Thursday, March 12, 2015

Prosedur betul bagi melaporkan kerosakan jalan melalui Twitter / The correct procedures to report road damages via Twitter

Salam sejahtera,

Sejak Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memperkenalkan dasar memperkasakan penggunaan media baharu di kalangan agensi-agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), pengguna jalan raya kini mempunyai lebih banyak saluran untuk mengemukakan aduan kerosakan jalan raya. Jika sebelum ini pengguna perlu menelefon atau pergi sendiri ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat aduan kerosakan jalan, JKR memperluaskan saluran aduan kerosakan melalui platform SMS dan seterusnya diperluaskan kepada penggunaan Facebook dan Twitter.

Untuk mengemukakan aduan kerosakan jalan melalui SMS, ada dua saluran untuk mengemukakan kerosakan jalan:-
  1. 32728 (DAPAT) - Taipkan JKR [aduan anda] dan hantarkan ke 32728
    Contoh: Jika hendak melaporkan aduan jalan berlubang di KM3, Persiaran Senawang 1 FT242, taipkan JKR Jln b'lubang di KM3 P'siaran Senawang 1 FT242 dan hantarkan ke 32728
  2. 15888 (mySMS) - Taipkan JKR ADUAN [aduan anda] dan hantarkan ke 15888
    Contoh: Bagi aduan yang sama, taipkan JKR ADUAN Jln b'lubang di KM3 P'siaran Senawang 1 FT242 dan hantarkan ke 15888

Bagi kedua-dua saluran, saya sengaja menggunakan Persiaran Senawang 1 FT242 sebagai contoh semata-mata bagi memudahkan anda.

Sementara itu, saya pula lebih suka menggunakan Facebook dan Twitter untuk mengemukakan aduan kerosakan jalan kerana ia lebih mudah untuk dilakukan, di samping maklum balas segera oleh JKR. Ia dibuktikan hasil pengalaman saya sendiri menggunakan kedua-dua saluran tersebut, yang menunjukkan bahawa aduan melalui media sosial sememangnya paling berkesan. Sebab itulah Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa setiap JKR negeri dan daerah agar membuka akaun Facebook masing-masing untuk memudahkan urusan orang awam mengemukakan aduan jalan. Mengenai aduan jalan melalui Twitter pula, setiap aduan dipantau sendiri oleh Datuk Seri Fadillah sendiri bagi memastikan setiap aduan melalui Twitter diambil tindakan pembetulan dengan segera.

Sungguhpun demikian, masih ramai yang tidak berpuas hati apabila aduan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya. Namun, sebelum anda menyerang dan memaki-hamun JKR, ada baiknya anda tanya dahulu diri anda - adakah butiran aduan jalan anda cukup lengkap dan terperinci...? Adakah anda menjaga adab sopan dan budi bahasa semasa hendak mengemukakan aduan...? Walaupun saya akui ada kalanya terdapat segelintir pejabat JKR daerah yang memang lambat memberi maklum balas serta lambat bertindak, namun sepanjang pemerhatian saya, saya dapati terdapat dua punca utama kenapa segelintir aduan jalan tidak mendapat maklum balas yang memuaskan, iaitu perincian lokasi kerosakan jalan yang tidak lengkap dan tidak menjaga adab serta tatasusila semasa membuat aduan.

Kesalahan nombor satu yang sering dilakukan oleh para pengadu jalan rosak ialah sekadar memberi nama jalan semata-mata tanpa kod laluan, tanpa perincian KM berapa, dan, jika tidak tahu KM berapa pun, tanpa sebarang mercu tanda berhampiran bagi menjelaskan lokasi kerosakan jalan. Misalnya, jika anda hendak mengemukakan aduan jalan utama rosak dekat Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, anda tidak boleh sekadar menulis aduan anda sebagai "Jalan utama ke Gemas berlubang, sila baiki". Haa...? Jalan yang mana satu...? Kalau memang itu sahaja jalan raya yang ada di situ, di KM berapa ia berlubang...? 

Ramai pengadu kerosakan jalan yang memandang enteng akan keperluan penggunaan kod laluan semasa membuat aduan, atas alasan "mereka cuma orang kampung dan bukannya pekerja JKR pun hendak kena belajar kod laluan". Tanggapan sebegini ternyata sangat semberono lagi dangkal sama sekali. Mereka seharusnya sedar bahawa kebanyakan pekerja JKR di setiap daerah bukanlah terdiri daripada orang asal di situ. Seperti mana kebanyakan penjawat awam yang lain, mereka berkhidmat jauh dari kampung halaman masing-masing. Jika si penerima aduan di pejabat JKR daerah itu orang baharu di situ, maka sudah tentulah dia belum mahir akan selok-belok jalan raya di situ - lainlah kalau sudah lama berkhidmat di situ. Tambahan pula, nama jalan sahaja semata-mata merupakan maklumat yang sangat kabur kerana ada banyak jalan di Malaysia yang berkongsi nama jalan yang sama. Misalnya, Jalan Tun Razak bukan sahaja merujuk kepada jalan lingkaran di Kuala Lumpur; ia juga boleh jadi jalan di Klang (jalan masuk ke Taman Sri Andalas, Klang dari Jalan Langat FT5), di Ipoh (Jalan Negeri Perak A1), di Melaka (dahulunya merujuk kepada jajaran Lebuh AMJ FT19 dari Semabok ke Malim Jaya, kini ia dikitar semula sebagai nama baharu bagi Lebuh Ayer Keroh FT143) mahupun di Johor Bahru (sebahagian Lebuhraya Skudai FT1). Sebab itulah amat mustahak untuk belajar menggunakan kod laluan, kerana kod laluan memudahkan proses aduan kerosakan jalan dikemukakan dan diambil tindakan baik pulih, malah ia juga sangat membantu pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka. Justeru, saya ingin menyeru kepada semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia agar memanfaatkan kesempatan meminati Blog Jalan Raya Malaysia dengan belajar menggunakan kod laluan.




Ambil nombor hitam di bahagian bawah batu penanda kilometer sebagai angka kilometer jalan, bukannya nombor putih di dalam latar biru


Jadi di mana hendak mendapatkan maklumat mengenai kod laluan serta di KM berapakah lokasi jalan yang rosak itu...? Cara terbaik untuk memperoleh kedua-dua maklumat tersebut adalah pada batu penanda kilometer. Kod laluan ditandakan di dalam jata laluan berupa heksagon kuning pada bahagian atas batu penanda kilometer. Bagi maklumat mengenai KM berapa, gunakan nombor berwarna hitam pada bahagian paling bawah batu penanda kilometer - jangan gunakan nombor putih di dalam latar biru kerana nombor tersebut merujuk kepada jarak ke bandar utama yang ditandakan dan bukannya kilometer jalan. Jika jenis penanda kilometer yang digunakan adalah dari jenis yang menyerupai penanda kilometer lebuh raya ekspres seperti pada Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (KL MRR2) FT28, lagilah senang kerja anda.

Jadi sekarang dah tahu di mana hendak mendapatkan kedua-dua maklumat paling penting kan...? Bagus. Kalau tak ada penanda kilometer, apa yang patut dilakukan...? Hanya maklumkan mercu tanda utama yang paling hampir dengan lokasi kerosakan jalan. Maka, bagi contoh Felda Sungai Kelamah yang saya beri di atas tadi, aduan yang sepatutnya anda tulis ialah "Terdapat lubang di KM219 Jalan Gemas-Tampin FT1 dekat Jambatan Sungai Kelamah". Bukankah cara penulisan sebegini lebih ringkas dan lebih memudahkan...? Untuk membolehkan JKR mengecam lokasi kerosakan jalan dengan lebih mudah, anda dinasihatkan supaya mengambil gambar jalan rosak dan menyertakannya dalam aduan anda. Macam ini barulah aduan anda mendapat respon segera oleh JKR...!!! Seterusnya anda hanya perlu menunggu maklum balas daripada JKR dengan penuh sabar, kerana mereka perlu menjaga puluhan ribu km jalan persekutuan dan ratusan ribu km jalan negeri di seluruh Malaysia.

Ini contoh aduan kerosakan jalan melalui Facebook:-




Yang ini pula contoh aduan dahan pokok tumbang melalui Twitter:-






Sepanjang pengalaman saya membuat aduan melalui Twitter, tindakan paling pantas yang diambil oleh JKR adalah dalam masa sehari (hari ini buat aduan, esoknya sudah dibaiki):-










Bagi memastikan setiap aduan kerosakan jalan raya ditangani dengan sebaiknya, perlu ada kerjasama rapat antara JKR dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita tidak mahu kerenah birokrasi yang menyebabkan pengadu jalan rosak ditendang seperti bola setiap kali aduan kerosakan jalan dikemukakan. Itulah yang sering dialami oleh kumpulan motosikal Brotherhood yang sering mendakwa mereka ditendang ibarat bola setiap kali mengemukakan aduan jalan raya rosak kepada PBT, menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka sehinggakan mereka terpaksa membaiki sendiri jalan yang berlubang. Justeru, PBT mahupun JKR perlulah ada integrasi serta saling bekerjasama dan menerima semua jenis aduan kerosakan jalan tidak kira jalan perbandaran (bidang kuasa PBT), jalan persekutuan mahupun jalan negeri (bidang kuasa JKR), agar pengadu tidak lagi ditendang seperti bola akibat kerenah birokrasi yang muncul apabila pengadu mengemukakan aduan jalan rosak yang bukan dalam bidang kuasa agensi terbabit.

No comments:

Post a Comment