Wednesday, February 5, 2014

Apabila lampu Periksa Enjin menyala... / When the Check Engine light illuminates...



Lampu Periksa Enjin




Lampu Periksa Enjin menyala semasa kunci baru diputar ke posisi On...




...dan sepatutnya padam setelah enjin dihidupkan




Jika lampu Periksa Enjin kekal menyala dan tidak padam walaupun selepas enjin dihidupkan, ia bermaksud ada masalah pada sistem pancitan bahan api


Salam sejahtera,

Boleh dikatakan kesemua model kereta yang dijual sekarang dilengkapi pancitan bahan api. Malah, motosikal kapcai pun sudah mula ada model pancitan bahan api, sebagai respons kepada kenaikan harga petrol. Selain sangat jimat bahan api, mesra alam serta mudah dihidupkan semasa sejuk, sistem pancitan bahan api boleh dikatakan tidak memerlukan sebarang pelarasan atau penyelenggaraan berkala, tidak seperti karburetor yang perlu dilaras semula sekiranya kelajuan melahu sudah turun atau naik daripada sepatutnya. Anda hanya perlu berwaspada dan memerhatikan sama ada lampu Periksa Enjin menyala atau tidak selepas enjin berjaya dihidupkan. Itu sahaja.

Lampu Penunjuk Kerosakan (MIL), atau lebih popular dengan panggilan Lampu Periksa Enjin, merupakan sejenis lampu penunjuk amaran yang memberitahu sekiranya terdapat masalah pada sistem pancitan bahan api. Lampu penunjuk ini merupakan sebahagian daripada sistem diagnosa dalam kenderaan (on-board diagnostics) bagi mengenal pasti punca masalah pada sistem pancitan bahan api. Asalnya lampu Check Engine tiada simbol seragam selain tulisan seperti Check Engine dsb., tetapi logo khas bagi lampu tersebut yang berbentuk seperti enjin kereta mula diperkenalkan pada tahun 1996 selaras dengan piawaian OBD-II yang diguna pakan dalam kesemua sistem pancitan bahan api sekarang. Lampu Periksa Enjin menyala semasa kunci baru sahaja diputarkan ke posisi On (dan akan padam setelah sekian lama), dan lampu tersebut sepatutnya padam sebaik sahaja enjin berjaya dihidupkan. Namun, sekiranya lampu Periksa Enjin terus menyala walaupun selepas enjin dihidupkan, maka ia memberi petunjuk bahawa terdapat masalah pada sistem pancitan bahan api. Tahap keseriusan masalah yang dihadapi bergantung kepada jenis nyalaan lampu tersebut.

Terdapat dua jenis isyaran amaran yang dihasilkan oleh lampu Periksa Enjin. Jenis amaran pertama ialah apabila lampu hanya menyala sahaja selepas enjin dihidupkan tanpa berkelip. Amaran jenis pertama ini menunjukkan masalah yang kurang serius pada sistem pancitan bahan api, tetapi ia tidak boleh dihiraukan kerana jika kenderaan terus dipandu sahaja tanpa mempedulikan lampu Periksa Enjin yang terus menyala itu boleh menyebabkan masalah yang lebih serius pada sistem pancitan bahan api. Selain itu, ia juga boleh membawa kepada penurunan prestasi, penggunaan bahan api yang lebih lahap serta pelepasan asap ekzos yang lebih kotor. Dengan kata lain, sekiranya anda terus memandu dengan membiarkan lampu Periksa Enjin terus menyala, anda sudah tentu tidak akan lulus pemeriksaan asap kenderaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekiranya pihak JAS melalukan operasi sedemikian dan akan disaman RM2,000. Jadi yang mana lebih baik, duit melayang sedikit di bengkel kereta ataupun duit melayang banyak untuk membayar saman JAS...?

Jenis amaran kedua pula lebih serius, iaitu lampu Periksa Enjin berkelip-kelip selepas enjin dihidupkan. Corak kelipan lampu tersebut menunjukkan masalah spesifik yang dihadapi oleh sistem pancitan bahan api. Jika lampu Periksa Enjin berkelip, anda tidak boleh terus memandu lagi kerana kelipan lampu Periksa Enjin menandakan masalah yang serius pada sistem pancitan bahan api, yang boleh menyebabkan kereta anda tersadai di tengah jalan. Sebaliknya, terus panggil lori tunda untuk menunda kenderaan anda ke bengkel.




Sensor lambda atau sensor oksigen yang rosak merupakan salah satu punca utama masalah lampu Periksa Enjin menyala




Penutup tangki minyak yang tidak ditutup kemas juga boleh menyebabkan lampu Periksa Enjin menyala


Antara punca-punca utama yang menyebabkan lampu Periksa Enjin menyala selepas enjin dihidupkan ialah:-
  1. Sensor lambda atau sensor oksigen rosak
  2. Penutup tangki minyak tidak ditutup dengan kemas
  3. Sambungan wayar palam pencucuh longgar dan kurang kemas
  4. Penapis udara yang terlalu kotor sehingga tersumbat (punca nisbah udara-bahan api terlalu pekat) ataupun bocor atau dicabut terus (punca nisbah udara-bahan api terlalu nipis)
  5. Masalah-masalah sampingan enjin seperti panas lampau, aras minyak pelincir terlalu rendah ataupun gelang omboh sudah terlalu haus
  6. Kerosakan pada pemangkin asap
  7. Salah cetusan dan masalah ketukan / letusan serius (masalah paling serius)

Jadi apa patut anda lakukan sekiranya lampu Periksa Enjin menyala atau berkelip selepas enjin dihidupkan...?

Pertama sekali, jangan panik. Jika lampu Periksa Enjin terus menyala tanpa berkelip selepas enjin dihidupkan, cuba matikan enjin dan periksa sama ada penutup tangki minyak sudah ditutup ketat. Jika memang sudah ketat, cuba periksa sama ada penutup tangki minyak itu terdapat sebarang kebocoran ataupun gelang getah O penutup tersebut sudah merekah. Jika ada, cuba tukar dengan penutup tangki minyak yang baharu. Masalah lampu Periksa Enjin menyala itu sudah tentu tidak akan padam dengan serta-merta selepas penutup tangki minyak ditukar, tetapi akan padam selepas 1-2 hari. Kebanyakan masalah lampu Periksa Enjin yang menyala selepas enjin dihidupkan boleh diselesaikan dengan hanya menggantikan penutup tangki minyak sahaja.

Jika lampu Periksa Enjin masih menyala walaupun selepas penutup tangki minyak ditukar, cuba periksa pula sambungan wayar palam pencucuh. Jika sambungan wayar palam pencucuh tidak kemas, cuba ketatkan. Jika wayar palam pencucuh sudah merekah serta sambungannya rosak, tukarkannya dengan wayar palam pencucuh yang baharu. Kebanyakan kereta sekarang diengkapi sistem penyalaan dengan gelung penyalaan di atas palam pencucuh (coil-on-plug), jadi cuba periksa sama ada setiap gelung disambung dengan kemas pada palam pencucuh. Jika lampu Periksa Enjin masih menyala walaupun sambungan palam pencucuh sudah dikemaskan, pergi ke bengkel kereta dan minta mekanik mendiagnosa masalah dengan menggunakan alat pengimbas kod OBD-II. Jangan sekadar pergi ke bengkel cap ayam bawah pokok yang tidak mendiagnosa menggunakan alat pengimbas kod tetapi sekadar memerhatikan kelipan lampu dan terus memberitahu punca masalah secara membuta-tuli. Hanya hantar ke bengkel yang menawarkan khidmat membaca kod OBD-II kerana ia membolehkan punca sebenar masalah dapat dikenal pasti dan terus diselesaikan dengan sekali kunjungan sahaja. Menghantar ke bengkel cap ayam tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi menimbulkan masalah baru kerana ia boleh menyebabkan kos pembaikan yang mahal - komponen yang bukan punca masalah pula yang ditukar tetapi masalah masih tidak selesai.

Namun, sekiranya lampu Periksa Enjin sudah mula berkelip, jangan terus pandu lagi - terus panggil lori tunda dan hantar ke bengkel terdekat.

Tuesday, February 4, 2014

Menyambut Tahun Kuda di atas kuda besi: Jalan Senawang-Paroi FT97 & Persiaran Senawang 1 FT242 / Celebrating the Year of Horse on an iron horse: Jalan Senawang-Paroi FT97 & Persiaran Senawang 1 FT242




Salam sejahtera,

Saya percaya masih ramai di kalangan pembaca Blog Jalan Raya Malaysia khususnya di kalangan kaum Cina yang masih lagi dalam mood perayaan Tahun Baru Cina. Sebagai "ang pow" khas buat para pembaca, kali ini saya bawakan satu reviu khas mengenai dua batang jalan persekutuan di Seremban. Sesuai dengan sambutan Tahun Kuda, saya mengambil kesempatan bermotosikal sambil membuat kajian mengenai Jalan Seremban-Paroi FT97 dan Persiaran Senawang 1 FT242.

Ramai di antara kita yang menyangka bahawa Jalan Seremban-Paroi dan Persiaran Senawang 1 adalah satu laluan yang sama. Apa tidaknya, Persiaran Senawang 1 memang bermula dari Senawang dan berakhir di Paroi. Malah, kebanyakan peta melabelkan Persiaran Senawang 1 sebagai Jalan Persekutuan 97. Namun, tahukah anda bahawa kesemua sangkaan tersebut sebenarnya sangat meleset sama sekali...? Memang itulah hakikat sebenarnya. Saya sendiri pun terkejut, kerana saya sendiri pun menyangkakan perkara yang sama juga. Hanya setelah saya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Segamat melalui Lebuhraya Lekas E21 barulah saya sedar bahawa Jalan Senawang-Paroi dan Persiaran Senawang 1 sebenarnya adalah dua laluan yang berasingan. Jalan yang anda biasa lalui untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E21 sebaik Lebuhraya Lekas E21 berakhir itu sebenarnya bukanlah Jalan Persekutuan 97, tetapi ia sebenarnya baru lagi diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 242.

Jadi di mana sebenarnya jajaran Jalan Persekutuan 97...?




Peta laluan sebenar Jalan Persekutuan 97 (Jalan Senawang-Paroi)




Peta laluan Persiaran Senawang 1 FT242


Jalan Persekutuan 97 yang sebenarnya hanya sekadar jalan raya dua lorong biasa yang juga menghubungkan antara Paroi dengan Senawang. Mercu tanda terbaik bagi mengenal pasti jalan masuk ke FT97 ialah stesen minyak Shell Paroi di Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 - simpang tiga lampu isyarat yang terletak betul-betul bersebelahan Shell Paroi adalah persimpangan pangkal untuk ke FT97. Papan tanda penunjuk arah asal melabelkan Jalan Seremban-Paroi sebagai jalan pintas untuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban - atau lebuh tepat lagi, Lebuhraya Utara-Selatan E2 - tetapi tanpa sebarang kod laluan. Hanya baru-baru ini sahaja JKR Seremban mendirikan papan tanda penunjuk arah baharu, siap dengan perisai kod laluan yang begitu besar.

Kenapa Persiaran Senawang 1 bukan FT97...?

Jawapannya ada kaitan dengan sejarah perkembangan bandar Seremban itu sendiri. Senawang dibangunkan sebagai bandar satelit di pinggir Seremban. Kedudukannya yang terletak betul-betul di bahagian hujung Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban semasa lebuh raya tersebut dibuka pada 27 Mac 1974 menjadikan Senawang satu lokasi strategik untuk dijadikan kawasan perindustrian dan bandar satelit. Maka, sebatang jalan dibina dari Paroi ke Senawang sebagai jalan pintas untuk memasuki Lebuhraya KL-Seremban dari arah Kuala Pilah (melalui FT51). Jika ditinjau di sepanjang FT97, kebanyakan kawasan perumahan di situ merupakan kawasan perumahan lama yang berskala kecil. Berbeza pula dengan kawasan perumahan di sepanjang Persiaran Senawang 1, rumah-rumah dan premis-premis perniagaan di situ pula lebih baharu. Ini bermakna, Jalan Senawang-Paroi FT97 sudah tentu wujud terlebih dahulu daripada Persiaran Senawang 1 FT242. Maka, selama ini sebenarnya Persiaran Senawang 1 sekadar diwartakan sebagai jalan arteri perumahan biasa; hanya baru-baru ini sahajalah Persiaran Senawang 1 diwartakan sebagai Jalan Persekutuan, berikutan kepentingannya sebagai penghubung antara Lebuhraya Kajang-Seremban E21 dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Seremban.

Satu perkara yang menarik di sepanjang Jalan Senawang-Paroi FT97 ialah di situlah terletaknya Taman Rashidah Utama yang sebenar. Bagi peminat rock kapak 80an, lagu Taman Rashidah Utama ciptaan Bob Lokman dan dinyanyikan oleh kumpulan Wings sudah tentu masih segar dalam ingatan. Menurut satu wawancara dengan Bob Lokman sendiri, semasa Bob Lokman masih lagi muda, beliau pada masa itu baru sahaja merantau ke Seremban untuk bekerja. Semasa di Seremban, beliau terpikat dengan seorang gadis di situ, tetapi jodoh mereka tidak kesampaian disebabkan halangan umur. (kredit kepada: luvinisblog)

Jalan dua lorong Senawang-Paroi berakhir di Senawang iaitu di persimpangan lampu isyarat dengan Persiaran Senawang 1. Namun, FT97 sebenarnya masih belum berakhir lagi. Pada masa inilah FT97 menggunakan laluan Persiaran Senawang 1 sehingga ke Plaza Tol Senawang dan Exit 220 Persimpangan Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2. Oh ya, persimpangan berlian yang menghubungkan antara Jalan Senawang-Paroi FT97 ini dengan Jalan Seremban-Tampin FT1 asalnya merupakan simpang empat searas sebelum ia diubah menjadi persimpangan berlian sebagaimana sekarang.

Begitulah ceritanya mengenai dua batang jalan yang selama ini dianggap sebagai satu laluan yang sama tetapi sebenarnya tidak seperti yang disangka. Kepada World Express Mapping serta penyedia peta bagi GPS, Google Maps dan Bing Maps, harap dapat memperbetulkan semula peta-peta anda agar lebih tepat dan lebih dipercayai.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Persiaran Senawang 1 FT242 dari arah Lebuhraya Lekas E21 - ramai yang menyangka bahawa jalan ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 97...






...tetapi jajaran FT97 yang sebenar adalah jalan raya tunggal dua lorong ini






Simpang masuk sebenar ke Jalan Persekutuan 97 dari Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 ialah sekadar simpang tiga biasa berlampu isyarat di sebelah Shell Paroi






Taman Rashidah Utama yang sebenar di Seremban - jom layan lagu rock kapak...!!!











Persimpangan Senawang yang menghubungkan antara Jalan Persekutuan 97 dengan Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E2

Thursday, January 30, 2014

Nasib industri motosikal elektrik dan hibrid yang tidak menentu / The unknown fate of electric and hybrid motorcycle industry

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina. Sebelum pulang ke kampung, pastikan anda sudah menservis kenderaan anda dan mendapat rehat secukupnya terlebih dahulu. Jangan lupa merujuk jadual nasihat waktu perjalanan lebuh raya agar anda tidak terperangkap dalam kesesakan yang tidak diingini. Sentiasa patuhi undang-undang jalan raya, patuhi had laju dan ingatlah orang yang tersayang.

Hari ini, saya ingin membawakan kepada anda kisah industri motosikal elektrik dan hibrid di Malaysia yang tidak menentu nasibnya kerana kurang mendapat perhatian dan juga pembelaan. Mungkin ramai di antara anda semua yang tidak sedar bahawa Malaysia sebenarnya sudah melahirkan beberapa syarikat pengeluar motosikal dan basikal elektrik dan hibrid yang sewajarnya menjadi kebanggaan negara. Apa tidaknya, sungguhpun Thailand dan Indonesia mendominasi industri automotif Asia Tenggara, namun tidak ada negara lain di Asia Tenggara yang mengeluarkan motosikal elektrik dan hibrid selain Malaysia. Namun, industri motosikal elektrik dan hibrid negara seakan-akan tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila boleh dikatakan saya tidak pernah ada ternampak langsung kelibat motosikal elektrik dan hibrid membanjiri jalan raya Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur. Kenapa boleh jadi begitu...? Apa sebenarnya yang tidak kena pada industri motosikal elektrik dan hibrid negara...?




MZ Charly, antara skuter elektrik terawal yang dibawa masuk di Malaysia


Motosikal elektrik pertama yang saya pernah saksikan di depan mata ialah MZ Charly 2003, keluaran MZ Motorrad- und Zweiradwerk GmbH dari Jerman, antara pengeluar motosikal tertua di dunia. Syarikat tersebut pernah dibeli oleh Hong Leong pada tahun 1996 dan Charly adalah antara model terawal yang dibawa masuk ke Malaysia. Dikuasakan oleh sebiji bateri asid-plumbum 12 volt, MZ Charly ini perlahan sahaja, dengan kelajuan maksimum 40 km/j. Namun, ia sangat comel dan boleh dilipat, membolehkannya disimpan di dalam but kereta. Ia amat mudah ditunggang hatta oleh budak-budak kecil sekalipun, sehinggakan ia pernah cuba hendak diharamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan daripada digunakan di atas jalan raya, berikutan kegagalannya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengenai definisi "motosikal elektrik" dan "basikal elektrik" - MZ Charly ditakrifkan sebagai "motosikal elektrik" kerana kelajuan maksimumnya lebih daripada 25 km/j, tetapi ia tidak dilengkapi lampu-lampu isyarat yang diwajibkan sesuai dengan statusnya sebagai motosikal elektrik. Namun, MZ kembali malap sehingga membawa kepada penjualannya semula kepada Martin Wimmer, bekas pelumba motosikal Jerman. Sungguhpun beliau cuba hendak menghidupkannya semula, namun nasib malang MZ berterusan apabila Wimmer diisytiharkan muflis pada tahun 2013.




Skuter hibrid Gwheel GW800HB, motosikal hibrid pertama di Malaysia


Setelah begitu lama tiada khabar berita mengenai motosikal elektrik di Malaysia, saya disajikan dengan model skuter hibrid pertama seumpamanya di sebuah pameran produk teknologi hijau di Taman Tasik Titiwangsa (saya lupa tarikh sebenarnya, tapi kalau tak silap saya dalam tahun 2011). Skuter elektrik yang saya maksudkan itu ialah Gwheel Hybrid Scooter 80 cc (GW800HB). Ia merupakan sebuah skuter hibrid selari yang menggunakan enjin 80 cc yang digandingkan dengan motor elektrik pacuan terus (direct drive) 800 W pada roda belakang, Sungguhpun konsepnya sama seperti kereta Honda Insight yang merupakan sebuah kereta hibrid selari, namun sistem kawalan skuter GW800HB ini sangat ringkas - tidak seperti sistem Bantuan Motor Bersepadu (IMA) Honda Insight yang dikawal sepenuhnya oleh Unit Kuasa Pintar secara automatik, skuter GW800HB pula sekadar menggunakan satu suis mod kuasa bagi membolehkan penunggang memilih salah satu daripada 3 mod tunggangan, iaitu mod pacuan enjin petrol, mod pacuan motor elektrik, dan mod gabungan petrol-elektrik. Mod elektrik boleh membawa anda sehingga 40 km/j, manakala mod enjin petrol pula lebih laju sedikit iaitu 55 km/j. Mod hibrid...? Tiada pula angka kelajuan sebenar yang diberi, tetapi saya percaya mungkin sekitar 60-70 km/j. 

Meskipun idea motosikal hibrid ini satu idea yang sangat menarik walaupun kawalannya sangat ringkas dan bukannya automatik seperti Honda Insight, namun sayangnya sehingga sekarang saya tidak pernah nampak walau satu pun model sebegini menakluki jalan raya Malaysia. Mungkin kerana kelajuan maksimum yang terlalu rendah menjadikannya kurang menarik perhatian. Tambahan pula, skuter ini cuma mampu menangani kecerunan maksimum 12%. Semasa mula dikeluarkan pada tahun 2011, syarikat pengeluarnya, Revolution Manufacturing Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Dengkil, Selangor begitu bercita-cita tinggi mahu menguasai sekurang-kurangnya 2% pasaran motosikal Malaysia, tetapi sayangnya sasaran tersebut tidak tercapai. Kini, Revolution Manufacturing sudah pun beralih kepada pengeluaran basikal elektrik yang lebih mendapat sambutan. Tidak seperti MZ Charly yang pernah cuba diharamkan penggunaannya suatu ketika dahulu, basikal-basikal elektrik keluaran Revolution Manufacturing pula dibenarkan penggunaannya oleh JPJ walaupun tanpa lesen memandu kerana kelajuan maksimum bagi mod elektrik dan mod bantuan kayuhan dihadkan kepada 25 km/j sahaja; jika anda mahu lebih laju daripada itu, anda perlu menukar kepada mod kayuhan sepenuhnya dan mengayuh lebih laju.




Motosikal elektrik Eclimo ES11 yang digunakan oleh KFC sebagai motosikal penghantaran makanan


Seterusnya, kita beralih pula kepada model motosikal elektrik yang masih dikeluarkan sehingga sekarang. Motosikal elektrik sepenuhnya yang pertama di Malaysia dikeluarkan oleh Eclimo Marketing Sdn. Bhd. pada tahun 2011. Model sulung mereka, Eclimo ES11, digerakkan oleh motor elektrik 5 kW yang dibekalkan oleh KLD Energy Technologies yang dipasang pada hab roda belakang. Motor ini mampu menghasilkan tork setinggi 100 N-m, satu angka yang sungguh memeranjatkan kerana angka setinggi ini selalunya hanya mampu dicapai oleh kereta 1.2 L. Tork yang sebegitu tinggi ini membolehkan skuter ini mempunyai nisbah penurunan keseluruhan 1:1 (direct drive) dan mampu mencapai kelajuan maksimum 80 km/j. Eclimo ES11 menggunakan pek bateri litium-ion 60 V yang mempunyai kitaran cas semula 1,000 kali, membolehkan motosikal bergerak sejauh 100 km pada kelajuan 50 km/j bagi sekali cas. Masa mengecas pula ialah 3 jam melalui plag 3 pin 13A biasa. Kesemua motosikal keluaran Eclimo dipasang oleh Naza Bikes di Shah Alam. Namun, harganya yang sangat mahal (lebih kurang RM10,000 seunit) di samping ketiadaan infrastruktur mengecas motosikal elektrik menyebabkan begitu sukar untuk mencari skuter ini di atas jalan raya. Namun demikian, nasib Eclimo mula berubah setelah KFC Malaysia mula membeli 50 unit motosikal elektrik Eclimo ES11 sebagai kenderaan penghantaran makanan dan merancang untuk membeli lebih banyak lagi sebagai langkah menggalakkan penggunaan motosikal elektrik sebagai kenderaan penghantaran makanan.




Modenas CTric, motosikal elektrik termurah dan mampu dimiliki sesiapa sahaja





Seterusnya, Modenas juga ada mengeluarkan motosikal elektrik mereka sendiri iaitu Modenas CTric yang diasaskan dari siri Modenas CT sedia ada. Mula dikeluarkan pada tahun 2011, ia dikeluarkan hasil kerjasama Modenas dengan Universiti Sains Malaysia. Modenas CTric pula menggunakan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 3.6 kW (diratifikasikan kepada 1 kW) dan tork 9.0 N-m, sekaligus mampu menghasilkan kelajuan maksimum antara 70-80 km/j. Harganya juga mampu milik, iaitu RM4,755.00, hasil penggunaan bateri nano-gel yang lebih murah. Sungguhpun Modenas mendakwa sebanyak 800 unit ditempah pada bulan pertama pengeluarannya, namun saya tidak pernah terserempak dengan mana-mana pengguna Modenas CTric di sekitar Kuala Lumpur.

Jadi apa yang menjadikan industri motosikal elektrik dan hibrid kurang mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya...? Berikut adalah punca-puncanya:-
  1. Ketiadaan infrastruktur mengecas - Punca utama kenapa motosikal elektrik kurang mendapat sambutan ialah berikutan ketiadaan infrastruktur khas bagi mengecasnya. Di sekitar Kuala Lumpur sendiri pun memang tiada parkir khas yang dilengkapi soket kuasa bagi mengecas motosikal - langsung tak ada...!!! Kalau bernasib baik, ada jugalah kedai-kedai yang mempunyai soket di luar premis mereka, yang memerlukan penunggang memparkir motosikal di kaki lima dan di siar kaki untuk mengecas, mendedahkan mereka kepada risiko motosikal mereka bakal diangkut oleh pihak berkuasa tempatan. Nak mengecas di rumah pun, nak mengecas di mana kalau tinggal di pangsapuri ataupun rumah kedai...? Pihak berkuasa tempatan pun bukannya ada membina parkir khas untuk motosikal elektrik yang dilengkapi soket pengecas. Jadi bagaimana hendak menggalakkan penggunaan motosikal elektrik yang mesra alam kalau nak mengecas pun tiada tempat...?
  2. Limitasi teknikal motosikal elektrik itu sendiri - Memandangkan saiz fizikal motosikal elektrik yang kecil berbanding kereta elektrik, maka motosikal elektrik hanya boleh dipasang dengan pek bateri kecil yang terhad kapasitinya. Motor elektrik yang digunakan pula berkuasa rendah bagi mengelakkan bateri kehabisan cas dengan cepat. Nak mengecas penuh pun perlu memakan masa berjam-jam lamanya, tidak seperti mengisi setangki penuh petrol yang cuma mengambil masa beberapa minit sahaja. Jarak perjalanan bagi sekali cas pun tak panjang, selalunya sekitar beberapa puluh kilometer sahaja, menjadikannya tidak sesuai bagi perjalanan jauh dan hanya sesuai digunakan dalam kawasan bandar sahaja. Kalau mahukan jarak perjalanan yang lebih panjang serta motor elektrik yang lebih berkuasa, maka terpaksa menggunakan bateri litium-ion yang lebih mahal daripada bateri asid-plumbum yang lebih murah tetapi sangat berat. Setakat ini, hanya Modenas CTric sahaja motosikal elektrik yang paling murah dan mampu milik, tetapi jarak perjalannya pula sangat pendek iaitu sekitar 30-50 km sahaja bagi sekali cas.
  3. Dasar kerajaan yang tidak cukup kuat - Banyak syarikat pengeluar motosikal elektrik tumbuh sejak 5 tahun kebelakangan ini hasil galakan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), tetapi malangnya motosikal elektrik lambat dipasarkan berikutan ketiadaan piawaian serta akta yang menyokong penggunaan motosikal elektrik di atas jalan raya. Hanya setelah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dipinda pada tahun 2011 barulah motosikal elektrik dibenarkan penggunaannya secara sah di atas jalan raya, iaitu dengan menukarkan kadaran kuasa kepada nilai setara yang boleh dihasilkan oleh motosikal petrol; misalnya, Modenas CTric menghasilkan kuasa maksimum 3.6 kW, nilai kuasa setara dengan motosikal kapcai 70 cc. Kalau pun sekarang motosikal sudah pun dibenarkan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, dasar-dasar bagi menyokong penggunaan motosikal elektrik masih lagi lemah, dan ia boleh dibuktikan dengan ketiadaan insentif bagi menggalakkan pembinaan petak-petak parkir motosikal yang dilengkapi soket pengecas.
  4. Persepsi pengguna itu sendiri - Sungguhpun kenderaan elektrik memang mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya setiap kali diadakan pameran kenderaan berikutan ia tidak menggunakan walau setitik pun petrol, namun akhirnya persepsi pengguna tetap jadi penentu sama ada model-model kenderaan elektrik boleh berjaya atau tidak. Walau secanggih mana pun sesebuah kenderaan elektrik, pengguna akhirnya tetap menggunakan kenderaan petrol sebagai kenderaan harian mereka. Ketiadaan stesen mengecas, kelajuan maksimum yang rendah, masa mengecas yang lama dan jarak perjalanan yang pendek bagi sekali cas kesemuanya menjejaskan persepsi masyarakat terhadap kenderaan elektrik. Sekurang-kurangnya, tempoh mengecas sebuah motosikal elektrik masih lagi pendek berbanding kereta elektrik yang perlu dicas semalaman sekiranya menggunakan plag 13 ampere biasa.

Serius saya katakan, saya berasa amat sedih apabila memikirkan nasib industri motosikal elektrik dan hibrid di Malaysia. Malaysia sudah banyak mengeluarkan model-model motosikal elektrik bertaraf dunia, tetapi malangnya industri mesra alam sebegini kurang mendapat perhatian sewajarnya daripada orang-orang kita sendiri. Sungguhpun pindaan Dasar Automotif Nasional 2014 turut memperuntukkan insentif bagi menggalakkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuklah kenderaan elektrik dan hibrid, namun ia tidak berguna tanpa infrastruktur yang diperlukan serta sokongan daripada kita sendiri.

Jadi bagaimana hendak menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik...? Perkara paling penting ialah perbanyakkan petak parkir dengan soket pengecas. Paling mudah, pasang peti bayaran layan diri yang disambungkan ke soket 3 pin biasa. Dengan hanya mengenakan bayaran 50 sen sejam untuk mengecas, ia sememangnya berpotensi untuk menjadi satu bentuk perniagaan yang menguntungkan di samping membantu mengurangkan gas-gas pencemar udara dari asap ekzos. Bukankan langkah yang sebegitu mudah lagi menguntungkan ini dapat membantu menunaikan fardu kifayah iaitu memenuhi keperluan pengguna motosikal elektrik...?




Dengan hanya bermodalkan petak parkir, soket elektrik dan peti pembayaran wang kertas atau syiling seperti di atas, anda sudah boleh memulakan bisnes stesen mengecas motosikal elektrik - menguntungkan dan mampu menunaikan fardhu kifayah dengan memenuhi keperluan pengguna motosikal elektrik