Wednesday, January 8, 2014

2014 Yamaha Ego S kini dilengkapi pancitan bahan api YMJET_FI / 2014 Yamaha Ego S is now equipped with YMJET_FI fuel injection



2014 Yamaha Ego S YMJET_FI (kredit kepada: BH Auto)


Salam sejahtera,

Sejarah penggunaan skuter di Malaysia bermula dengan pengenalan model skuter Vespa dan Lambretta yang popular pada tahun-tahun 1960an sehingga menjadi ikon muzik Pop Yeh Yeh. Sungguhpun demikian, sejarah motosikal skuter keluaran Yamaha di Malaysia bermula dengan model Yamaha Passola yang dilengkapi enjin 2 lejang 50 cc, mula dikeluarkan pada tahun 1980. Ia sememangnya menarik perhatian warga kota kerana menggunakan transmisi automatik - hanya putar kunci, hidupkan enjin, dan terus pulas pendikit untuk bergerak. Namun, memandangkan ia menggunakan enjin kecil dua lejang 50 cc, maka skuter ini begitu perlahan dan hanya sesuai digunakan di dalam bandar. Tambahan pula, model skuter Passola yang dijual di Malaysia tiada penghidup elektrik, memaksa penunggang menggunakan tongkat tengah dan menggunakan penghidup tendang untuk menggunakannya. Akibatnya, motosikal kapcai terus kekal mendominasi pasaran motosikal di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

Pada tahun 1990an, skuter-skuter keluaran Suzuki pula yang mendominasi pasaran skuter di Malaysia. Bermula dengan model Suzuki V100 dengan enjin 2 lejang 100 cc, ia mula mempopularkan kembali penggunaan skuter melalui penggunaan transmisi automatik boleh laras berterusan (CVT) serta dilengkapi penghidup elektrik sebagai ciri standard. Demam skuter berterusan melalui pengenalan model VS125 yang ditenagai enjin 125 cc 4 lejang yang lebih mesra alam. Budaya skuter turut membawa kepada trend pemasangan sistem audio seakan kereta yang membingitkan sehingga membawa kepada pengharamannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dalam masa yang sama, Yamaha membawa masuk model skuter maksi pertama yang dipasang di Malaysia iaitu Yamaha Majesty 250. Malangnya, harganya yang mahal akibat cukai-cukai import dan eksais yang terlampau mencekik darah itu menyebabkan ia kurang popular.

Tirai 2000an dibuka dengan lambakan skuter-skuter murah dari China. Harga skuter-skuter tersebut yang sangat murah menjadi ancaman kepada Suzuki yang selama ini tiada pencabar langsung. Namun, pengguna skuter-skuter murah tersebut sering berdepan dengan masalah kualiti yang serius seperti kegagalan pramatang enjin, kerosakan modul penyalaan nyahcas kapasitor (CDI), lampu-lampu yang cepat kusam, dsb. menyebabkan banyak pengedar skuter klon murahan yang gulung tikar.

Dalam masa yang sama, Modenas mula mengeluarkan skuter buatannya sendiri hasil usaha sama dengan PGO (bagi model Karisma, Elit, Ceria dan Passion) dan SYM (bagi model Elegan dan Elegan 200). Honda pula mula mengeluarkan model skuter Click 110 (sejukan air), diikuti Icon 110 (sejukan udara) dan yang terkini adalah Spacy. Sementara itu, Yamaha pula menubuhkan satu pasukan R&D bagi menghasilkan model skuter hasil pemerhatian mereka terhadap gaya tunggangan penunggang motosikal di Asia Tenggara. Hasilnya ialah Yamaha Nouvo AT115 dan diikuti dengan Yamaha Mio (dikenali di Malaysia sebagai Yamaha Ego).

Yamaha Nouvo AT115 mula dikeluarkan pada April 2002 di Malaysia sebelum mula diperkenalkan di negara-negara lain. Ia kelihatan seperti motosikal kapcai biasa kerana menggunakan tayar 16 inci, seinci lebih kecil sedikit daripada tayar motor kapcai biasa iaitu 17 inci. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia sebenarnya sebuah skuter sejati dengan transmisi CVT, dibuktikan melalui kotak CVT di sebelah belakang kiri. Bahagian kerangka boleh langkah yang menjadikannya kelihatan seperti sebuah kapcai itu sebenarnya menempatkan penapis udara dan karburetor. Penggunaan roda-roda besar 16 inci itu membolehkan Nouvo mencatatkan penggunaan minyak yang lebih kurang sama seperti motor kapcai biasa, menjadikan Nouvo sebagai skuter bawah 125 cc paling jimat minyak. Model facelift dikeluarkan pada tahun 2006, dikenali sebagai Yamaha Nouvo S.

Kejayaan Yamaha Nouvo membawa kepada penghasilan Yamaha Ego pada Ogos 2004 yang menggunakan enjin 115 cc yang sama seperti Nouvo tetapi dengan roda bersaiz 14 inci serta rupa bentuk skuter sejati. Ia juga sangat jimat minyak, kalah hanya di belakang Nouvo sahaja. Namun, rekaannya yang comel itu menjadikan Ego sebagai antara model skuter paling banyak dicuri. Sehubungan dengan itu, model facelift Ego yang diperkenalkan pada tahun 2007 turut menyertakan penutup slot kunci sebagai perlindungan tambahan daripada pencuri.

Permintaan yang semakin menggalakkan bagi kedua-dua model sudah tentunya bermaksud terdapat permintaan tinggi bagi pilihan enjin yang lebih berkuasa. Maka, Hong Leong Yamaha memperkenalkan Nouvo LC yang ditenagai enjin 4 lejang 135 cc sejukan air pada tahun 2008, diikuti dengan Ego LC yang menggunakan enjin 125 cc sejukan air pada tahun 2010. Sementara pengeluaran Nouvo S dihentikan bagi memberi laluan kepada Nouvo LC, Ego S pula terus dijual bersama-sama Ego LC.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Pada 18 Disember 2013, Hong Leong Yamaha melancarkan model generasi ketiga bagi Yamaha Ego S. Ego S kali ini turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor. Pengenalan Ego S terbaru ini menjadikannya sebagai model motosikal bawah 150 cc ketiga yang menggunakan pancitan bahan api, iaitu selepas Yamaha FZ150i dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Namun, sistem pancitan yang digunakan dalam Ego S kali ini adalah berbeza daripada yang digunakan pada pada Lagenda Fuel Injection - Lagenda menggunakan sistem YEC_FI, manakala Ego S pula menggunakan sistem YMJET_FI.




Gambar rajah sistem pancitan bahan api YMJET_FI




Perbandingan corak pancitan antara sistem konvensional (termasuk YEC_FI) dengan YMJET_FI


Apa itu sistem YMJET_FI...? Sementara sistem YEC_FI merupakan sistem pancitan konvensional yang menjanjikan peningkatan kuasa dan tork lebih tinggi, YMJET_FI pula lebih menumpukan kepada penjimatan bahan api. Bagaimana penjimatan bahan api lebih baik boleh dicapai...? Ia dicapai melalui penggunaan salur udara tambahan bagi menghasilkan "pusaran" udara-bahan api. Prinsip sebegini adalah sama seperti enjin CVCC yang digunakan pada Honda Civic terawal.

Sementara YEC_FI menggunakan hanya satu injap pendikit, YMJET_FI pula menggunakan dua injap pendikit. Terdapat satu salur udara (sub-port) yang terletak di antara dua injap pendikit tersebut pada badan pendikit. Hujung yang satu lagi pula disambungkan pada rongga masukan, berdekatan dengan pemancit bahan api. Pada kelajuan rendah, injap pendikit sekunder tertutup manakala injap pendikit primer terbuka sedikit. Maka, udara akan lebih banyak memasuki sub-port daripada salur utama, menghasilkan aliran udara berkelajuan tinggi bertekanan tinggi (lapisan nipis), manakala aliran udara pada salur utama pula begitu perlahan dan bertekanan rendah (lapisan tebal). Pemancit bahan api pula memancitkan bahan api pada tekanan 250 kPa. Hasilnya, satu pusaran campuran udara-bahan api terbentuk, menghasilkan lapisan nyata antara campuran udara-bahan api (lapisan tebal) dengan lapisan nipis. Seterusnya, pusaran udara-bahan api tersebut menolak lapisan tebal ke palam pencucuh. Bunga api dari palam pencucuh membakar lapisan tebal terlebih dahulu, diikuti lapisan nipis.

Pada kelajuan tinggi pula, kedua-dua injap pendikit dibuka. Hanya sedikit sahaja udara melalui sub-port; sebahagian besar udara melalui rongga utama. Hasilnya, udara meluru masuk dengan laju, sekaligus menambah baik kuasa bagi jentera tersebut.

Hasil penggunaan sistem YMJET_FI, penggunaan bahan api semakin berkurangan. Tidak seperti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang menyaksikan peningkatan kuasa kuda yang sangat ketara, angka-angka kuasa bagi Ego pula lebih kurang sama seperti model berkarburetor. Namun, penggunaan bahan api pula dapat dijimatkan sehingga 20%.

Yamaha Ego S YM_JET ini boleh dimiliki dengan harga RM4,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Ingin tahu apa model pesaingnya? Model pesaing bagi Yamaha Ego S ini sudah tentulah Honda Spacy dan Modenas Passion.

Laman web rasmi: http://www.yamaha-motor.com.my



Spesifikasi 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 115 cc
Sesaran: 113 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 5.98 kW (8.02 PS) @ 8,000 rpm
Tork: 7.53 N-m @ 6,500 rpm
Jarak roda: 1,240 mm
Berat kering: 90 kg
Muatan tangki bahan api: 4.1 liter
Saiz tayar: 70/90-14 M/C 34P (hadapan); 80/90-14 M/C 40P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Bentuk badan yang kecil sesuai untuk penunggang wanita
  2. Enjin pancitan bahan api yang jimat minyak dan mesra alam
  3. Reka bentuk serba baharu dan menarik
Apa yang saya tidak suka
  1. Bentuk badannya mungkin kurang sesuai untuk orang yang tinggi lampai atau berbadan besar
  2. Masih berpotensi untuk dicuri berikutan beratnya yang begitu ringan







Pandangan sisi hadapan 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI






Pandangan belakang






Pandangan hadapan






Lampu belakang yang besar dan terang






Panel meter yang ringkas tetapi jelas






Enjin YEC_FI 113 cc serba baru menjadi penggerak kepada Yamaha Ego S ini






Penghidup tendang dan kotak gear CVT. Penghidup tendang ini hanya berguna apabila dalam kecemasan






Kotak barangan ini memang tidak cukup muat sebiji topi keledar, tetapi sekurang-kurangnya ia masih boleh memuatkan peralatan, baju hujan dan sarung tangan
(Semua kredit gambar: motomalaya.net)

Monday, January 6, 2014

Analisis Lebuh Raya Cadangan: EKVE, SUKE dan DASH - apa yang tidak kena...? / Proposed Expressway Analysis: EKVE, SUKE and DASH - what went wrong...?

Salam sejahtera,

Sempena dengan Tahun Baru 2014 ini, saya akan membawakan kepada anda analisis beberapa lebuh raya yang dicadangkan pembinaannya, hasil daripada cadangan oleh seorang pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Saudara oni.asyraf. Sebagai pembuka tirai kepada segmen baharu ini, saya akan mulakan dengan menganalisis tiga buah lebuh raya yang dicadangkan iaitu Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Shah Alam-Damansara (DASH).




Jajaran EKVE




Peta skematik sistem Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR)


Kita mulakan dengan analisis bagi EKVE terlebih dahulu. EKVE adalah komponen terakhir yang masih belum dibina bagi melengkapkan rangkaian Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR). Komponen-komponen bagi KL ORR adalah seperti berikut:-
  1. Lebuhraya Latar E25 (Taman Rimba Templer-Kuang)
  2. Lebuhraya Guthrie E35 (Kuang-Shah Alam)
  3. Lebuhraya Elite E6 (Shah Alam-Saujana Putra)
  4. SKVE E26 (Saujana Putra-Universiti Tenaga Nasional)
  5. Lebuhraya Kajang Silk E18 (Universiti Tenaga Nasional-Sungai Long)
  6. EKVE (Sungai Long-Sungai Pusu)

Sebanyak 6 persimpangan bertingkat bakal dibina di sepanjang EKVE:-
  1. Persimpangan UIA (dihubungkan ke Lebuhraya Karak E8/FT2)
  2. Persimpangan Ukay Perdana (dihubungkan ke Persiaran Ukay Perdana dan KL MRR2 FT28
  3. Persimpangan Ampang (dihubungkan ke Jalan Ampang B31)
  4. Persimpangan Hulu Langat (dihubungkan ke Jalan Hulu Langat B52)
  5. Persimpangan Bandar Mahkota Cheras (dihubungkan ke Persiaran Cheras Mahkota 1)
  6. Persimpangan Sungai Long (dihubungkan ke Lebuhraya Kajang Silk E18)

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Sila rujuk kepada peta di dalam Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi EKVE ini. Apa yang tidak kena pada jajaran EKVE ini? Terdapat beberapa kecacatan reka bentuk utama dalam pembangunan EKVE sehingga membawa kepada penentangan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan terlibat. Kecacatan yang didapati dalam rekaan EKVE adalah seperti berikut:-
  1. Hampir keseluruhan jajaran EKVE melalui kawasan hutan simpan di sepanjang kaki Banjaran Titiwangsa, seperti Hutan Simpan Gombak, Hutan Simpan Ampang dan Hutan Simpan Hulu Langat. Maka, pembinaan EKVE memerlukan banyak hutan yang ditebang dan dibersihkan. Akibatnya, hedupan liar kehilangan habitat, manakala pengguna kenderaan pula terpaksa berdepan dengan ancaman tanah runtuh. Syarikat konsesi yang merancang pembinaan EKVE ada mencadangkan pembinaan terowong bagi meminimakan kesan kemusnahan hutan, tetapi ia masih belum mencukupi kerana terlalu pendek.
  2. Jalan Ampang B31 perlu dilebarkan bagi jajaran ke Bukit Belacan, tetapi ia turut bermaksud memusnahkan Kampung Lembah Jaya. Untuk pengetahuan anda, jajaran dari Persimpangan Taman Putra sehingga ke penghujungnya di Bukit Belacan merupakan jalan raya dua lorong. Selain itu, pelebaran Jalan Ampang B31 dari Kampung Lembah Jaya sehingga ke Persimpangan Jalan Ampang turut bermaksud Hutan Rekreasi Bukit Belacan, Ampang bakal dimusnahkan.
  3. Jajaran EKVE turut melintasi Permatang Kuartza Klang Gates sepanjang 16 km, permatang kuartza terpanjang di dunia. 5 daripada 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan tersebut tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Maka, pembinaan EKVE sudah tentunya bakal memusnahkan warisan geologi dan kepelbagaian spesies flora dan fauna di kawasan tersebut.
  4. Barangkali kecacatan reka bentuk terbesar pada EKVE ialah persimpangan penamatnya di Lebuhraya Karak E8/FT2 dekat Sungai Pusu berhampiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ia terlalu hampir dengan Plaza Tol Gombak dan seterusnya menambah beban di plaza tol tersebut yang memang sudah sedia sesak terutamanya pada musim perayaan dan seterusnya menyesakkan KL MRR2 FT28 di Batu Caves. Rekaan sebegini jelas menunjukkan seolah-olah syarikat konsesi begitu pemalas dan mengambil jalan mudah yang bukan sahaja menjadikan sistem KLORR tidak lengkap malah menyesakkan jalan-jalan sedia ada.




Ringkasan ancaman alam sekitar di sepanjang EKVE (kredit: The Star)


Seterusnya mari kita tinjau pula analisis bagi SUKE pula. SUKE dikatakan dibina bagi mengurangkan kesesakan KL MRR2 FT28 (?) terutamanya di sepanjang jajaran dari Ulu Klang sehingga ke Sri Petaling di mana kadar aliran trafik adalah yang tertinggi.




Cadangan jajaran SUKE


Jika diperhatikan pada peta cadangan jajaran laluan, ia seolah-olah menunjukkan bahawa SUKE tidak mengambil pengajaran daripada kegagalan sistem rangkaian lebuh raya ekspres Lembah Klang bagi menangani kesesakan, sebaliknya hanya menyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk dalam masa tidak sampai 5 tahun. Tambah memburukkan keadaan, SUKE menggunakan sebahagian KL MRR2 FT28 sebagai sebahagian laluannya, menyebabkan SUKE nanti bukan sahaja gagal mengurangkan kesesakan FT28, tetapi juga menambah beban kepada FT28 dan juga Lebuhraya Shah Alam E5. Maka, tidak hairanlah mengapa boleh dikatakan rata-rata penduduk di sekitar Ampang, Pandan Indah dan Cheras menolak sekeras-kerasnya projek lebuh raya tersebut.




Empat jajaran pilihan bagi DASH




Jajaran terkini yang dipilih bagi DASH


Kes yang sama juga turut berlaku bagi cadangan projek DASH dari penamat Lebuhraya Sprint (Penchala Link) E23 di Exit 2316 Persimpangan Penchala. Tidak seperti jajaran SUKE yang tiada jajaran alternatif setelah menerima bantahan penduduk, DASH pula sudah bersiap sedia dengan 4 pilihan jajaran sekiranya menerima bantahan penduduk.

Sungguhpun demikian, keempat-empat jajaran pilihan bagi DASH kesemuanya berkongsi kelemahan yang sama:-

  1. Keempat-empatnya menggunakan sebahagian jajaran Jalan Batu Tiga-Subang-Sungai Buloh FT3214/FT15
  2. Keempat-empatnya berakhir di Jalan Batu Arang B49, maka kesemuanya melalui kawasan perumahan pinggir Subang dan seterusnya mencabuli ketenangan kawasan tersebut
  3. Jarak antara persimpangan di sepanjang jajaran yang melalui FT3214 adalah terlalu rapat
  4. Keempat-empatnya bermula di LDP E11 dan menambah parah masalah kesesakan LDP E11 yang sudah sedia kronik

Kesimpulannya, ketiga-tiga projek lebuh raya baharu ini ditolak penduduk Lembah Klang berikutan terdapat sebegitu banyak kecacatan reka bentuk, sama ada dari segi kesan alam sekitar mahupun kecacatan reka bentuk fizikal (guna jalan arteri sedia ada, jarak antara persimpangan terlalu rapat, dsb.) Kesemuanya berpunca daripada kegagalan perancangan pembangunan holistik di Lembah Klang. Cuba kaji kembali, kenapa lebuh raya seperti Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Baru Lembah Klang E1, Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Lembah Klang Selatan E26 dan Lebuhraya Elite E6 boleh dibina dengan sebegitu sempurna tanpa mencabuli keperluan kawalan masuk penuh sebagaimana beberapa projek "mi segera" seperti LDP E11...? Lebuh raya tersebut adalah hasil perancangan teliti yang dibuat sekian lama hasil kerja sama badan-badan dalam kerajaan persekutuan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, apa yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada pembangunan tidak tarancang oleh para penyangak hartanah yang sekadar mementingkan keuntungan semata-mata, di samping dasar pembangunan pengangkutan yang begitu lemah.

Wednesday, January 1, 2014

Selamat Tahun Baru 2014 / Happy New Year 2014




Salam sejahtera,

Kita baru sahaja meninggalkan tahun 2013 dan sedang melangkah ke tahun baru 2014. Seperti yang para pembaca sudah sedia maklum, kita bakal mengharungi tahun 2014 dengan penuh keperitan akibat kenaikan harga minyak dan seterusnya kadar tol. Dua kenaikan harga sebegini sahaja sudah menyebabkan pesta naik harga barang, dan kita boleh menjangkakan kadar inflasi yang tinggi pada tahun ini. Maka, saya menyeru kepada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya agar melancarkan kempen agresif bagi menggalakkan rakyat menggunakan jalan persekutuan yang percuma sebagai alternatif kepada lebuh raya ekspres bertol. Ia bukan sahaja menjimatkan wang dan petrol (Fakta: Majoriti kereta paling jimat minyak pada kelajuan 90 km/j), tetapi juga lebih menyeronokkan.

Sehubungan dengan itu, kami juga akan terus menyajikan kepada anda reviu-reviu jalan raya yang seronok untuk dipandu dan kaya dengan pemandangan menarik. Namun, ia bukanlah bermakna kami mahu mengetepikan lebuh raya ekspres sama sekali; sebaliknya, kami turut mempunyai perancangan untuk menguji lebuh raya jarak jauh bagi mengulangi kejayaan tahun 2013 sebagai tahun paling produktif buat Blog Jalan Raya Malaysia.

Sepanjang tahun 2013, sebanyak 29 reviu jalan raya berjaya dihasilkan. Kejayaan terbesar kami ialah penghasilan reviu-reviu jalan raya di Cameron Highlands dan Sabah. Bagi meneruskan kecemerlangan tahun 2013, ini azam baru kami sepanjang tahun 2014:-
  1. Menghasilkan reviu penuh bagi jalan-jalan persekutuan tulang belakang Semenanjung Malaysia (Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5)
  2. Menghasilkan reviu penuh bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2
  3. Mencuba Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2 setelah dibuka kelak
  4. Kembali semula ke Sabah bagi melengkapkan reviu bagi Jalan Persekutuan 1 (Kota Kinabalu-Kudat), Jalan Sapi Nangoh, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22, Jalan Sandakan-Tawau FT13, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dan Lebuhraya Kimanis-Keningau
  5. Menghasilkan reviu penuh bagi Jalan Timur-Barat Johor FT50 (Batu Pahat-Mersing)
  6. Menghasilkan reviu penuh bagi Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 dan Jalan Persekutuan 4
Namun, reviu jalan raya di atas membabitkan kos yang tinggi kerana turut melibatkan penginapan. Bagi reviu jalan raya di Sabah pula, tiket kapal terbang dan sewa kereta turut menyumbang kepada kos yang tinggi. Oleh itu, bantulah kami merealisasikan reviu-reviu jalan raya tersebut dengan menderma, sama ada melalui PayPal / kad kredit / kad debit ataupun mesin CDM / pindahan bank. Sekiranya kesemua pembaca yang melawat Blog Jalan Raya Malaysia ketika ini mendermakan hanya RM5, ia adalah mencukupi untuk menghasilkan reviu jalan raya utama di Sabah. Oleh itu, bantulah kami merealisasikan perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia.

Terima kasih atas sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia selama ini, dan kami harap anda akan terus menyokong perjuangan kami bagi tahun ini dan seterusnya.