Thursday, December 15, 2011

Sejarah awal Lebuhraya Karak FT2 / Karak Expressway FT2 early history

Salam sejahtera,

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Kali ini saya mahu membawakan sesuatu yang menarik yang sukar diperolehi dari mana-mana sumber sejarah, iaitu berkenaan pembukaan Lebuhraya Karak FT2 pada 7 Januari 1978. Terima kasih kepada Blues Riders kerana memberikan satu informasi menarik untuk dikongsi bersama.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Lebuhraya Karak asalnya merupakan lebuh raya dua lorong bertol dengan kawalan masuk separa, lebih kurang sama seperti jalan raya biasa. Namun, kos pembinaan lebuh raya tersebut dianggap tinggi tatkala Malaysia masih lagi sebuah negara pertanian dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang agak rendah. Ia ditambah lagi dengan pembinaan Terowong Genting Sempah yang merupakan terowong jalan raya pertama di Malaysia. Itulah sebabnya Lebuhraya Karak dikenakan tol walaupun ia sekadar jalan raya 2 lorong biasa.

Pada pertengahan 1990an, Lebuhraya Karak dinaik taraf dengan membina satu lagi laluan bersebelahan di samping membina beberapa persimpangan bertingkat untuk menjadikannya sebuah lebuh raya ekspres penuh dengan kawalan masuk penuh berbanding dahulu. Lebuhraya Karak kini diberikan kod laluan E8 yang juga dikongsi dengan Lebuhraya Pantai Timur yang dibina beberapa tahun kemudian. Kedua-dua lebuh raya itu diselenggara oleh MTD Prime.

Tanpa membuang masa, kita saksikan dulu catatan sejarah pembinaan Lebuhraya Karak KT2 ini.


Mungkin ramai di antara pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak yang sering melalui terowong ini tanpa mengetahui kisah sejarahnya. Marilah kita imbau kembali kenangan kira-kira 33 tahun yang lalu mengenai terowong yang pernah mencatat sejarah sebagai sebuah terowong lebuh raya pertama di Malaysia.


Pembukaan terowong dan sebahagian lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak ini kepada lalu lintas telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam pada 07.01.1978 tatkala Bro Alan yang tinggal di Bentong masih belum lagi dilahirkan ke dunia ini.


Terowong jalan raya yang pertama di Malaysia ini terletak di genting Sempah, panjangnya kira-kira 3 000 kaki, ditebuk di tengah-tengah bukit dan hutan yang melintasi sempada negeri Selangor dan negeri Pahang berdekatan dengan persimpangan jalan lama ke Genting Highlands. Tingginya ialah kira-kira 2 000 kaki dari paras laut.

Tinggi terowong ialah 26 kaki dan lebarnya 32 kaki. Di sepanjang terowong diterangi oleh lampu-lampu berwarna merah muda dan sekiranya bekalan elektrik terputus, stanby generator akan bertugas secara otomatik.


YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam sedang melihat sendiri Bilik Gerakan pemantauan terowong.


Para pengguna terowong ini tidak akan menghirup udara yang beracun seperti gas carbon monoxide atau gas-gas kotor yang lain kerana satu sistem di mana udara bersih dimasukkan ke dalam dan udara kotor dikeluarkan ada disediakan.


Selain dari itu, sistem mencegah dan memadam kebakaran juga dilengkapkan. Perkhidmatan telefon dan lain-lain kemudahan juga disediakan. Tanda-tanda isyarat lalu lintas dan kawalan yang cukup di dalam terowong disediakan dan sebagai tambahan sebuah sistem kawalan melalui televisyen (CCTV) telah dipasang dengan menggunakan dua buah kemera.

Telefon darurat untuk menghubungi pengawal-pengawal terowong juga turut disediakan. Kakitangan JKR bertugas secara 24 jam di bangunan terowong itu dan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau kebakaran, pengguna-pengguna terowong adalah diminta menghubungi mereka dengan menggunakan telefon-telefon yang disediakan di sepanjang terowong itu.


Dengan terbukanya terowong lebuh raya ini yang serba indah dan lengkap di Batu 23 jalan Kuala Lumpur - Bentong dan sebahagian jalan baharu, maka pengguna-pengguna jalan raya dari Batu 11 (Mimaland) hingga ke Batu 28, akan mengalami dan merasai satu perubahan yang sungguh selesa dan menyenangkan.

Mereka tidak lagi mengikuti jalan yang berbengkang-bengkok, tidak lagi menemui selekoh-selekoh yang merbahaya, pendeknya tidak lagi melalui jalan yang berliku atau berkelok-kelok.

Jalan raya dari Batu 11 dan Batu 28 dengan terowong yang terpanjang terletak di Batu 23, Genting Sempah, merupakan sebahagian dari rancangan kerajaan meningkatkan keadaan jalan raya di antara Kuala Lumpur dengan Karak.


Sebahagian daripada lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak yang telah dibuka kepada pengguna jalan raya.


Projek lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini bermula di Batu 3, Jalan Pahang Kuala Lumpur hinggalah ke batu 54 di pekan Karak. Sungguhpun jarak lebuh raya baharu ini hanya dapat dikurangkan sejauh tujuh batu sahaja, namun perjalanan di lebuh raya baharu ini akan dapat dikurangkan sebanyak 45 minit dan dalam keadaan yang lebih selamat dan lebih selesa.

Pembukaan jalan dari Batu 11 hingga ke Batu 28 yang termasuk di dalam rancangan Seksyen 1, 2 dan 3 kini telah memendekkan jarak perjalanan kira-kira 41/2 batu dan masa perjalanan dapat dikurangkan kira-kira 25 minit.

Bagaimanapun, kerana jalan raya itu ditebuk dan dibina di tengah-tengah bukit dan hutan belantara tebal, maka tentulah terdapat juga sedikit selekoh yang tajam dan pendakian bukit yang curam. Namun demikian jumlah selekoh dan pendakian yang begini telah dapat diminimumkan.

Tanda-tanda jalan, jalur pemisahan, kerlipan batu-batu isyarat di malam hari dan lain-lain tanda disediakan dengan secukupnya untuk memberi amaran kepada pemandu-pemandu. Lorong tambahan ada disediakan ketika mendaki bukit-bukit yang tinggi.


Pintu masuk terowong dari Negeri Pahang ke Kuala Lumpur. Kelihatan juga sebuah bas berwarna putih itu yang jika di zoom, jelas tertulis perkataan "Mara Ekspress".


Dengan keadaan ini maka para pengguna akan dapat memandu dengan lebih selesa, lebih cepat dan lebih selamat pada kelajuan 40 hingga 50 batu sejam.

Pemandu-pemandu kenderaan berat adalah dinasihatkan supaya mematuhi isyarat-isyarat lorong mendaki dan terus menggunakan lorong mendaki tambahan dengan seberapa segera dan pengguna-pengguna jalan yang lain haruslah berjaga-jaga sewaktu melalui tanda-tanda ini kerana kemungkinan pemandu-pemandu kenderaan berat akan mengambil semula lorong biasa mereka apabila saja mereka selesai menggunakan lorong tambahan tadi. Oleh itu, memotong pada tempat-tempat ini adalah tidak digalakkan dan merbahaya.

Tegasnya, lebuh raya ini telah dibina dengan mutu kejuruteraan dan keselamatan yang paling tinggi dan sebarang cubaan untuk mencemar mutu ini adalah salah dari segi moral dan salah di sisi undang-undang. hehe..


Jumlah perbelanjaan keseluruhan projek ini adalah dianggarkan sebanyak $160 juta. Ini tremasuklah kos pembinaan, pengambilan balik tanah dan sebagainya.

Fasa pertama projek ini mengandungi Seksyen 1, 2 dan 3. Seksyen 1 bermula di Batu 11 berhampiran dengan Mimaland dan berakhir di Batu 21. Seksyen 2 bermula di Batu 21 hingga ke Batu 22. Seksyen 3 dari Batu 22 membawa ke Batu 28.

Jalan dari Batu 22 ke Batu 28 telah dibuka pada 1 Julai 1977dengan satu jalan sementara dekat Batu 28. Jalan sementara ini akan diputuskan apabila kerja-kerja Seksyen 4, 5 dan 6, peringkat kedua disiapkan.

Tiga syarikat pemaju telah terlibat dalam pembinaan projek ini. Pemborong Seksyen 1 dan 3 ialah Syarikat Italian-Thai Development Corporation. Pemborong Seksyen 2 termasuk pembinaan terowong ialah Korea Development Corporation. Pemborong Seksyen 4, 5, 6 dan 7 yang termasuk dalam peringkat kedua ialah Syarikat Sato Kogyo Co. Limited dari Jepun.

Kerja-kerja sekyen yang lain dalam Projek Lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini dari Batu 28 hingga ke Batu 43 dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan tahun 1978.

Pautan asal: Blues Riders

Wednesday, November 30, 2011

Jalan Juasseh-Bahau FT13

Reviu Jalan Juaseh-Bahau FT13 merupakan siri terakhir dalam lima reviu jalan raya hasil perjalanan hujung minggu saya pada 19 November 2011 dari Kuala Lumpur ke Segamat. Namun begitu, ia tidak bermakna tiada lagi reviu jalan raya selepas ini; insya-Allah reviu jalan raya akan tetap terus diadakan.

Di Malaysia, ada dua jalan raya dengan kod laluan FT13 - yang lebih pendek terletak di Semenanjung Malaysia dengan jarak 13 km, manakala yang lebih panjang terletak di Sabah dengan panjang 20 kali ganda atau 268 km yang menghubungkan Sandakan dengan Tawau. Reviu kali ini adalah untuk jalan yang lebih pendek ini.


Peta laluan Jalan Juasseh-Bahau FT13



Sebenarnya, kilometer sifar Laluan Persekutuan 13 ini terletak di Simpang Juasseh di Laluan Persekutuan 9. Saya tidak menggunakan kilometer sifar ini untuk ke Bahau, sebaliknya saya ada main tipu sikit - saya menggunakan jalan Kuala Jemapoh-Juasseh untuk ke Juasseh kerana ia lebih lurus, tidak seperti bahagian FT9 dari Kuala Jemapoh ke Simpang Juasseh yang lebih panjang kerana ada selekoh. Jalan Kuala Jemapoh-Juasseh sebenarnya memang bukan sebahagian laluan FT13, sebaliknya ia sekadar jalan kampung yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan kerana dibina menggunakan piawaian JKR R3 dengan lebar lorong 3 m sahaja; beberapa tahun dahulu jalan ini lebih sempit dengan lebar lorong hanya 2.75 m.

Di Pekan Juasseh barulah saya bertemu dengan laluan FT13 ini. Dari arah Bahau, pemandu perlu belok ke kanan untuk meneruskan perjalanan; papan tanda yang ada sudah untuk untuk mengalihkan arah pemandu. Ia memang direka sebegitu rupa supaya majoriti pemandu tidak akan cenderung menggunakan jalan pintas Kuala Jemapoh-Juasseh tadi, yang seterusnya boleh mengakibatkan jalan tersebut rosak.

Tidak banyak yang dapat diceritakan mengenai jalan FT13 ini kerana ia begitu pendek dan lurus. Kalau FT13 di Sabah, lain pula ceritanya kerana ia jauh lebih panjang daripada "kembarnya" di Semenanjung ini. Jalan ini memang pendek; lebih kurang 10-15 minit sahaja dah pun sampai ke pekan Bahau.

Pekan Bahau ini adalah bandar terbesar di daerah Jempol, Negeri Sembilan, tetapi ia bukanlah ibu daerah Jempol. Sebaliknya, Bandar Seri Jempol menjadi ibu daerah. Pemilihan Bandar Seri Jempol sebagai ibu daerah Jempol sememangnya satu penghargaan buat warga Felda kerana bandar terancang tersebut sebenarnya merupakan bandar pusat bagi gugusan Felda Raja Alias yang dibina oleh Felda sebelum ia ditambah fungsinya sebagai ibu daerah Jempol.

Seterusnya di pekan Bahau, jalan FT13 dipisahkan kedua-dua arah laluan kepada satu pasangan sehala (kedua-dua jalan sehala tersebut bernama Jalan Mewah) sebelum disatukan kembali. Laluan Persekutuan 13 berakhir betul-betul di simpang lintasan kereta api Bahau di mana ia bertemu dengan Laluan Persekutuan 10 - jalan terus untuk ke Gemas, belok kiri untuk ke Bandar Seri Jempol dan Temerloh.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.




Jalan Kuala Jemapoh-Juasseh






Pekan Juasseh






Jalan Juasseh-Bahau FT13






Bukit di Bahau yang seakan Hollywood






Pasangan sehala di pekan Bahau






Penamat FT13 di lintasan kereta api Bahau

Monday, November 28, 2011

Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 dan jalan lama Bukit Putus FT361 / Seremban-Kuala Pilah Highway FT51 and Bukit Putus old road FT361

Dalam siri keempat maraton reviu jalan raya kali ini, saya bawakan reviu eksklusif mengenai Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 sepanjang 38 km. Perjalanan kali ini tidak betul-betul bermula dari kilometer sifar di Seremban, sebaliknya laluan saya kali ini bermula dari penamat Lebuhraya Lekas E21 di Paroi ke pekan Kuala Pilah.

Kilometer sifar jalan FT51 terletak pada pasangan sehala Laluan Persekutuan 1 di Seremban iaitu Jalan Tuanku Antah (arah utara) dan Jalan Zaaba (arah selatan). Ia bermula sebagai Jalan Dato’ Muda Linggi sepanjang lebih kurang 500 m sebelum bertukar nama menjadi Jalan Ampangan selepas melepasi simpang Jalan Dato’ Siamang Gagap dan Jalan Lingkaran Dalam Seremban. Selepas melalui Ampangan, ia bertukar nama kepada Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Untuk pengetahuan semua, jajaran Jalan Seremban-Kuala Pilah dari Seremban ke Paroi adalah jalan raya kembar pertama di Seremban; jalan-jalan utama lain hanya dinaik taraf sebagai jalan raya kembar bermula awal 2000an. Asalnya jalan raya kembar Seremban-Kuala Pilah hanyalah sejauh 7.5 km sehingga Paroi sebelum ia disambung 1.5 km lagi susulan pembinaan Lebuhraya Lekas E21.

Seterusnya, saya melalui jajaran Jalan Bukit Putus Baru yang membelah Banjaran Titiwangsa. Jajaran baru Bukit Putus dibina bagi menggantikan jajaran lama yang sempit dan berbahaya kerana ada banyak selekoh yang sangat tajam – selekoh U, S, V, semua ada. Jalan baru itu dibina menggunakan piawaian R5 berbanding Jalan Bukit Putus Lama yang dikategorikan sebagai piawaian R3.

Sepanjang mendaki Jalan Bukit Putus Baru, saya berasa amat kagum dengan kemajuan teknologi kejuruteraan jalan raya moden yang diterapkan pada jalan ini. Jambatan menggantikan selekoh tajam. Selain itu, salah satu jambatan di situ merupakan jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 48 m, kalah hanya kepada jambatan di Lebuhraya Karak E8.

Laluan mula sesak sebaik sahaja selepas menuruni bukit dan tiba di kaki bukit Ulu Bendul, di mana jalan menjadi sempit sedikit kepada piawaian R4. Pemandangan seterusnya diwarnai dengan lanskap perkampungan serta sawah padi. Istana Seri Menanti yang menjadi kediaman rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terletak di pekan Seri Menanti melalui Laluan Negeri Sembilan N29.

Di kawasan perkampungan di sepanjang jajaran Ulu Bendul-Kuala Pilah, keadaan jalan rayanya beralun-alun serta terdapat banyak selekoh yang tidak terlalu tajam tetapi masih perlu dipandu dengan berhati-hati. Mungkin juga kerana faktor geografinya yang menyeberangi Banjaran Titiwangsa, tetapi saya berpendapat selekoh-selekoh di jajaran tersebut tidak diluruskan kerana komplikasi Adat Perpatih yang memerlukan persetujuan daripada para pemimpin suku kaum Minangkabau sebelum kerajaan boleh mengambil alih tanah bagi tujuan tersebut.

5 km sebelum tiba di Kuala Pilah terletak simpang Jalan Ampang Tinggi N3 yang didakwa sebagai “jalan pintas ke Bahau / Kuantan”, tetapi realitinya jalan tersebut ada banyak selekoh tajam yang menjadikannya lebih jauh berbanding jika terus melalui jalan FT51 sehingga ke Kuala Pilah. Laluan FT51 di jajaran Ampang Tinggi-Kuala Pilah ini pula kebanyakannya lurus dan rata. Saya sempat mengisi minyak di Kuala Pilah sebelum meneruskan perjalanan. Laluan Persekutuan 51 tamat betul-betul di pusat bandar Kuala Pilah dan dihubungkan ke Laluan Persekutuan 9 yang merupakan salah satu laluan Jalan Raya Utama Tengah.

Semasa perjalanan pulang pula saya memilih untuk melalui Jalan Bukit Putus Lama yang terkenal sebagai lokasi kemalangan maut berikutan terdapat sebegitu banyak selekoh yang sangat tajam – selekoh S, U, V semua ada. Mungkin jalan ini tidaklah seekstrim Jalan Yungas di Bolivia yang menyeberang Banjaran Andes dan hanya selebar selorong sahaja, tidak berturap dan tiada rel pengadang jalan bagi menyediakan sedikit perlindungan daripada terjauh ke dalam gaung yang sangat dalam, tetapi setelah mengambil kira tabiat buruk segelintir pemandu Malaysia yang tidak berdisiplin, biadab dan kurang ajar di atas jalan raya, maka Jalan Bukit Putus Lama selayaknya dinobatkan sebagai salah satu jalan raya paling berbahaya di Malaysia.

Seterusnya, ikuti siri akhir pengembaraan saya sepanjang pulang ke Segamat, Johor iaitu reviu mengenai Jalan Juasseh-Bahau FT13.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Jalan lama Bukit Putus kini telah diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 361 pada Julai 2014. Terima kasih kepada pembaca setia kami, Saudara Vinodaran Mathavan, atas makluman.





Masih ada 50 km ke Bahau






Jalan Bukit Putus Baru dengan lorong mendaki






Jambatan Bukit Putus setinggi 48 m






Papan tanda yang mengesahkan Jambatan Bukit Putus sebagai kedua tertinggi di Malaysia






Istana kediaman rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terletak di Laluan Negeri Sembilan N29 di Seri Menanti






Jalan N3 bukanlah betul-betul laluan terpendek ke Bahau seperti disangka






Penamat FT51 di pekan Kuala Pilah






Pemandangan Jalan Bukit Putus Baru dari arah Jalan Bukit Putus Lama FT361






Permulaan kepada selekoh-selekoh berbahaya di Bukit Putus






Keluar semula ke Jalan Bukit Putus Baru