Wednesday, January 7, 2015

Laluan kereta api Pantai Timur lumpuh - Tiba masanya untuk memberi lebih tumpuan terhadap pengangkutan rel / East Coast railway line crippled - It is time to concentrate more on rail transport



Tidak seperti rangkaian jalan raya yang sering berkembang pesat, sistem pengangkutan kereta api di Malaysia pula dipinggirkan dan dianaktirikan


Salam sejahtera,

Banjir besar yang melanda Semenanjung Malaysia penghujung Malaysia lalu merupakan banjir paling dahsyat pernah dialami oleh Malaysia, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah berbilion ringgit. Kelantan merupakan negeri paling teruk terjejas, dengan lebih 100,000 mangsa dipindahkan. Dilaporkan terdapat banyak rumah dan kenderaan yang dihanyutkan arus air banjir, malah Kampung Manek Urai di Kuala Krai dikatakan mengalami kesan kemusnahan paling teruk. Banjir kali ini sememangnya bencana kemanusiaan paling dahsyat pernah berlaku di Malaysia, jauh lebih dahsyat berbanding bencana tsunami pada tahun 2004 dahulu.

Dalam bencana banjir besar kali ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian paling besar akibat kerosakan teruk pada infrastruktur mereka akibat banjir. Banyak jalan raya yang rosak, malah ada yang terpaksa ditutup akibat tanah runtuh ataupun jambatan roboh. Keadaan di kawasan Kuala Krai dan Gua Musang paling teruk sehinggakan keadaan jalan raya di sana umpama baru lepas perang meskipun sudah dibuka semula. Namun, JKR tetap komited memulihkan laluan-laluan utama seperti Lebuhraya Timur-Barat FT4 dan Jalan Persekutuan 8 sehingga kedua-dua laluan utama itu kini sudah boleh dilalui semula, meskipun masih ada kerosakan yang perlu diperbaiki.

Namun, lain pula ceritanya pada sistem pengangkutan kereta api. Tatkala JKR berjaya memulihkan sebahagian besar jalan raya yang terjejas dalam masa beberapa hari sahaja, KTMB pula terpaksa menutup laluan pantai timur selama setahun untuk memulihkannya semula. Apa tidaknya, stesen kereta api yang terjejas akibat banjir ada 10 buah kesemuanya, dan ada di antaranya yang turut roboh akibat arus air banjir yang sangat kuat. Banjir yang berarus kuat juga telah memusnahkan beberapa batang jambatan. di jajaran Gua Musang-Dabong. Tanah runtuh...? Lagilah banyak. Akibatnya, KTMB kerugian RM250 juta akibat kemusnahan dan kerosakan infrastrukturnya, yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah perkhidmatan kereta api selama lebih 128 tahun. Kos membaiki landasan sahaja sudah mencecah RM15 juta. Itu baru kerugian fizikal, belum dicampur lagi dengan kerugian yang bakal ditanggung oleh KTMB akibat kos melepas dan pembayaran pampasan kepada para pekerjanya yang terjejas mata pencarian mereka akibat penutupan laluan tersebut.

Penyelesaian jangka pendek yang diambil oleh KTMB adalah dengan memulihkan semula laluan Gemas-Gua Musang dan Dabong-Tumpat termasuklah beberapa buah stesen di sepanjang jajaran tersebut. Bagi laluan Gua Musang-Dabong, khidmat bas terpaksa digunakan. Tentang kebajikan para pekerjanya, sudah tentulah KTMB terpaksa membayar pampasan kepada para pekerjanya yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan yang berpunca daripada kemusnahan infrastruktur KTMB sehinggalah sistem kereta api dipulihkan semula.

Apa yang saya kesalkan ialah kesungguhan kerajaan memulihkan rangkaian jalan raya yang terjejas akibat banjir dalam masa singkat melalui JKR selaku badan pelaksana tidak pula ditunjukkan pada sistem pengangkutan kereta api. Ia bukti jelas betapa seriusnya diskriminasi terhadap sistem pengangkutan kereta api yang telah banyak berjasa kepada rakyat selama lebih 128 tahun. Sejak negara kita merdeka, sudah beribu-ribu kilometer jalan raya baharu yang sudah kita bina termasuklah Lebuhraya Utara Selatan E1 dan E2, Lebuhraya Pantai Timur E8 dan Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT22/FT13. Namun, hanya tiga sahaja laluan kereta api baharu yang dibina sejak merdeka, iaitu laluan Kempas-Pasir Gudang, Kempas-Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang-Pelabuhan Barat. Itu sahaja. Bagaimana pula dengan laluan Mentakab-Kuantan-Kuala Terengganu-Kota Bharu...? Kajian kemungkinan hanya siap pada Mac 2011, hendak menunggu pembinaannya pula ibarat menunggu kucing bertanduk. Sebaliknya, panjang landasan kereta api yang sudah dicabut pula lebih panjang daripada laluan baharu yang dibina. Landasan Seremban-Port Dickson sudah dicabut. Begitu juga dengan laluan Tapah Road-Teluk Intan yang dicabut sepelah perkhidmatannya dihentikan pada tahun 1989. Di Sabah pula, laluan Beaufort-Weston, Tenom-Melalap dan Tanjung Aru-Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu juga sudah ditutup.

Ya, memang projek landasan berkembar Ipoh ke Padang Besar dan Seremban ke Gemas (dan seterusnya akan disambung sehingga ke Johor Bahru) sedang rancang dibina, tetapi ia hanya sekadar naik taraf laluan lama sahaja. Ia tidak ubah seperti sekadar naik taraf jalan raya tunggal kepada jalan raya kembar semata-mata. Sebab itulah had laju reka bentuk perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) KTMB hanya mempunyai had laju reka bentuk serendah 160 km/j, tidak cukup tinggi untuk melayakkannya digelar kereta api laju - itu pun kelajuan sebenar kereta api ETS hanya sekitar 140 km/j sahaja untuk mengelakkan kereta api daripada terbalik. Ironinya, tatkala Malaysia mengabaikan sistem rangkaian kereta api dengan tidak membina satu pun laluan jarak jauh baharu, Malaysia masih ada hati untuk "bersembang" mengenai pembinaan laluan kereta api laju pula.

Barangkali antara sebab utama kenapa sistem pengangkutan kereta api semakin dianaktirikan adalah disebabkan harga petrol yang boleh disifatkan sebagai "murah". Mungkin ramai yang tidak bersetuju akan fakta ini - malah saya sendiri pun tidak suka apabila harga minyak naik - tetapi fakta utama yang langsung tidak dapat disangkal sama sekali ialah kos bahan api untuk perjalanan ke tempat kerja atau balik kampung dengan menaiki motosikal adalah jauh lebih murah berbanding tambang bas mahupun kereta api bagi perjalanan yang sama. Namun, harus diingat bahawa tatkala harga minyak turun, harga barangan keperluan lain tidak pula turun. Harga petrol RON95 sekarang sudah jadi RM1.91 seliter, adakah harga barangan turun kepada takat harga sama seperti 2 tahun lalu...? Jangan haraplah...!!! Sebab itulah sistem pengangkutan kereta api sangat penting kerana ia membolehkan banyak barangan diangkut pada kos spesifik yang lebih rendah.

Namun, sebab utama kenapa saya marah apabila laluan kereta api Mentakab-Kuantan-Kuala Terengganu-Kota Bharu tidak dibina tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh bencana kemanusiaan paling dahsyat yang melanda Malaysia baru-baru ini. Jika laluan Mentakab-Kuantan-Kuala Terengganu-Kota Bharu sudah siap dibina, sekurang-kurangnya ada jugalah laluan auternatif yang boleh digunakan sekiranya laluan Gua Musang-Dabong terputus akibat banjir dan jambatan roboh. Di kawasan pedalaman di Kelantan dan Pahang, penduduk kampung banyak bergantung kepada sistem pengangkutan kereta api disebabkan tiada jalan kampung yang menghubungkan antara kampung mereka dengan dunia luar. Kadar pembaikan landasan juga sangat perlahan. Tatkala JKR dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina jambatan Bailey sebagai pengganti sementara bagi beberapa batang jambatan yang roboh akibat banjir, kepakaran sama tidak pula dimanfaatkan untuk memulihkan jambatan kereta api yang roboh. Bukankah jambatan Bailey juga jambatan kekuda besi seperti rekaan yang sering digunakan pada kebanyakan rekaan jambatan kereta api di Malaysia...? Jika kekuatan jambatan menjadi kekhuatiran, KTMB masih boleh menggunakan kereta api yang lebih pendek sedikit untuk mengurangkan beban yang terpaksa dipikul oleh jambatan. Had laju yang lebih rendah masih boleh dikenakan. Sekurang-kurangnya, perkhidmatan kereta api dapat dipulihkan semula dengan lebih cepat dengan kos melepas yang minima. Mana lebih baik, terpaksa pendekkan kereta api ataupun perkhidmatan kereta api lumpuh setahun...?

Kerugian RM250 juta yang dialami KTMB itu hanya melibatkan kerosakan infrastruktur dan stokereta (rolling stock), belum dicampur lagi dengan kerugian akibat kos melepas selama setahun. KTMB memang boleh gunakan perkhidmatan bas dan lori sebagai pengangkutan transit antara laluan yang terputus, tetapi penggunaan kenderaan berat secara berterusan boleh menyebabkan jalan raya cepat rosak. Jika laluan pantai dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu dibina, sekurang-kurangnya ada jugalah laluan alternatif walaupun terpaksa pusing jauh.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kerajaan membangunkan rangkaian sistem pengangkutan kereta api, sekurang-kurangnya sebagai laluan alternatif kepada landasan sedia ada yang sudah berusia lebih 100 tahun. Pengabaian kepada sistem pengangkutan darat bersejarah ini bukan sahaja merugikan negara dari segi khazanah warisan sejarah kebangsaan, malah turut mengekang produktiviti sistem pengangkutan dan perkembangan ekonomi negara. Tanpa laluan pantai timur Terengganu, sistem kereta api pantai timur sudah tentu akan lumpuh sepenuhnya akibat banjir besar. Dua badan pengendali perkhidmatan kereta api utama di Malaysia iaitu KTMB dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sebenarnya mempunyai wawasan tersendiri untuk mengembangkan rangkaian jaringan pengangkutan kereta api mereka, tetapi malangnya rancangan tersebut terencat akibat pengabaian dari peringkat persekutuan. Tatkala jalan-jalan raya baharu boleh dibina dalam masa yang singkat jika dikira daripada tarikh cadangan, tiada pula sebarang inisiatif untuk membina laluan baharu; satu-satunya penambahbaikan yang ada sekarang hanyalah naik taraf laluan kereta api pantai barat kepada laluan elektrik berkembar. Itu sahaja. Oleh itu, kerajaan sewajarnya menyegerakan pembinaan laluan-laluan kereta api baharu sebagai bukti bahawa kerajaan tidak meminggirkan sistem pengangkutan darat bersejarah itu.

Sunday, January 4, 2015

Senarai Hajat: Lebuhraya Seludang (Segamat-Kluang-Pasir Gudang) / Wishlist: Seludang Expressway (Segamat-Kluang-Pasir Gudang)


Pelan penggunaan tanah daerah Segamat tahun 2020 menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat
(klik untuk besarkan)



Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya janjikan, saya bawakan kepada anda siri entri Senarai Hajat sempena Tahun Baru 2015 serta sempena tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), bertujuan untuk menambah baik rancangan pembinaan jalan raya baharu sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016 nanti.

Entri sulung dalam siri Senarai Hajat ini ialah Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang, juga dikenali sebagai Lebuhraya Seludang ataupun Lebuhraya Gemas-Segamat-Pasir Gudang. Projek lebuh raya capaian terkawal ini mula diutarakan cadangannya pada tahun 1996 bersama-sama dengan projek Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Pandan (yang kini menjadi Lebuhraya Sambungan Besraya E9) dan Lebuhraya Segamat-Muar (yang akhirnya dimuktamadkan sebagai naik taraf Jalan Segamat-Muar FT23). Memandangkan cadangan tersebut diutarakan tatkala Malaysia baru sahaja hendak mengenali internet dan teknologi maklumat, maka berita-berita mengenainya tidak diarkibkan di mana-mana laman web akhbar arus perdana dan hanya boleh diperolehi daripada keratan akhbar pada masa tersebut - itu pun kalau masih lagi ada yang menyimpannya. Saya tidak pasti sama ada Pusat Rujukan Jalan Raya Negara (PRJN) di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya ada menyimpan keratan akhbar-akhbar lama mengenainya, tetapi jika ada maka sudah tentu ia amat membantu.

Buat masa sekarang, saya memperoleh hanya tiga sahaja sumber rujukan bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini, iaitu Rancangan Strategik Negeri Johor, blueprint Sistem Perhubungan Perbandaran Iskandar Malaysia dan arkib berita mengenai Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang ini di laman web Utusan Malaysia. Disebabkan sumber rujukan yang terlalu terhad, maka terlalu sedikit maklumat yang dapat saya perolehi mengenainya, dan beberapa maklumat penting yang saya perlukan pula tiada dalam sumber rujukan tersebut, terutamanya mengenai bilangan persimpangan bertingkat, hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat. Dengan berpandukan sumber rujukan yang sangat terhad ini, saya tiada cara lain selain memberi pelbagai cadangan bagi mempastikan projek Lebuhraya Seludang dapat direalisasikan dalam tempoh RMK11 nanti.

Sedikit mengenai latar belakang Lebuhraya Seludang ini. Sejarah mengenai cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini sebenarnya bertitik-tolak daripada kesan negatif yang dibawa semasa pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sepanjang dekad 1980an dan awal 1990an. Seperti yang kita semua ketahui, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dibina selari dengan Jalan Persekutuan 1. Namun, jajaran Simpang Ampat-Yong Peng pula dilencongkan jauh untuk membolehkan E2 melalui Melaka. Selain itu, satu lagi sebab utama kenapa laluan Simpang Ampat-Yong Peng dilencongkan sebegitu jauh daripada Jalan Persekutuan 1 adalah kerana laluan yang dipilih itulah yang merupakan laluan terpendek dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Sebab itulah jarak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Utara-Selatan hanya 318 km sahaja (termasuk 8 km jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37).

Jadi apakan impak negatif yang terhasil daripada pemilihan jajaran tersebut...? Pada tahun 2013, saya pernah membuktikan bagaimana pembinaan lebuh raya ekspres sebenarnya lebih banyak membunuh nyawa kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar kecil yang amat bergantung kepada jalan persekutuan dan negeri sebagai sumber ekonomi utama sekiranya tidak dirancang dengan teliti - sebab itulah lebuh raya ekspres tidak dibina di Sabah dan Sarawak buat masa sekarang. Dalam konteks Segamat pula, pelencongan laluan Lebuhraya Utara-Selatan E2 jauh dari Segamat sedikit-sebanyak telah membunuh nyawa bandar kelima terpenting di negeri Johor itu. Sejak berdekad-dekad lamanya, Segamat membangun dengan makmur sebagai salah satu bandar persinggahan utama bagi para musafir yang menggunakan Jalan Persekutuan 1 sebelum pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sungguhpun Segamat masih lagi ada Lebuhraya Tun Razak FT12 sebagai talian hayatnya, namun impak negatif yang dirasai Segamat hasil pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sangat ketara. Ekonomi Segamat sebahagian besarnya sekadar bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan semata-mata. Meskipun Segamat memang mempunyai kawasan perindustriannya sendiri, namun usaha menarik pelabur juga sukar disebabkan lokasinya yang jauh dari Lebuhraya Utara-Selatan E2. Akibatnya, ramai anak-anak muda Segamat yang berhijrah keluar dan daerah Segamat mencatatkan antara kadar pertumbuhan penduduk yang terendah di negeri Johor. Hanya pada tahun 2011 barulah nasib penduduk daerah Segamat terbela kembali setelah kerajaan persekutuan memulakan pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 23 sedia ada kepada lebuh raya kembar.

Sementara itu pula, Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula semakin lama semakin sesak dengan kenderaan yang semakin banyak saban tahun. Kesesakan di E2 semakin ekstrim akhir-akhir ini setiap kali musim perayaan, dengan jajaran Seremban-Nilai merupakan jajaran paling sesak di sepanjang E2 sehingga ada kalanya tidak bergerak langsung semasa musim perayaan. Sebab itulah jajaran Nila-Seremban kini dilebarkan kepada lapan lorong. Di sebelah Johor pula, jajaran Yong Peng-Johor Bahru pula semakin sesak kerana ramai pengguna jalan raya dari Johor Bahru yang menggunakan laluan sama untuk ke pantai timur melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Sebenarnya memang ada pihak yang menyuarakan kepada Plus Malaysia Berhad untuk menaik taraf jajaran Johor Bahru-Yong Peng kepada enam lorong, tetapi akhirnya ditolak kerana Plus Malaysia Berhad mendakwa bahawa tahap perkhidmatan di jajaran tersebut masih lagi dalam tahap B atau C yang merupakan tahap optimum. Sungguhpun demikian, Plus Malaysia Berhad terpaksa menerima hakikat bahawa Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 kini semakin sesak sehingga memerlukan beberapa batang lebuh raya selari untuk melegakan kesesakan di situ.

Itu baru ceritu lebuh raya paling untung di Malaysia. Bagaimana pula dengan dua batang lebuh raya yang mencatatkan kerugian...? Dua batang lebuh raya yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan Lebuhraya Lekas E21. E22 mencatatkan kerugian berpunca daripada 2 sebab utama - kurang kenderaan yang menggunakan jajaran Senai-Cahaya Baru E22 akibat persaingan dengan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 dan Jalan Permas Jaya FT35, serta kualiti turapan yang kurang memuaskan, Lebuhraya Lekas E21 juga mengalami kerugian akibat kurang kenderaan yang menggunakannya, namun akhir-akhir ini sudah semakin banyak kenderaan yang menggunakannya untuk memintas kesesakan E2 bagi laluan KL-Seremban - itu pun saya masih tidak pasti sama ada Lekas akhirnya mula mencatatkan keuntungan atau masih menanggung kerugian. Untuk membela nasib dua lebuh raya ekspres ini, maka Lebuhraya Seludang - dan seterusnya sambungannya ke Lebuhraya Lekas E21 - perlu dibina supaya bilangan kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan dapat dipertingkatkan, sekaligus membolehkan kedua-dua lebuh raya tersebut mencatatkan keuntungan. Ia amat kritikal di E22 untuk membolehkan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) memperbaiki kualiti turapan lebuh raya agar keyakinan orang ramai dapat dipulihkan kembali.

Tiga faktor utama - keadaan ekonomi Segamat yang terancam akibat pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang memintas Segamat, kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E2 itu sendiri, dan kekurangan aliran trafik di Lebuhraya Lekas E21 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22 sehingga menyebabkan kerugian di kedua-dua lebuh raya tersebut - merupakan faktor-faktor utama yang membawa kepada keperluan membina Lebuhraya Seludang ini. Namun, menurut blueprint Iskandar Malaysia dan Rancangan Strategik Negeri Johor, Lebuhraya Seludang yang dicadangkan itu akan bermula di Lebuhraya Senai-Desaru E22 (antara Plaza Tol Senai dengan Exit 2203 Persimpangan Ulu Tiram) dan berakhir di Gemas Baharu. Untuk membolehkan Lebuhraya Seludang ini berfungsi sebagai alternatif bagi Lebuhraya Utara-Selatan E2, maka Lebuhraya Seludang ini perlu dihubungkan dengan Lebuhraya Lekas E21.

Sebenarnya nama syarikat konsesi bagi Lebuhraya Seludang ini sudah pun diumumkan pada tahun 1998 iaitu Konsortium Syuhada dan Makmur Ria Sdn. Bhd., tetapi kerja-kerja pembinaan tidak pula dimulakan, menyebabkan perjanjian konsesi yang ditandatangani itu terbatal. Ia berkemungkinan kesan daripada krisis ekonomi tahun 1997 yang melanda negara, yang menyebabkan banyak syarikat yang sudah menandatangani perjanjian konsesi pada masa itu menarik diri disebabkan masalah kewangan. Akibatnya, berita mengenai nasib projek Lebuhraya Seludang senyap begitu sahaja, sehinggalah projek itu disebut semula di dalam blueprint Iskandar Malaysia. Kini, masanya sudah tiba untuk menghidupkan semula projek Lebuhraya Seludang ini.

Satu-satunya maklumat mengenai persimpangan bertingkat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang hanya dapat diperolehi dalam Rancangan Tempatan Daerah Segamat (yang juga dihimpunkan dalam Rancangan Strategik Negeri Johor) - itu pun hanya bagi daerah Segamat sahaja. Menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat, terdapat dua (atau saya patut katakan sebagai tiga) persimpangan Lebuhraya Seludang yang bakal dibina dalam daerah Segamat. Persimpangan tersebut ialah:-
  1. Persimpangan Gemas - penamat Lebuhraya Seludang, dihubungkan ke Gemas Baharu, Gemas dan Batu Anam melalui Jalan Persekutuan 1
  2. Persimpangan Segamat - dihubungkan ke Segamat melalui Lebuhraya Tun Razak FT12
  3. Persimpangan Labis - dihubungkan ke Labis dan Pekan Air Panas melalui Jalan Negeri Johor J151.

Untuk menambah baik pengurusan trafik di kedua-dua Lebuhraya Seludang dan Lebuhraya Utara-Selatan E2, sebatang jalan raya kembar sepanjang 11 km akan dibina di Kulai bagi menghubungkan kedua-dua lebuh raya tersebut.

Selebihnya...? Itu sajalah maklumat yang dapat saya peroleh daripada ketiga-tiga sumber tadi. Maka saya ingin utarakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk diterapkan dalam projek Lebuhraya Seludang ini:-
  1. Lebuhraya Seludang perlu disambungkan terus dengan Lebuhraya Lekas E21 melalui Bahau dan Kuala Pilah. Maka, sudah tentulah saya ingin mencalonkan IJM untuk pelaksanaan projek ini, memandangkan IJM memiliki Lebuhraya Lekas E21 yang seterusnya membolehkan Lebuhraya Seludang menggunakan kod laluan yang sama sekiranya kedua-dua lebuh raya ini disambungkan sebagai satu laluan berterusan. Selain itu, kualiti pembinaan lebuh raya oleh IJM begitu cemerlang sehinggakan mutu Lebuhraya Lekas E21 seakan-akan ia baru beberapa bulan sahaja dibuka.
  2. Memandangkan tiada butiran mengenai hentian rehat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang, saya mencadangkan agar hentian rehat dibina di Kluang, Segamat dan Kuala Pilah (sekiranya Lebuhraya Seludang disambung terus dengan Lebuhraya Lekas E21). Ia sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping mengukuhkan ekonomi ketiga-tiga bandar tersebut sebagai bandar persinggahan utama.
  3. Persimpangan yang saya cadangkan adalah seperti berikut:-
    • Persimpangan Seludang-SDE - dihubungkan dengan Lebuhraya Senai-Desaru E22
    • Persimpangan Taib Andak - ke Kulai dan Kota Tinggi melalui Jalan Persekutuan 94
    • Persimpangan Seludang-NSE - dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui jalan hubungan NSE-Seludang
    • Persimpangan Renggam - ke Renggam, Simpang Renggam dan Layang-Layang melalui Jalan Negeri Johor J25
    • Persimpangan Kluang - ke Kluang dan Mersing melalui Jalan Persekutuan 50
    • Persimpangan Paloh - ke Paloh dan Yong Peng melalui Jalan Negeri Johor J16
    • Persimpangan Bekok - ke Bekok dan Chaah melalui Jalan Negeri Johor J150
    • Persimpangan Labis - ke Labis, Pekan Air Panas dan Bukit Kepong melalui Jalan Negeri Johor J151
    • Persimpangan Segamat - ke Segamat, Muadzam Shah dan Kuantan melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12
    • Persimpangan Gemas - ke Gemas, Batu Anam dan Tampin melalui Jalan Persekutuan 1
    • Persimpangan Pasir Besar - ke Pasir Besar, Rompin dan Gugusan Felda Palong melalui Jalan Persekutuan 10
    • Persimpangan Bahau - ke Bahau, Juasseh dan Bandar Seri Jempol melalui Jalan Persekutuan 13
    • Persimpangan Kuala Pilah - ke Kuala Pilah dan Sri Menanti melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51
  4. Sistem tol yang dijalankan mestilah daripada jenis sistem tol tertutup. Namun, untuk mengelakkan daripada terpaksa berhenti dua kali di plaza tol pangkalnya nanti, ada baiknya jika sistem kutipan tol Lebuhraya Seludang diselaraskan dengan SDE E22, yang membolehkan kedua-dua lebuh raya berkongsi kad tiket yang sama.

Kesimpulannya, projek Lebuhraya Seludang wajar dihidupkan semula bagi menunaikan janji kerajaan terhadap penduduk Segamat hampir dua dekad lalu. Pujian harus diberikan kepada pucuk pimpinan baharu kerajaan negeri di bawah Daruk Seri Khaled Nordin yang komited mahu membangunkan semula sektor pertanian dan perladangan di Segamat. Namun, untuk menarik pelaburan asing ke Segamat, maka Lebuhraya Seludang sudah tentunya amat diperlukan bagi meningkatkan tahap kebolehsampaian serta bagi membolehkan kegiatan ekonomi di Segamat berkembang dengan rancak. Apa yang saya tulis dalam entri ini hanya sebahagian cadangan yang dapat saya utarakan berasaskan sumber rujukan yang sangat terhad. Selebihnya, saya serahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kerja Raya, Unit Perancang Jalan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan Lebuhraya Seludang ini dapat dijayakan dalam tempoh RMK11 nanti.

Saturday, January 3, 2015

Selamat Tahun Baru 2015...!!! / Happy New Year 2015...!!!




Salam sejahtera, Selamat Tahun Baru 2015 dan salam Maulidur Rasul buat semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog ini. Ia berikutan begitu banyak kemaskini di laman Facebook kami mengenai laluan alternatif semasa musim banjir baru-baru ini. Meskipun semakin banyak laluan utama yang kini sudah dibuka semula termasuklah Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lipis FT8 dan Lebuhraya Pantai Timur E8, namun harus diingat agar anda lebih berhati-hati di jalan raya, memandangkan banyak jalan raya yang rosak teruk akibat banjir.




Majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya - kerjasama lebih erat dengan KKR merupakan kejayaan terbesar yang telah kami capai sepanjang tahun 2014


Sepatutnya entri ini ditulis semasa ambang Tahun Baru 2015 bagi menyenaraikan sedikit sebanyak kejayaan yang dicapai oleh Blog Jalan Raya Malaysia setakat ini. Kejayaan terbesar kami sejak Blog Jalan Raya Malaysia diadakan tidak lain dan tidak bukan ialah penghargaan dan penghormatan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia sendiri, termasuk agensi-agensi di bawahnya. Ia hasil daripada dasar memperkasakan media sosial sebagai wadah interaksi antara kerajaan dengan rakyat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Selain dapat mempercepatkan proses tindakan bagi aduan jalan raya yang disalurkan melalui media sosial, dasar sebegini juga sedikit sebanyak dapat membantu KKR dalam menyampaikan penjelasan yang lebih tepat mengenai isu-isu berkaitan jalan raya dengan lebih berkesan, antaranya termasuklah isu tol lebuh raya. Ia sekaligus berupaya menangkis tohmahan daripada blog-blog politik yang hanya sekadar tahu sembang kosong sahaja tanpa bergaul sendiri dengan para pemain industri jalan raya. Sebagai sebuah blog yang mendukung kuat dasar memartabatkan sistem rangkaian jalan raya negara, Blog Jalan Raya Malaysia menyokong penuh dasar yang diperkenalkan ini kerana dasar sebeginilah yang menjadikan kerjasama antara kami dengan KKR lebih erat, dan seterusnya lebih ramai rakyat Malaysia yang kini semakin celik kod jalan raya.

Meskipun bilangan peminat kami di Facebook semakin bertambah sehingga melepasi angka 1,600 orang, namun perjuangan kami masih belum selesai. Masih banyak agensi kerajaan dan pihak berkuasa sendiri yang masih buta kod laluan. Polis Diraja Malaysia masih belum menggunakan sistem kod laluan dalam prosedur operasi standard (SOP) mereka. Hanya sebilangan kecil stesen radio sahaja yang menggunakan sistem kod laluan dalam laporan trafik harian mereka; kalau ada pun hanyalah stesen-stesen radio swasta berbahasa Inggeris sahaja. Elemen memupuk penggunaan sistem kod laluan juga masih tidak diterapkan dalam subjek Geografi KBSM. Maka, pilihan yang ada sekarang hanyalah merekrut lebih ramai peminat kami agar lebih bijak menggunakan kod laluan dan seterusnya lebih tahu menghargai dan memartabatkan sistem jalan raya negara. Justeru, kami memerlukan sokongan anda semua untuk sama-sama mendidik rakyat Malaysia agar lebih bijak menggunakan sistem kod laluan dan seterusnya tahu menghargai dan memartabatkan rangkaian jalan raya negara kita.




Kejayaan menghasilkan reviu eksklusif Jalan Gombak FT68 yang terkenal sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia juga berjaya dicapai dalam tahun 2014


Selain kejayaan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan KKR, antara kejayaan besar kami yang lain sepanjang tahun 2014 termasuklah siri reviu Melaka Bandaraya Bersejarah dan juga reviu dua jambatan terpanjang di Malaysia iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 dan Jambatan Pulau Pinang E36. Selain itu, kami juga berjaya menghasilkan reviu Jalan Gombak FT68 yang terkenal sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia tanpa sebarang insiden tidak diingini. Tahun 2014 juga merupakan tahun di mana kami beralih kepada telefon bimbit Sony Xperia Z sebagai telefon pintar rasmi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan telefon bimbit Sony Ericsson C903 sebelum ini.

Tahun 2015 merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10). Tahun hadapan pula, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) akan menyusul. Maka, sudah tentulah akan lebih banyak jalan raya dan lebuh raya baharu akan dibina dalam tempoh tersebut. Justeru, Blog Jalan Raya Malaysia akan memperkenalkan satu segmen baharu iaitu Senarai Hajat, yang akan memfokuskan kepada jalan raya dan lebuh raya yang dirancang untuk dibina sepanjang tempoh RMK11, ataupun laluan penting baharu untuk dicadangkan pembinaannya. Jadi jalan manakah yang akan saya perkenalkan dalam entri sulung Senarai Hajat...? Sama-samalah kita nantikannya...!!!

Untuk tahun 2015 ini juga, kami turut mensasarkan untuk mengadakan reviu jalan raya yang lebih panjang, termasuklah reviu Jalan Persekutuan 1, Jalan Persekutuan 3 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Selain itu, kami turut mensasarkan untuk mengadakan reviu khas Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 semasa cuti Tahun Baru Cina nanti. Memandangkan reviu jalan raya berskala besar ini memerlukan kos yang lebih tinggi kerana mungkin melibatkan penginapan ataupun penggunaan kereta, maka kami ingin memohon jasa baik anda semua untuk menderma agar reviu-reviu jalan raya yang lebih panjang ini dapat direalisasikan.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia untuk memartabatkan rangkaian jalan raya kebangsaan, daripada golongan rakyat marhaen biasa sehinggalah kepada Menteri Kerja Raya sendiri. Oleh itu, kami ingin mengajak semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia agar terus bersama-sama meneruskan misi mendidik rakyat Malaysia untuk menyayangi, menghargai dan memartabatkan rangkaian jalan raya negara.