Sunday, July 14, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 6: Jalan Gunung Brinchang FT432 Reconquista

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat mengemaskini entri reviu jalan penutup bagi siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands kali ini. Sebagai penutup bagi siri reviu jalan raya di Cameron Highlands, kami mengambil kesempatan untuk menakluki jalan raya tertinggi di Malaysia, Jalan Gunung Brinchang FT432, buat kali kedua. Jika anda terlepas reviu pertama kami mengenai jalan raya berturap tertinggi di Malaysia, anda boleh membacanya di sini.

Apa yang membezakan antara perjalanan kali pertama dengan kali kedua ini ialah jentera yang digunakan, dan kali ini kami menakluki sehingga ke penghujung jalan ini iaitu di menara pemancar Gunung Brinchang. Kebetulan pula ramai pelancong asing yang datang ke Gunung Brinchang dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan Land Rover. Bukan itu sahaja, malah ada pelancong tempatan yang menggunakan Perodua Kancil sahaja untuk mendaki Gunung Brinchang. Tak sangka begitu gagah rupanya Perodua Kancil itu sungguhpun terpaksa mendaki dengan kecerunan sekitar 20%! Selain itu, terdapat sepasang pelancong mat salleh yang menakluki Gunung Brinchang dengan menaiki motosikal Honda EX5, sayangnya saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar mereka. Tak sangka betul, rupa-rupanya Honda EX5 yang hanya ditenagai enjin 100 cc itu sangat perkasa! Dengan kata lain, apa sahaja kenderaan boleh menakluki Gunung Brinchang, asalkan anda tahu menggunakan teknik yang betul.

Jika anda benar-benar serius mahu menakluki Gunung Brinchang, berikut merupakan beberapa tip yang saya rumuskan buat panduan anda:-
  1. Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang paling sempurna. Pastikan kasut brek serta bunga tayar cukup tebal. Pastikan kesemua brek anda berfungsi dengan sempurna. Bagi yang menggunakan transmisi manual, pastikan klac anda berfungsi dengan sempurna dan tiada masalah klac tergelincir (slip).
  2. Setiap kali anda berada di selekoh, sentiasa bunyikan hon untuk memaklumkan kewujudan anda kepada kenderaan lain yang mungkin terselindung. Jika anda mendengar bunyi hon dari arah hadapan, balas kembali bunyi hon tersebut untuk memaklumkan kewujudan anda. Dalam keadaan tersebut, bersiap sedialah untuk berselisih, kerana jalan ini merupakan jalan selorong seperti jalan kampung. Jika anda bimbang akan berlaku kesukaran untuk berselisih dengan selamat, maka saya sarankan agar anda menggunakan motosikal untuk menakluki Gunung Brinchang.
  3. Sentiasa nyalakan lampu walaupun pada waktu siang untuk membolehkan kenderaan lain nampak kenderaan anda.
  4. Jika anda berselisih semasa menuruni bukit, berikan keutamaan kepada kenderaan yang mendaki bukit.
  5. Pastikan anda lebih banyak bergantung kepada brek enjin (gunakan gear rendah) daripada brek biasa (brek tangan / kaki). Memandangkan terdapat cerun yang sangat curam sehingga 20%, anda mungkin terpaksa naik atau turun dengan menggunakan gear 1.
  6. Jangan pandu melebihi 20 km/j. Anda mungkin perlu menjangkakan bahawa perjalanan dari kaki bukit ke puncak Gunung Brinchang sejauh hanya 6.7 km akan mengambil masa lebih kurang setengah jam.
  7. Jangan gunakan Jalan Gunung Brinchang FT432 semasa cuaca buruk, berikutan ancaman tanah runtuh.
Satu perubahan yang saya dapat saksikan pada jalan ini ialah jajaran dari tapak perkhemahan Gunung Irau ke Gunung Brinchang sudah pun diperbaiki, dengan menggunakan turapan konkrit pada bahagian yang curam. Selain itu, sebagai panduan tambahan kepada pengguna jalan raya, pihak Boh Plantation telah mendirikan sebuah papan tanda yang begitu besar.

Selebihnya, biarlah gambar-gambar di bawah ini berbicara bagi pihak saya, memandangkan apa yang ingin saya ceritakan sebenarnya lebih kurang sama seperti pengembaraan dua tahun lalu yang telah saya tulis pada penghujung tahun lalu.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Jalan masuk ke Jalan Gunung Brinchang FT432 kini ditandakan oleh sebuah papan tanda besar yang didirikan oleh Boh Plantation






Dua jentera yang berjaya menakluki Jalan Gunung Brinchang FT432






Pemandangan di puncak Gunung Brinchang dari balai cerap berhampiran






Papan tanda ini langsung tidak boleh dipercayai; kecerunan sebenar yang terpaksa ditempuhi berhampiran papan tanda ini ialah sekitar 20%






Bermulanya penurunan bukit yang curam






Lumut merah dekat Gunung Brinchang






Terdapat satu kebun strawberi di sini






Sebuah Land Rover sedang mendaki Gunung Brinchang






Banyak jalan pertanian di sini yang diturap semula dengan konkrit supaya tahan lama






Pemandangan Ladang Teh Boh Sungai Palas yang begitu indah dan menenangkan jiwa






Antara selekoh di Jalan Gunung Brinchang FT432






Ada juga yang sekadar ingin berjalan kaki untuk mendaki Gunung Brinchang






Papan tanda ini menunjukkan arah sebenar untuk ke Gunung Brinchang - jika tersilap ambil jalan, anda akan tiba di Ladang Teh Boh Sungai Palas






Sesetengah selekoh di sepanjang jalan ini cukup lebar untuk membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat

Wednesday, July 10, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 5: Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley) / Second East-West Highway FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley)




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini kepada seluruh pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang beragama Islam. Sempena bulan Ramadan ini, kami di Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mengadakan satu reviu jalan raya eksklusif di sebatang jalan raya persekutuan yang memerlukan kami untuk menunggu sehingga bulan Ramadan sebagai bulan yang paling sesuai. Jalan apa yang saya maksudkan itu? Nantikanlah kemunculannya di Blog Jalan Raya Malaysia!

Jika anda perasan, kami sudah pun mengubahsuai reka letak blog ini supaya nampak lebih kemas. Tab-tab khas telah ditambah pada bahagian atas blog supaya anda dapat mencari reviu-reviu jalan raya dengan lebih pantas dan mudah. Pemain lagu pun telah ditambah untuk menceriakan suasana. Kami harap anda suka akan perubahan yang kami lakukan ini serta memudahkan anda!

Kita kembali semula kepada kisah pengembaraan Blog Jalan Raya Malaysia di Cameron Highlands yang kini memasuki episod kelima. Setelah kami dikecewakan pada hari pertama lawatan berikutan ketiadaan tempat penginapan akibat disapu licin oleh para pelancong yang luar biasa ramainya, kami terpaksa turun ke Simpang Pulai dan menginap di sebuah hotel bajet di situ; pagi esoknya barulah kami naik semula ke Cameron Highlands. Semasa turun melalui Lebuhraya Timur-barat Kedua FT185, kami terpaksa mengejar masa kerana keadaan jalan yang gelap serta garisan jalan yang sudah tidak kelihatan sudah tentunya menjadikan penglihatan kurang baik, terutamanya Khairul Azmi berikutan visor yang berwarna gelap pada topi keledarnya. Seterusnya, masa malam kami diluangkan dengan makan dan bersiar-siar di Uptown Tambun dekat Ipoh bersama-sama dua orang lagi sahabat kami, Harvey dan Pearl.

Keesokan paginya, kami naik semula ke Cameron Highlands melalui FT185 dan mengisi minyak di satu-satunya stesen minyak di sepanjang jalan FT185 ini. Kebetulan pula ada segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak di situ sebagai bekalan untuk berkonvoi ke Cameron Highlands. Maka, sekiranya anda mahu terus ke Gua Musang dengan menaiki motosikal kapcai, anda wajib membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol kerana hanya ada satu sahaja stesen minyak di sepanjang jalan FT185 sepanjang 152 km ini. Melencong keluar ke Brinchang dan mengisi minyak di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang juga bukanlah idea yang bagus kerana sungguhpun jarak antara kedua-dua bandar tersebut ialah 117 km, namun naik turun bukit sudah tentunya menjadikan motosikal anda lebih pelahap, kecualilah jika anda membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol.





Sedikit mengenai sejarah jalan FT185 ini. Jalan Persekutuan 185 dari Simpang Pulai ke Gua Musang ini adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua bagi menghubungkan antara Ipoh dengan Kuala Terengganu (atau lebih tepat lagi, Kuala Berang). Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Simpang Pulai-Gua Musang (FT185) dan Felda Chiku-Kuala Jeneris; kedua-dua bahagian dipisahkan oleh Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang FT8. Jajaran dari Simpang Pulai ke Gua Musang dibina pada tahun 1997 dan siap pada tahun 2003, dengan menggunakan Jalan Simpang Pulai-Pos Slim (Jalan Negeri Perak A181) dan sebahagian Jalan Kampung Raja-Lojing (Jalan Negeri Pahang C165) dari Blue Valley ke Lojing sebagai laluan perintis. Kini, kedua-dua jalan negeri tersebut sudah pun dilucutkan pewartaannya, di mana jalan A181 dan jajaran jalan C165 dari Blue Valley ke Lojing diserap sebagai sebahagian daripada Jalan Persekutuan 185 manakala baki jajaran C165 (Kampung Raja-Blue Valley), bersama-sama jalan C7 dari padang golf Cameron Highlands ke Kampung Raja kini merupakan sebahagian daripada Jalan Persekutuan 59. Pihak yang bertanggungjawab membina bahagian pertama Lebuhraya Timur-barat Kedua ialah MTD Construction, yang pernah terlibat dalam projek Lebuhraya Pantai Timur E8 dan naik taraf Lebuhraya Karak E8/FT2.

Sementara itu pula, jajaran dari Felda Chiku ke Kuala Jeneris sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2007, tetapi malangnya jajaran dari Felda Chiku ke Felda Aring masih tidak disiapkan lagi, malah pengguna terpaksa melalui jalan Felda Chiku-Felda Aring yang berlubang-lubang di sana-sini macam baru lepas perang. Sebenarnya, tidak salah pun jika hendak menggunakan jalan Felda sebagai sebahagian jalan raya utama, tetapi jalan tersebut mestilah sentiasa diselenggara dengan baik walaupun sekadar jalan masuk ke tanah rancangan Felda sekalipun. Lihat sahajalah Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, ia dijaga dan diselenggara seperti menatang minyak yang penuh. Sebab itulah jalan tersebut sangat sesuai dijadikan jalan sambung antara Raub dengan pangkal Jalan Persekutuan 102 di Sungai Koyan.

Jajaran perintis dari Simpang Pulai ke Pos Slim ada banyak selekoh tajam. Akibatnya, kami terpaksa menunggang dengan penuh berhati-hati di sepanjang jalan, meskipun lebuh raya ini secara keseluruhannya dibina sebagai jalan super two. Kecerunan paling tinggi di sepanjang laluan ini juga terletak di jajaran perintis ini. Hanya setelah melepasi Pos Slim barulah keadaan jalan menjadi kurang berkelok-kelok dan kelajuan dapat ditingkatkan kepada sekitar 80 km/j berbanding antara 40-80 km/j semasa di jajaran pertama tadi.

Pendakian diteruskan. Pemandangan sekitar Banjaran Titiwangsa sememangnya sangat mengasyikkan. Lebuh raya ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi kejuruteraan jalan raya terkini yang menjadikannya kurang berkelok-kelok berbanding jalan lama FT59. Namun, secanggih mana pun teknologi kejuruteraan jalan raya yang digunakan, tiada siapa yang mampu mencabar kekuasaan Allah. Sebagaimana jalan raya pergunungan yang lain, tanah runtuh merupakan ancaman terbesar, terutamanya dalam konteks Malaysia yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Sebab itulah beberapa stesen tolok hujan didirikan di sepanjang laluan untuk mengira jumlah curahan hujan supaya dapat memberi amaran awal kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

Selain ancaman tanah runtuh, lebuh raya ini sudah mula menunjukkan tanda-tanda penuaannya apabila beberapa bahagian lebuh raya yang mula kelihatan menggerutu, selain garisan jalan yang sudah tidak kelihatan. Ia berbeza dengan dua tahun lalu apabila kami mendapati bahawa keadaan jalan secara keseluruhannya sangat baik dan masih tiada lagi bahagian jalan yang terjejas selain daripada tanah runtuh. Memandangkan lebuh raya ini sudah pun berusia 10 tahun, maka saya ingin menggesa JKR Perak agar melakukan penurapan semula dan mengecat semula garisan jalan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Selepas lebih kurang sejam, kami akhirnya memasuki daerah Cameron Highlands. keadaan jalan bertambah bagus. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang sangat baik. Suhu sekeliling semakin sejuk walaupun hari itu cuaca cerah dengan matahari sudah berada tegak di atas kepala. Namun demikian, terdapat satu bahagian jalan yang terjejas akibat tanah runtuh sehingga memaksa satu lorong ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. Nasib baiklah jalan ini jalan super two, kerana jika salah satu lorong terpaksa ditutup, pengguna masih boleh beranjak ke bahu jalan keras atau lorong kecemasan.

Kami singgah sebentar ke kedai Avant Chocolate. yang terletak di lokasi strategik di tepi lebuh raya FT185 ini. Khairul Azmi adalah peminat besar coklat keluaran syarikat ini yang bukan sahaja sangat sedap, malah mempunyai pembungkusan yang sangat menarik. Kumpulan penunggang superbike tadi juga berada di kedai Avant Chocolate untuk berhenti rehat. Selain daripada menjual coklat, Avant Chocolate juga menjual produk-produk lain seperti teh. Ia turut menempatkan sebuah kafeteria. Maka, Avant Chocolate juga merupakan satu lagi lokasi wajib untuk dilawati sekiranya anda berkunjung ke Cameron Highlands melalui FT185. Selain daripada Avant Chocolate, terdapat juga beberapa kebun sayur-sayuran dan kebun strawberi di sepanjang FT185 ini.

Kami akhirnya tiba di Simpang Tiga Blue Valley yang merupakan mercu tanda terpenting bagi menandakan kami sudah tiba ke Cameron Highlands. Namun, apa yang perlu kami tegur di sini ialah keperluan mendirikan sebuah kawasan rehat dan rawat di Blue Valley ini berserta dengan sebuah stesen minyak, kerana stesen minyak tersebut menjadi penyelamat bagi mereka yang hampir kehabisan minyak ketika melalui jalan ini, terutamanya motosikal kapcai yang tangkinya kecil dan mempunyak jarak perjalanan setangki penuh tidak melebihi 150 km. Kebanyakan aktiviti kami di Cameron Highlands sudah pun tercatat dalam entri mengenai Jalan Persekutuan 59.

Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Gunung Brinchang FT432 apabila kami ingin menaklukinya buat kali kedua.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Permulaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 di Simpang Pulai






Satu-satunya stesen minyak di sepanjang FT185, terletak di Simpang Pulai. Perhatikan segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak






Jajaran Simpang Pulai-Pos Slim ada banyak selekoh tajam, jadi berhati-hatilah






Mendaki bukit dengan kecerunan 10% di sini






Lagi selekoh mencabar untuk mengasah kemahiran penunggang superbike






Perkampungan Orang Asli di Pos Raya






Setelah melepasi Pos Slim, masih ada 30 km untuk ke Kampung Raja, pekan pertama yang bakal kami tempuhi dari arah jalan ini






Kehijauan alam mewarnai lanskap lebuh raya FT185






Jalan masih cantik tetapi garisan jalan sudah pudar






Tanah runtuh - ancaman terbesar pada mana-mana jalan raya pergunungan






Selekoh patah berkelajuan tinggi yang sesuai untuk mengasah kemahiran bermotosikal






Ada air terjun kecil!






Keadaan jalan di sini sudah menggerutu dan memerlukan turapan semula






Kesan tanah runtuh dua tahun lalu yang masih lagi kelihatan sehingga sekarang






Akhirnya kami berjaya memasuki daerah Cameron Highlands






Keadaan jalan yang sangat cantik di daerah Cameron Highlands






Singgah sebentar di Avant Chocolate sebelum memasuki FT59

Monday, July 8, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 4: Jalan Persekutuan 59 / Federal Route 59

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lewat mengemaskini siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands, berikutan kesibukan yang saya alami dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini. Siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands kembali bersambung setelah memberi laluan kepada berita pelancaran motosikal kapcai pancitan bahan api pertama Modenas iaitu Modenas 118EFI.

Setelah mengambil masa sejam setengah mendaki Banjaran Titiwangsa, kami akhirnya tiba di Cameron Highlands melalui pekan Ringlet. Pekan Ringlet merupakan pekan ketiga terbesar di Cameron Highlands selepas Brinchang dan Tanah Rata. Memandangkan pendakian di sepanjang Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 banyak melahap minyak, kami memenuhkan semula tangki minyak di stesen minyak Shell Ringlet sebagai bekalan sepanjang berada di Cameron Highlands.

Memandangkan jalan raya ini adalah jalan raya terawal serta merupakan satu-satunya laluan utama ke Cameron Highlands sebelum pembukaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 dan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, maka sudah tentulah jalan raya ini mempunyai sejarah yang begitu panjang. Segala-galanya bermula apabila seorang juruukur British, Sir William Cameron, ditugaskan untuk mengukur kawasan sempadan Pahang-Perak pada tahun 1885. Dia kemudian menemui "satu vorteks dalam pergunungan, sementara bagi kawasan yang (cukup) luas kami mempunyai cerun landai dan tanah datar". Ia menarik perhatian Residen Perak pada masa itu, Sir Hugh Low yang ingin memajukan kawasan tersebut sebagai sebuah kawasan peranginan. Satu denai telah dibentuk melalui hutan, tetapi ia langsung tidak membawa apa-apa perubahan. Hanya pada 1 Januari 1928 barulah sebatang jalan raya dibina dari Tapah ke Tanah Rata di atas laluan denai lama tersebut dengan kos sejumlah $3 juta, satu angka yang dianggap sangat mahal pada zaman penjajah British. Projek jalan raya tersebut siap pada 14 November 1930.

Proses pembinaan projek jalan raya FT59 itu sendiri pun dipenuhi dengan cabaran dan dugaan, memandangkan ia dibina dengan banyak menggunakan kudrat tulang empat kerat berbanding jalan-jalan FT185 dan FT102 yang lebih banyak memanfaatkan teknologi kejuruteraan jalan raya terkini. Cuaca panas dan lembap sepanjang tahun banyak mempengaruhi tahap kemajuan projek - jika hujan, pembinaan pasti akan tertangguh. Selain itu, ramai pekerja yang menghidap demam malaria kerana cuaca hujan tentunya menyebabkan wujudnya banyak tempat pembiakan nyamuk. Sepanjang pembinaan, dianggarkan lebih kurang 375 orang pekerja dikejarkan ke hospital akibat demam. Akibatnya, bilangan pekerja seringkali berubah-ubah daripada serendah-rendah 500 orang kepada seramai-ramai 3,000 orang. Namun demikian, dugaan terbesar ialah bagaimana hendak mengangkut jentera-jentera berat naik ke kawasan tanah tinggi tersebut. Masalah tersebut diselesaikan dengan membina sebuah landasan kereta api sementara dan menggunakan sebuah lokomotif wap khas yang mampu menangani tahap kecerunan yang tinggi. Setelah Jalan Persekutuan 59 mula dibuka pada tahun 1931, orang-orang British serta warga tempatan mula berpindah ke Cameron Highlands dan bercucuk tanam di sana setelah mendapati keadaan iklim di Cameron Highlands sangat sesuai untuk penanaman teh dan sayur-sayuran.

Sejak ia mula dibuka pada tahun 1931, Jalan Persekutuan 59 merupakan satu-satunya laluan masuk ke Cameron Highlands, dan ia hanya boleh dimasuki melalui negeri Perak iaitu dari Tapah. Orang-orang Pahang pastinya paling sengsara kerana terpaksa berjalan jauh hanya untuk memasuki daerah terkecil dalam negeri mereka sendiri. Selain itu, kebergantungan penuh terhadap jalan FT59 ini juga banyak kelemahannya. Antara kelemahan utamanya ialah risiko tanah runtuh yang menyebabkan Cameron Highlands terputus hubungan dengan dunia luar sehingga berhari-hari lamanya. Bukti paling ketara ialah tragedi tanah runtuh terburuk dalam sejarah Cameron Highlands yang berlaku di Ringlet pada 11 Mei 1961 yang mengorbankan 16 orang. Dalam tragedi tersebut, pekan Ringlet hampir lenyap daripada peta Malaysia apabila tanah runtuh menimpa 6 daripada 8 buah rumah kedai di situ.

Selain itu, keadaan jalan yang sempit serta terlalu banyak selekoh juga menyebabkan pemanduan terpaksa dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak terbabas ke dalam gaung. Kalau ada kenderaan berat yang mendaki bukit menuju ke Cameron Highlands, pastinya pengguna jalan raya terpaksa berbaris panjang kerana tiada lorong mendaki di sepanjang perjalanan ke Cameron Highlands - satu-satunya lorong mendaki yang ada ialah di Kampung Raja menuju ke arah simpang tiga Blue Valley, itu pun kerana kecerunan di situ mencecah 10%, iaitu kecerunan paling curam di sepanjang jalan. Kecerunan purata bagi jalan FT59 ialah antara 2-3%. Pemanduan yang perlahan ini tentunya memberi kesan terhadap penghantaran produk pertanian Cameron Highlands yang memerlukan hanya produk paling segar sahaja yang sampai ke tangan pengguna akhir. Sehubungan dengan itu, dua jalan masuk baru ke Cameron Highlands telah dibina iaitu Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 dan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102.

Dari segi pewartaan jalan, asalnya hanya jajaran dari Tapah ke padang golf Cameron Highlands sahaja yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 59; jajaran dari padang golf sehingga Kampung Raja pula diwartakan sebagai Jalan Negeri Pahang C7, manakala jajaran dari Kampung Raja ke Blue Valley pula ditandakan sebagai Jalan Negeri Pahang C165. Namun, setelah pembukaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185, keseluruhan jajaran kini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 59.

Setelah mendaki Banjaran Titiwangsa dari arah Felda Sungai Koyan selama lebih kurang sejam setengah melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, kami memenuhkan kembali tangki minyak di Shell Ringlet. Destinasi kami seterusnya ialah kedai teh Cameron Bharat yang terletak antara Ringlet dengan Tanah Rata untuk minum petang di situ.

Seperti yang pernah saya nyatakan dalam entri Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 sebelum ini, dikatakan terdapat lebih kurang 750 selekoh di sepanjang Jalan Persekutuan 59 dari Tapah ke penghujungnya di Blue Valley. Namun, Habu menampatkan antara salah satu lurusan yang membolehkan anda memotong setelah sebegitu lama mengekori kenderaan perlahan. Habu juga menempatkan empangan hidroelektrik pertama di Malaysia yang diuruskan oleh Tenaga Nasional Berhad. Meskipun sudah berusia lebih daripada empat dekad, namun ia tetap berjasa menjana elektrik daripada pergerakan air sungai untuk menerangi negara, sungguhpun ia tidak secekap dulu akibat keadaan empangan yang semakin kering-kontang akibat kerakusan manusia menodai kesucian flora dan fauna Cameron Highlands demi keuntungan wang ringgit semata-mata.

Sebaik tiba di kedai teh Cameron Bharat, kami berehat sambil menikmati secawan teh, menikmati panorama indah ladang teh Cameron Bharat. Sudah berjam-jam kami menunggang dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands, maka masa petang sebeginilah yang sesuai bagi menikmati keindahan Cameron Highlands sambil melegakan badan yang letih lesu.

Setelah puas menikmati secawan teh Cameron Bharat, kami tanpa membuang masa lagi terus mencari tempat penginapan di Tanah Rata mahupun di Brinchang. Namun, kami nampaknya telah dihampakan kerana dengan tidak disangka-sangka terdapat sebegitu ramai pelancong tempatan dan luar yang sedang mencari tempat penginapan. Kami berasa sungguh hairan kerana cuti sekolah sudah pun habis tetapi masih terdapat sebegitu ramai manusia yang hendak ke Cameron Highlands untuk bercuti, di mana majoritinya ialah orang Malaysia sendiri. Hotel-hotel yang kami pergi kesemuanya sudah penuh dan semua bilik sudah dihuni hingga licin. Hanya tempahan bilik untuk keesokan harinya sahaja yang ada kerana pada masa itu kebanyakan pelancong tempatan sudah pun pulang ke rumah masing-masing. Setelah kami gagal mendapatkan walau satu pun bilik untuk kami menginap meskipun jam sudah menunjukkan sudah hampir pukul 7.00 petang, kami terpaksa turun ke Ipoh melalui FT185 dan menginap sahaja di situ; keesokan paginya barulah kami naik semula ke Cameron Highlands. Kami tiba di Simpang Pulai pada pukul 8.15 malam dan menginap selama satu malam di Pulai City Hotel, sebuah hotel bajet yang terletak betul-betul di simpang pangkal Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185. Masa malam kami dihabiskan dengan mengunjungi Uptown Tambun bersama-sama dua orang rakan kami yang bermastautin di Ipoh iaitu Pearl dan Harvey.

Keesokan paginya tanpa membuang masa lagi kami naik semula ke Cameron Highlands melalui FT185 (untuk kisah pengembaraan kami sepanjang FT185, nantikanlah entri mengenainya). Setibanya di Brinchang, tanpa membuang masa lagi kami terus mencari hotel. Nasib kami amat baik kerana dapat bilik pertama di tingkat satu, menunjukkan bahawa kami berjaya memperoleh bilik setelah kebanyakan orang sudah pulang.

Ada 8 buah pekan kesemuanya di Cameron Highlands, di mana 7 daripadanya terletak di sepanjang Jalan Persekutuan 59. Lembah Bertam adalah satu-satunya pekan yang tidak terletak di jalan FT59 sebaliknya ia terletak di Jalan Persekutuan 102. Tiga buah pekan diwartakan sebagai bandar utama di situ iaitu Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet. Tanah Rata merupakan ibu daerah Cameron Highlands, sungguhpun ia kini merupakan pekan kedua terbesar di Cameron Highlands hanya di belakang Brinchang. Jika anda hendak mengisi minyak, hanya Ringlet dan Brinchang sahaja yang mempunyai stesen minyak; Tanah Rata pernah memiliki sebuah stesen minyak tetapi ia sudah lama ditutup, dan bekas tapak stesen minyak tersebut kini menempatkan sebuah medan selera. Ketiadaan stesen minyak di Tanah Rata menyukarkan penduduk serta pelancong yang hampir kehabisan minyak, kerana sungguhpun jarak antara Tanah Rata dan Brinchang hanya 4 km, namun harus diingat bahawa pendakian bukit menjadikan sesebuah kenderaan lebih lahap menggunakan bahan api. Selain itu, saya juga menggesa agar sebuah lagi stesen minyak turut didirikan di Simpang Tiga Blue Valley.

Jalan Persekutuan 59 ini secara amnya mempunyai sebegitu banyak selekoh tajam, memaksa anda untuk banyak bersilat di sepanjang laluan tanpa henti. Sebab itulah had laju di sepanjang FT59 ini begitu rendah, iaitu dalam lingkungan 30-50 km/j sahaja. Selekoh paling terkenal di sepanjang jalan ini tidak lain dan tidak bukan ialah "selekoh S" yang terletak berhampiran Kea Farm. Perjalanan penuh berliku dalam daerah Cameron Highlands tidak begitu terasa kerana anda disajikan dengan pemandangan indah kebun sayur, kebun strawberi, tanaman bunga, kaktus dan ladang teh. Maka, sudah tentulah lawatan anda ke Cameron Highlands tidak akan lengkap tanpa singgah sebentar membeli produk-produk pertanian di sini, sekurang-kurangnya membeli strawberi serta produk-produk berasaskannya seperti jem.

Jika anda ingin mengetahui sejarah jalan FT59 sejak zaman penjajah lagi, saya cadangkan agar anda mengunjungi muzium Time Tunnel Gallery yang terletak hanya 1 km dari pekan Brinchang. Di muzium itu, anda akan dibawa menerokai sejarah Cameron Highlands sejak zaman penjajah sehingga sekarang. Malah, suasana kedai kopi zaman dahulu pun turut diabadikan dalam Time Tunnel Gallery. Harga tiket masuk sangat murah iaitu RM5 sahaja, dan tiket itu juga melayakkan anda untuk mendapat diskaun 20% untuk minum di kafeteria di situ. Di situ juga menempatkan sebuah kebun strawberi yang membenarkan pengunjungnya memetik sendiri buah strawberi dengan dikenakan bayaran sebanyak RM30 bagi 500 g strawberi dan RM50 bagi 1 kg strawberi yang dipetik. Sebenarnya ada banyak lagi kebun strawberi yang lain di Cameron Highlands, maka terpulanglah kepada anda untuk mengunjungi kebun yang mana satu yang anda rasa lebih memudahkan.

Kea Farm pula merupakan pusat jualan sayur-sayuran segar Cameron Highlands. Semasa kami mengunjunginya, jalan penuh sesak sehingga beberapa kilometer jauhnya. Apa boleh buat, kami terpaksalah melupakan hasrat membeli sayur-sayuran di situ.

Pada hari terakhir lawatan kami ke Cameron Highlands, kami kembali semula ke Jalan Gunung Brinchang FT432 yang pernah kami tawan dua tahun lalu menggunakan motosikal sebelum mendaftar keluar dari hotel dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur. Rancangan asal kami ialah untuk pulang semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, tetapi keadaan jerebu yang makin parah pada masa itu memaksa kami untuk meminda rancangan tersebut dan sebaliknya pulang melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dan Jalan Persekutuan 8.

Ikuti entri seterusnya mengenai Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Bahagian lurusan FT59 di Habu






Jalan masuk ke kebun teh utama Boh di Habu melalui Jalan Negeri Pahang C168






Jalan lama FT59 memerlukan anda banyak bersilat di sepanjang perjalanan






Kebun teh Bharat makin dekat






Antara deretan gerai menjual cenderamata di Cameron Highlands






Panorama indah FT59 dari kedai teh Cameron Bharat






Ladang teh Cameron Bharat yang tidak jauh dari Tanah Rata






Selekoh yang semakin cantik apabila menghampiri Tanah Rata






Selekoh ini nampak cantik, tetapi awas, ia bukan tempat sesuai bermain drift






Entah kenapa jalan FT59 penuh sesak termasuklah di selekoh S yang paling terkenal di Cameron Highlands






Lautan kenderaan membanjiri Kea Farm






Kea Farm penuh sesak sehinggakan tiada tempat untuk parkir






Simpang ke Gunung Brinchang FT432






Kuala Terla, salah satu pekan kecil di sepanjang FT59






Kampung Raja, pekan pertama yang dilalui sekiranya anda memasuki Cameron Highlands melalui Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185






Asalnya jajaran dari Kampung Raja ke Blue Valley diwartakan sebagai Jalan Negeri Pahang C165, tetapi kini keseluruhan jalan lama Cameron Highlands diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 59






Penamat Jalan Persekutuan 59 di Simpang Tiga Blue Valley