Dua rekaan pelekat kereta parkir menghalang oleh Blog Jalan Raya Malaysia - sila skrol ke bawah untuk prosedur bagaimana hendak memesan pelekat ini
Salam sejahtera,
Masalah parkir merupakan antara salah satu masalah yang sering menghantui pemandu kereta khususnya di bandar raya besar. Apa tidaknya, jika pada dekad 1980-1990an dahulu secara puratanya setiap keluarga memiliki sebuah kereta, namun kini setiap keluarga memiliki lebih daripada sebuah kereta merupakan satu pemandangan lazim. Di Kuala Lumpur sendiri pun, majoriti kenderaan yang berada di atas jalan raya di ibu kota terdiri daripada kereta-kereta yang dipandu sebuah seorang. Malangnya, petak parkir di KL pula tidak mencukupi dan sering penuh, sedangkan anda hanya mahu berhenti seketika sekadar untuk mengeluarkan wang di mesin ATM mahupun untuk ke tandas. Akibatnya, satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dengan parkir menghalang kereta orang lain.
Namun demikian, parkir menghalang sering dipandang sebagai satu bentuk kebebalan, terutamanya jika ada pemandu yang keretanya dihalang oleh kereta lain, Disebabkan ada orang yang parkir menghalang, mangsa terpaksa membazirkan masa untuk menunggu pemilik kereta yang menghalang itu untuk keluar sebelum mangsa yang terhalang itu dapat keluar. Kalau setakat beberapa minit masih boleh kira ok lagi, tetapi bagaimana pula kalau tersekat sehingga setengah jam atau lebih...? Dalam keadaan yang ekstrim, kereta yang diparkir menghalang itu boleh menyebabkan mangsa terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana tersekat dan tidak dapat keluar. Ia seterusnya membangkitkan kemarahan para pemandu yang keretanya dihalang itu.
Insiden pemandu lori yang marah akibat laluan tersekat bertindak melanggar kereta yang diparkir menghalang di Nibong Tebal (video atas) dan di Stadium Hang Jebat (video bawah) - mahukah anda menjadi mangsa seterusnya...?
Jangan jadikan percutian anda ke Cameron Highlands membawa duka gara-gara parkir menghalang
(Kredit gambar: Harian Metro)
Sejak setahun dua kebelakangan ini, sudah banyak insiden ekstrim yang berlaku berikutan kemarahan para pemandu yang terhalang akibat kereta-kereta yang parking menghalang sehingga menyekat laluan jalan raya mahupun menghalang kereta-kereta yang diparkir secara sah untuk keluar. Antara kes-kes ekstrim tersebut termasuklah satu insiden di Nibong Tebal pada Februari 2016 dan di Stadium Hang Jebat pada Mac 2016, kedua-duanya melibatkan sebuah lori yang merempuh kereta-kereta yang diparkir menghalang sehingga jalan menjadi terlalu sempit untuk dilalui lori terbabit. Dalam kes terbaru di Cameron Highlands, 20 buah kereta dipancitkan oleh sekumpulan individu yang terlalu berang akibat kereta mereka dihalang oleh kereta-kereta mangsa yang diparkir di situ.
Mahukah anda menjadi mangsa seterusnya...?
Bagi mengelak kemarahan orang lain yang keretanya dihalang, terdapat dua pendekatan klasik yang dilakukan oleh pemandu kereta yang terpaksa parkir menghalang, iaitu dengan meletakkan nota yang tertulis nombor telefon mereka, ataupun dengan sekadar tidak menarik brek tangan dan menggerakkan tombol gear automatik ke posisi N dan bukannya P untuk memudahkan pemilik kereta yang dihalang mengalihkan kereta yang menghalangnya. Namun, cara kedua hanya sesuai dilaksanakan di kawasan tanah rata kerana jika keadaan jalan agak bercerun sedikit, kereta boleh menggelungsur dan melanggar kereta orang lain pula. Justeru, cara pertama lebih sesuai dilaksanakan berbanding cara kedua tadi.
Rekaan pelekat kereta parkir menghalang oleh Blog Jalan Raya Malaysia - pilih sama ada rekaan pertama (gambar atas) dengan rekaan kedua (gambar bawah) (Sila ikuti arahan di bawah untuk membuat pesanan pelekat
Sehubungan dengan itu, Blog Jalan Raya Malaysia kini sedang dalam proses menghasilkan pelekat kereta khas untuk kereta yang hendak parkir menghalang ini. Pelekat kereta ini sangat mudah digunakan, anda hanya perlu menggunakan permanent marker pen hitam untuk menandakan nombor telefon anda pada pelekat dengan menghitamkan segmen-segmen nombor yang tidak berkenaan dan seterusnya melekatkannya pada cermin kereta anda. Mudah kan...?
Tempahan awal secara dalam talian dibuka sekarang. Setiap pelekat berharga RM10 sahaja termasuk belanja pos. Cetakan pertama akan dimulakan pada Khamis ini (6 Oktober 2016), insya-Allah. Oleh itu, sudi-sudikanlah untuk menempah pelekat kereta ini, kongsikan dan viralkan entri ini kepada rakan-rakan dan sahabat handai anda terutamanya yang berada di ibu kota. Selain itu, saya sendiri bercadang untuk bergerak ke lokasi-lokasi tumpuan umum yang lazimnya banyak kereta diparkir menghalang (seperti kawasan bank) di sekitar Batu Caves sebelum bergerak ke ibu kota bagi mempromosikan pelekat ini, jadi nantikanlah pengumuman mengenainya daripada semasa ke semasa.
Bagaimana hendak memesan pelekat kereta parkir menghalang BJRM secara dalam talian
Dalam PM tersebut, sila nyatakan nama penuh anda, alamat, nombor telefon dan jenis reka bentuk yang anda ingin pesan serta kuantiti yang diinginkan. Jumlah bayaran akan diberitahu melalui balasan PM.
Dengan menggunakan mesin deposit tunai (CDM) atau melalui kaunter bank, sila depositkan wang mengikut jumlah yang dinyatakan ke akaun berikut:-
Hong Leong Bank: 151-50-05077-8 (Nama: Mohd. Hezery bin Hussin)
Simpan resit tersebut sebagai bukti transaksi. Seterusnya, palangkan resit tersebut dengan membuat dua garisan selari pada resit tersebut dan menulis "Untuk kegunaan BJRM sahaja" di antara dua garisan tersebut. Kemudian, ambil gambar resit berpalang tersebut dan hantarkan kepada kami melalui PM.
Pesanan akan dimuktamadkan setelah kesemua prosedur di atas diikuti. Tunggu sebentar sehingga anda menerima PM bagi memaklumkan pesanan anda berjaya. Seterusnya, sila beri tempoh lebih kurang 2 minggu (14 hari) untuk membolehkan kami memproses dan seterusnya menghantar pesanan anda ke alamat yang dinyatakan.
Pesanan anda dianggap terbatal sekiranya maklumat yang diberikan tidak lengkap, resit tidak berpalang atau dipalsukan, ataupun sekiranya tiada rekod pembayaran yang dilakukan.
Peringatan
Penggunaan pelekat ini tidak akan sekali-kali menjadikan anda kebal daripada tindakan penguatkuasaan (saman parkir, kunci tayar, tundaan dsb.) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi seboleh-bolehnya cuba elakkan daripada parkir menghalang. Kami sama sekali tidak akan bertanggungjawab terhadap segala tindakan penguatkuasaan yang dikenakan oleh PBT yang disebabkan oleh tindakan anda yang parkir menghalang walaupun dengan menggunakan pelekat ini.
Penggunaan pelekat ini bermaksud anda mendedahkan nombor telefon anda kepada pihak tidak dikenali, sekaligus berupaya mengancam keselamatan dan privasi anda. Justeru, gunakan pelekat ini hanya apabila diperlukan dan sila tanggalkan sekiranya anda tidak perlu menggunakannya.
Yang merah itu (Proton) Saga, Yang kurik itu kundi; Yang indah itu bahasa, Yang elok itu budi.
Salam sejahtera,
Tanggal 28 September 2016, Proton telah pun selamat melancarkan model kereta Proton Saga generasi ketiga, sebagai sebahagian daripada siri marathon pelancaran 4 model baharu pada tahun 2016 bagi mengembalikan semula kedudukan Proton sebagai teraju utama industri automotif Malaysia. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memandangkan golongan belia berpendapatan rendah merupakan salah satu pasaran sasaran bagi model ini.
Jika kita imbas kembali 31 tahun dahulu, Proton Saga generasi pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai model sulung Proton. Sebelum ia mula dilancarkan, banyak persepsi yang kurang enak kedengaran mengenai keupayaan Proton Saga. Ada yang mengatakannya sebagai "kereta tin Milo". Ada yang mengatakannya "tidak cukup kuat untuk mendaki Genting Highlands". Namun, sebaik sahaja selepas pelancarannya, Proton Saga laris bagaikan pisang goreng panas, sekaligus menjadikannya sebagai "model periuk nasi" utama Proton sehingga kini. Permintaan yang sangat tinggi di kalangan rakyat Malaysia juga menjadikan Proton Saga sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia sehingga ia diangkat sebagai salah satu ikon nasional.
Projek kereta nasional Proton Saga mula diilhamkan pada tahun 1979 semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Pada masa itu, Tun Dr. Mahathir merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maka, Tun Hussein Onn mengarahkan agar kajian kemungkinan dijalankan. Seterusnya pada tahun 1981 setelah Tun Dr. M menjadi Perdana Menteri, beliau menjemput Presiden Mitsubishi Motors Corporation (MMC) pada masa itu, Yohei Mimura-san bagi menjayakan projek tersebut. Seterusnya pada tahun 1983 Tun Dr. M melawat kilang Mitsubishi di Jepun bagi melihat sendiri dua model prototaip terawal bagi Proton Saga. Prototaip terakhir dibina berasaskan Mitsubishi Lancer Fiore, dan prototaip inilah yang dipilih untuk dikembangkan sehingga ke peringkat pengeluaran. Sepanjang tahun 1984, prototaip terakhir ini diuji bagi memastikan tahap kesesuaiannya dengan keadaan iklim dan jalan raya Malaysia. Setelah kilang utama Proton di Shah Alam siap pada Januari 1985, sesi pengeluaran ujian dilakukan. Akhirnya, Proton Saga generasi pertama selamat dirasmikan pada 1 September 1985, dengan slogan "Kejayaan Malaysia".
Iklan Proton Saga generasi pertama - "Proton Saga Kejayaan Malaysia"
Generasi pertama Proton Saga merupakan model kereta paling lama dikeluarkan dalam sejarah Proton. Ia dibina berasaskan model kereta Mitsubishi Lancer Fiore 1983, tetapi direkabentuk sedikit berbeza daripada rekaan asal Lancer bagi membezakan antara kedua-duanya. Antara perbezaan yang ketara ialah lampu-lampu serta papan pemuka yang digunakan. Ia boleh didapati dalam dua pilihan enjin iaitu enjin Orion 8 injap SOHC 4 silinder sebaris sejukan cecair 1.3L (4G13) dan 1.5L (4G15) dan hanya dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan. Asalnya hanya varian sedan sahaja boleh didapati sebelum varian hatchback dikeluarkan pada tahun 1987. Varian hatchback ini mulanya dikenali sebagai Proton Saga Knight sebelum ditukar namanya kepada Proton Saga Aeroback. Model-model Saga yang dikeluarkan pada tahun 1987 dikenali sebagai Magma kerana ia menggunakan enjin Magma 1.3L & 1.5L, juga enjin 8 injap. Transmisi automatik 3 kelajuan juga diperkenalkan pada Proton Saga Magma. Pada tahun 1990, Proton Saga mula menggunakan enjin 12 injap dan dikenali sebagai Megavalve. Enjin-enjin Megavalve ini meningkatkan keluaran kuasa kepada 75 bhp bagi 1.3L dan 90 bhp bagi 1.5L. Seterusnya pada tahun 1992, Proton mengeluarkan model facelift yang paling lama bertahan, iaitu Proton Saga Iswara. Kemudian pada tahun 2001, versi facelift Proton Saga Iswara Aeroback dikeluarkan dengan hanya pilihan enjin 1.3L dan transmisi manual. Seterusnya, Proton Saga Iswara Aeroback ini mengalami perubahan besar pada tahun 2003 dengan papan pemuka yang berlainan sepenuhnya serta penggunaan meter dengan paparan LCD digital, dikenali dengan nama Proton Saga LMST. Proton Saga LMST ini kemudiannya menerima rekaan gril hadapan baharu sebagai facelift terakhir sebelum generasi pertama ini dihentikan pengeluarannya pada Januari 2008. Pemberhentian pengeluaran Saga generasi pertama ini sejajar dengan perkembangan teknologi automotif yang menjadikan Saga lama tidak lagi relevan dengan perkembangan teknologi automotif semasa.
Iklan Proton Saga BLM (generasi kedua) yang menampilkan Dato David Arumugam daripada kumpulan Alleycats
Generasi kedua dikeluarkan pada Januari 2008 dengan berasaskan pelantar Proton Savvy yang dipanjangkan. Ia menggunakan rekaan sendiri dan enjin buatan sendiri, iaitu enjin Campro IAFM 1.3L yang mampu menghasilkan 94 bhp @ 6,000 rpm dan tork 120 N-m @ 4,000 rpm, lebih berkuasa daripada enjin 4G15 1.5L. Enjin tersebut juga merupakan enjin 1.3L paling berkuasa dalam pasaran pada ketika itu walaupun ia tidak dilengkapi sistem pemasaan injap boleh laras. Enjin Campro IAFM itu digandingkan sama ada dengan transmisi manual 5 kelajuan keluaran Aichi Kikai ataupun transmisi automatik Invecs 4 kelajuan keluaran Mitsubishi. Model ini dipertingkatkan pada tahun 2010 sebagai Proton Saga FL, yang dilengkapi tingkap kuasa bagi keempat-empat pintu, lampu-lampu serba baharu, lampu belakang LED serta radio yang boleh memainkan lagu MP3 daripada pemacu kilat USB. Lebih kurang setahun kemudian, ia diperbaharui lagi sebagai Proton Saga FLX, yang menampilkan transmisi boleh laras berterusan (CVT) bagi menggantikan kotak gear 4 kelajuan konvensional, enjin Campro IAFM+ baharu, beg udara berkembar dan sistem brek cegah kunci (ABS) bagi varian termahal. Ia juga merupakan kereta pertama Proton yang menggunakan teknik Pembentukan Tekanan Panas (HPF) bagi beberapa komponen penting kerangka kereta, membolehkannya mencapai penarafan 3 bintang dalam Program Penarafan Kereta Baharu Asean (Asean NCAP).
Saya membesar dan menjadi dewasa bersama-sama Proton Saga. Keluarga saya pernah memiliki sebuah Proton Saga pada tahun 1993 sebelum bertukar kepada Proton Wira beberapa tahun kemudian. Sepanjang memiliki Saga generasi pertama, keluarga saya pernah merasai suasana memandu dari Segamat ke Kuala Lumpur melalui Jalan Persekutuan 1 kerana tidak cukup wang untuk membayar tol. Semasa saya bercuti di Sabah pada tahun 2013, saya menggunakan kereta Proton Saga generasi kedua sebagai kenderaan rasmi saya sepanjang berada di Sabah. Seorang adik lelaki saya pula memiliki sebuah Proton Saga FLX. Begitulah kisah bagaimana saya dibesarkan dan didewasakan oleh pengalaman bersama-sama Proton Saga.
Kini setelah 31 tahun berada dalam pasaran, Proton Saga kini kembali dengan generasi ketiga serba baharu. Generasi ketiga Saga ini dibina berasaskan pelantar generasi kedua Saga. Mungkin ada yang menganggap penggunaan pelantar Saga generasi kedua ini hanya melayakkannya untuk dikenali sebagai model facelift dan bukan model baharu sepenuhnya, tetapi sila ambil perhatian bahawa pengeluar kereta global seperti Mitsubishi pun pernah mengitar semula pelantar terdahulu sebagai asas kepada model terbaharu, contohnya Mitsubishi Lancer. Penggunaan semula pelantar generasi kedua ini membolehkan Proton menurunkan kos pembangunan Saga 2016 ini kepada hanya RM150 juta sahaja. Jika dibandingkan, kos pembangunan Saga generasi pertama yang sememangnya berasaskan Lancer Fiore itu pula memakan belanja RM405.4 juta. Selain itu, Proton juga mensasarkan tempoh pengeluaran Saga 2016 ini kepada hanya 5 tahun sahaja, sebab itulah kos pengeluaran Saga ini perlulah serendah mungkin agar Proton berupaya untuk balik modal sepanjang masa pengeluarannya yang begitu pendek.
Ada banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Proton agar Saga 2016 ini benar-benar model baharu dan bukannya facelift kitar semula semata-mata. Rekaan luarannya memang 100% baharu. Meskipun jarak rodanya sama seperti Proton Saga FLX, namun Saga 2016 ini sebenarnya lebih panjang sedikit daripada Saga FLX. Lengkuk bumbungnya juga berbeza, menjadikannya lebih rendah sedikit. Pintu-pintunya pun berbeza, terutamanya pintu belakang yang diberikan tingkap suku baharu. Lampu-lampunya juga serta baharu. Tiada lagi lampu LED di belakang, tetapi rekaan lampu belakangnya tetap anggun. Sementara itu, lampu hadapannya sangat ringkas, terdiri daripada lampu kepala halogen serta lampu isyarat membelok yang besar. Oleh kerana kereta ini dibina berasaskan pelantar pendahulunya, maka tidak banyak penambahbaikan yang dapat dilakukan dari segi keselamatan pasif (Proton Saga ini tidak menggunakan kerangka RESS sebagaimana Proton Persona). Sebab itulah ia hanya mampu memperoleh 4 bintang dalam Asean NCAP. Tapi kira OKlah juga kerana ia lebih baik daripada Proton Saga FLX yang memperoleh 3 bintang.
Jika anda masuk ke dalamnya, anda akan dapati bahawa ruang dalamannya lebih kurang sama besar seperti Saga FLX. Namun, masih ada banyak perubahan yang diterapkan di dalamnya. Antaranya termasuklah kerusi belakang yang boleh dilipat, tetapi bukannya terbelah 60:40; sebaliknya, kerusi belakang Saga 2016 dilipat keseluruhan umpama bangku. Suis tingkap kuasa adalah dari jenis sama seperti Proton Preve, samalah seperti model-model baharu yang lain. Selak pengunci pintu adalah dari jenis togel dan bukannya jenis batang panjang. Papan pemukanya juga diperbaharui dengan rekaan berbeza, tetapi mengekalkan suis-suis penyaman udara serta meter yang sama seperti Saga FLX. Pun begitu, terdapat sedikit perbezaan antara meter Saga FLX dengan meter Saga 2016 ini, seperti lampu Eco. Di samping itu, tatkala Saga generasi ketiga mengitar semula suis kawalan penyaman udara daripada generasi kedua, salur udara sejuk pula adalah dari jenis petak dan bukannya jenis bulat seperti Saga FLX. Sterengnya pula dikitar semula daripada Preve (varian Premium, siap dengan butang-butang kawalan radio) ataupun Proton Exora B-line (bagi varian lain). Semua varian Saga 2016 dihidupkan dengan menggunakan kunci; tiada butang penghidup tekan walaupun pada varian paling mahal.
Sementara itu, suis-suis tengah dipindahkan ke bawah radio. Jika Saga FLX ada sehingga 4 sahaja suis di tengah, Saga 2016 pula ada sehingga maksimum 7 suis di tengah, iaitu suis lampu kabut hadapan, suis pengunci pintu, penyahkabut belakang, lampu kecemasan (hazard light), lampu kabut belakang, suis sensor parkir hadapan dan kawalan kestabilan elektronik (ESC). Dua suis paling tepi merupakan pilihan yang hanya ada pada varian Executive (lampu kabut hadapan sahaja) dan Premium (lampu kabut hadapan dan ESC). Buat pertama kalinya, lampu kabut belakang dan sensor parkir hadapan bukan sahaja diperkenalkan pada Saga 2016, malah ia dijadikan komponen standard pada semua varian.
Seterusnya kita pergi pula kepada radio. Radio yang digunakan adalah radio "biasa-biasa" sahaja dan bukannya radio bersepadu mahupun jenis unit skrin sentuh. Varian Standard dan Executive memperoleh radio DIN tunggal rekaan baharu tetapi mempunyai port USB serta keupayaan Bluetooth bagi tujuan sambungan bebas tangan ke telefon bimbit. Sementara itu, varian Premium pula menerima radio 2 DIN yang dikitar semula daripada Proton Exora. Mungkin ada yang kecewa kerana Saga ini tiada unit skrin sentuh walaupun pada varian termahal, tetapi kita kena ingat bahawa Proton Saga dibina sebagai kereta untuk rakyat marhaen berpendapatan rendah, bukannya kereta untuk dibuat berlagak. Jika Proton memasang jenis radio skrin sentuh yang canggih seperti pada model-model yang lebih mahal, ia sudah tentu akan meningkatkan kos pembuatannya dan seterusnya menjadikan harga Saga terlalu mahal untuk dibeli oleh golongan berpendapatan rendah, sekaligus menggagalkan matlamat pembangunan Proton Saga itu sendiri. Jadi, kalau anda terlalu bosan akan radio biasa itu, anda boleh bila-bila masa sahaja menukarkan radio asal itu kepada radio-radio yang lebih mahal dan lebih canggih. Pun begitu, varian Premium masih ada kamera undur, tetapi imejnya dipaparkan pada cermin pandang belakang.
Seterusnya kita pergi pula ke bahagian enjin. Untuk generasi ketiga ini, hanya satu sahaja pilihan enjin yang ada, iaitu enjin 1.3L VVT bagi menggantikan enjin IAFM+ yang digunakan pada Proton Saga FLX. Seperti Proton Persona 2016 yang hanya mempunyai pilihan enjin 1.6L VVT, keputusan untuk menggunakan hanya satu sahaja pilihan enjin adalah bagi mengelakkan model-model Proton daripada saling "berbunuhan" sesama sendiri. Sebelum ini, Proton pernah memperkenalkan varian enjin 1.6L yang asalnya khusus untuk pemandu teksi tetapi kemudian dijual kepada umum berikutan wujud permintaan di kalangan pengguna biasa, mengakibatkan Saga dan Persona saling berbunuhan. Justeru, jika siapa yang kurang berwang boleh membeli Saga yang murah dan dikuasakan oleh enjin 1.3L; kalau ada wang lebih ataupun mahukan kereta yang lebih besar dan lebih laju, boleh pilih Persona, dan seterusnya. Enjin 1.3L VVT ini dipadankan sama ada dengan transmisi manual kelajuan (varian Standard sahaja) ataupun CVT (semua varian). Seperti Persona, CVT pada Saga ini ditala semula perisian tegarnya bagi mendapatkan respons yang lebih baik.
Tidak seperti Proton Persona generasi kedua dan Proton Iriz, Proton Saga generasi ketiga ini tidak menggunakan stereng kuasa elektrik seperti pada Persona dan Iriz. Ia kekal menggunakan stereng kuasa hidraulik konvensional kerana ia lebih murah. Hendak menalanya pun mudah. Peminat tegar kereta lebih meminati stereng kuasa hidraulik kerana sifatnya yang semakin memberat jika semakin laju secara semulajadi. Cuma kelemahannya ialah ia memerlukan penyelenggaraan dari segi penukaran minyak stereng kuasa serta kehilangan kuasa parasitik memandangkan sebahagian kuasa enjin digunakan untuk menggerakkan pamnya. Hasilnya, tahap penggunaan bahan api agak "kureng" sedikit berbanding Proton Iriz 1.3L yang memang menggunakan enjin sama tetapi turut menggunakan stereng kuasa elektrik. Justeru, jika Proton Saga FLX berupaya mencatatkan pengunaan bahan api sekitar 17 km/L, maka anda boleh menjangkakan sekitar 18 km/L pada Proton Saga 2016 ini. Seperti Persona, Saga ini turut dilengkapi lampu Eco bagi melatih pemandu memandu dengan tabiat yang lebih menjimatkan minyak.
But Saga 2016 kali ini lebih besar sedikit daripada Saga FLX. Jika but Saga FLX sebesar 413 liter, but Saga 2016 pula 7 liter lebih besar. Tidak seperti Persona 2016 yang butnya boleh dibuka secara elektrik melalui suis pembuka di belakang serta melalui alat kawalan jauh, but Saga 2016 pula dibuka secara konvensional sama ada menggunakan kunci ataupun melalui tuas pembuka di sebelah pemandu.
Proton Saga generasi ketiga didatangkan dalam tiga varian, iaitu Standard (paling cikai), Executive dan Premium (paling mahal). Kesemua varian didatangkan dalam pilihan transmisi CVT, tetapi hanya varian Standard sahaja yang mempunyai pilihan transmisi manual. Harganya amat berpatutan, bermula daripada RM36,800 bagi varian Standard manual (termasuk GST, insurans dan cukai jalan) sehinggalah kepada RM45,800 bagi varian Premium CVT. Varian paling mahal hanya murah sedikit sahaja daripada varian termurah Persona, dan ia penting agar tiada lagi kes model kereta Proton "berbunuhan" sesama sendiri. Ia ternyata pembelian yang amat berbaloi. Jika dibandingkan, julat harga bagi varian Perodua Bezza 1.0 pun lebih kurang sama dengan julat harga Saga, yang mana varian 1.3L Advance sudah pun memasuki julat harga Persona. Mungkin Perodua Bezza 1.3 lebih canggih dengan penghidup tekan dan hentian melahu, tetapi harganya sudah jadi terlalu mahal untuk rakyat marhaen berpendapatan rendah. Di sinilah terletaknya kekuatan Saga yang mampu menggugat Bezza.
Dengan terlancarnya Proton Saga 2016, diharapkan agar Saga dan Persona dapat bersama-sama merampas kembali kedudukan sebagai pendahulu utama dalam pasaran automotif Malaysia setelah sekian lama tewas kepada Perodua.
Kesemua varian dilengkapi 2 biji beg udara, sensor parkir hadapan dan lampu kabut belakang walaupun pada varian termurah
Lampu Eco untuk melatih pemandu memandu dengan cara yang menjimatkan minyak
Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
Talaan CVT yang ditambah baik
Apa yang saya tidak suka
Beberapa komponen seperti suis penyaman udara dan meter seakan dikitar semula daripada generasi terdahulu walaupun ada tambahan lampu Eco
Pandangan hadapan Proton Saga 2016
Bahagian belakang Proton Saga 2016
Lampu hadapan Proton Saga 2016 dengan lampu isyarat membelok yang besar
Cermin sisi dengan lampu isyarat membelok, dikitar semula daripada generasi terdahulu
But Saga 2016 ini 7 liter lebih besar daripada generasi kedua
Stereng pada varian Standard dan Executive menggunakan stereng sama seperti Proton Exora B-line...
...manakala varian Premium pula menggunakan stereng Proton Preve
Meter Saga 2016 hampir sama seperti meter Saga FLX, tetapi dengan tambahan lampu Eco
Kesemua varian Proton Saga 2016 dihidupkan dengan menggunakan kunci biasa walaupun pada varian termahal
Varian Standard dan Executive menggunakan radio DIN tunggal dengan port USB dan keupayaan Bluetooh...
...manakala varian Premium pula menggunakan radio sama seperti Proton Exora
Tombol gear CVT menggunakan tombol sama seperti Proton Iriz. Juga perhatikan butang SAT (Stepped Automatic Transmission) yang kini sudah dibuang kerana langsung tidak digunakan oleh pengguna
Bukaan pintu Saga kali ini sangat besar, menghampiri 90° - lebih kurang sama seperti Perodua Viva. Juga perhatikan tingkap belakang yang dilengkapi tingkap suku
Tidak seperti Iriz dan Persona yang tidak menawarkan port pengecas USB pada varian paling cikai, Proton kali ini bermurah hati menawarkan port pengecas USB pada kesemua varian
Suis tingkap kuasa
Kerusi belakang Saga 2016 kali ini boleh dilipat, tetapi dengan gaya bangku memanjang seperti pada Perodua Kancil
Hanya pilihan enjin 1.3L VVT ditawarkan pada Saga. Juga perhatikan takungan minyak stereng kuasa, membuktikan bahawa Saga generasi ketiga tidak menggunakan stereng kuasa elektrik sebagaimana Persona
Sebuah lori treler yang dipandu laju melanggar mati seorang murid sekolah di hadapan sekolah di hadapan ibunya sendiri
Detik-detik sebelum nahas maut EIMARace 2016 di Kuantan, Pahang
Sementara itu pula, baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan nahas maut semasa perlumbaan EIMARace 2016 di Kuantan, Pahang, yang meragut nyawa seorang bapa dan anaknya apabila sebuah go-kart hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang hanya dipisahkan daripada litar melalui pengadang plastik kosong yang kosong dan disusun jarang. Akibatnya, insiden tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mana kebanyakannya menyalahkan pihak penganjur kerana gagal menerapkan aspek keselamatan serta sikap mahu lepas tangan, lebih-lebih lagi apabila penganjur menyalahkan pula penonton kerana "berada di kawasan larangan".
Jadi apakah persamaan nahas EIMARace 2016 dengan dua lagi nahas di atas...? Persamaan antara ketiga-tiga nahas di atas ialah kesemuanya terjadi akibat satu penyebab yang sama, iaitu memandang enteng aspek kawalan masuk jalan raya.
Kenapa pula saya boleh katakan orang kita memandang enteng akan aspek kepentingan kawalan masuk jalan raya...? Sudah banyak entri yang saya tulis mengenai kawalan masuk jalan raya dan sudah berbuih mulut saya bising-bising mengenainya, tetapi masih ramai juga yang langsung tidak mahu mengambil iktibar. Saya sudah pun menulis mengenai asas kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya berasaskan kawalan masuk jalan raya. Saya juga sudah pun menulis mengenai kepentingan mematuhi had laju, yang mana darjah kawalan masuk jalan raya menjadi salah satu faktor penentu had laju operasi. Saya juga turut menulis hirarki jalan raya perbandaran, siap dengan gambar bagi memberikan bayangan darjah kawalan masuk yang semakin tinggi sesuai dengan peningkatan hirarki jalan dan had laju operasi. Tidak cukup dengan itu, saya turut menyelar sesetengah lebuh raya ekspres yang mencabuli piawaian, terutamanya dari segi darjah kawalan masuk yang dikenakan. Malangnya, ramai yang masih buat-buat bodoh sahaja; kalau sudah diberi penerangan pun, masih ramai yang menunjukkan perangan bodoh sombong.
Untuk mengingatkan kembali golongan yang alpa, biar saya ulang kembali mengenai kawalan masuk jalan raya buat kesekian kalinya. Tiada kawalan masuk bermaksud seseorang boleh memasuki premis hartanah (rumah, kedai, pejabat, bangunan, kebun dsb.) secara terus dari jalan raya. Kawalan masuk penuh pula bermaksud seseorang dihalang terus daripada memasuki premis hartanah secara terus dari jalan raya dan dipagar di sepanjang laluan; satu-satunya jalan keluar masuk hanyalah melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya serta diwartakan, yang dihubungkan ke lebuh raya ekspres lain ataupun jalan raya utama sahaja. Sementara itu pula, kawalan masuk separa bermaksud seseorang tidak boleh memasuki premis hartanah secara terus dari jalan raya, tetapi masih boleh ke premis tersebut melalui jalan-jalan perantara yang tiada kawalan masuk dan dihubungkan ke jalan raya tersebut.
Hukum asas bagi kawalan masuk jalan raya sebenarnya amat mudah. Tiada kawalan masuk bermaksud had laju operasi yang sangat rendah. Cuba bayangkan apa akan berlaku sekiranya kenderaan dipandu sebegitu laju di jalan masuk ke rumah anda sendiri - adakah anda akan rasa selamat untuk keluar masuk ke rumah anda sendiri...? Sudah tentulah tidak. Sementara itu, lebuh raya ekspres mempunyai had laju operasi yang tinggi kerana segala halangan yang boleh mengganggu pemanduan berkelajuan tinggi (haiwan liar, penduduk tempatan, kenderaan berkelajuan rendah, simpang jalan-jalan kecil, aliran trafik arah bertentangan, lintasan searas dsb.) diasingkan sepenuhnya.
Sementara itu pula, kawalan masuk yang paling ekstrim digunakan di litar lumba bagi mencegah nahas maut sekiranya ada pelumba yang hilang kawalan tiba-tiba terbabas dan menuju ke arah penonton. Selapisan pagar biasa mahupun pengadang plastik masih tidak memadai; timbunan guni pasir, tayar buruk serta perangkap pasir / kerikil turut diletakkan di sepanjang kawasan tepi litar bagi menyerap sebarang impak pelanggaran. Itulah sebabnya kenapa litar lumba tiada had laju maksimum kecuali di kawasan selekoh di mana ada had laju disyorkan yang berubah-ubah mengikut tahap ketajaman selekoh; namun demikian, jalan masuk ke pit stop pula dikenakan had laju yang rendah kerana jalan masuk ke pit stop tiada kawalan masuk.
Ketiga-tiga nahas tersebut telah melanggar hukum-hukum asas kawalan masuk jalan raya yang telah saya nyatakan di dua perenggan terdahulu tadi. Kawasan sekolah merupakan kawasan yang dianggap tiada kawalan masuk kerana terdapat murid-murid yang berkeliaran seolah-olah mereka tidak tahu akan bahaya kereta yang dipandu laju di hadapan sekolah. Sebab itulah jalan di hadapan sekolah dikenakan had laju 30 km/j sahaja, meskipun had laju umum jalan tersebut ialah antara 60-90 km/j. Namun demikian, penguatkuasaan had laju 30 km/j di hadapan sekolah boleh dikatakan hampir tiada langsung, kerana had laju 30 km/j ini bermusim dan hanya dikenakan pada waktu murid-murid datang dan pulang dari sekolah (sekitar 6.30-8.00 am, 12.00-1.00 pm dan 6.00-7.30 pm). Sebab itulah masih ramai pemandu yang buat bodoh dan terus memecut laju di hadapan sekolah yang ada banyak murid-murid yang berkeliaran.
Susulan dua nahas di kawasan sekolah yang meragut nyawa itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah menggesa Kementerian Pengangkutan agar menguatkuasakan larangan kenderaan berat di hadapan sekolah pada waktu puncak. Namun, cadangan tersebut sangat tidak praktikal sama sekali atas tiga sebab utama. Pertama, bukan kenderaan berat sahaja yang mengingkari arahan had laju 30 km/j di hadapan sekolah, tetapi pemandu kereta biasa pun banyak juga yang menunjukkan kebebalan mereka di hadapan sekolah - dengan kata lain, gesaan tersebut bersifat deskriminasi sedangkan pemandu kenderaan lain pun dua kali lima juga. Kedua, pemandu kenderaan berat selalunya tidak menjangka sama ada mereka akan melepasi kawasan sekolah pada waktu yang telah saya nyatakan tadi. Ketiga, kebanyakan sekolah (terutamanya di luar bandar) terletak betul-betul di tepi jalan raya utama tanpa sebarang laluan alternatif lain bagi memirau kawasan sekolah tersebut.
Sementara itu, Hezeri Samsuri dari portal automotif Careta pula mendedahkan bahawa banyak pihak yang sepatutnya dipersalahkan atas nahas maut semasa EIMARace 2016 di Kuantan baru-baru ini. Lazimnya sudah tentulah pihak penganjur akan terlebih dahulu dipersalahkan, kerana mereka membuat keputusan mengadakan perlumbaan di litar jalan raya dengan mekaniske kawalan masuk yang begitu minimum - penonton hanya dipisahkan daripada litar sekadar menggunakan pengadang-pengadang plastik yang disusun begitu jarang di lurusan. Kalau begitu, ia hanya "lebih selamat sedikit sahaja" berbanding lumba haram mat rempit yang memand diadakan di jalan raya awam yang tidak berpagar. Ia amat berbeza berbanding EIMARace 2010 yang diadakan di Litar Pasir Salak semasa saya menyertai rombongan Universiti Selangor (Unisel) pada semester terakhir saya - penonton hanya duduk di grand stand yang terpisah daripada litar yang sememangnya berpagar, dilengkapi longgokan tayar buruk serta dikelilingi padang rumput yang luas, yang turut berfungsi sebagai perangkap kenderaan yang hilang kawalan.
Peta litar jalan raya yang digunakan semasa EIMARace 2016. Garisan merah menunjukkan pengadang plastik berisi air yang disusun rapat, manakala garisan biru puna menunjukkan pengadang plastik kosong yang disusun jarang
Ironinya, perlumbaan tersebut diteruskan atas kelulusan MAM (Motorsports Association of Malaysia) walaupun ia tidak diluluskan terus oleh satu lagi badan induk sukan bermotor Malaysia iaitu AAM (Automotive Association of Malaysia). Satu-satunya mekanisme kawalan masuk yang diluluskan oleh AAM bagi perlumbaan sebegini hanyalah mekanisme yang diguna pakai oleh perlumbaan cub prix, iaitu memasang timbunan guni pasir dan tayar buruk di sepanjang litar serta memsang pagar di sekeliling litar. Namun demikian, ia menjadikan kos penganjuran mencecah jutaan ringgit meskipun hanya sekatar litar tutup jalan sahaja, sekaligus menggagalkan matlamat utama penubuhan MAM iaitu bagi menggalakkan pertumbuhan sukan bermotor peringkat akar umbi berkos rendah sebagai perintis kepada perlumbaan bertaraf profesional. Justeru, mekanisme kawalan masuk penuh yang sangat mahal menjadikan kos mengadakan perlumbaan di litar jalan raya awam lebih mahal berbanding di litar khas tertutup.
Teka-teki mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap nahas maut EIMARace 2016 akhirnya dirungkai oleh Hezeri Samsuri dengan meletakkan kerajaan negeri Pahang sebagai pihak nombor satu yang sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap nahas maut tersebut. Untuk pengetahuan, EIMARace 2016 diadakan di Kuantan, Pahang tajaan kerajaan negeri Pahang sempena sambutan Tahun Melawat Pahang 2017. Ironinya, Pahang tiada langsung litar lumba meskipun sekadar litar lumba komuniti seperti di Pasir Salak, tetapi kerajaan Pahang masih mahukan EIMARace 2016 diadakan di Pahang walaupun tanpa infrastruktur yang sepatutnya.
Nahas maut perlumbaan halal seperti di Kuantan sepatutnya boleh dicegah sekiranya litar-litar lumba komuniti seperti di Pasir Salak diperbanyakkan. Kalau boleh, setiap daerah mesti ada satu litar seumpamanya. Litar komuniti terbukti berjaya mengurangkan gejala lumba haram serta meningkatkan tahap keselamatan para pelumba, kru dan penonton pada kos bajet. Ia dibuktikan melalui hasil kajian oleh pihak pengurusan Litar Johor di Pasir Gudang dan pihak polis yang menunjukkan penurunan kes lumba haram di Johor Bahru sejak Litar Johor dibuka kepada umum. Malangnya, apabila Hezeri Samsuri menggesa sendiri kepada Menteri Belia dan Sukan untuk memperbanyakkan litar lumba komuniti, jawapannya hanya sekadar "ya, cadangan yang bagus Hezeri, akan difikirkan". Dengan kata lain, cakap tak serupa bikin, samalah seperti berkata "on the way" sedangkan masih di dalam tandas di rumah. Ia jauh berbeza berbanding semasa Mohd Hezery bin Hussin menyuarakan sendiri kepada Menteri Kerja Raya akan permasalahan lorong motosikal, beliau mengemukakan tindakan yang sedang dilakukan, dan sekiranya ada gesaan yang tidak dapat dilakukan segera tetapi hanya dapat dilaksanakan dalam jangka masa panjang, beliau akan menyatakannya awal-awal.
Kesimpulannya, ketiga-tiga nahas maut tersebut berpunca daripada satu penyebab yang sama, iaitu memandang enteng akan kepentingan kawalan masuk jalan raya. Akibatnya, nahas yang sepatutnya boleh dielakkan terus berulang dan berulang. Malangnya, masih ada lagi puak-puak bebal yang bodoh sombong dan melenting apabila cuba didisiplinkan. Tak percaya, cuba anda saksikan sendiri berapa banyak pesalah trafik yang melenting apabila disaman atas kesalahan melanggar had laju, sedangkan mematuhi had laju itulah yang menyelamatkan nyawa kerana jalan raya terdapat banyak halangan yang tidak dijangka berikutan darjah kawalan masuk yang hampir tiada, dan kita memerlukan masa untuk bertindak apabila berdepan halangan yang tidak dijangka. Itulah letaknya kepentingan had laju, dan itulah kepentingan mekanisme kawalan masuk.