Tuesday, June 2, 2015

Modenas TTR200 - motosikal cafe racer dari Malaysia / Modenas TTR200 - a cafe racer motorcycle from Malaysia

Salam sejahtera,

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Modenas sering dikritik kerana tidak mempelbagaikan produk motosikal yang dikeluarkannya. Asyik-asyik model kapcai, kapcai, kapcai, kapcai dan kapcai sahaja. Sebelum ini Modenas memang pernah mengeluarkan model cruiser Modenas Jaguh, model skuter Modenas Karisma yang kemudiannya digantikan dengan Modenas Passion, serta model skuter maksi Modenas Elegan yang seterusnya digantikan dengan Modenas Elegan 200, tetapi entah bagaimana kesemua model tersebut akhirnya dihentikan pengeluarannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa serta tanpa sebarang pengganti. Aktiviti promosi pun tidak seagresif penghujung tahun 1990an dan awal 2000an dahulu. Pada zaman kegemilangannya dahulu, Modenas pernah mendominasi sehingga 52% pasaran kapcai 4 lejang, tetapi sekarang tahap penguasaan Modenas hanyalah sekitar 9% sahaja secara keseluruhannya. Malah, sebuah lagi syarikat motosikal Malaysia dari Kuching, Sarawak iaitu Demak Motor sendiri pun sudah lama menapau pasaran Modenas, sedangkan sebelum ini jenama Demak hanya dianggap sebagai jenama picisan yang mengeluarkan motor-motor klon sahaja. Wartawan automotif terkemuka iaitu Hezeri Samsuri serta pengasas majalah Roda-Roda iaitu Allahyarham Md. Yusoff Bakar pernah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang dihadapi oleh Modenas ini.

Sehubungan dengan itu, Modenas sudah tidak lagi boleh terus berada dalam kepompong mereka sendiri dengan sekadar memikirkan mereka hanya boleh mengeluarkan motor kapcai bawah 200 cc sahaja, tetapi sebaliknya mereka perlu berfikir di luar kotak dengan mempelbagaikan genre motosikal keluaran mereka. Itulah yang dilakukan oleh Proton untuk membolehkan mereka menghasilkan kereta sendiri tanpa bergantung kepada syarikat kereta lain untuk ditiru reka bentuk mahupun teknologinya. Itu sahajalah cara untuk Modenas terus kekal dalam pasaran motosikal negara. Sekarang ini sudah sampai ke tahap ada di kalangan rakyat Malaysia yang sedikit pun tidak mengetahui kewujudan jenama Modenas, yang mana saya anggap sebagai situasi berbahaya.

Setelah dikritik sekian lama mengenai dasar-dasar mereka yang enggan berubah selama ini, akhirnya Modenas buat pertama kalinya akur akan tuntutan pasaran motosikal negara apabila mereka buat pertama kalinya sejak tahun 1999 memperkenalkan sebuah motosikal bergenre berbeza dengan kapasiti enjin yang lebih besar. Model yang saya maksudkan itu ialah Modenas TTR200, iaitu sebuah motosikal cafe racer buatan Malaysia.

Pada 16 Mei 2015 bertempat di ibu pejabat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) di Glenmarie, Modenas menghimpunkan kelab-kelab motosikal Modenas di seluruh negara dalam satu majlis perhimpunan yang dikenali sebagai Kerabat Modenas. Dalam majlis tersebut, Modenas telah melakukan satu kejutan apabila mereka buat julung-julung kalinya memperkenalkan model motosikal cafe racer sulung mereka iaitu Modenas TTR200.

Kenapa cafe racer...? Motosikal cafe racer sebenarnya berevolusi daripada motosikal jalanan biasa. Motosikal jalanan biasa dikenali dengan tangki besar di bahagian hadapan pelana dan enjin yang terdedah, menyebabkannya sesuai untuk perjalanan jauh. Namun, pengeluar-pengeluar motosikal British seperti Triumph, BSA, Vincent dan Norton melakukan beberapa perubahan pada motosikal jalanan biasa ini untuk memfokuskan kepada kelajuan, di samping menampilkan identiti British pada motosikal keluaran mereka. Antara ciri lazim yang diterapkan termasuklah tangki yang berlekuk bagi membolehkan kedua-dua lutur dirapatkan pada motosikal, bar hendal yang rendah, lampu hadapan berfairing serta pelana berlekuk bagi merendahkan kedudukan penunggang. Namun, satu ciri yang menampilkan identiti British pada motor cafe racer ialah penggunaan enjin silinder tunggal atau kembar yang menegak lurus dan bukannya condong sedikit sebagaimana kebanyakan motosikal jalanan biasa moden. Hari ini, meskipun pengeluaran motosikal global didominasi motosikal jalanan biasa, superbike dam cruiser, namun masih ada di kalangan pemilik motosikal biasa yang mengubahsuai kerangka dan badan motosikal mereka sehingga menyerupai cafe racer. Daripada situlah populariti motosikal cafe racer kembali meningkat.

Motosikal cafe racer Modenas TTR200 ini menggunakan enjin 213.4 cc sejukan udara hasil kejuruteraan undur daripada enjin 175 cc asal Modenas Jaguh. Seperti Jaguh, TTR200 ini juga menggunakan transmisi 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas). Meskipun TTR200 ini memang sudah dilengkapi penghidup elektrik, namum penghidup tendang turut ditambah bagi memenuhi keperluan mereka yang mahu menggunakan penghidup tendang untuk menghidupkan enjin yang lebih besar sebagai bukti peminat tegar cafe racer sejati. Sementara itu, Jaguh pula memang tiada penghidup tendang. Selain itu, penutup pengisi minyak jenis baharu dengan ukur celup digunakan, sedangkan penutup pengisi minyak asal Jaguh perlu dibuka menggunakan pemutar skru serta menggunakan cermin skrin minyak yang mudah kotor bagi mengetahui takat minyak enjin.

Namun, apa yang mengecewakan saya ialah TTR200 ini menggunakan karburetor jenis Spaco dan bukannya pancitan bahan api, sedangkan pengeluar cafe racer sejati seperti Triumph dan Royal Enfield sudah lama berhijrah kepada sistem pancitan bahan api. Ia sudah tentunya menyukarkan usaha bagi mengeksport motosikal ini ke negara-negara yang mempunyai peraturan emisi yang ketat terutamanya di pasaran eksport utama Modenas di Greece. Jika sistem pancitan bahan api digunakan, maka sudah tentulah Modenas berupaya mengeksport model ini ke Eropah kerana ia boleh lulus piawaian emisi sekurang-kurangnya Euro 3.

Apa pun, pengenalan model Modenas TTR200 seharusnya dilihat sebagai usaha Modenas untuk bangkit semula di pasaran motosikal Malaysia dan bukannya terus ditinggalkan oleh para pesaing yang lain. Modenas masih berteki-teki lagi tentang tarikh model ini bakal dilancarkan. Namun, sekiranya ia dilancarkan, maka saya percaya TTR200 ini berupaya memperoleh sambutan memberangsangkan kerana ia memenuhi keperluan penunggang motosikal yang mahu berhijrah daripada motosikal kapcai kepada motosikal yang lebih besar agar tidak perlu terlalu menyeksa enjin semasa perjalanan jauh mahupun di lebuh raya ekspres.



Spesifikasi Modenas TTR200

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 213.4 cc
Lubang x lejang: 72 x 52.4 mm
Kuasa kuda maksimum: 12.8 kW (17.4 PS) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 14.7 N-m @ 7,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera (depan) dan gelendong (belakang)
Berat kering: 125 kg


Apa yang saya suka
  1. Motosikal berkapasiti besar pertama Modenas setelah sekian lama selepas Jaguh
  2. Praktikal bagi perjalanan jauh
  3. Reka bentuk retro yang menarik minat penggemar motosikal cafe racer sejati
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih menggunakan karburetor
  2. Modenas masih berteka-teki akan tarikh pengeluarannya






Bahagian hadapan Modenas TTR200






Rekaan lampu haapan dan lampu isyarat membelok yang nampak klasik






Pandangan sisi kiri. Enjin yang digunakan ialah enjin 213.4 cc hasil kejuruteraan semula enjin Jaguh








Brosur Modenas TTR200 yang dibocorkan
(Semua kredit gambar: Malaysian Bikers)

Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 bakal membentuk Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5 (MRR1.5) / Duke Expressway E33 Phase 3 may form KL Middle Ring Road 1.5 (MRR1.5)




Salam sejahtera,

Tatkala pembinaan projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 sedang berjalan bagi menghubungkan antara Lebuhraya Duke E33 sedia ada dengan Jalan Tun Razak dan Jalan Sungai Buloh FT54, Ekovest Berhad melalui anak syarikatnya Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) baru-baru ini mengumumkan untuk memanjangkan lagi Lebuhraya Duke E33 untuk membentuk satu sistem lebuh raya lingkaran terbaru di Kuala Lumpur. Ia bertujuan bagi menyediakan satu laluan sebelah timur yang menghubungkan antara lebuh raya di sebelah utara Kuala Lumpur (Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 dan NKVE E1) dengan lebuh raya di sebelah selatan (Lebuhraya KL-Seremban E37, Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Persekutuan FT2). 

Tidak seperti fasa-fasa sebelumnya serta lebuh raya lain di Lembah Klang yang semata-mata menghubungkan antara kawasan-kawasn utama di situ, projek Duke 3 ini pula sangat berbeza kerana ia bertujuan memirau lalu lintas luar daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur serta menghubungkan antara stesen-stesen pengangkutan awam jika hendak ke pusat bandar raya. Dengan kata lain, anda boleh jangkakan kebanyakan daripada persimpangan di sepanjang Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 nanti merupakan persimpangan terus ke tempat parkir stesen komuter, LRT dan MRT, atau setidak-tidaknya persimpangan ke kawasan yang berhampiran dengan stesen komuter, LRT dan MRT. Tatkala lebuh raya lain hanya disifatkan sebagai menambah parah kesesakan sedia ada dengan menggalakkan lebih banyak penggunaan kereta melalui induced demand, serius saya katakan bahawa saya sangat suka akan idea sebegini yang mana dalam projek Duke 3 ini Kesturi mahu menggalakkan lebih banyak penggunaan pengangkutan awam, dan mereka mahu melihat lebuh raya mereka benar-benar berfungsi bukan sahaja untuk memirau lalu lintas tetapi juga sebagai laluan utama ke stesen pengangkutan awam. Secara keseluruhannya, projek ini dijangkakan mampu mengurangkan sehingga lebih kurang 50,000 kenderaan daripada memasuki pusat bandar raya. Sebab itulah projek Duke 3 ini mendapat kelulusan dengan sebegitu mudah oleh Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Sebenarnya sebelum ini konsep sebegini pernah cuba diperkenalkan oleh syarikat konsesi Kidex bagi mendapatkan sokongan bagi projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi malangnya ia dibatalkan secara unilateral oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, meskipun Kidex merupakan projek lebuh raya persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak langsung untuk membatalkannya. Dalam projek Duke 2 bagi laluan Segambut-Bukit Maluri, Kesturi memang sudah merancang untuk membina sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di Segambut yang turut berfungsi sebagai hentian park and ride bagi menggalakkan orang-orang Menjalara dan Bukit Maluri untuk menggunakan perkhidmatan KTM Komuter untuk ke pusat bandar raya.

Dalam projek Duke 3 ini, hubungan ke stesen-stesen pengangkutan awam bukan sahaja melibatkan laluan Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 sahaja, tetapi ia turut melibatkan fasa pertama dan kedua. Selain itu, Lebuhraya Duke E33 turut dirancang bagi melengkapkan sistem Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5, jadi ia tentunya memerlukan kerjasama dan penglibatan dua lagi syarikat konsesi iaitu Anih Berhad (bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37) dan Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) (bagi Lebuhraya Sprint E23) yang melengkapkan sistem MRR1.5 ini.

Stesen-stesen pengangkutan awam yang bakal dihubungkan dalam projek Duke 3 ini adalah seperti berikut:-
  1. Stesen KTM Segambut (sedang dihubungkan ke R&R Segambut dalam projek Duke 2)
  2. Stesen MRT Batu Kentonmen
  3. Stesen KTM Sentul
  4. Stesen LRT Setiawangsa (sudah dihubungkan melalui Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa)
  5. Stesen LRT Jelatek
  6. Stesen LRT Chan Sow Lin
  7. Stesen LRT Salak Selatan
  8. Stesen KTM Siputeh
  9. Stesen LRT Kerinchi
  10. Stesen MRT Phileo Damansara

Sementara itu, Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 akan dibina di atas Jalan Setiawangsa, Jalan Jelatek, Jalan Desa Pandan dan Jalan Kampung Pandan, seterusnya melalui kawasan perindustrian Chan Sow Lin dan Salak Selatan, dan berakhir di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 di Salak Selatan. Projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 ini juga akan dikenali sebagai Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33.

Setakat ini, belum ada pengesahan oleh pihak Ekovest mahupun Kesturi mengenai butiran persimpangan yang bakal dibina di sepanjang Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33 ini nanti, jadi sama-samalah kita nantikan pengumuman oleh Ekovest dan Kesturi mengenainya.

Sumber berita: The Rakyat Post & The Star

Monday, June 1, 2015

Yamaha E115M - Motosikal kapcai untuk orang Sabah dan Sarawak / Yamaha E115M - An underbone motorcycle for Sabahans and Sarawakians



Yamaha E115M, motosikal yang dibuat khas untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja - orang Semenanjung tidak akan jumpa model ini
(Kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang memberikan sambutan memberangsangkan terhadap entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 yang telah saya tulis semalam. Usaha menghimpunkan sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 ini juga telah membolehkan entri mengenai jalan tersebut di Wikipedia dikemaskini berserta dengan sumber-sumber rujukannya sekali. Sokongan daripada anda semua terutamanya kepada Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN), Kementerian Kerja Raya Malaysia dan juga para pembaca sekalian telah menjadikan usaha menghimpunkan sejarah lengkap jalan raya yang telah banyak berjasa kepada rakyat sejak tahun 1880 mencapai kejayaan besar.

Sehubungan dengan kejayaan besar ini, saya kini sedang merancang untuk menghidupkan semula projek reviu berkembar Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, yang disasarkan untuk dijalankan selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada awal bulan Ogos ini. Tidak seperti reviu jalan raya lain sebelum ini yang dijalankan dengan menggunakan kenderaan sendiri terutamanya motosikal (kecuali siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 dan XPDC Teganu Kita 2015), saya merancang untuk menghantar proposal kepada Hong Leong Yamaha Motor untuk meminjamkan kepada saya sebuah motosikal Yamaha 135LC khas untuk projek reviu kali ini. Kenapa mesti guna Yamaha 135LC dan bukannya Honda Wave 125X Ultimo...? Jawapannya adalah kerana projek reviu kali ini diadakan sempena dengan ulang tahun Jalan Persekutuan 1 yang ke-135 pada tahun ini. Selebihnya, anda nantikanlah pengumuman seterusnya tidak lama lagi.

Semasa saya hendak membelek-belek laman sesawang Hong Leong Yamaha Motor bagi meninjau spesifikasi Yamaha 135LC, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kehadiran sebuah model motosikal kapcai baharu yang tidak pernah saya dengar sebelum ini iaitu Yamaha E115M. Malah, kelibat model motosikal itu juga tidak pernah saya nampak di mana-mana kedai motosikal yang pernah saya kunjungi. Semasa saya cuba google mengenai pelancaran model tersebut, saya dapati bahawa model motosikal Yamaha E115M ini sebenarnya memang sudah dilancarkan di Kuching, Sarawak pada 12 Februari 2015. Nampak sangat saya sudah jauh ketinggalan kereta api...!!! Kenapa saya boleh tidak tahu akan kewujudan model ini...? Sebenarnya, model E115M ini memang dibina khas oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja, jadi anda memang tidak akan berpeluang untuk menemui motor ini di Semenanjung. Nama E115M itu sendiri pun membawa maksud East Malaysia (Malaysia Timur).

Untuk makluman anda, Yamaha E115M ini dibina berasaskan model Yamaha Spark 115i di Thailand dan Yamaha Vega ZR di Indonesia. Namun, apa yang membezakan E115M ini dengan kembar-kembar seirasnya di Thailand dan Indonesia ialah enjin yang digunakannya - E115M menggunakan enjin Lagenda 115Z generasi keempat yang menggunakan karburetor, sedangkan Spark 115i pula menggunakan enjin pancitan bahan api serba baharu yang sama seperti enjin Lagenda 115Z Fuel Injection. Sementara itu pula, Lagenda 115Z Fuel Injection yang dijual di Malaysia pula berasaskan model Jupiter Z1.

Kenapa pula model E115M yang lebih baharu menggunakan karburetor sedangkan Lagenda 115Z Fuel Injection pula menggunakan pancitan bahan api...? Jawapannya terletak kepada latar belakang muka bumi Sabah dan Sarawak itu sendiri. Majoriti kawasan Sabah dan Sarawak terdiri daripada kawasan berpenduduk jarang dengan jaringan jalan raya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Semenanjung. Jarak antara stesen minyak pun sangat jauh sehingga ada yang melebihi 100 km. Justeru, model yang dikeluarkan bukan sahaja perlu berupaya untuk tahan sekurang-kurangnya 150 km bagi setangki penuh pada kelajuan 80-100 km/j, malah perlu direkabentuk supaya boleh juga menggunakan alat ganti Yamaha Lagenda 115Z untuk mengelakkan daripada masalah kesukaran untuk mendapatkan alat ganti, khususnya bagi penduduk di pedalaman. Sistem bahan api karburetor dipilih supaya mekanik di kawasan pedalaman yang kurang mahir pun boleh menservis sistem bahan api, tidak seperti pancitan bahan api yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi untuk membaikinya, di samping peralatan khas untuk membaca kod ralat sekiranya lampu periksa enjin menyala. Maka, model E115M ini sangat bersesuaian dengan konteks Sabah dan Sarawak.

Enjin yang digunakan itu mampu menghasilkan 7.75 PS @ 7,260 rpm dan tork 8.0 N-m @ 5,480 rpm. Angka-angka ini sebenarnya lebih rendah daripada keupayaan Yamaha Lagenda 115Z berkarburetor yang mampu menghasilkan 8.2 PS @ 7,500 rpm dan tork 8.3 N-m @ 4,500 rpm. Jadi, anda hanya boleh jangkakan motor ini paling laju boleh pergi pun cuma sekitar 105-110 km/j sahaja. Namun, memandangkan tiada lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, maka kelajuan maksimum sebegini sudah boleh dianggap cukup laju di sana. Bagi yang sudah biasa menunggang sekurang-kurangnya Lagenda 115Z Fuel Injection, anda boleh lupakan keseronokan memecut laju sehingga 130 km/j. Enjin E115M ini sengaja dinyahtala sebegitu kerana ketahanan enjin lebih diutamakan di sini.

Harga motosikal Yamaha E115M ini dianggarkan sekitar RM4,200 sehingga RM4,500, menjadikannya motosikal Yamaha termurah di Malaysia Timur, iaitu lebih murah daripada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection dan lebih kurang dalam lingkungan harga Honda EX5 Dream FI. Jadi motosikal manakah yang berupaya menyaingi E115M ini...? Jawapannya sudah tentulah model-model keluaran Demak dan SYM yang menggunakan formula yang sama - harga murah, enjin mungkin kurang berkuasa tetapi tahan lasak dan boleh dilenjan mengikut keadaan muka bumi Sabah dan Sarawak.


Spesifikasi Yamaha E115M

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 114 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 7.75 PS @ 7,260 rpm
Tork maksimum: 8.0 N-m @ 5,480 rpm
Penghidup: Tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Gelendong depan dan belakang
Berat kering: 96 kg
Kelajuan maksimum: Lebih kurang 105-110 km/j

Apa yang saya suka
  1. Harga yang murah
  2. Boleh menggunakan alat ganti Lagenda 115Z lama
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjin kurang berkuasa






Pandangan hadapan Yamaha E115M






Lampu belakang E115M. Perhatikan slot kunci pembuka pelana di bawah lampu belakang dan bukannya di sebelah kiri lampu belakang






Yamaha E115M turut menyertakan ruang simpanan di bawah pelana yang mencukupi untuk menyimpan baju hujan dan sarung tangan






Panel meter E115M yang ringkas. Julat angka meter laju ini memberi bayangan bahawa motor ini memang tidak laju
(Semua kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)