Thursday, July 2, 2015

Hadiah Hari Raya: Harga minyak naik lagi, tetapi tiada tindakan bagi mengurangkan beban terhadap rakyat / An Eid day gift: The petrol price rises again, but no such action to lessen the people's burden



Harga petrol sudah tiga kali naik tahun ini meskipun harga minyak dunia sudah stabil
(arkib gambar oleh: Sinar Harian)


Salam sejahtera,

Harga petrol naik lagi pada Julai ini. Ia merupakan kenaikan ketiga pada tahun ini setelah harga petrol RON95 menjunam ke paras RM1.75 seliter pada bulan Februari. Namun, kenaikan harga minyak kali ini sangat ironi kerana ia berlaku tatkala harga minyak dunia sedang stabil tanpa kenaikan atau penurunan ketara - tambahan pula, ia berlaku tatkala kerajaan sudah tidak lagi menanggung beban subsidi bahan bakar sejak Disember 2014. Apa sudah jadi sebenarnya...?

Punca utama bagi kenaikan harga minyak di Malaysia yang sangat ironik itu adalah disebabkan nilai Ringgit Malaysia yang semakin jatuh. Ia sudah tentu memberi kesan terhadap harga minyak di Malaysia kerana kita menggunakan petroleum yang diimport dan dibayar dengan Dolar Amerika (USD). Jika nilai ringgit kita jatuh, maka kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan kuantiti bahan bakar yang sama. Sebab itulah harga minyak di Malaysia naik...!!!

Malangnya, terdapat segelintir individu yang memberikan komen dangkal terhadap isu kejatuhan nilai ringgit dan kesannya terhadap negara. Contohnya, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa beliau "paling gembira bila ringgit jatuh". Akibat kenyataan dangkal tanpa mengira sensitiviti rakyat yang sudah tentunya tertekan apabila nilai ringgit jatuh, beliau menjadi sasaran kemarahan rakyat marhaen yang sudah tentunya bertambah tertekan akibat kejatuhan nilai ringgit, kerana kejatuhan nilai ringgit bermaksud harga barangan - terutamanya bahan bakar dan produl-produk yang diimport - pasti akan naik.

Ada juga individu yang mengambil kesempatan mempolitikkan kejatuhan nilai ringgit dengan menyalahkan individu tertentu yang sudah tidak ada kena-mengena lagi dengan sistem pentadbiran negara. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pula menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mendakwa kononnya "serangan" beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai punca kejatuhan nilai ringgit. Kalau pun Tun Dr. M berbalah dengan Datuk Seri Najib, sepatutnya mereka diberi peluang untuk menyelesaikannya sesama mereka serta mencari usaha untuk mendamaikan mereka, bukannya semakin menjadi batu api bagi menambah parah keadaan...!!!

Apa pun, peningkatan harga bahan bakar buat kesekian kalinya menunjukkan kegagalan pemerintahan Datuk Seri Najib dalam mengekang beban kenaikan harga petrol terhadap rakyat. Satu-satunya usaha beliau yang patut dipuji hanyalah pembinaan lebih banyak landasan LRT dan MRT, tetapi itu pun hanya dapat dirasai oleh penduduk Lembah Klang yang tinggal di sepanjang laluannya sahaja, paling awal pun sekitar 2016-2017. Bagaimana pula dengan penduduk di kawasan lain...? Bagaimana pula dengan warga Lembah Klang yang tinggal jauh dari laluan sebarang sistem pengangkutan awam...?

Pada tahun 2008, negara pernah menyaksikan peningkatan harga bahan bakar yang tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM2.70 bagi seliter petrol RON97. Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (aka Pak Lah) pernah cuba memperkenalkan baucar petrol bagi mengurangkan beban rakyat marhaen yang terkesan akibat peningkatan harga minyak yang tertinggi dalam sejarah, tetapi ternyata usaha tersebut gagal sama sekali. Namun, Kementerian Kerja Raya di bawah pimpinan Dato' Ir. Mohd. Zin Mohamed mengambil inisiatif melancarkan kempen menggalakkan warga kota bermotosikal ke tempat kerja, yang membawa kepada pemansuhan larangan bermotosikal di Lebuhraya AKLEH E12 dan Lebuhraya MEX E20. Hasilnya, ramai warga kota yang berhijrah kepada penggunaan motosikal ke tempat kerja, menyebabkan jualan motosikal meningkat mendadak dan seterusnya mengurangkan permintaan terhadap bahan api petrol yang seterusnya menyumbang kepada beberapa siri penurunan harga minyak beberapa bulan kemudian.

Bagaimana pula dengan sekarang...? Harga minyak sudah beberapa kali naik, tetapi langsung tiada tindakan bagi membantu mengurangkan beban kenaikan harga minyak terhadap rakyat marhaen. Tiada langsung kempen penggunaan motosikal ke tempat kerja dilancarkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Dato' Ir. Mohd. Zin sebelum ini. Tiada langsung kempen penghijrahan kepada penggunaan kenderaan yang lebih jimat bahan bakar. Meskipun memang ada insentif bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) seperti yang dimanfaatkan oleh Perodua Axia, tetapi tiada pula inisiatif bagi menggalakkan pengguna berhijrah kepada kenderaan sebegini. Inisiatif menggalakkan industri automotif menghasilkan kit penukaran ke sistem pancitan bahan api untuk kereta dan motosikal berkarburetor juga langsung tidak dilakukan. Pendek kata, rakyat dibiarkan terkontang-kanting sahaja ketika berdepan dengan kenaikan harga minyak tanpa sebarang inisiatif mengurangkan beban rakyat.

Saya sudah letih hendak menulis mengenai isu harga petrol ini. Setiap kali harga minyak naik pun sama juga skrip yang dimainkan - rakyat dirayu agar memahami rasional kenapa kerajaan "terpaksa" menaikkan harga minyak, tetapi dalam masa yang sama tiada pula tindakan yang diambil bagi membantu mengurangkan beban rakyat. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihulur atas alasan "subsidi bersasar" mahupun "jaringan sosial" (BR1M = Facebook...?), sedangkan umum mengetahui bahawa BR1M sama sekali tidak berkesan dalam membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, memandangkan ia ibarat pil Panadol yang hanya menghapuskan rasa sakit bagi jangka masa pendek tanpa menangani punca kesakitan itu sendiri. Datuk Seri Najib seharusnya sedar bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan kerana gagal menangani masalah kenaikan kos sara hidup dari peringkat akar umbi lagi, lebih-lebih lagi apabila rakyat terus dimomokkan dengan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kemungkinan kenaikan tol lebuh raya ekspres serta isu 1MDB. Justeru, satu-satunya pilihan yang ada pada Datuk Seri Najib hanyalah dengan mencari jalan memerangi beban kos sara hidup secara total dengan memperkenalkan inisiatif yang telah saya nyatakan di atas, bukannya sekadar mencari alasan mahupun sekadar menabur BR1M sebagai ubat tutup mulut.

Saturday, June 27, 2015

Jalan Tol Cikopo-Palimanan (Cipali), jalan tol sulung PLUS Expressways di Indonesia / Cikopo-Palimanan (Cipali) Toll Road, PLUS Expressways' first toll road in Indonesia

Salam sejahtera,

Pada 13 Jun 2015, Presiden Indonesia, Presiden Joko Widodo (aka Jokowi) merasmikan jalan tol terpanjang di Indonesia iaitu Jalan Tol Cikopo-Palimanan, atau lebih dikenali sebagai Jalan Tol Cipali. Lebuh raya ekspres sepanjang 116 km ini mula dibina pada tahun 2011 dan siap pada tahun ini. Syarikat konsesi yang mengendalikan lebuh raya ini ialah PT Lintas Marga Sedaya, yang terhasil daripada usaha sama antara PLUS Expressways International (memegang 55% saham) dan PT Baskhara Upaya Sedaya (memegang 45% saham), dengan kos pelaburan Rp13.779 trilion (lebih kurang RM3.9 bilion).

Jalan Tol Cikopo-Palimanan ini sebenarnya merupakan sebahagian kecil daripada rangkaian lebuh raya ekspres yang dikenali sebagai Jalan Tol Trans Jawa. Jalan Tol Trans Jawa dibangunkan bagi mengurangkan kesesakan di Jalur Pantura (Jalan Nasional Indonesia 1), jalan raya paling sibuk di Indonesia. Meskipun Indonesia lebih dahulu membina lebuh raya ekspres daripada Malaysia, namun kadar pertumbuhan rangkaian lebuh raya ekspres di sana sangat perlahan; industri jalan tol di sana hanya menjadi rancak semasa zaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mahu membina lebih banyak jalan tol sebagai pemangkin bagi menarik pelaburan asing di Indonesia.

Terdapat 7 persimpangan bertingkat (simpang susun) di sepanjang Jalan Tol Cipali ini, iaitu:-
  1. Cikampek / Cikopo (KM77) - penghujung Jalan Tol Jakarta-Cikampek dan juga permulaan bagi Jalan Tol Cikopo-Palimanan
  2. Kalijati (KM106)
  3. Subang (KM116)
  4. Cikedung (KM148)
  5. Kertajati (KM165)
  6. Sumberjaya (KM180)
  7. Palimanan (KM163) - penamat Jalan Tol Cikopo-Palimanan dan permulaan bagi Jalan Tol Palimanan-Kanci

Jalan Tol Cipali tamat betul-betul di Simpang Susun Palimanan, di mana Jalan Tol Cipali berterusan sebagai Jalan Tol Palimanan-Kanci (Palikanci) kendalian PT Jasa Marga, syarikat konsesi lebuh raya ekspres terbesar di Indonesia.

Sementara itu, terdapat empat pasang hentian rehat dan rawat (lapan buah kesemuanya), yang mana ia terbahagi kepada dua jenis iaitu Jenis A dan Jenis B. Lazimnya, Jenis A lebih besar serta dilengkapi stesen minyak, manakala hentian rehat Jenis B pula lebih kecil dan tiada stesen minyak. Hentian rehat dibina secara berselang-seli antara satu sama lain (bermula dengan Jenis A dahulu, kemudiannya Jenis B, kembali semula kepada Jenis A, dsb.).

Ada cerita di sebalik penamaan Jalan Tol Cikopo-Palimanan ini. Asalnya, nama asal bagi projek lebuh raya ini ialah Jalan Tol Cikampek-Palimanan, tetapi Bupati Kabupaten Purwakarta, Bapak Dedi Mulyadi, menentang keras penamaan tersebut kerana jalan tol ini bermula di Cikopo yang memang di dalam kawasan Kabupaten Purwakarta. Sementara itu pula, Cikampek sebenarnya berada dalam kawasan Kabupaten Karawang. Disebabkan itulah Bapak Dedi memprotes penggunaan nama asal projek tersebut kerana tidak mahu mengulangi kesalahan sama seperti projek Jalan Tol Jakarta-Cikampek sebelum ini, yang mana lebuh raya tersebut sebenarnya berakhir di Cikopo dan bukannya Cikampek.

Jalan Tol Cipali juga merupakan salah satu daripada jalan tol generasi baharu yang menggunakan fon tulisan jenis Clearview. Jalan-jalan tol terdahulu di Indonesia pula menggunakan fon jenis FHWA Gothic, fon jenis sama seperti pada papan tanda jalan persekutuan dan negeri di Malaysia. Ia susulan rancangan kerajaan Indonesia untuk beralih kepada penggunaan fon Clearview sebagai fon piawaian terbaharu bagi papan tanda jalan tol. Namun, atas sebab yang tidak diketahui, tulisan pada papan tanda gantri di Persimpangan Kalijati pula tidak mematuhi piawaian baru mahupun lama, apabila ia menggunakan jenis fon yang terlalu kurus dan sukar untuk dilihat dari jauh pada waktu malam.

Jalan Tol Cikopo-Palimanan ini dibina sebagai lebuh raya kembar dengan 2 lorong bagi setiap hala (4 lorong kesemuanya). Keadaan permukaan jalan di sepanjang lebuh raya ini sangat bagus lagi mulus. Jajaran permulaan menggunakan turapan konkrit, diikuti turapan aspal pada jajaran pertengahan, dan jajaran terakhir pula kembali menggunakan turapan konkrit. Pembahaginya pula lebar tanpa penggunaan pengadang keluli (kecuali bagi melindungi lampu jalan) mahupun tembok Jersey, mengingatkan saya kepada jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E2 dari Senawang ke Ayer Keroh semasa ia belum dinaik taraf kepada 6 lorong sekarang. Pembahagi yang begitu lebar di sepanjang Jalan Tol Cipali ini memudahkan kerja-kerja naik taraf kepada 6 lorong pada masa akan datang.

Mengenai sistem tol yang diguna pakai pula, Jalan Tol Cikopo-Palimanan ini menggunakan sistem tol tertutup, dengan dua plaza tol utama di setiap hujung lebuh raya, iaitu Gerbang Tol Cikopo dan Gerbang Tol Palimanan. Ada juga pengguna jalan raya di Indonesia yang begitu peka akan reka bentuk plaza tol serta paparan kadar tol yang betul-betul menampilkan aura Malaysia - malah, paparan kadar tol yang digunakan pula 100% sama seperti di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.

Namun, satu perkara yang amat saya tidak senangi akan lebuh raya ini ialah had lajunya (batas kecepatan) yang terlalu rendah. Keadaan Jalan Tol Cipali ini sangat bagus, begitu lurus dan beraspal mulus, tetapi had laju yang dikenakan di situ pula terlalu perlahan dan tidak setimpal langsung. Dengan had laju maksimum 80 km/j dan minimum 60 km/j, sudah tentulah sesiapa sahaja akan jadi mengantuk disebabkan kesan hipnosis lebuh raya yang semakin ketara apabila had laju terlalu rendah dikenakan. Dalam masa hanya seminggu sahaja sejak ia dibuka, sudah 15 nahas jalan raya dicatatkan di sepanjang Jalan Tol Cipali sehingga mengakibatkan 3 orang terkorban - kesemuanya berpunca daripada hipnosis lebuh raya yang terhasil akibat had laju yang terlalu rendah. Justeru, PT Lintas Marga Sedaya sepatutnya menaikkan had laju Jalan Tol Cipali ini kepada had laju maksimum 100 km/j (minimum 80 km/j) - itu pun masih boleh dianggap terlalu perlahan bagi konteks Malaysia.

Apa pun, syabas saya ucapkan kepada PLUS Expressways International kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam industri lebuh raya ekspres global. Selain PLUS, MTD juga turut diberi kepercayaan bagi memegang konsesi Lebuhraya Selatan Luzon (SLEX) di Filipina. Pencapaian tersebut adalah bukti ketara bagaimana pengalaman mengendalikan lebuh raya ekspres terpanjang di Malaysia boleh menyebabkan PLUS diberi kepercayaan bagi mengendalikan lebuh raya ekspres di luar negara.



Sedikit-sebanyak perkara yang anda perlu tahu tentang jalan tol Indonesia

  1. Indonesia merupakan negara bekas jajahan Belanda, sebuah negara yang mengamalkan pemanduan di sebelah kanan dan pemandu kenderaan duduk di kerusi hadapan kiri (LHD). Ironinya, Indonesia memandu di sebelah kiri dan pemandunya duduk di kerusi hadapan kanan (RHD).
  2. Indonesia membina lebuh raya ekspres pertama mereka, Jalan Tol Jagorawi, lebih awal daripada Malaysia membina Lebuhraya Persekutuan FT2 (1973 vs 1974), tetapi Lebuhraya Persekutuan FT2 pula siap lebih awal (1977 vs 1978).
  3. Asalnya, Jalan Tol Jagorawi dirancang untuk dijadikan lebuh raya ekspres percuma, tetapi kerajaan Indonesia memutuskan untuk menjadikan Jagorawi sebagai lebuh raya tol hanya 2 minggu sebelum pembukaannya, bagi membolehkan lebuh raya tersebut dibiayai secara autonomi tanpa membebankan kewangan kerajaan.
  4. Kebanyakan jalan tol Indonesia terletak di Pulau Jawa, tetapi Jalan Tol Belmera sepanjang 34 km di kota Medan merupakan jalan tol pertama dibina di luar Pulau Jawa. Ia dibuka pada lalu lintas pada tahun 1986.
  5. Had laju maksimum lebuh raya ekspres di Indonesia ialah 100 km/j. Indonesia juga menguatkuasakan had laju minimum iaitu 20 km/j lebih rendah daripada had laju maksimum.
  6. Semua jenis motosikal, daripada sekecil-kecil Honda Cub sehingga kepada sebesar-besar superbike, tidak dibenarkan untuk menggunakan jalan tol. Namun di Jakarta, Jalan Tol Lingkar Dalam Jakarta memberi kelonggaran kepada motosikal untuk menggunakan lorong-lorong tempatan di sepanjang laluannya. Sementara itu, Jalan Tol Bali Mandara merupakan lebuh raya ekspres pertama di Indonesia yang menyediakan lorong motosikal khusus.
  7. Setakat ini tiada sistem kod laluan khusus untuk jalan tol Indonesia. Namun, kebanyakan jalan tol di Indonesia menggunakan kependekan dan gabungan suku kata bagi mencipta nama baharu bagi jalan tol tersebut (contoh: Jalan Tol Jagorawi = Jakarta-Bogor-Ciawi).



Jalan Tol Cikopo-Palimanan bermula dari Simpang Susun Cikopo di KM77






Pengadang keluli hanya sekadar berfungsi untuk melindungi tiang lampu sahaja






Gerbang Tol Cikopo






Salah satu hentian rehat yang masih belum dibuka






Simpang Susun Kalijati - jenis fon yang digunakan terlalu kurus dan tidak mematuhi piawaian






Lebuh raya ini baru sahaja dibuka tetapi sudah ada stesen minyak. Di Malaysia pula kena tunggu lama barulah ada stesen minyak yang dibuka






Subang ini berada di Indonesia dan bukannya di Malaysia






Jajaran pertengahan Jalan Tol Cipali menggunakan turapan aspal






Simpang Susun Cikedung






Simpang Susun Kertajati






Jajaran terakhir kembali menggunakan turapan konkrit






Simpang Susun Sumber Jaya ini masih belum siap - papan tanda gantri dan rerama masih tidak dipasang






Kualiti turapan sangat bagus, tetapi had lajunya pula terlalu perlahan






Jajaran mendaki bukit di Bukit Salam






Lori pikap ronda di Jalan Tol Cikopo-Palimanan






Plaza Tol Palimanan bermaksud sudah hampir tiba ke penamat lebuh raya






Penamat bagi Jalan Tol Cipali di Simpang Susun Palimanan






Jalan Tol Cipali sudah tamat - ia kini berterusan sebagai Jalan Tol Palikanci

(Semua kredit gambar: Adriansyah Yassin)

Thursday, June 25, 2015

Ulang tahun ke-100 Jalan Persekutuan 2: Sejarah lengkap jalan FT2 / Federal Route 2 100th Anniversary: The complete history of FT2 highway





Jalan Persekutuan 2 terdiri daripada Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 (atas) dan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 (bawah)


Salam sejahtera,

Saya percaya pastinya anak-anak Pahang masih lagi ingat akan titah ucapan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, semasa perasmian Lebuhraya Pantai Timur (LPT) E8 Fasa 1 dari Karak ke Kuantan pada 1 Ogos 2004. Dalam titah ucapan baginda, baginda ada menceritakan kepayahan anak-anak Pahang untuk ke Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu - bagaimana mereka terpaksa meredah hutan belantara tebal dan menyeberangi Sungai Pahang yang besar dan berarus kuat, dan bagaimana mereka merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Jalan Gombak FT68 yang begitu sempit dan berbengkang-bengkok. Jika perjalanan dari Segamat ke Johor Bahru sejauh 184 km sebelum siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 pun memakan masa antara 4-5 jam, inikan pula perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur yang tentunya lebih jauh. Namun, dengan siapnya LPT E8 pada tahun 2004, perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur kini menjadi lebih lancar dan lebih menjimatkan masa.

Sungguhpun demikian, anak-anak Pahang tidak seharusnya lupa akan jasa Jalan Persekutuan 2 yang menjadi nadi utama negeri Pahang selama separuh abad sebelum siapnya LPT E8, kerana LPT E8 tidak mungkin wujud tanpa kemakmuran negeri Pahang yang dibawa melalui jalan FT2 ini. Sebelum saya mulakan dengan sejarah Jalan Persekutuan 2 ini, saya ingin memaklumkan bahawa Jalan Persekutuan 2 terdiri daripada 2 bahagian, iaitu Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, yang mana kedua-duanya bertemu di Kuala Lumpur.

Sejarah Jalan Persekutuan 2 bermula sebagai sebahagian daripada Jalan Benta-Kuantan yang dibina pada tahun 1915, sekaligus menjadikan Jalan Persekutuan 2 kini berusia 100 tahun pada tahun ini. Jalan Benta-Kuantan dibina sebagai sambungan kepada Jalan Kuala Kubu-Kuala Lipis sejauh 80 batu (130 km) yang merupakan jalan raya terawal di negeri Pahang. Kini, Jalan Kuala Kubu-Kuala Lipis membentuk keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 55 serta sebahagian laluan Jalan Persekutuan 8 dan 218. Sementara itu pula, Jalan Benta-Kuantan pula membentuk keseluruhan Jalan Persekutuan 64 (Benta-Maran) dan Jalan Persekutuan 2 (Maran-Kuantan). Pada masa yang sama juga Jalan Gombak FT68 dibina pada tahun yang 1915, diikuti dengan Jalan Teranum-Bentong-Temerloh FT8/FT2 yang dibina pada tahun 1928.

Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 siap dengan rasminya pada tahun 1955 dengan siapnya jajaran akhir dari Temerloh ke Maran pada 11 Jun 1955. Bahagian akhir Jalan KL-Kuantan FT2 itu sekaligus memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan daripada 384 km kepada 275 km sahaja. Jajaran terakhir itu mula dibina pada tahun 1925 dan hanya siap 30 tahun kemudian berikutan pelbagai kesukaran yang dihadapi sepanjang pembinaannya, antaranya musim hujan, banjir besar, paya yang dalam, kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua serta kegiatan tentera pengganas komunis. Jalan Temerloh-Maran FT2 turut menampilkan jambatan lama Temerloh yang merupakan jambatan terpanjang di sepanjang laluan FT2. 




Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 berdiri megah di sebelah jambatan lama Temerloh yang runtuh akibat banjir besar 1971




Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 dibina sebegitu tinggi sehingga menghasilkan persimpangan bertingkat pertama di Pahang


Namun, riwayat jambatan tersebut tidak lama apabila sebahagian lantai jambatan tersebut runtuh akibat banjir besar 1971 di Temerloh, sekaligus menyebabkan laluan KL-Kuantan terputus. Sebagai langkah sementara, JKR Temerloh memasang jambatan Bailey di atas jambatan lama itu buat sementara. Susulan banjir besar tersebut, kerajaan persekutuan membina sebatang jambatan pengganti yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 pada tahun 1972. Jambatan tersebut merupakan jambatan besi yang dibina sebegitu tinggi sehingga menghasilkan satu persimpangan bertingkat terawal di negeri Pahang, yang dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 10. Selain itu, projek Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 juga turut menyertakan satu laluan baharu yang memintas bandar Temerloh dan Mentakab. Hasilnya, jajaran lama Temerloh-Mentakab diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 87. Projek Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 siap pada tahun 1974.

Sementara itu pula, Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 pula siap pada tahun 1959 bagi menggantikan satu sistem laluan lama yang terdiri daripada Jalan Klang Lama, Persiaran Selangor, Jalan Sungai Rasau dan Jalan Batu Tiga Lama. Laluan baharu tersebut penting kerana sebahagian jajaran laluan lama dibina sebagai jalan raya tunggal dan tiada rizab yang membolehkannya dinaik taraf. Laluan baharu itu juga direkabentuk untuk kelajuan sehingga 60 bsj (100 km/j), cuma bezanya ia masih ada persimpangan searas lagi. Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dinaik taraf menjadi lebuh raya capaian terkawal pada tahun 1974 yang dikenali sebagai Lebuhraya Persekutuan FT2 hasil pinjaman oleh Bank Dunia, dengan menggantikan persimpangan searas kepada persimpangan bertingkat, siap pada tahun 1977. Namun, jajaran yang terlibat dalam kerja naik taraf hanyalah dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Freescale sejauh 13 km. Sepanjang jajaran 13 km itu, laluan dinaik taraf kepada 6 lorong (3 bagi setiap hala) dan dilengkapi bahu jalan keras (aka lorong kecemasan) dan sepasang lorong basikal yang kini sudah dijadikan lorong motosikal.




Jambatan Kota FT2/FT5 pada tahun 1985




Jambatan Kota FT2/FT5 sekarang


Itu hanya cerita dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya sahaja. Bagaimana pula dengan jajaran Petaling Jaya-Klang...? Jajaran PJ-Klang kekal 4 lorong (2 lorong bagi setiap hala) tanpa bahu jalan keras. Sehubungan dengan itu, PLUS Malaysia Berhad menaik taraf jajaran dari Persimpangan Lapangan Terbang Subang sehingga ke Persimpangan Bulatan Berkeley pada tahun 1992, daripada 4 lorong kepada 6 lorong, Begitu juga dengan lorong-lorong motosikal yang turut disambung sehingga ke Persimpangan Bukit Raja. Selain itu, PLUS juga membina Jambatan Kota FT2/FT5 4 lorong di Klang bagi menggantikan jambatan lama yang hanya selebar 2 lorong, di samping pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima. Jajaran kendalian PLUS Malaysia Berhad itu dibuka pada 11 Mei 1993 dan dikenakan tol.

Kini, Lebuhraya Persekutuan FT2 mengendalikan lalu lintas sehingga empat kali ganda kapasiti asalnya. Sehubungan dengan itu, beberapa batang lebuh raya baharu dibina selari dengan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan FT2. Ia bermula dengan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang dibuka pada 11 Januari 1993, diikuti Lebuhraya Shah Alam E5 pada tahun 1997, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10 pada 30 April 2004, Lebuhraya Latar E25 pada 23 Jun 2011, dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 pada tahun 2013.




Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 semasa zaman dua lorong dahulu




Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sekarang


Sementara itu, satu jajaran pengganti dibina bagi menggantikan Jalan Gombak yang sempit, berbengkang-bengkok dan berbahaya, dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2. Ia menampilkan Terowong Genting Sempah sepanjang 914.4 m. Butiran selanjutnya mengenainya boleh anda baca dalam entri sejarah Lebuhraya Karak FT2. Setelah Lebuhraya Karak FT2 siap pada tahun 1978, Jalan Gombak diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 68. Namun, pada masa itu Lebuhraya Karak FT2 dibina sebagai jalan raya 2 lorong biasa. Pada tahun 1994, Lebuhraya Karak FT2 dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres penuh dengan kawalan masuk penuh, hasil kembaran laluan asal, pembinaan terowong kedua bagi laluan arah timur serta pembinaan persimpangan bertingkat bagi menggantikan persimpangan searas. Lebuhraya Karak yang dinaik taraf itu siap pada tahun 1998 serta diberikan kod laluan E8. Seterusnya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 disambung sebagai Lebuhraya Pantai Timur E8, butiran mengenainya boleh anda baca dalam entri sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8.

Kesimpulannya, jika Jalan Persekutuan 1 merupakan jalan raya yang banyak berjasa di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, Jalan Persekutuan 2 pula banyak berjasa kepada penduduk negeri Pahang serta Lembah Klang. Justeru, sempena ulang tahun Jalan Persekutuan 2 ke-100 tahun, ada baiknya anda sekali-sekala mempertimbangkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan 2. Ia bukanlah bermaksud untuk mengajak anda memboikot penggunaan lebuh raya ekspres, tetapi dengan menggunakan jalan persekutuan sebegini, anda akan lebih menghargai kemakmuran yang dikecapi negara sekarang - apa yang kita capai pada hari ini mustahil untuk diperolehi tanpa pengorbanan generasi terdahulu.