Wednesday, April 10, 2013

Pemandu teksi vs prebet sapu / Taxi drivers vs illegal taxis




Salam sejahtera,

Salah satu daripada pengangkutan awam yang paling lazim di sekeliling kita ialah perkhidmatan teksi. Di Malaysia, teksi terdiri daripada kereta penumpang biasa yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengambil upah mengangkut penumpang. Terdapat tiga jenis teksi, iaitu teksi bajet, teksi premier dan teksi eksekutif. Di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Terengganu, teksi bajet berwarna merah putih adalah yang paling lazim, manakala selebihnya ialah teksi eksekutif. Majoriti teksi di Malaysia menggunakan varian Proton Saga, sama ada generasi pertama (Iswara 1.5) ataupun generasi kedua (Saga BLM 1.6 atau Saga FLX 1.6), berikutan harganya yang sangat murah serta mudah untuk diselenggara.

Sementara itu, prebet sapu pula ialah pengusaha "teksi haram" yang menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk mengambil upah mengangkut penumpang. Untik memaksimumkan keuntungan, ada di antara mereka yang menggunakan van atau MPV untuk mengangkut lebih ramai penumpang sekaligus. Mereka digelar "teksi haram" kerana mereka tidak membayar lesen teksi kepada SPAD, sekaligus dapat melepaskan diri daripada mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh SPAD termasuklah keperluan memiliki insurans. Sebab itulah mereka berupaya mengenakan tambang yang lebih murah daripada teksi berlesen, sungguhpun kadar tambang teksi telah pun diseragamkan.

Kasihan pemandu teksi berlesen ini. Kehadiran prebet sapu diibaratkan seperti menabur pasir dalam periuk nasi pemandu teksi sah ini. Sudahlah imej mereka sering tercemar akibat segelintir kecil pemandu teksi yang membuat onar dengan enggan mengambil penumpang (terutamanya ketika kesesakan jalan raya), mengenakan tambang yang mencekik darah, enggan menggunakan meter dan bersikap kasar terhadap penumpang. Akibatnya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Mereka juga terpaksa bersaing dengan mod pengangkutan awam lain yang lebih murah seperti bas dan pengangkutan rel. Itu pun nasib baik Malaysia tiada ojek (teksi motosikal seperti di Indonesia) mahupun tuk-tuk (beca berenjin seperti di Thailand; di Indonesia ia dipanggil bajaj).

Malah, kelibat teksi yang tersadai di tepi jalan akibat rosak juga merupakan pemandangan lumrah. Apa tidaknya, kos penyelenggaraan teksi sebenarnya dua kali ganda lebih tinggi daripada kenderaan biasa kerana mereka beroperasi tanpa henti setiap hari. Namun demikian, pendapatan pemandu teksi pula sering tidak menentu. Kalau pendapatan tidak menentu, bagaimana mereka hendak ada duit untuk menyelenggara teksi mereka mengikut jadual? Jadi, mereka terpaksa memaksa kenderaan mereka demi mencari rezeki yang halal. Jika enjin sering dipaksa tetapi penyelenggaraan tidak menentu, itulah yang menjadi punca teksi rosak. Paling malang apabila enjin rosak teruk sehingga enjin terpaksa diturunkan. Sudahlah tidak dapat mencari rezeki akibat teksi rosak, duit semakin melayang hanya untuk memperbaikinya adalah. Hendak menukar tayar pun satu hal juga, sebab harga tayar bukannya murah.

Berikutan permasalahan yang sering dialami pemandu teksi, kerajaan melalui SPAD memperkenalkan program bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), bertujuan bagi membantu mengurangkan beban para pemandu teksi berlesen, di samping memperbaiki imej pemandu teksi di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing. Pemandu teksi seharusnya dibantu kerana ada di antara mereka yang tergolong dalam kategori rakyat berpendapatan rendah. Buat permulaan, para pemandu teksi diberi bantuan penukaran tayar bagi meningkatkan tahap keselamatan teksi.

Buat warga kota, kita seharusnya menghapuskan stigma negatif terhadap pemandu teksi, kerana mereka juga mahu mencari rezeki halal seperti kita. Terus-terang saya katakan, walaupun saya akui ada pemandu teksi yang enggan mengambil penumpang, namun kebanyakan teksi yang pernah saya gunakan sepanjang di Kuala Lumpur sangat berbaloi - hampir kesemua pemandu teksi yang pernah saya naiki bersikap peramah.

Jika anda masih ragu-ragu untuk menaiki teksi, ada beberapa tip yang ingin saya kongsikan kepada pembaca:-
  1. Pastikan anda berteman semasa menaiki teksi. Ia bukan sahaja membantu anda menjimatkan wang tambang (memandangkan kadar tambang teksi ialah mengikut satu teksi dan bukannya mengikut penumpang; maka, semakin ramai teman anda, semakin rendah tambang yang anda perlu bayar kerana telah dibahagikan mengikut bilangan penumpang), malah penting bagi tujuan keselamatan anda.
  2. Elakkan daripada menggunakan teksi semasa waktu sesak. Jika jalan sesak dan menyebabkan kelajuan teksi turun sehingga bawah 30 km/j, kadar teksi akan mengikut masa dan bukannya jarak. Oleh itu, cuba tunggu sehingga kesesakan jalan raya reda sebelum anda mahu menahan teksi.
  3. Jika anda tahu jalan pintas yang kurang sesak ke destinasi anda, anda boleh cadangkan kepada pemandu teksi supaya dapat mengurangkan tambang yang anda perlu bayar. Pemandu teksi berpengalaman selalunya berupaya menghafal setiap jalan pintas yang ada untuk cepat sampai ke destinasi dan mengelakkan kesesakan.
  4. Anda sebenarnya berhak untuk melaporkan kepada SPAD sekiranya pemandu teksi enggan menggunakan meter dan seterusnya mengenakan tambang yang tidak masuk akal.
  5. Dapatkan nombor telefon pemandu teksi. Ia amat membantu dalam saat-saat kecemasan sekiranya anda tiada pengangkutan. Mungkin sedikit bayaran tambahan akan dikenakan, tetapi sekurang-kurangnya ia memudahkan. Mengambil nombor telefon pemandu teksi juga membantu membina hubungan baik antara penumpang dengan pemandu teksi.

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Kadar tambang teksi yang diseragamkan di Semenanjung Malaysia

Monday, April 8, 2013

Manifesto Barisan Nasional vs Manifesto Pakatan Pakyat - Serupa tak semestinya sama / Barisan Nasional Manifesto vs Pakatan Rakyat Manifesto - Similar does not always mean the same

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto Barisan Nasional

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto Pakatan Rakyat

Salam sejahtera,

Parlimen sudah pun dibubarkan. Kini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sedang berlumba-lumba meraih sokongan rakyat supaya memangkah mereka pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 pada 27 April ini agar memperoleh mandat rakyat untuk menguasai pemerintahan kerajaan persekutuan dan negeri. Masing-masing sudah pun mengeluarkan manifesto tersendiri yang menyentuh mengenai isu-isu berkaitan rakyat. Maka, timbullah keserupaan antara kedua-dua manifesto. Namun, adakah manifesto yang hampir serupa itu semestinya bermaksud sama? Mari kita kaji kedua-dua manifesto ini dari sudut sebagai pengkritik jalan raya!

Apa yang menarik mengenai manifesto daripada kedua-dua pihak ialah BN dan PR mempunyai dasar yang hampir sama mengenai industri lebuh raya ekspres serta automotif. Kedua-dua pihak berjanji mahu membina Lebuhraya Pan Borneo, dan kedua-dua pihak juga berjanji mahu menurunkan harga kereta! Namun, adakah pelaksanaan mereka nanti betul-betul sama?

Terlebih dahulu, Pakatan Rakyat telah berjanji pada penghujung tahun 2012 mahu membina Jaringan Lebuhraya Borneo (JLB) dalam Bajet Alternatif mereka. Barisan Nasional pula berjanji mahu membina Lebuhraya Pan Borneo dalam manifesto baru-baru ini. Namun demikian, mekanisme pelaksanaan mereka jauh berbeza. Pakatan Rakyat mahu membina jaringan lebuh raya ekspres tanpa tol, yang saya sifatkan tidak realistik dalam konteks Sabah dan Sarawak. Barisan Nasional pula sekadar mahu menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo kepada jalan raya kembar. Dalam konteks ini, saya berasa kesal kerana sungguhpun jumlah penduduk di Sabah dan Sarawak jika digabungkan hanya sekadar menyamai jumlah penduduk negeri Selangor sahaja, masih terdapat jajaran sesak seperti pantai barat Sabah dan jajaran Bau-Kuching-Serian yang memerlukan lebuh raya ekspres bagi penyuraian trafik di kawasan berkenaan. Kelewatan pengambilan tanah dan pembinaannya sudah tentu akan menyebabkan kesukaran pengambilalihan tanah pada masa hadapan, kes yang sama seperti Lebuhraya Maju E20 dahulu. Dasar Pakatan Rakyat juga amat diragui kerana mereka amat menentang kutipan tol dan lebuh raya tunggal dua lorong, tetapi masih ada hati mahu membina lebuh raya ekspres rentas Borneo sekaligus, meskipun jarak antara pekan di Sarawak ada kalanya melebihi 100 km, menjadikan pembinaannya tidak menguntungkan.

Mengenai kutipan tol pula, PR mahu menghapuskan tol secara mutlak, yang mana telah saya selar sebelum ini kerana pemansuhan tol tidak semudah mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya - mereka juga perlu juga mengambil alih tanggungan dan liabiliti syarikat konsesi termasuklah pinjaman bank serta pampasan kepada para pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan sekiranya tol dimansuhkan. Sementara itu, BN mempunyai mekanisme tersendiri bagi mengekang kenaikan tol, iaitu melalui perkongsian keuntungan dengan syarikat konsesi. Melalui konsep ini, kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli sebahagian saham dalam syarikat konsesi, membolehkan kerajaan mempunyai kuasa dalam menentukan kadar tol yang dikenakan, bergantung kepada skala ekonomi. Sebahagian keuntungan syarikat turut dikongsi dengan kerajaan, yang membolehkan kerajaan menyerap kerugian segelintir lebuh raya yang gagal mencapai unjuran trafik, sekaligus mengekang kenaikan tol. Pada pendapat saya, mekanisme sebegini lebih baik, kerana selain mengekang kenaikan tol di lebuh raya ekspres jarak jauh, ia juga membantu kerajaan memansuhkan tol di beberapa lebuh raya perbandaran seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumpur E37.

Dari segi dasar automotif pula, kedua-dua pihak berjanji mahu menurunkan harga kereta melalui kajian semua Dasar Automotif Nasional. Sebelum ini, saya mengecam keras Dasar Automotif Nasional kerana bersifat caca-marba tanpa garis panduan yang jelas dan telus - tiada sebutir huruf pun menyebut mengenai pembangunan peraturan dan penguatkuasaan piawaian automotif global. Sementara saya menyelar mekanisme PR yang mahu menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai import dan eksais secara membuta-tuli, saya turut menyelar dasar BN mengenai mekanisme penurunan harga kereta kerana tiada garis panduan yang telus selain sekadar mahu melindungi syarikat automotif tempatan sehingga mereka hilang daya saing. Sekali lagi saya tekankan, perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada syarikat automotif tempatan ialah piawaian automotif seperti piawaian emisi dan penggunaan bahan api, bukannya cukai-cukai mencekik darah yang hanya membuncitkan perut pak-pak menteri. Oleh itu, mekanisme yang lebih baik bagi menurunkan harga kereta ialah melalui insentif diskaun cukai eksais terhadap kereta-kereta yang melepasi piawaian emisi terkini serta piawaian penggunaan bahan api yang ditetapkan, di samping "Dasar 1 Keluarga 1 Kereta" bagi membantu keluarga berpendapatan rendah (serta golongan bujang yang perlu banyak melakukan perjalanan jauh menggunakan kereta) memiliki kereta, tetapi dalam masa yang sama mengekang penyakit "biar papa asal bergaya", penyakit suka berhutang serta kesesakan jalan raya yang menjadi punca nombor satu pencemaran udara di Lembah Klang. Insentif penurunan harga kereta juga sewajarnya dihadkan kepada kereta-kereta segmen A (kereta bandar raya seperti Perodua Viva dan Mitsubishi Mirage), segmen B (supermini dan subpadat seperti Perodua MyVi dan Proton Saga), segmen C (seperti Honda Civic dan Proton Preve), segmen D (seperti Honda Accord dan Hyundai Sonata), SUV kecil dan sederhana (seperti Honda CR-V), dan MPV kecil dan sederhana (seperti Perodua Alza, Honda Freed dan Proton Exora), kerana kenderaan-kenderaan sebeginilah yang banyak digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (pendapatan RM3,000 ke bawah). Jadi, tiada gunanya kalau yang kaya bertambah buncit tetapi yang miskin makin melarat akibat potongan harga kereta secara membuta-tuli.

Sebagai tambahan kepada janji-janji yang telah saya sebutkan di atas, Barisan Nasional turut berjanji mahu membina Lebuhraya Pantai Barat E28 yang sering tertangguh, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Lebuhraya Gambang-Segamat (kedua-duanya sebagai sebahagian komponen Lebuhraya Pantai Timur). Apa pun, saya amat mengharapkan agar kesemua janji ini ditunaikan dan tidak sekadar menjadi "janji dicapati", yang tentunya menjadi punca utama rakyat "menghukum" kealpaan parti pemerintah dengan memangkah parti pembangkang pada pilihan raya kelak. Kepada para pengundi di luar sana, nilaikanlah apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua parti dengan betul dan bukan melalui emosi, kerana anda sebenarnya bermain dengan rolet Rusia semasa memangkah kertas undi kelak.

Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

Monday, April 1, 2013

Media Jalan Raya Malaysia: Karak / Malaysian Highway Media: Karak





Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin memperkenalkan satu segmen baru di Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu Media Jalan Raya Malaysia. Media Jalan Raya Malaysia menampilkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya Malaysia dalam media popular seperti filem, siri drama, novel, lagu mahupun permainan video. Entri pembuka bagi segmen Media Jalan Raya Malaysia ialah filem Karak yang ditayangkan pada tahun 2011 terbitan United Studios milik trio adik-beradik KRU yang pernah dikenali sebagai sebuah kumpulan rap Malaysia yang popular tahun 1990an. Filem tersebut merupakan filem seram yang menampilkan cerita-cerita hantu popular yang dikaitkan dengan Lebuhraya Karak E8/FT2

Filem tersebut mengisahkan sekumpulan empat sahabat yang terdiri daripada Nik, Zura, Ida dan Jack sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2. Namun, kesesakan luar biasa di lebuh raya tersebut di Persimpangan Karak menyebabkan mereka memilih untuk keluar dari lebuh raya dan sebaliknya melalui Jalan Persekutuan 2. Semasa berhenti rehat di pekan Karak, Nik dan Jack diganggu hantu semasa berada di sebuah tandas yang usang dan tidak terurus. Semasa mereka meneruskan perjalanan di jalan raya persekutuan itu, sekali lagi mereka diganggu hantu sehingga menyebabkan kereta yang dipandu Jack hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Setelah Zura berjaya mendapatkan rakan-rakannya, mereka menjumpai sebuah rumah di dalam hutan yang didiami oleh Tok Malam serta sepakat untuk menumpang di rumah tersebut sementara menunggu hari siang untuk mendapatkan bantuan. Namun demikian, pelbagai kejadian seram berlaku semasa mereka berada di rumah tersebut. Adalah didedahkan bahawa hantu-hantu yang mengganggu mereka selama ini asalnya merupakan hantu belaan arwah isteri Tok Malam, manakala pada penghujung cerita pula didedahkan bahawa Nik, Ida dan Jack sebenarnya sudah mati akibat kemalangan tersebut; "rakan-rakan" Zura semasa di rumah Tok Malam pula adalah hantu-hantu yang mahu menyesatkan Zura.

Setelah menonton filem tersebut, saya amat memuji usaha Norman, Yusry dan Edry memartabatkan jalan raya Malaysia melalui filem ini. Ia dibuktikan melalui penggunaan kod laluan yang betul bagi papan tanda lebuh raya tersebut seperti dalam poster promosinya. Namun, kelemahan ketara filem ini ialah kurang realisme pada jalan-jalan yang digunakan dalam filem ini. Misalnya, jika anda perhatikan betul-betul pada "Lebuhraya Karak" yang digunakan dalam babak terawal filem ini, "lebuh raya" tersebut sebenarnya ialah jalan-jalan raya sekitar Putrajaya dan bukannya Lebuhraya Karak E8/FT2 yang sebenar, boleh dikenali melalui bentuk tiang lampunya. Begitu juga dengan "jalan Karak lama" dalam filem tersebut sebenarnya ialah jalan di Hulu Langat (kemungkinan sama ada Jalan Negeri Selangor B52, B19 atau B116) dan bukannya Jalan Persekutuan 2 ataupun Jalan Gombak-Bentong FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama yang sebenar). Namun demikian, saya percaya KRU tentunya tidak mahu menggunakan lokasi sebenar kerana tidak mahu perkara buruk terjadi kepada seluruh kru produksi dan para pelakon, berikutan pengalaman sebenar mereka sendiri yang pernah diganggu hantu di Lebuhraya Karak FT2 semasa awal kerjaya muzik mereka. Sebab itulah mereka terpaksa menggunakan lokasi lain bagi tujuan penggambaran dan "mencipta" sendiri "Lebuhraya Karak E8/FT2" dan "Jalan Karak Lama FT2" versi mereka bagi filem ini melalui teknik imej janaan komputer (CGI).

Sebagai langkah penambahbaikan, saya cadangkan agar KRU mengkaji sistem papan tanda jalan raya Malaysia secara mendalam supaya dapat menimbulkan realisme dalam filem sebegini meskipun tidak dibuat di lokasi sebenar. Penggunaan fon tulisan mestilah dari jenis FHWA Gothic Siri E ataupun fon Transport, kerana kedua-dua fon inilah yang diterima pakai sebagai fon piawai bagi papan tanda jalan raya Malaysia.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada KRU kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang saya sifatkan sebagai filem tempatan pertama yang benar-benar memartabatkan jalan raya Malaysia. Mungkin saya perlu cadangkan kepada KRU agar menerbitkan sebuah filem mengenai kisah perjuangan pekerja JKR serta anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 pada tahun 1970an di tengah-tengah ancaman pengganas komunis. Sekurang-kurangnya, filem sedemikian berupaya menerapkan sifat patriotik, cintakan negara serta menghargai jasa pekerja JKR serta anggota tentera yang terkorban semasa menyiapkan Lebuhraya Timur-Barat FT4 tersebut, di samping mendidik rakyat agar memartabatkan jalan raya Malaysia.

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, sila klik sini untuk sejarah Lebuhraya Karak dan klik sini untuk reviu eksklusif Lebuhraya Karak E8/FT2.


Maklumat filem

Pengarah: Yusry Abdul Halim
Penerbit: Yusry Abdul Halim, Edry Abdul Halim dan Norman Abdul Halim
Penulis: Yusry Abdul Halim (lakon layar); Norman Abdul Halim (cerita asal)
Pelakon:-

  • Nik: Shahir AF8
  • Zura: Shera Aiyob
  • Ida: Kilafairy
  • Jack: Md. Eyzendy
Penyunting: Hafizan Malek
Tarikh mula tayangan: 26 Mei 2011 (Malaysia)
Perbelanjaan: RM1.14 juta
Pulangan kasar: RM4.28 juta