Salam sejahtera,
Sejak pembinaan pusat pentadbiran baru kerajaan persekutuan di Putrajaya serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, bahagian selatan Lembah Klang yang sebelum ini dipenuhi kawasan bekas lombong dan estet kelapa sawit telah berkembang dengan pesatnya. Ia terbukti dengan pembinaan rangkaian jalan raya yang sebegitu ekstensif di kawasan berkenaan seperti Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26, Lebuhraya Kajang Silk E18, Lebuhraya Sungai Besi E9, Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan Lebuhraya Maju E20. Hari ini Blog Jalan Raya Malaysia membawakan kepada anda reviu eksklusif mengenai salah satu daripada lebuh raya penting di sana iaitu Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29.
Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dibina sebagai sambungan kepada Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang pernah saya kecam hebat kerana gagal memenuhi kriteria lebuh raya ekspres terutamanya dari segi kawalan masuknya. Pembinaan FT29 bersama-sama SKVE E26 dan Lebuhraya Kajang Silk E18 telah menyebabkan perubahan besar terhadap jajaran Jalan Negeri Selangor B11 dari Kajang ke Puchong. Rencana mengenai jajaran Jalan Negeri Selangor B11 yang hilang itu akan saya ulas dengan lebih lanjut dalam entri akan datang.
Semasa FT29 mula-mula dibuka, ia sering dilabelkan sebagai Jalan Negeri Selangor B15, memandangkan lebuh raya ini dibina bagi menggantikan jajaran asal B15 yang kini sudah lenyap akibat pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya. Satu-satunya jajaran B15 yang masih wujud ialah dari susur keluarnya dari FT29 ke penghujungnya di pekan Dengkil. Namun demikian, kebanyakan peta dalam talian termasuklah Google Maps masih lagi tersilap melabelkan lebuh raya ini sebagai B15 dan bukannya FT29 sebagaimana yang sepatutnya.
Saya mencuba lebuh raya ini dalam keheningan awal pagi semasa kebanyakan orang masih nyenyak diulit mimpi. Ketika itu, saya sedang dalam perjalanan ke KLIA untuk membawa pulang ibu saya dan dua orang adik saya yang pulang bercuti dari Perancis. Ada dua pilihan laluan (dan reviu jalan raya) yang boleh saya lakukan sama ada FT29 ataupun Lebuhraya Maju E20, tetapi akhirnya saya mengambil keputusan membuat reviu FT29.
Saya memasuki FT29 melalui Exit 2606 SKVE E26. Angka penanda jarak kilometernya disambung daripada LDP E11 bermula dari KM38. Tidak seperti pendahulu FT29 iaitu LDP E11 yang sama sekali mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, FT29 ini sememangnya sebuah lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh. Satu-satunya bahagian FT29 yang mempunyai kawalan masuk separa ialah di Persimpangan Dengkil yang merupakan persimpangan searas berlampu isyarat. Lorongnya juga lebar-lebar belaka, terutamanya di jajaran Putrajaya-Cyberjaya yang puratanya selebar 6 lorong tetapi ada jajaran yang sehingga selebar 10 lorong, menjadikannya sebagai "lebuh raya syurga" bagi kaki drag. Jadi, nikmatilah ia selagi kamera perangkap laju AES masih belum dipasang di sini.
Persimpangan kedua ialah Persimpangan Apec yang melencongkan keluar laluan B11 melalui Persiaran Apec dan seterusnya Jalan Pulau Meranti B11 ke Puchong. Ia diikuti Persimpangan Persiaran Utara untuk ke bahagian utara Putrajaya.
Jajaran dari Persimpangan Putrajaya Sentral sehingga ke Persimpangan Lingkaran Putrajaya untuk ke Hubungan Putrajaya E6 sememangnya sangat lebar, dan saya anggarkan sebanyak hampir 14 lorong kesemuanya (6 lorong utama, selebihnya lorong pemindah bagi pemandu yang hendak keluar dari lebuh raya FT29).
Persimpangan berikutnya ialah Persimpangan Cyberjaya Selatan untuk ke pusat bandar Cyberjaya yang menjadi tumpuan banyak syarikat IT serta beberapa syarikat animasi dan filem tempatan seperti KRU Studios dan Animonsta, serta merupakan lokasi bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Limkokwing. Ibu pejabat Majlis Perbandaran Sepang juga terletak di Cyberjaya.
Seterusnya ialah Persimpangan Persimpangan Selatan FT30, yang merupakan lebuh raya lingkaran luar bagi Putrajaya. Bahagian baratnya pula hanyalah sekadar jalan mati yang akan disambungkan sebaik sahaja kawasan di sekitarnya dibangunkan. FT29 kemudian melencongkan keluar laluan asal B15 yang masih tinggal ke pekan Dengkil.
Bilangan lorong Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 kemudiannya mula berkurang menjadi 4 lorong. Seterusnya, FT29 menyeberangi tasik bekas lombong di Dengkil dan seterusnya Sungai Langat sebelum menghampiri satu-satunya persimpangan searas di lebuh raya ini.
Sebaik melepasi Persimpangan Dengkil ini, FT29 menjadi sempit sedikit dengan lebar setiap lorong lebih kurang 3.25 m (JKR R4), tidak seperti sebelum ini yang mana lebar lorongnya ialah sekitar 3.5-3.65 m (JKR R5). Masih ada dua lagi persimpangan bertingkat yang tinggal sebelum lebuh raya tamat, iaitu Persimpangan Kota Warisan dan Persimpangan Sepang di Laluan Labohan Dagang-Nilai FT32. Terdapat sebuah restoran McDonald's pandu lalu di antara kedua-dua persimpangan bertingkat tersebut. Lebuh raya ditamatkan di Persimpangan Sepang di Laluan Labohan Dagang-Nilai FT32, memandangkan laluan yang sepatutnya berakhir di KLIA masih belum siap.
Tidak banyak gambar yang dapat saya tunjukkan kepada anda, memandangkan gambar diambil pada waktu awal pagi yang gelap dalam kereta yang sedang bergerak, menyebabkan gambar menjadi tidak begitu cantik berbanding jika saya menggunakan motosikal dan berhenti setiap kali menemui pemandangan menarik. Saya hanya dapat tunjukkan segelintir sahaja, selebihnya anda boleh klik sini.
Memasuki FT29 dari SKVE E26
Menghampiri Persimpangan Putrajaya Sentral
Ada empat lorong pemindah di setiap hala antara Persimpangan Putrajaya Sentral dengan Persimpangan Lingkaran Putrajaya, menjadikannya sebagai jajaran paling lebar di sepanjang FT29 ini
Persimpangan Cyberjaya Selatan
Persimpangan Persiaran Selatan FT30
Laluan asal B15 dilencongkan keluar ke pekan Dengkil
Persimpangan Dengkil, satu-satunya persimpangan searas berlampu isyarat di sepanjang FT29
Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya tamat di Laluan Labohan Dagang FT32
Memasuki FT29 dari SKVE E26
Menghampiri Persimpangan Putrajaya Sentral
Ada empat lorong pemindah di setiap hala antara Persimpangan Putrajaya Sentral dengan Persimpangan Lingkaran Putrajaya, menjadikannya sebagai jajaran paling lebar di sepanjang FT29 ini
Persimpangan Cyberjaya Selatan
Persimpangan Persiaran Selatan FT30
Laluan asal B15 dilencongkan keluar ke pekan Dengkil
Persimpangan Dengkil, satu-satunya persimpangan searas berlampu isyarat di sepanjang FT29
Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya tamat di Laluan Labohan Dagang FT32