Wednesday, April 29, 2015

Honda EX5 Dream 110 kini dilengkapi pancitan bahan api PGM-FI / The Honda EX5 Dream 110 is now equipped with PGM-FI fuel injection

Salam sejahtera,

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Honda merupakan syarikat pengeluar motosikal yang mengeluarkan model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia iaitu Honda Wave 125i pada tahun 2003. Model tersebut dibangunkan oleh Honda Thailand hasil daripada kejayaan mereka membangunkan satu sistem pancitan bahan api kos rendah yang diasaskan daripada teknologi pancitan bahan api PGM-FI mereka. Seterusnya, PT Astra Honda Motor membawa masuk teknologi PGM-FI pada tahun 2005, diikuti negara-negara Eropah yang membawa masuk model Honda Innova 125i ke sana.

Malangnya, Boon Siew Honda, pengeluar serta pengedar motosikal Honda di Malaysia, tidak pula membawa masuk teknologi tersebut di Malaysia tatkala negara-negara jiran sudah merasai kecanggihan teknologi pancitan bahan api pada motosikal kapcai, meskipun tatkala harga minyak Malaysia melambung pada takat tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2007. Malah, pesaing-pesaingnya iaitu Modenas, Yamaha dan Suzuki sudah jauh meninggalkan Honda di belakang dengan model-model kapcai pancitan masing-masing, iaitu Modenas 118EFI, Yamaha Lagenda Z 115 Fuel Injection dan Suzuki Smash 115 FI. Akibatnya, Boon Siew Honda sering dikecam oleh peminat motosikal di negara ini kerana tidak membawa masuk teknologi berkenaan sehinggakan sudah jauh ditinggalkan oleh para pesaing. Malah, Malaysia pada keseluruhannya sudah pun ketinggalan 12 tahun di belakang Thailand dalam pembangunan teknologi pancitan bahan api untuk motosikal kapcai.

Hanya pada hari semalam (28 April 2015) barulah Boon Siew Honda melancarkan model Honda EX5 Dream FI bagi menggantikan model Honda EX5 Dream 110 berkarburetor. Sejak model asal EX5 Dream 100 yang mula dikeluarkan pada tahun 1987 dihentikan pengeluarannya pada 31 Disember 2013, EX5 Dream 110 yang menggantikannya gagal meneruskan kegemilangan pendahulunya itu meskipun ia menggunakan enjin yang lebih besar. Antara punca utama kenapa sambutan terhadap EX5 Dream 110 tidak sehebat pendahulunya itu adalah disebabkan oleh rekaan lampu belakangnya yang kurang menarik. Justeru, selain untuk menjadi model motosikal kapcai pancitan bahan api sulung keluaran Boon Siew Honda, EX5 Dream FI dikeluarkan bagi menangani beberapa kelemahan yang ada pada EX5 Dream 110 asal.

Jika diperhatikan pada rekaan lampu belakangnya, EX5 Dream FI ini ternyata lebih menarik daripada EX5 Dream 110 kerana rekaan lampu belakangnya kali ini mempunyai design cues yang menyerupai lampu asal EX5 Dream 100 lama. Namun, saya terpaksa mengakui bahawa ramai di kalangan peminat motosikal kapcai di Malaysia yang tidak suka akan rekaan lampu isyarat membelok jenis "capang" sebegini. Sungguhpun anda tidak suka akan rekaan lampu isyarat membelok sebegini, namun kita terpaksa menerima hakikat bahawa penggunaan lampu isyarat membelok belakang jenis capang kini diwajibkan menurut Peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Dengan kata lain, jika anda memasang unit lampu belakang yang disepadukan bersama-sama lampu isyarat membelok, anda boleh dikenakan tindakan saman oleh JPJ walaupun lampu isyarat membelok itu berfungsi sepenuhnya.

Sekarang kita beralih pula kepada enjinnya pula. Enjin yang digunakan masih sama, tetapi kali ini ia menggunakan pancitan bahan api PGM-FI bagi menggantikan karburetor lama. Hasilnya, enjin EX5 Dream FI kali ini lebih berkuasa berbanding EX5 Dream 110 berkarburetor (8.47 PS vs 7.67 PS) dan lebih jimat minyak (58.3 km/L vs 53.8 km/L). Oh ya, EX5 Dream FI kali ini menggunakan tangki minyak yang lebih besar (4.3 L vs 4.0 L), jadi setangki penuh petrol pada motosikal EX5 Dream FI boleh membawa anda dengan lebih jauh berbanding EX5 Dream 110 lama (250 km vs 214 km).

Namun, ada satu perkara yang saya kurang senang akan Honda EX5 Dream FI ini - harganya. Jika sebelum ini Honda EX5 Dream 110 dijual dengan harga antara RM3,708.00 (model penghidup tendang) sehingga RM4,145.00 (model penghidup elektrik), EX5 Dream FI pula dijual dengan harga antara RM4,299.00 (model penghidup tendang) sehingga RM4,529.00 (model penghidup elektrik). bagi sebuah model kapcai yang sekadar menggunakan rim lidi dan brek gelendong hadapan dan belakang, harga sebegitu boleh dikatakan begitu mahal. Apa tidaknya, hanya tambah sekitar RM200 lebih sudah boleh dapat beli motosikal Modenas 118EFI yang dilengkapi penghidup elektrik, rim sport dan brek cakera hadapan. Apa pun, pilihan terletak pada tangan anda sendiri.

Spesifikasi Honda EX5 Dream FI

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 110 cc
Sesaran: 109.1 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 8.47 PS @ 7,500 rpm
Tork: 8.4 N-m @ 6,000 rpm
Jarak roda: 1,212 mm
Berat kering: 98 kg (model penghidup tendang); 99 kg (model penghidup elektrik)
Muatan tangki bahan api: 4.3 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Segala kelebihan yang ada pada motor pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, lebih mudah dihidupkan ketika sejuk)
  2. Tangki minyak yang lebih besar
  3. Tahan lasak dan boleh dipercayai sehingga berzaman
Apa yang saya tidak suka
  1. Harganya yang kali ini mahal dan kurang berbaloi dengan model motosikal yang hanya menggunakan rim lidi dan brek gelendong hadapan dan belakang
  2. Slot kuncinya masih belum cukup selamat - Honda sepatutnya menggunakan slot kunci berpenutup seperti model-model kapcainya yang lain





Honda EX5 Dream FI menggantikan pendahulunya yang menggunakan karburetor






Rekaan lampu hadapan masih sama seperti pendahulunya






Rekaan lampu belakangnya pula mempunyai sedikit design cues seperti Honda EX5 Dream 100 lama, tetapi dengan lampu isyarat membelok jenis capang






Meternya direka semula agar lebih ringkas tetapi lebuh mudah dibaca






Slot kuncinya masih mempunyai kelemahan yang sama seperti pendahulunya kerana tiada penutup slot
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Transformasi Jalan Raya Malaysia Bahagian 1: Transformasi papan tanda jalan raya Malaysia / Malaysian Highway Transformation Part 1: Malaysian highway signage transformation





Transformasi papan tanda Exit 235 Persimpangan Tangkak, Lebuhraya Utara-Selatan E2 pada tahun 1990an (gambar atas) dan sekarang (gambar bawah)






Papan tanda di persimpangan utama pekan Ayer Hitam, Johor yang menghubungkan antara Jalan Persekutuan 1 dengan Jalan Persekutuan 50 pada zaman penjajah (gambar atas) dan sekarang (gambar bawah)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Selain kesibukan kerja sepanjang minggu lalu, saya ke Pulau Pinang pada hujung minggu lalu berikutan majlis konvokesyen adik lelaki saya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Namun, saya tidak hanya pulang dengan tangan kosong sahaja kerana saya ingin membawakan "ole-ole" khas untuk anda dari Pulau Pinang iaitu reviu Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15/FT4, tetapi sebelum itu izinkan saya untuk menulis mengenai satu isu penting yang belum sempat saya tulis minggu lalu iaitu mengenai evolusi papan tanda jalan raya Malaysia.

Minggu lalu pada 22 April 2015, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Ir. Hj. Annies bin Md. Ariff, turun padang ke Kuantan bagi meninjau projek perintis transformasi papan tanda jalan raya di Kuantan. Projek ini diadakan sebagai sebahagian daripada program Transformasi Penyampaian Perkhidmatan Awam (PSDT) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Jalan Sungai Lembing FT231 dipilih bagi projek perintis ini, yang melibatkan penggantian papan-papan tanda sedia ada kepada jenis yang lebih baik dan lebih jelas, di samping beberapa penambahbaikan lain bagi menjadikan papan tanda jalan raya lebih mudah untuk dilihat dengan jelas.

Dalam projek tersebut, beberapa kelemahan pada papan tanda di sepanjang FT231 dikenal pasti seperti berikut:-

  1. Papan iklan di Exit 833 Persimpangan Kuantan sangat besar dan lebih menonjol daripada papan tanda jalan raya itu sendiri
  2. Lambakan papan tanda lain berdekatan papan tanda jalan raya yang berserabut dan menyemakkan
  3. Lokasi papan tanda yang terlindung oleh pokok-pokok besar serta kereta-kereta yang diparkir di tepi jalan
  4. Lokasi Exit 833 Persimpangan Kuantan untuk memasuki Lebuhraya Pantai Timur E8 begitu jauh dari pusat bandar Kuantan tetapi tiada papan tanda pemberitahuan jarak


















Antara perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh JKR terhadap papan tanda jalan raya di sepanjang Jalan Sungai Lembing FT231
(Kredit kepada: Jabatan Kerja Raya Malaysia)


Selain penyelesaian kepada isu-isu yang telah saya nyatakan di atas, beberapa penambahbaikan lain turut dilaksanakan seperti:-
  1. Papan tanda jarak ke Exit 833 yang sangat ringkas ditempatkan setiap beberapa kilometer
  2. Papan tanda jarak ringkas ke pusat bandar Kuantan dari Exit 833 turut ditempatkan di sepanjang FT231
  3. Nama destinasi mengikut lorong dicatkan pada permukaan jalan (sebenarnya ia sudah lama dilaksanakan di banyak jalan raya lain)
  4. Papan tanda jenis flag type turut dipasang pada Persimpangan Indera Mahkota yang menghubungkan FT231 dengan Jalan Pintasan Kuantan FT3
  5. Jata laluan yang begitu besar dan menonjol bagi mendidik para pengguna jalan raya agar belajar menggunakan kod laluan dalam merancang perjalanan




Dahulunya, papan tanda amaran di Malaysia mengikut gaya penjajah British sebelum kita tampil dengan identiti kita sendiri


Sebenarnya, transformasi papan tanda jalan raya Malaysia sudah lama berlaku secara berterusan sejak zaman penjajah lagi. Asalnya, papan tanda yang digunakan hanya sekadar papan tanda yang ditulis menggunakan tangan tanpa sedikit pun menitikberatkan mengenai aspek penglihatan pemandu, jauh sekali membangunkan piawaian seragam. Seterusnya, Malaysia menggunakan papan tanda yang dipengaruhi piawaian British. Namun, pada pertengahan tahun 1980an, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membangunkan beberapa Arahan Teknik bagi menentukan piawaian papan tanda yang digunakan di atas jalan raya Malaysia para hari ini. Terdapat lima buah Arahan Teknik JKR yang menetapkan garis panduan mengenai jalan raya Malaysia iaitu:-
  1. Arahan Teknik (Jalan) 2A/85 - Manual on Traffic Control Devices: Standard Traffic Signs
  2. Arahan Teknik (Jalan) 2B/85 - Manual on Traffic Control Devices: Traffic Sign Applications
  3. Arahan Teknik (Jalan) 2C/85 - Manual on Traffic Control Devices: Temporary Sign And Work Zones Control
  4. Arahan Teknik (Jalan) 2D/85 - Manual on Traffic Control Devices: Road Marking And Delineation
  5. Arahan Teknik (Jalan) 2E/87 - Manual on Traffic Control Devices: Guide Signs Design And Application

Menurut Arahan-arahan Teknik yang saya senaraikan di atas tadi, terdapat beberapa ciri am bagi papan tanda jalan raya Malaysia sekarang:-
  1. Papan tanda amaran bahaya (contoh: selekoh, simpang, dsb.) - berbentuk berlian segiempat sama dengan warna latar kuning
  2. Papan tanda beri laluan - Segitiga terbalik dengan garisan sempadan merah yang tebal dan warna latar putih
  3. Papan tanda berhenti - Berbentuk oktagon dengan warna latar merah dan tertera perkataan "Berhenti"
  4. Papan tanda larangan - Berbentuk bulat dengan warna latar putih, garisan sempadan merah yang tebal serta berpalang
  5. Papan tanda mandatori (contoh: lorong motosikal) - Berbentuk bulat dengan warna latar biru
  6. Papan tanda jalan persekutuan dan negeri - Berbentuk segiempat tepat dengan tulisan putih (fon jenis FHWA Gothic ataupun Transport) dan warna latar biru
  7. Papan tanda lebuh raya ekspres - Berbentuk segiempat tepat dengan tulisan putih (fon jenis Transport) dan warna latar hijau
  8. Papan tanda sementara - Berwarna latar jingga

Kesemua papan tanda yang dibangunkan dalam kelima-lima Arahan Teknik tersebut adalah berdasarkan Konvensyen Vienna bagi Papan Tanda dan Isyarat.

Namun, sistem papan tanda yang digunakan sekarang masih belum berupaya menangani dua isu utama, iaitu masalah laluan bertindih serta penjajaran laluan Lebuh Raya Asia. Ia paling ketara terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berikutan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih tidak menggunakan kod laluan pada kebanyakan papan tandanya. Kedegilan DBKL itu menyebabkan banyak laluan penting (terutamanya Jalan Persekutuan 2) yang terputus dan hilang kesinambungannya, sekaligus menyukarkan pengguna jalan raya terutamanya pelancong asing untuk merancang perjalanan. Bagi kes laluan bertindih, jika pertindihan laluan yang pendek sahaja tidak ditandakan pada papan tanda (misalnya Jambatan Kota FT2/FT5), ia tidak jadi masalah. Namun, masalah besar akan timbul apabila laluan yang bertindih itu jauh serta melibatkan banyak laluan lain [misalnya, jajaran Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 yang bertindih dengan Lebuhraya Karak E8/FT2, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28/FT2 (Gombak Utara-Greenwood) dan Lebuhraya Duke E33/FT2 (Greenwood-Kampung Bandar Dalam)]. Saya akan tulis lebih lanjut mengenai pertindihan laluan dalam entri akan datang. 

Sementara itu pula, papan tanda jalan raya sedia ada di Malaysia yang langsung tidak menyertakan jata laluan Lebuh Raya Asia jelas menunjukkan seolah-olah Malaysia langsung tidak menghargai akan penghormatan yang diberikan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCAP) terhadap beberapa buah jalan raya dan lebuh raya Malaysia yang diwartakan sebagai sebahagian laluan Lebuh Raya Asia. 

Justeru, transformasi papan tanda jalan raya Malaysia hanya akan sempurna sekiranya JKR ataupun syarikat konsesi lebuh raya menandakan jajaran pertindihan laluan dengan memacakkan jata laluan bagi laluan-laluan yang bertindih (misalnya, Anih Berhad perlu memacakkan kedua-dua jata E8 dan FT2 di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2, dan JKR Selangor perlu memacakkan kedua-dua jata FT28 dan FT2 di sepanjang jajaran Greenwood-Gombak Utara di KL MRR2 FT28). Selain itu, jata laluan Lebuh Raya Asia juga perlu dipamerkan pada papan-papan tanda bagi beberapa laluan yang diwartakan sebagai Lebuh Raya Asia sebagai bukti Malaysia menghargai penghormatan yang diberikan oleh UNECE terhadap rangkaian jalan raya kita. Sementara itu, DBKL perlu melakukan full overhaul terhadap sistem papan tanda jalan raya di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menggantikan kesemua papan tanda yang ada dengan papan tanda yang dilengkapi jata laluan. Inisiatif JKR mengadakan program transformasi papan tanda jalan raya Malaysia seharusnya dihargai kerana inisiatif sebegini sedikit-sebanyak memberikan panduan kepada para pengguna jalan raya agar tidak tersesat, tetapi usaha gigih oleh JKR ini sudah tentu akan jadi sia-sia sekiranya DBKL sendiri tidak berubah dan tidak turut serta dalam program transformasi papan tanda jalan raya Malaysia.

Thursday, April 23, 2015

Rasional di sebalik pelanjutan tempoh konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 / The rationale behind the extension of the Federal Highway FT2 concession period




Salam sejahtera,

Pada 19 April 2015, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan bahawa tempoh konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 oleh Plus Malaysia Berhad dilanjutkan sehingga tahun 2038 berbanding tahun 2018 pada perjanjian asal. Pengumuman tersebut telah membangkitkan kemarahan pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2 yang menggunakannya sebagai laluan harian untuk ke tempat kerja, terutamanya pengguna dari Shah Alam dan Klang. Mereka sering mempersoalkan kenapa lebuh raya paling sibuk di Lembah Klang itu yang dikatakan sepatutnya sudah "untung besar" masih lagi mengutip tol.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Plus Malaysia Berhad dan LLM, langkah pelanjutan tempoh konsesi tersebut merupakan "satu langkah mengurangkan beban kos sara hidup" yang ditanggung oleh para pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2. Kenyataan yang dikeluarkan itu memang ada asasnya, kerana jika pelanjutan konsesi tidak dilakukan, maka kadar tol Lebuhraya Persekutuan FT2 yang sepatutnya kita bayar sekarang ialah RM2.40 dan bukannya RM1.10. Dengan kata lain, pilihan yang ada ialah sama ada tempoh konsesi yang pendek tetapi kena bayar tol mahal ataupun tempoh konsesi lebih lama tetapi tol tidak dinaikkan. Sementara itu pula, Plus Malaysia Berhad pula menegaskan bahawa mereka telah melabur sebegitu banyak wang untuk menyelenggara lebuh raya mereka setiap tahun, dan Lebuhraya Persekutuan FT2 juga tidak terkecuali.

Itu hanya fakta yang dikhabarkan sendiri oleh LLM dan Plus Malaysia Berhad. Namun, satu lagi fakta yang tidak dihebahkan ialah Plus Malaysia Berhad juga sebenarnya ada mengambil alih dua buah lebuh raya yang mencatatkan kerugian iaitu Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4. Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 diambil alih daripada Melewar Group Berhad manakala Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4 pula diambil alih daripada Konsortium Lebuhraya Butterworth Kulim (KLBK), sebuah anak syarikat MMC Corporation Berhad. Kedua-dua lebuh raya tersebut sentiasa mencatatkan kerugian meskipun setelah kadar tolnya dinaikkan. Buktinya, Melewar Group gagal membayar hutangnya sejak tahun 1998 kerana mengalami kerugian besar daripada E29, manakala E15 diambil alih Plus berikutan prestasi kewangan KLBK yang kurang memberangsangkan. Ia sekaligus membuktikan bahawa industri lebuh raya ekspres sebenarnya bukanlah sebuah industri yang menguntungkan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Selain daripada sekadar mengambil alih dua buah lebuh raya yang sentiasa mencatatkan kerugian, Plus juga terpaksa mengambil alih hutang yang ditinggalkan oleh kedua-dua bekas syarikat konsesi asal itu. Dalam masa yang sama juga, Plus juga perlu risau akan hutangnya sendiri sejumlah RM30.6 bilion (tidak termasuk faedah) bagi projek Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang berharga RM5.95 bilion. Kenapa pula Plus berhutang RM30.6 bilion bagi lebuh raya berharga RM5.95 bilion...? RM5.95 bilion itu hanyalah kos membina lebuh raya sahaja, ia tidak termasuk kos penyelenggaraan berkala, kos bil elektrik, air dan telefon, bayaran gaji pekerja, kos rondaan (termasuk helikopter) dsb. Jika ada jajaran lebuh raya yang rosak akibat bencana alam, mereka perlu membaikinya ataupun membinanya semula jika rosak teruk. Jika ada jajaran yang sesak, mereka perlu melebarkannya. Sebab itulah mereka perlu mengutip tol agar mereka mendapat pulangan daripada pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.

Dalam sejarah Plus, ada dua batang lebuh raya yang paling menguntungkan iaitu Lebuhraya Skudai FT1 dan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dengan adanya dua batang lebuh raya yang boleh disifatkan sebagai cash cow bagi Plus, ia sekurang-kurangnya dapat membantu Plus mendapat sumber kewangan tambahan bagi membayar kembali hutang-hutangnya - termasuklah hutang-hutang yang ditinggalkan oleh KLBK dan Melewar Group. Namun, salah satu daripada lebuh raya tersebut telah dimansuhkan kutipan tolnya iaitu Lebuhraya Skudai FT1 pada 1 Mac 2004, menjadikan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai satu-satunya cash cow bagi Plus bukan sahaja untuk membayar hutang-hutangnya, malah untuk membolehkan Plus menampung kerugian yang dialami Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Sebab itulah di sesetengah negara seperti Jepun, dasar monopoli diamalkan dengan menghimpunkan segala pendapatan, keuntungan dan kerugian lebuh raya supaya lebuh raya yang untung boleh digunakan untuk menampung lebuh raya yang rugi. Ia memang terpaksa dilakukan kerana industri lebuh raya ekspres sebenarnya berisiko tinggi dan tidak begitu menguntungkan.

Jadi apa akan berlaku sekiranya tol di Lebuhraya Persekutuan FT2 dimansuhkan...? Jawapannya mudah sahaja - kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus akan naik. Pada masa itu nanti, kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus terpaksa dinaikkan kerana kerugian bagi E15 dan E29 sudah tentu akan menyebabkan keseluruhan kumpulan Plus Malaysia Berhad rugi jika tol tidak dinaikkan, sedangkan perjanjian pelanjutan konsesi pada tahun 2011 telah menetapkan bahawa Plus hanya boleh menaikkan tol setiap 10 tahun sekali sebagai balasan kepada pelanjutan tempoh konsesi Plus sehingga tahun 2038. Jadi, sampai bila hendak membiarkan dua buah lebuh raya parasit itu menjejaskan kewangan Plus secara keseluruhannya...? Sebab itulah pelanjutan konsesi itu turut melibatkan Lebuhraya Persekutuan FT2.

Justeru, yang mana lebih baik sekarang, mansuh tol Lebuhraya Persekutuan FT2 dan kesemua tol lebuh raya kendalian Plus akan naik, ataupun kekalkan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 dan kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus tidak akan naik...?

Jadi, apa yang patut anda lakukan jika anda sering berasa terbeban dengan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 ini...? Hanya ikuti panduan memintas tol Lebuhraya Persekutuan FT2 yang telah kami sediakan...!!! Anda mungkin menganggap tol Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai membebankan, tetapi percayalah, plaza tol Lebuhraya Persekutuan FT2 sebenarnya amat mudah untuk dipintas. Justeru, anda sebenarnya tidak perlu mengeluarkan sesen pun wang (kecuali duit minyak) untuk ke Kuala Lumpur dari Klang atau sebaliknya - jika dan hanya jika anda bijak mengambil kesempatan akan laluan-laluan yang boleh digunakan untuk memintas tol di Lebuhraya Persekutuan FT2.