajaan perlu meneruskan pembinaan Jalan Pintasan Brunei bagi melindungi penduduk pedalaman daripada ancaman keselamatan.

Yang terakhir, Jalan Pintasan Brunei diharapkan dapat menyerlahkan potensi ekonomi di pedalaman. Misalnya, Bario amat dikenali kerana meskipun terletak di tanah tinggi di pedalaman, namun ia sangat dikenali kerana berasnya yang sangat enak dan sangat wangi. Namun demikian, disebabkan tiada laluan darat untuk memasarkan hasil pertanian Bario, harga beras Bario menjadi sangat mahal sehingga mencecah hampir RM40 untuk beras putih seberat 3.5 km. Maka, adalah amat diharapkan agar Jalan Pintasan Brunei nanti dapat membantu mengembangkan potensi Bario sebagai jelapang padi bukit Sarawak.




Jalan Pintasan Brunei mampu menyerlahkan potensi Bario sebagai kawasan jelapang padi bukit Sarawak


Namun demikian, tidak semua pihak yang bersetuju akan cadangan pembinaan Jalan Pintasan Brunei ini. Tatkala Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan pendahulunya, Datuk Seri Fadillah Yusof memperjuangkan pembinaan jalan ini, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum pula menentang cadangan pembinaannya atas alasan kos yang tinggi serta jalan sedia ada itu sebenarnya lebih menjimatkan masa. Namun, antara kemaslahatan pihak yang ramai dengan keselesaan segelintir pihak sahaja, yang mana lebih penting...? Adakah penduduk Ba' Kelalan, Bario, Long Lama dan Marudi itu sebegitu kaya dan mampu menaiki kapal terbang setiap hari semata-mata untuk memasarkan hasil pertanian mereka...? Sedangkan saya yang merupakan orang bandar pun berasa perit hendak melaburkan wang untuk membeli tiket kapal terbang, apatah lagi penduduk Ba' Kelalan, Bario, Marudi dan Long Lama.

Pesan saya kepada Datuk Henry Sum, cuba hayati denyut nadi rakyat dan jangan hanya pentingkan diri sendiri sahaja. Orang-orang Ba' Kelalan tidak sekaya Datuk, tetapi mereka tetap berkeupayaan untuk menumbangkan wakil rakyat yang mengkhianati sokongan mereka.

Siri FTRoadpedia Sarawak berakhir di sini. Seperti dijanjikan, saya akan sambung semula siri reviu FTRoadpedia edisi lepas yang masih belum siap seperti FTRoadpedia Lekir, FRoadpedia Zon Selatan dan FTRoadpedia Zon Utara.