Wednesday, December 2, 2015

Reviu eksklusif Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b & 2) / Segamat-Muar Highway FT23 (Package 1b & 2) exclusive review




Salam sejahtera,

Kini kita sudah pun memasuki bulan terakhir bagi tahun 2015 sebelum kita meninggalkannya buat selama-lamanya. Sebagai pembuka tirai bulan Disember 2015, saya bawakan kepada anda satu reviu jalan raya yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat Blog Jalan Raya Malaysia khususnya orang-orang Segamat. Jalan raya yang menjadi pilihan kami untuk reviu kali ini tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Segamat-Muar FT23. Reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini diadakan setelah 10 bulan tanpa sebarang reviu jalan raya, menjadikan tahun 2015 sebagai tahun paling tidak produktif buat kami; reviu terakhir sebelum ini sudah tentulah reviu Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 yang merupakan sebahagian daripada siri reviu XPDC Teganu Kita 2015.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat menyiarkan reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini berikutan masalah kesihatan, sungguhpun sepatutnya saya menyiarkannya Sabtu lalu (28 November 2015). Reviu kali ini dihasilkan susulan lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Segamat pada 14 November 2015 bagi meninjau projek lebuh raya yang sudah 98% ini.

Sebelum saya teruskan, biar saya ceritakan serba-sedikit mengenai sejarah Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini. Sejarah pengangkutan antara Segamat dan Muar sebenarnya bermula sejak tahun 1511 lagi semasa Bendahara terakhir Melaka, Bendahara Paduka Tuan, atau lebih dikenali sebagai Bendahara Tepok, terpaksa melarikan diri setelah kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis. Tatkala Sultan Mahmud melarikan diri ke Johor Lama, Bendahara Tepok dan para pengikutnya pula memilih untuk ke Muar dan seterusnya mudik ke kawasan hulu Sungai Muar, memandangkan keadaan fizikalnya yang lumpuh dan perlu diusung ke sana ke mari. Namun, beliau dan para pengikutnya tidak betul-betul menyelusuri sepanjang Sungai Muar; sebaliknya, beliau memilih untuk memasuki satu sungai yang belum pernah diteroka sebelum ini. Setelah tiba di kawasan lubuk yang berbatu-batan, Bendahara Tepok dan para pengikutnya mengambil keputusan untuk berhenti rehat dan mandi. Air sungai di lubuk tersebut begitu sejuk dan menyegarkan, lantas Bendahara Tepok memberitahu kepada salah seorang pengikutnya iaitu Selamat Gagah, "Segar amat badanku ini!" Daripada ungkapan tersebutlah lahirnya nama Segamat, manakala kawasan lubuk tersebut dinamakan sebagai Kampung Lubuk Batu.

Selama berabad-abad lamanya, Sungai Muar dan Sungai Segamat menjadi nadi pengangkutan utama di antara Segamat dan Muar. Proses urbanisasi berlaku dengan rancaknya di Segamat bermula penghujung abad ke-19. Namun, pada masa itu bandar Segamat bukan dikenali dengan nama Segamat tetapi dikenali sebagai Rantau Panjang. Hanya pada awal kurun ke-20 sahaja barulah bandar Segamat dikenali dengan nama sekarang. Pada masa itu, pengkalan sungai utama di bandar Segamat dikenali sebagai Pengkalan Esah, dinamakan sempena nama isteri kepada bekas Residen Muar dan Kesang pada masa itu. Namun, segalanya berubah semasa kerajaan negeri Johor merancang untuk membina rangkaian jalan raya di Segamat hasil kerjasama dengan pihak penjajah British.

Pada tahun 1914, dua batang jalan raya mula dibina untuk menghubungkan antara bandar Segamat dengan bandar-bandar utama lain di Johor, iaitu Jalan Persekutuan 1 dan Jalan Persekutuan 23, yang mana kedua-duanya siap pada tahun 1939. Akibatnya, masyarakat mula beralih kepada mod pengangkutan jalan raya yang lebih memudahkan, menyebabkan mod pengangkutan sungai tidak lagi digunakan. Bekas tapak Pengkalan Esah pula kini menempatkan Jambatan Kedua Segamat J217.

Jalan Segamat-Muar FT23 itu sendiri menerima banyak penambahbaikan sejak pembukaannya pada tahun 1939. Antaranya, banyak selekoh tajam di Kampung Lubuk Batu, Kampung Batu 7 dan Kampung Bukit Tunggal yang dipintas. Namun, Jalan Segamat-Muar FT23 tetap terkenal sebagai jalan raya yang mempunyai banyak selekoh tajam, kerana selekoh-selekoh maut dalam daerah Ledang pula langsung tidak dipintas. Turut menambah parah keadaan, Lebuhraya Tun Razak FT12 dibuka pada tahun 1983, menyebabkan kadar aliran trafik di FT23 meningkat mendadak berikutan pertambahan pengguna jalan raya dari Muar dan Melaka yang menggunakannya untuk ke Kuantan. Susulan dengan itu, pada tahun 1997, Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu, mengumumkan pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar sebagai laluan lebuh raya ekspres baharu yang dibina selari dengan jalan FT23 sedia ada. Malangnya, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang diumumkan pada masa itu, projek Lebuhraya Segamat-Muar dibatalkan susulan kesan kegawatan ekonomi tahun 1997.

Hanya pada November 2011 barulah projek Lebuhraya Segamat-Muar dihidupkan semula, tetapi sebagai naik taraf jalan FT23 sedia ada dan bukannya laluan lebuh raya ekspres baharu. Ia samalah seperti kes Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 yang turut menerima nasib yang sama. Projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang dihidupkan semula ini asalnya dianggarkan memakan belanja sebanyak RM770 juta, tetapi Pakej 1b dan 2 sepanjang 22 km dari Kampung Gemereh ke Ulu Jementah itu sahaja sudah memakan belanja sebanyak RM330 juta. Kenapa kosnya semakin naik pula...? Untuk pengetahuan anda semua, peningkatan kos ini didorong oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah kerja-kerja pengalihan kubur serta mekanisme pencegahan banjir di sepanjang jajaran lebuh raya ini. Secara keseluruhannya, projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 dibahagikan kepada 5 pakej, dengan anggaran baharu kos keseluruhan projek sejumlah hampir RM1 bilion.

Masa untuk subjek Sejarah sudah tamat, jadi jom kita beralih pula kepada reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b dan 2) ini.

Jajaran lebuh raya yang sudah hampir siap sepenuhnya ini bermula di pencawang masuk utama lama Tenaga Nasional Berhad di Kampung Gemereh. Kenapa pula tidak dibina terus dari bandar Segamat...? Untuk pengetahuan anda, Pakej 1a tidak akan menggunakan laluan FT23 sedia ada, tetapi sebaliknya akan menggunakan laluan baharu yang akan disambung sehingga ke Jalan Bulok Kasap FT1. Jadi, sudah tentulah belum ada peruntukan untuk membinanya. Jajaran FT23 sedia ada dari Kampung Lubuk Batu sehingga ke penamatnya di Persimpangan Permaisuri di bandar Segamat pula tidak dapat dilebarkan kerana melalui banyak kawasan sensitif seperti Tanah Perkuburan Kampung Lubuk Batu. Tidak seperti tanah-tanah perkuburan lain di sepanjang FT23, Tanah Perkuburan Kampung Lubuk Batu tidak boleh dialihkan sama sekali berikutan statusnya sebagai tempat bersejarah, memandangkan ia turut menempatkan makam Bendahara Tepok. Sementara itu, jajaran dari hospital lama Segamat sehingga ke Persimpangan Permaisuri pula tiada rizab mencukupi untuk dilebarkan. Maka, anda boleh menjangkakan bakal wujud laluan alternatif bagi FT23 di Segamat setelah keseluruhan projek siap kelak.

Memandangkan projek Lebuhraya Segamat-Muar dihidupkan semula sebagai naik taraf jalan FT23 sedia ada, jadi anda boleh menjangka terdapat sebegitu banyak persimpangan searas berlampu isyarat, samalah perangainya seperti Lebuh AMJ FT19 mahupun Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5. Persimpangan pertama sudah tentulah Persimpangan Gudang Garam yang menghubungkan Jalan antara Kampung Gudang Garam ke lebuh raya ini melalui Jalan Negeri Johor J161. Buat perokok tegar, anda sama sekali tidak akan menemui kilang mahupun gudang rokok kretek jenama Gudang Garam di sini. Memandangkan lebuh raya ini dibina sebagai lebuh raya kembar dengan piawaian JKR R5 (lebar lorong 3.5 m; had laju reka bentuk 100 km/j), maka setiap persimpangan lampu isyarat boleh digunakan oleh kenderaan ringan sebagai tempat membuat pusingan U.

Persimpangan kedua pula ialah Persimpangan Taman Bunga Raya. Berdasarkan maklum balas yang saya perolehi daripada orang-orang Segamat semasa saya memuat naik gambar teaser bagi reviu kali ini, saya dapati bahawa persimpangan inilah yang merupakan persimpangan yang paling kontroversi, kerana pengguna lebuh raya dari Taman Gemereh menghadapi kesulitan kerana terpaksa membuat pusingan U di tempat yang jauh untuk ke bandar Segamat. Hendak memasuki taman perumahan tersebut juga memerlukan anda bersilat sakan akibat reka bentuk jalan masuk baharu ke taman perumahan tersebut. Kenapa boleh jadi begitu...? Untuk pengetahuan anda, Lebuhraya Segamat-Muar FT23 memang ditambak tinggi bagi mengelakkan daripada banjir. Dalam kes Taman Gemereh, lebuh raya FT23 ditambak tinggi sehinggakan jalan masuk asal terpaksa ditutup. Sebaliknya, jalan masuk baharu dibina, tetapi ramai yang merungut kerana terpaksa bersilat sakan dan terpaksa pusing jauh. Justeru, sebagai jalan penyelesaian, saya cadangkan agar Taman Gemereh diperbesarkan dengan membina lebih banyak rumah baharu, sekaligus membolehkan jalan masuk yang lebih sempurna dibina. Namun, ia sudah tentulah memerlukan kesanggupan oleh tuan tanah sendiri. Seterusnya, simpang LILO sedia ada untuk memasuki Taman Gemereh boleh digantikan dengan persimpangan lampu isyarat biasa dan berkongsi pemasaan dengan Persimpangan Taman Bunga Raya.

Persimpangan ketiga iaitu Persimpangan Batu Badak merupakan salah satu persimpangan terpenting di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini. Ia bukan sahaja penting untuk memasuki Jalan Tasek Alai J153 yang menjadi laluan pintas utama ke Lebuhraya Tun Razak FT12, malah turut menempatkan jambatan baharu bagi menghubungkan antara Kampung Batu Badak dengan Jalan Pogoh J41.

Jika anda memilih untuk menggunakan lebuh raya FT23 untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2, perjalanan masih berbaki 47 km dari Persimpangan Batu Badak. Keadaan jalan begitu lurus dan lebar, menjadikan perjalanan begitu seronok, selesa dan menjimatkan masa. Namun, saya amat tidak berpuas hati akan papan tanda had laju 80 km/j di lebuh raya ini, yang mana saya sifatkan terlalu perlahan dan tidak sesuai sama sekali. Jika dibandingkan, jalan lama yang lebih berbahaya dan lebih sempit itu pula mempunyai had laju 90 km/j, menjadikan had laju 80 km/j yang dipacakkan itu sangat mengarut dan tidak masuk akal sama sekali. Kalau setakat melebarkan lebuh raya untuk dipandu pada had laju yang lebih perlahan, lebih baik tak payah bina langsung. Tambahan pula, piawaian JKR R5 yang digunakan itu sebenarnya menyokong had laju reka bentuk setinggi 100 km/j, menjadikan had laju 80 km/j di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 sebagai tidak relevan sama sekali. Dengar baik-baik,, lebih 90% pemandu di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 tidak akan memandu pada kelajuan 80 kmj - sebaliknya, majoriti besar pemandu pasti akan memecut laju sehingga ada yang melebihi 180 km/j. Malah, semasa perjalanan pulang pun tanpa disedari jarum speedometer sudah melepasi angka 120 km/j, jadi saya terpaksa banyak berdoa agar tidak menerima "surat cinta" daripada Cik P. Begitulah gambaran betapa bagusnya kualiti pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini sehinggakan had laju 80 km/j yang dikenakan tidak bersesuaian langsung dengan kualiti pembinaannya. Di samping itu juga, memandangkan hampir kesemua persimpangan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 terdiri daripada persimpangan lampu isyarat, maka sudah tentulah had laju 80 km/j hanya akan mengganggu dan melambatkan perjalanan. Justeru, satu-satunya had laju yang paling sesuai, paling selamat dan paling relevan bagi Lebuhraya Segamat-Muar FT23 hanyalah 90 km/j sahaja, tidak lebih dan tidak kurang - itu pun hanya kerana Arahan Teknik 11/87: A Guide to the Design of At-Grade Intersections oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menetapkan bahawa had laju maksimum yang dibenarkan di mana-mana jalan raya yang mempunyai persimpangan searas tidak boleh melebihi 90 km/j.

Lebuhraya Segamat-Muar FT23 menggunakan pembahagi jenis konkrit bebendul yang biasa digunakan oleh kebanyakan jalan raya kembar di bandar-bandar ataupun pekan-pekan. Meskipun tidak salah menggunakan pembahagi jenis ini, namun ada satu lagi kelemahan yang wujud hasil penggunaan pembahagi jenis ini di lebuh raya FT23. Kelemahan yang saya maksudkan sudah tentulah dari segi pencahayaan. Memang ada banyak kawasan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang diterangi lampu jalan, tetapi tidak semua jajaran dipasang lampu jalan. Maka, sudah tentulah jajaran yang tiada lampu jalan itu begitu gelap, dan pembahagi jenis sebegitu boleh jadi sangat berbahaya pada waktu malam kerana keadaan yang gelap. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung-kampung di sepanjang lebuh raya ini sudah tentu akan mengalami masalah sekiranya mereka menggunakan motosikal yang mentol lampu kepalanya tidak cukup terang. Jika pembahagi yang digunakan itu daripada jenis pengadang keluli ataupun konkrit, kedua-dua jenis pembahagi itu memang didatangkan dengan pemantul untuk memudahkan penglihatan. Justeru, pembahagi jenis konkrit bebendul yang digunakan di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini memerlukan pemasangan banyak pemantul di sepanjang pembahagi jalan; sekurang-kurangnya, pemantul plastik silinder yang sudah mula digunakan oleh JKR pun sudah cukup berguna bagi tujuan ini.

Saya semakin menghampiri Jambatan Sungai Muar FT23. Kawasan di sekitar jambatan ini terdiri daripada kawasan berpaya yang sangat mudah mengalami banjir. Ia diburukkan lagi dengan sifat jalan lama FT23 yang bersifat seolah-olah seperti empangan, menyebabkan air banjir naik lebih tinggi disebabkan tahap saliran yang teruk. Sehubungan dengan itu, jajaran di sini ditinggikan - bukan sekadar ditinggikan, malah beberapa buah jambatan kecil atau pembetung turut dibina. Semasa Datuk Seri Fadillah Yusof datang ke Segamat, beliau sendiri memang ada menjelaskan bahawa Lebuhraya Segamat-Muar FT23 memang direkabentuk agar tidak mudah ditenggelami air banjir. Selain Kampung Batu 7, jajaran antara Kampung Batu Badak dengan persimpangan Taman Bunga Raya turut ditambak tinggi bagi mengelakkan lebuh raya ini daripada ditenggelami air banjir. Reka bentuk sebegini sangat penting supaya orang-orang Segamat tidak terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar seperti pada tahun 2006 dan 2011 dahulu.

Di kawasan sama juga terdapat sepasang pusingan U jenis lorong laju ke lorong perlahan, sama seperti yang digunakan di Lebuh AMJ FT19. Memandangkan jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar, maka sudah tentulah bilangan lintasan searas dikurangkan untuk kelancaran lalu lintas. Namun, penduduk tempatan sudah tentulah akan komplen kerana terpaksa membuat pusingan U di tempat jauh untuk ke rumah berhampiran di seberang jalan sahaja. Apa boleh buat, inilah harga yang anda perlu bayar bagi memperoleh tahap keselesaan serta keselamatan yang lebih baik. Jika dibandingkan dengan Jalan Batu Pahat-Kluang FT50 yang dibina sebagai jalan super four yang amat memudahkan penduduk kampung membelok ke kanan di mana-mana sahaja, rekaan sebegitu sebaliknya menyumbang kepada kadar kemalangan yang mencanak tinggi di sana. Justeru, biarlah kita bersakit-sakit dahulu supaya kita memperolehi kesenangan dan keselamatan di kemudian hari.

Seterusnya, saya melintasi Jambatan Sungai Muar FT23. Jambatan ini dibina sebagai jambatan baharu sepenuhnya kerana jambatan lama itu sempit dan hanya sekadar memenuhi piawaian JKR R3 atau R4 sahaja. Jambatan lama diruntuhkan selepas jambatan baharu yang lebih tinggi dan lebih lebar siap. Di Kampung Batu 7 ada 2 buah persimpangan yang menghubungkan antara FT23 dengan UiTM Johor dan Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43, tetapi hanya satu sahaja persimpangan yang dibina sebagai persimpangan berlampu isyarat iaitu di sebelah barat. Persimpangan di sebelah timur pula hanya dijadikan sebagai persimpangan LILO sahaja.

Di Persimpangan UiTM Johor, ada satu perkara lagi yang saya perlu tegur di sini. Selekoh di persimpangan ini dibina di kawasan berpaya, tetapi ia menggunakan pengadang jenis kabel yang tidak sesuai sama sekali. Pengadang jenis kabel sama sekali tidak berupaya menghalang pemandu daripada terjunam ke dalam gaung ataupun paya, tetapi pengadang jenis keluli serta konkrit pula lebih berkeupayaan. Dalam kes selekoh di Persimpangan UiTM Johor ini, jika ada kenderaan yang terbabas di situ, kenderaan tersebut pasti akan terjunam ke dalam paya, walaupun pada kelajuan yang rendah. Saya berharap agar JKR Johor dan JKR Segamat lebih peka akan isu sebegini kerana kita tidak mahu selekoh tersebut memakan korban secara sia-sia sahaja, sedangkan ia boleh dikurangkan dengan menggunakan jenis pengadang yang lebih bersesuaian.

Tidak jauh daripada Persimpangan UiTM Johor ialah Persimpangan Tebing Tinggi untuk ke Felcra Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Tunggal melalui Jalan Negeri Johor J163. Di Felcra Tebing Tinggi inilah terletaknya pertemuan antara Sungai Segamat dengan Sungai Muar. Persimpangan Tebing Tinggi turut menempatkan sebuah medan selera yang dikendalikan oleh Majlis Daerah Segamat. Memandangkan Jalan Segamat-Muar FT23 dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar, ada baiknya sekiranya pihak Majlis Daerah Segamat dapat menaik taraf medan selera ini menjadi sebuah kawasan rehat dan rawat yang turut dilengkapi tandas awam dan stesen minyak bagi kemudahan pengguna lebuh raya.

Saya kembali disajikan dengan lanskap pemandangan desa di Kampung Lubuk Bandan. Kampung ini merupakan salah satu daripada beberapa buah perkampungan yang dibuka oleh bekas pejuang yang pernah menyertai Perang Jementah pada tahun 1879. Perang Jementah merupakan perang saudara pertama yang berlaku pada era Johor moden, melibatkan antara puak-puak Tengku Alam dengan tentera kerajaan negeri Johor. Pertelingkahan berlaku kerana sebelum Maharaja Abu Bakar memerintah Johor, daerah Muar (termasuk Ledang dan Segamat) terletak di bawah pemerintahan Sultan Ali yang begitu lemah dan tidak digemari kerajaan penjajah British, manakala kawasan selebihnya di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim. Setelah Temenggung Ibrahim mangkat, putera baginda iaitu Temenggung Abu Bakar dimahkotakan sebagai Maharaja Johor dan seterusnya Sultan Johor moden pertama dari Wangsa Temenggung. Setelah Sultan Ali mangkat, daerah Muar diletakkan di bawah pemerintahan sementara Maharaja Abu Bakar. Perkara ini mencetuskan rasa tidak puas hati Tengku Alam, putera sulung Sultan Ali dengan isteri tuanya. Tengku Alam mengumpulkan pengikut-pengikutknya dan melancarkan Perang Jementah bagi menentang pengambilalihan daerah Muar oleh Maharaja Abu Bakar. Perang tersebut berakhir dengan kemenangan di pihak kerajaan negeri Johor, yang seterusnya membawa kepada peristiwa pembukaan bandar Muar yang diberi nama sebagai Bandar Maharani.

Tidak lama kemudian, saya tiba di selekoh Kampung Kubu Dedap yang juga dibuka oleh bekas perajurit Perang Jementah. Selekoh Kampung Kubu Dedap ini menandakan bahawa saya sudah pun memasuki kawasan pekan Jementah, bandar ketiga terbesar di daerah Segamat selepas bandar Segamat dan Labis. Impak pembangunan di pekan Jementah sangat terasa bukan sahaja hasil pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini, tetapi juga disebabkan satu lagi projek jalan raya di Jementah, tetapi kali ini berstatus jalan negeri. Projek jalan negeri yang saya maksudkan itu ialah projek Jalan Jementah-Asahan J125 bagi menghubungkan antara daerah Segamat dengan negeri Melaka. Projek ini merupakan sambungan bagi Jalan Asahan M125 sedia ada, maka kita boleh jangkakan bahawa Jalan Jementah-Asahan ini akan diberi kod laluan J125 di sebelah negeri Johor.

Kampung Paya Jakas dan Ulu Jementah merupakan dua kawasan terakhir di sepanjang jajaran Lebuhraya Segamat-Muat FT23 Pakej 1b & 2. Sebaik melepasi kawasan Ulu Jementah, satu pusingan U didirikan dengan gaya yang sama seperti di pangkal lebuh raya ini di Kampung Gemereh dan seterusnya lebuh raya ini bertukar menjadi jalan super two pendek sebelum ditemukan semula dengan jalan lama FT23. Jalan super two pendek ini sengaja dibina sebegitu rupa sebagai laluan perintis bagi Pakej 3 yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun hadapan (2016). Pakej 3 akan memanjangkan lebuh raya ini sebanyak 10.5 km lagi dari Ulu Jementah sehingga Persimpangan Taman Negara Gunung Ledang, dengan anggaran kos sebanyak RM78.6 juta, tetapi saya jangkakan kos sebenar pasti akan meningkat kerana Pakej 3 ini akan melibatkan banyak pemotongan selekoh.

Selain Pakej 3, Pakej 1a dari Kampung Gemereh ke Jalan Buloh Kasap FT1 juga akan dimulakan pembinaannya sebaik peruntukan diterima oleh Kementerian Kerja Raya. Hanya 3 sahaja persimpangan utama bagi Pakej 1 ini nanti iaitu Persimpangan Lubuk Batu bagi melencongkan laluan lama FT23 ke Kampung Lubuk Batu dan seterusnya bandar Segamat, Persimpangan Gudang Garam yang merupakan simpang empat dengan Jalan Gudang Garam J161, dan akhir sekali Persimpangan Jalan Buloh Kasap FT1. Memandangkan Pakej 1a ini masih lagi dalam proses perancangan pelan laluan, maka saya ingin menggesa agar Persimpangan Lubuk Batu dan Persimpangan Jalan Buloh Kasap dibina sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas sebagaimana persimpangan lain di sepanjang lebuh raya FT23 ini. Kenapa mesti persimpangan bertingkat...? Kerana saya menjangkakan kesesakan teruk pasti akan berlaku sekiranya kedua-dua persimpangan ini dibina sebagai persimpangan searas biasa sahaja. Jalan lama FT23 tetap penting sebagai laluan utama ke bandar Segamat, khususnya bagi yang menaiki bas ekspres. Bagi kes Persimpangan Jalan Buloh Kasap pula, kita tidak mahu longgokan kesesakan teruk sehingga hampir 2 km di mana-mana arah di Persimpangan Permaisuri berulang di Persimpangan Jalan Buloh Kasap. Sekiranya kedua-dua persimpangan tersebut dibina hanya sekadar persimpangan searas, kesesakan teruk pasti akan berlaku, yang pastinya akan menggagalkan matlamat utama pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, sebab utama kenapa saya ingin menggesa agar Persimpangan Jalan Buloh Kasap dibina sebagai persimpangan bertingkat adalah bagi membolehkan pusingan U yang lebih sesuai digunakan oleh kenderaan berat dihasilkan bagi pengguna Jalan Buloh Kasap FT1. Bagi reka bentuk Persimpangan Jalan Buloh Kasap, saya menyarankan agar JKR mengkaji reka bentuk Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar di Lebuhraya Duke E33 ataupun Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal di Lebuhraya Kajang Silk E18, kerana kedua-dua persimpangan bertingkat ini dibina dengan sebegitu bagus walaupun di kawasan tanah terhad.

Setakat ini sahajalah reviu eksklusif Blog Jalan Raya Malaysia di Lebuhraya Segamat-Muar FT23. Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan dan pengalaman saya menggunakan lebuh raya ini. Namun begitu, masih ada beberapa perkara yang saya perlu tegur sebagai langkah penambahbaikan yang berterusan agar keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya diutamakan. Malangnya, JKR Segamat tiada laman Facebook mahupun akaun Twitter bagi membolehkan saya menyalurkan maklum balas sebegini, namun memandangkan Encik Mohd. Isa bin Sulaiman selaku Jurutera Daerah JKR Segamat memang ada berkongsi gambar teaser yang saya muat naik itu, maka sudah tentulah beliau amat menanti-nantikan reviu ini yang dihasilkan oleh anak Segamat sendiri.

Berikut saya rumuskan beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh JKR Segamat:-

  1. Pencahayaan - Secara amnya tahap pencahayaan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 boleh dikatakan sangat bagus kerana banyak kawasan diterangi lampu jalan, tetapi tidak semua jajaran dipasang lampu jalan. Ia menjadikan keadaan lebuh raya begitu gelap dan berbahaya pada waktu malam, lebih-lebih lagi lebuh raya FT23 ini menggunakan pembahagi jenis konkrit bebendul biasa yang tiada pemantul cahaya. Justeru, JKR Segamat perlu memasang banyak pemantul cahaya di sepanjang pembahagi lebuh raya yang tidak diterangi lampu jalan; saya paling syorkan pemantul silinder plastik seperti yang dipasang di Jalan Buloh Kasap FT1 antara Persimpangan Jabi dengan selekoh Kampung Kadut.
  2. Had laju - Serius saya katakan bahawa kualiti pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini sangat bagus, begitu lebar dan sangat selesa. Namun, had laju 80 km/j yang dikenakan itu sangat tidak berpadanan dengan kualiti lebuh raya ini yang memenuhi piawaian JKR R5. Jika dibandingkan, jalan lama FT23 pula lebih sempit dan lebih berbahaya tetapi tetap boleh dikenakan had laju 90 km/j, yang mana saya sifatkan sebagai terlalu ironik. Justeru, satu-satunya had laju yang sepatutnya dikenakan di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ialah 90 km/j dan hanya 90 km/j sahaja, tidak lebih dan tidak kurang.
  3. Pengadang kabel di selekoh Persimpangan UiTM Johor - Selekoh Persimpangan UiTM Johor dibina di kawasan berpaya, jadi pengadang yang sepatutnya digunakan ialah pengadang keluli biasa dan bukannya pengadang kabel. Dalam aplikasi sebegini, pengadang kabel sangat berbahaya dan sangat tidak sesuai kerana ia tidak mampu menghalang kenderaan yang terbabas daripada terjunam ke dalam paya ataupun gaung.
  4. Simpang masuk Taman Gemereh yang menyulitkan penduduk - Saya faham, jalan masuk asal ke Taman Gemereh terpaksa ditutup untuk membolehkan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ditinggikan bagi mengelak banjir. Namun, jalan masuk pengganti yang dibina pula bukan sahaja memerlukan penduduk Taman Gemereh bersilat sakan untuk keluar masuk ke jalan masuk ke rumah mereka, malah mereka terpaksa membuat pusingan U yang jauh sehingga ke Kampung Batu Badak. Maka, penyelesaian yang lebih baik ialah dengan membesarkan Taman Gemereh agar jalan masuk yang lebih lurus dan lebih baik dapat dibina, malah boleh dibina sebagai persimpangan lampu isyarat.

Di samping empat isu utama ini, saya juga ingin merumuskan beberapa penambahbaikan yang perlu diterapkan bagi jajaran Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang akan dibina, selain penambahbaikan kepada laluan yang sudah siap:-
  1. Menaik taraf Medan Selera Persimpangan Tebing Tinggi kepada kawasan rehat dan rawat (R&R) penuh, di samping membina beberapa buah lagi kawasan R&R yang lain di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23
  2. Membina Persimpangan Jalan Buloh Kasap dan Persimpangan Lubuk Batu bagi Pakej 1a sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas. Begitu juga dengan persimpangan masuk ke Exit 235 Persimpangan Tangkak untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2; ia juga perlu dibina sebagai persimpangan bertingkat bagi mengelakkan daripada masalah kesesakan di situ

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 Pakej 1b & 2 berhampiran pencawang masuk utama lama TNB di Kampung Gemereh






Persimpangan Gudang Garam - Anda tidak akan menemui sebarang kilang rokok kretek mahupun gudangnya di sini






Persimpangan Taman Bunga Raya - jalan masuk asal ke Taman Gemereh sudah ditutup dan digantikan dengan jalan masuk baharu yang memerlukan penduduk Taman Gemereh bersilat sakan






Keadaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang sangat bagus kualiti pembinaannya dan beraspal mulus






Lebuhraya Segamat-Muar FT23 banyak menggunakan papan tanda bergrafik seperti di Persimpangan Batu Badak ini






Persimpangan Batu Badak untuk ke Lebuhraya Tun Razak FT12 melalui Jalan Tasek Alai J153






Had laju 80 km/j terlalu perlahan dan sangat tidak sesuai bagi lebuh raya sebagus ini






JKR Segamat perlu memasang pemantul silinder plastik di sepanjang pembahagi jalan bagi menambah baik tahap pencahayaan di kawasan yang tiada lampu jalan seperti ini






Pusingan U jenis lorong laju ke lorong perlahan seperti yang banyak didapati di Lebuh AMJ FT19






Jambatan baharu Sungai Muar






Persimpangan UiTM Johor Timur kali ini hanya dijadikan persimpangan LILO...






...tetapi hanya Persimpangan UiTM Johor Barat sahaja yang dijadikan persimpangan searas penuh






Pengadang kabel di selekoh Persimpangan UiTM Johor ini tidak berupaya untuk menghalang kenderaan yang terbabas daripada terjunam ke dalam paya






Persimpangan Tebing Tinggi






Kampung Lubok Bandan, salah satu daripada perkampungan yang dibuka oleh bekas pejuang yang pernah menyertai Perang Jementah 1879






Kawasan ini asalnya beralun dengan banyak naik turun bukit, tetapi banyak bukit yang ditarah serta kawasan lembah yang ditambak bagi menjamin keselesaan pengguna lebuh raya






Kampung Kubu Dedap yang menandakan bahawa saya sudah pun sampai di Jementah. Perhatikan bekas jalan lama FT23 yang sudah pun dipintas






Jalan di sebelah kanan itu akan membawa ke projek Jalan Jementah-Asahan J125






Suasana di pekan Jementah






Jementah menerima limpahan pembangunan hasil daripada dua projek jalan raya utama






Hampir meninggalkan pekan Jementah






Pusingan U terakhir di Ulu Jementah sebellum lebuh raya tamat






Lebuh raya tamat - Pakej 3 dari Ulu Jementah ke Persimpangan Taman Negara Gunung Ledang akan disambung bermula di sini

Monday, November 16, 2015

Sejarah lengkap Jalan Persekutuan 5 / Federal Route 5 complete history




Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini setelah lama bercuti di kampung. Kali ini saya kembali semula dengan satu lagi entri sejarah lengkap, kali ini saya ingin membawakan kepada anda sejarah lengkap bagi Jalan Persekutuan 5 pula. Kenapa Jalan Persekutuan 5...? Biar saya ingatkan satu perkara kepada anda semua khususnya orang-orang Teluk Intan, Perak. Untuk pengetahuan anda, esok (17 November 2015) merupakan ulang tahun ke-27 pembukaan Jambatan Sultan Yusuff FT5 yang menyeberangi Sungai Perak, yang menandakan bahawa Jalan Persekutuan 5 sudah siap sepenuhnya.

Saya memang sudah lama berhasrat ingin mengkaji sejarah lengkap Jalan Persekutuan 5 ini. Namun, kesukaran mencari bahan sejarah menyebabkan usaha mengkaji jalan FT5 ini sukar dilakukan. Ia berbeza daripada sejarah lengkap jalan FT1 dan FT2 yang banyak dibantu oleh buku Roads in Malaysia terbitan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang banyak membantu dalam kajian saya, di samping entri-entri Hari Ini Dalam Sejarah oleh Arkib Negara. Namun, tanpa disangka-sangka, saya berjaya memperoleh bahan bagi kajian sejarah lengkap jalan FT5 ini hasil penemuan sebuah tesis tahun 1980 oleh seorang penuntut Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara; UiTM). Pada malam yang sama juga, saya berjaya menemui petikan akhbar New Straits Times mengenai pembukaan Jambatan Sultan Yussuf FT5 yang diarkibkan oleh Google News, sekaligus melengkapkan kajian sejarah lengkap Jalan Persekutuan 5 ini.

Jalan Persekutuan 5 sebenarnya mula dibina pada tahun 1887. Jika dibandingkan, Jalan Persekutuan 1 mula dibina tahun 1880, manakala Jalan Persekutuan 3 pula mula dibina pada tahun 1866 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang, Dato' Bentara Luar Johor. Fasa terawal yang dibina jajaran Jalan Melaka-Muar FT5, tetapi setakat dibina dari Melaka sehingga ke Merlimau.




Peta Jalan Ipoh-Lumut FT5 di kawasan Lembah Kinta pada tahun 1914


Di sebelah utara pula, Jalan Ipoh-Lumut FT5 dibina lebih kurang sedekad selepas pembinaan Jalan Melaka-Merlimau FT5. Ia turut menampilkan Jambatan Bota FT5 yang menjadi jambatan yang paling hampir dengan muara Sungai Perak pada masa itu. Kenapa begitu jauh pula jambatan yang dikatakan paling hampir dengan muara Sungai Perak ini...? Anda boleh tanya orang-orang Teluk Intan, Kampung Gajah, Bota, Parit, Kuala Kangsar dan Lenggong betapa lebarnya Sungai Perak ini. Sebab itulah tidak banyak jambatan utama yang menyeberanginya. Namun, jambatan asal di Bota itu sebenarnya sudah pun roboh akibat dihanyutkan arus Sungai Perak ketika banjir besar 1967. Jambatan baharu Bota dibina semula dengan kos RM3.1 juta dan dibuka kepada lalu lintas pada Februari 1973.. Semasa pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5, Jambatan Bota FT5, juga dikenali dengan nama Jambatan Sultan Idris Shah II FT5, turut dikembarkan dalam projek yang siap pada tahun 2008.

Jajaran ketiga bagi menghubungkan antara Johor Bahru dan Muar pula mula dibina sebagai projek usaha sama antara kerajaan negeri Johor dengan British, berbeza daripada rangkaian jalan raya di negeri lain yang kebanyakannya dibina oleh penjajah British sendiri bagi memudahkan mereka mengaut keuntungan daripada hasil bumi Tanah Melayu. Dalam projek tersebut, Jalan Raya Timur-Barat Johor (Jalan Persekutuan 50) siap terlebih dahulu pada tahun 1919. Itulah sebabnya kenapa jajaran Jalan Kluang dari Bulatan Banang ke Persimpangan Gunung Soga memegang kod laluan FT5 sebelum kod laluannya berubah kepada FT50 selepas Persimpangan Gunung Soga.

Jajaran seterusnya ialah Jalan Muar-Batu Pahat FT5, siap pada tahun 1929. Pada masa yang sama juga, Jalan Melaka-Muar FT5 turut disambung dari Merlimau sehingga ke Muar. Namun pada masa itu, Jambatan Peserai FT5 masih belum dibina lagi, sebaliknya pengguna jalan raya terpaksa menggunakan khidmat feri sungai. Khidmat feri sungai ditamatkan setelah Jambatan Peserai FT5 dan Jambatan Sultan Ismail FT5 dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1967. Asalnya, Jalan Temenggung Ahmad J31 dari Muar ke Parit Raja membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 5, tetapi semasa projek Jambatan Sultan Ismail FT5, empat buah bulatan dibina sebagai inisiatif penyuraian trafik di bandar Muar, manakala sebatang jalan raya baharu yang dikenali sebagai Jalan Abdul Rahman FT5 dibina bagi melencongkan laluan terus FT5, memandangkan Jalan Temenggung Ahmad J31 tidak sesuai digunakan oleh kenderaan berat.

Pada masa yang sama, Jalan Melaka-Port Dickson FT5 juga siap dibina. Jalan Melaka-Port Dickson FT5 dibina sebagai sambungan kepada Jalan Seremban-Port Dickson yang siap terlebih dahulu pada tahun 1910. Seterusnya, jajaran di sebelah negeri Selangor pula dibina, iaitu Jalan Klang-Teluk Intan FT5, Jalan Langat FT5 dan Jalan Sepang FT5; ketiga-tiganya siap pada tahun 1939. Pada masa yang sama, Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 dan Jalan Skudai-Pontian juga berjaya disiapkan.

Namun, masalah timbul kerana masih terdapat pautan putus dari Teluk Intan sehingga ke Sitiawan. Akibatnya, pengguna jalan raya dari Sitiawan terpaksa berpusing jauh ke Bota dan menggunakan jalan FT109 di sepanjang tebing timur Sungai Perak; itu pun mereka terpaksa berkongsi jambatan dengan landasan kereta api Ipoh-Teluk Intan untuk menyeberangi Sungai Bidor, menyebabkan JKR Perak terpaksa membayar RM10,000 sebulan kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk membolehkan pengguna jalan raya menggunakan jambatan kereta api itu.




Jambatan Sultan Yusuff FT5, struktur binaan yang menyempurnakan Jalan Persekutuan 5


Sebagai penyelesaian, kerajaan mengambil keputusan untuk membina pautan putus tersebut sebagai projek Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5). Projek jajaran terakhir tersebut dinamakan sebagai projek Jalan Raya Pantai Barat Sungai Perak-Lumut FT5, yang bermula dari Batu 5 Jalan Teluk Intan-Klang FT5 dan berakhir di Sitiawan, yang mana jalan ini seterusnya dihubungkan dengan Jalan Ipoh-Lumut FT5. Salah satu komponen utama bagi projek tersebut ialah Jambatan Sultan Yusuff FT5 sepanjang 1.3 km menyeberangi Sungai Perak. Jambatan tersebut merupakan jambatan yang paling hampir dengan muara Sungai Perak. Projek Jalan Raya Pantai Barat Sungai Perak-Lumut FT5 ini mula dibina pada April 1986 dan dibuka kepada pengguna jalan raya pada 17 November 1988. Dengan siapnya projek jajaran terakhir FT5 ini, maka keseluruhan Jalan Persekutuan 5 akhirnya berjaya disiapkan.




Pembukaan Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar pada tahun 1967




FT5 bertindih dengan FT2 sejauh 1 km di sepanjang Jalan Jambatan Kota FT2/FT5


Bagaimana dengan usaha penambahbaikan di sepanjang FT5...? Sebagaimana jalan raya tulang belakang yang lain, Jalan Persekutuan 5 juga telah mengalami banyak penambahbaikan. Antaranya termasuklah pembinaan Jambatan Peserai FT5 dan Jambatan Sultan Ismail FT5 yang dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1967. Di Klang pula, Jalan Persekutuan 5 berkongsi laluan dengan Jalan Persekutuan 2 di Jambatan Kota FT2/FT5 dari Bulatan Simpang Lima dengan Bulatan Simpang Tujuh. Selain itu, dua buah jambatan utama dibina di Selangor iaitu Jambatan Kuala Selangor FT5 dan Jambatan Sabak Bernam FT5; kedua-duanya siap pada tahun 1980. Sungguhpun demikian, projek Jambatan Kuala Selangor FT5 ada kisah kontroversinya yang tersendiri. Projek tersebut mula diumumkan pada tahun 1970, tetapi ia terbengkalai kerana keculasan kontraktor asal. Akibatnya, tender baharu terpaksa dibuka semula pada tahun 1976 dan akhirnya jambatan tersebut siap pada tahun 1980.

Jalan Persekutuan 5 semakin hari semakin sesak dengan kenderaan, disebabkan taburan penduduk yang tinggi di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia. Maka, sebahagian jalan FT5 perlu dilebarkan untuk mengurangkan kesesakan di jajaran yang terlibat. Antaranya termasuklah projek naik taraf Jalan Langat FT5 menjadi jalan raya kembar serta naik taraf Jalan Klang-Teluk Intan FT5 menjadi jalan super four. Namun, projek naik taraf terbesar ialah projek Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5, yang bukan sahaja sekadar naik taraf jalan raya tunggal dua lorong kepada jalan raya kembar empat lorong, tetapi turut mengalihkan kilometer terakhir jalan FT5 ke Jelapang.

Selain itu, projek Lebuhraya Pantai Barat E32 turut diumumkan, tetapi apa yang saya amat tidak berpuas hati ialah penggunaan jajaran FT5 yang sibuk sebagai sebahagian jajaran E32. Pencabulan terbaharu piawaian lebuh raya ekspres sebegini sememangnya tidak boleh dimaafkan kerana ia bakal mengancam nyawa penduduk tempatan serta pengguna jalan raya berikutan percampuran lalu lintas luar dengan lalu lintas tempatan, di samping menggagalkan matlamat utama pembinaan E32 iaitu untuk mengurangkan kesesakan di jalan FT5 dan FT60. Pihak yang bertanggungjawab mencadangkan penggunaan jalan FT5 ini sepatutnya berasa malu akan projek Lebuhraya Pantai Timur E8 yang berjaya disiapkan sebagai lebuh raya yang memenuhi piawaian lebuh raya ekspres sungguhpun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kadar penggunaan kenderaan yang rendah, banjir besar dan banyak lagi. Jika alasan tidak mahu ada kampung-kampung atau pekan-pekan yang terpinggir dijadikan alasan, maka berbaloikah jika nyawa penduduk tempatan dan pengguna lebuh raya menjadi taruhan...?

Kesimpulannya, Jalan Persekutuan 5 berperanan besar sebagai salah satu nadi pengangkutan utama di pantai barat Semenanjung Malaysia. Disebabkan lokasinya yang jauh daripada Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 serta melalui kawasan berpenduduk padat, peranan jalan FT5 sedikit pun tidak terancam akan kewujudan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Namun, penggunaan sebahagian jalan FT5 sebagai laluan Lebuhraya Pantai Barat E32 tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa penduduk tempatan dan pengguna jalan FT5, tetapi turut melibatkan nyawa pengguna Lebuhraya Pantai Barat E32 kelak. Biarlah FT5 kekal sebabgai FT5 dan E32 kekal sebagai E32; kedua-dua laluan tersebut sepatutnya saling melengkapi antara satu sama lain sebagaimana Jalan Persekutuan 1 dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, serta Jalan Persekutuan 2 dengan Lebuhraya Pantai Timur E8.

Friday, November 6, 2015

Memintas tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 / Shunpiking the Damansara-Puchong Expressway (LDP) E11



Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 sering dianggap sebagai "lebuh raya pukat tunda" terutamanya di kalangan orang-orang Puchong - tetapi siapa sangka bahawa LDP E11 kini boleh dipintas...?


Salam sejahtera,

Setelah entri mengenai laluan percuma Kuala Lumpur-Putrajaya disiarkan semalam, kami dihujani dengan permintaan bagi beberapa laluan pintasan tol yang lain, terutamanya laluan Shah Alam-Putrajaya. Permintaan tersebut muncul kerana semua laluan utama dari Shah Alam ke Putrajaya (sama ada melalui Lebuhraya Elite E6 ataupun Lebuhraya Damansara-Puchong E11) kesemuanya dikenakan tol. Atas permintaan ramai, kami cuba mengkaji laluan pintasan tol Shah Alam-Putrajaya yang dikompilasikan bersama-sama dengan plaza tol lain di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11.

Sebelum kami teruskan, biar kami mulakan dahulu dengan latar belakang LDP E11 ini. Lebuhraya Damansara-Puchong E11 dibina sebagai pelengkap kepada Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (KL MRR2) FT28 yang dibina sepanjang sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor. Namun, lebuh raya tersebut sering dihujani kontroversi sejak awal lagi. Apa tidaknya, LDP E11 dibina dengan sekadar melebarkan beberapa batang jalan arteri perumahan sedia ada yang asalnya percuma kepada rakyat, seterusnya membina persimpangan bertingkat dan plaza tol, tanpa mengambil kira sebegitu banyak bilangan simpang jalan-jalan kecil di sepanjang laluannya sehingga menjejaskan darjah kawalan masuknya, sedangkan simpang jalan-jalan kecil sebegitu tidak sepatutnya wujud pada mana-mana lebuh raya ekspres. Dianggarkan sekarang terdapat lebih 140 simpang jalan kecil di sepanjang LDP E11. Bilangan bilangan simpang jalan-jalan kecil yang tidak terkawal inilah yang menjejaskan tahap kawalan masuknya, sehingga mengakibatkan LDP E11 tidak mematuhi piawaian JKR U6 yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Selain masalah kesesakan, penggunaan jalan arteri biasa sebagai laluan lebuh raya LDP E11 juga telah mengakibatkan satu lagi masalah besar yang sering membangkitkan kemarahan warga kota iaitu kutipan tol. Penggunaan jalan-jalan arteri yang asalnya percuma sebagai laluan LDP E11 telah mengakibatkan LDP E11 sering dicemuh dan diberi jolokan "lebuh raya pukat tunda" kerana tiada laluan pemintas tol yang dikenal pasti. Turut menambah parah keadaan, Datuk Seri Samy Vellu iaitu Menteri Kerja Raya pada masa itu pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa laluan alternatif bebas tol tidak diwajibkan bagi lebuh raya yang dinaik taraf daripada jalan raya sedia ada. Kenyataan sebegitu sudah tentu mengakibatkan kemarahan penduduk yang tinggal di sepanjang LDP E11, terutamanya penduduk Puchong, kerana Puchong dikelilingi plaza tol LDP E11 di sebelah utara, selatan dan barat.

Jadi bagaimana hendak memintas tol LDP E11 ini...? Memintas tol LDP E11 memerlukan anda banyak meredah jalan-jalan perumahan, yang boleh jadi mengelirukan jika anda tidak biasa menggunakan laluan tersebut. Laluan-laluan pemintas tol yang telah kami kenal pasti ini sebenarnya wujud hasil daripada pembinaan sebegitu banyak kawasan perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sepanjang LDP E11, sedangkan lebuh raya ekspres sepatutnya tidak boleh sama sekali dihubungkan terus kepada mana-mana premis hartanah dan hanya boleh dihubungkan ke lebuh raya lain, jalan raya utama dan jalan arteri sahaja. Maka, jalan-jalan perumahan ini boleh dieksploitasikan bagi membentuk laluan pemintas tol LDP E11.




Laluan pemintas Plaza Tol Penchala melalui Persiaran Mahogani dan Persiaran Surian
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Kita mulakan dengan plaza tol pertama iaitu Plaza Tol Penchala. Ada dua jalan yang boleh anda gunakan untuk memintasnya. Laluan pintasan pertama ialah kombinasi Jalan Subang-Sungai Buloh FT15, Persiaran Mahogani dan Persiaran Surian, berguna jika anda datang dari arah Sri Damansara, Damansara Damai dan Sungai Buloh. Namun, kelemahan terbesar bagi laluan pertama ini sudah tentulah bilangan persimpangan lampu isyarat yang banyak. Jika anda datang dari arah Kepong pula, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk menggunakan laluan percuma Damansara Link untuk memintas Plaza Tol Penchala, yang mana saya akan terangkan dalam entri pintasan tol Lebuhraya Sprint E23 nanti.




Laluan pemintas Plaza Tol Petaling Jaya Selatan melalui Persiaran Kewajipan
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Laluan pintasan bagi Plaza Tol Petaling Jaya Selatan pula ada dua, iaitu sama ada dengan menggunakan Jalan Puchong B11 ataupun Persiaran Kewajipan, yang mana kedua-duanya memerlukan anda melencong jauh. Antara kedua-dua laluan ini, laluan Persiaran Kewajipan adalah yang paling mudah. Dari arah Kelana Jaya, keluar dari LDP E11 di Exit 1112 Persimpangan Bandar Sunway ke arah Subang Jaya melalui Lebuhraya Baru Pantai E10. Seterusnya, keluar dari E10 di Exit 1002 Persimpangan Bulatan Kewajipan dan ambil pusingan pukul 9 (belok kiri) ke Persiaran Kewajipan. Jalan terus sehingga ke penamat Persiaran Kewajipan yang terletak di Exit 1125 Persimpangan USJ yang membawa anda kembali ke LDP E11 dari arah USJ / Shah Alam. Sila skrol ke bawah untuk sambungan panduan perjalanan bebas tol dari arah USJ / Shah Alam.




Laluan pemintas Plaza Tol Petaling Jaya Selatan melalui Jalan Puchong B11
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Bagi laluan pintasan tol Petaling Jaya Selatan melalui Jalan Puchong B11, ada 2 laluan yang boleh anda pilih, yang mana kedua-duanya memerlukan anda untuk keluar dari LDP E11 ke Lebuhraya Persekutuan FT2 arah Kuala Lumpur dan seterusnya memasuki Lebuhraya Baru Pantai E10/B14. Saya mulakan dengan laluan pertama yang lebih mudah tetapi lebih jauh. Hanya teruskan perjalanan sehingga ke Exit 1006 Persimpangan Jalan Templer dan keluar ke Jalan Klang Lama B14. Seterusnya, teruskan perjalanan sehingga ke persimpangan Jalan Puchong B11 dan belok kanan untuk ke Jalan Puchong B11 sehingga ke Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya.




Laluan pemintas Plaza Tol Petaling Jaya Selatan melalui Taman Kinrara
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Laluan kedua melalui Jalan Puchong B11 pula lebih pendek tetapi lebih rumit. Seperti laluan sebelumnya, anda perlu menggunakan Lebuhraya Baru Pantai E10/B14. Namun, tidak seperti laluan tadi, gunakan Exit 1009 Persimpangan Jalan Templer untuk membuat pusingan U. Seterusnya, anda perlu belok kiri ke Jalan PJS 1/25. Jalan tersebut ditandakan dengan papan tanda ke Lebuhraya Shah Alam E5 jadi pastikan anda tidak terlepas jalan tersebut. Jalan terus sehingga ke penghujungnya dan belok kanan. ke Jalan PJS 3/44. Jalan terus sehingga ke penghujung. Kemudian, belok kiri ke Taman Kinrara (jangan masuk ke Lebuhraya Shah Alam E5). Sebaik anda bertemu dengan Jalan Puchong B11 di Taman Kinrara, belok kanan dan teruskan perjalanan melalui Jalan Puchong B11 sehingga bertemu dengan LDP E11 di Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya.

Untuk perjalanan balik pula, hanya ikut arah berlawanan, tetapi ikuti panduan memintas tol Lebuhraya Baru Pantai E10 bagi memintas Plaza Tol PJS2 yang mengutip tol bagi arah ke Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Subang Jaya, yang akan saya tulis tidak lama lagi.




Laluan pemintas Plaza Tol Puchong Barat
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Seterusnya, kita susuli pula dengan laluan pemintas Plaza Tol Puchong Barat. Bagi pengguna jalan raya yang berulang-alik dari Shah Alam dan USJ ke Putrajaya atau sebaliknya, sila baca betul-betul panduan di bawah ini kerana laluan percuma yang anda nanti-nantikan ada tercatat di sini. Dari arah Shah Alam dan USJ, hanya perlu jalan terus, buat pusingan U betul-betul sebelum Plaza Tol Puchong Barat dan terus himpit ke lorong paling kiri sebaik sahaja selesai membuat pusingan U. Sebaik menemui simpang pertama di sebelah kiri, terus masuk simpang tersebut ke Jalan Seri Puchong. Seterusnya, anda akan dilencongkan ke kiri ke Lorong 2 Kampung Bersatu. Teruskan perjalanan dan jalan tersebut akan berubah menjadi jalan raya kembar. Sebaik sahaja anda menemui bulatan pertama, ambil pusingan pukul 9 (belok kiri) ke Persiaran Puchong Perdana. Jalan terus, dan jika anda menemui bulatan lagi, ambil pusingan pukul 12 (jalan terus). Jalan terus sehingga anda ditemukan semula dengan LDP E11 di Exit 1119 Persiaran Puchong Perdana. Jika anda ingin terus ke Putrajaya, ikuti panduan memintas Plaza Tol Puchong Selatan di bawah.

Untuk perjalanan balik, hanya ikut arah bertentangan, cuma anda tidak perlu membuat pusingan U kerana Jalan Seri Puchong memang akan melencongkan anda ke kiri.




Laluan pemintas Plaza Tol Puchong Selatan (arah Putrajaya) melalui Saujana Puchong
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Plaza tol terakhir yang bakal kita pintasi kali ini ialah Plaza Tol Puchong Selatan. Ada 2 cara untuk memintas Plaza Tol Puchong. Cara pertama ialah menggunakan kombinasi Jalan Puchong B11, Jalan Pulau Meranti B11 dan Persiaran Apec, yang sudah tentunya memerlukan anda melencong jauh meskipun laluan inilah yang paling mudah. Laluan kedua pula lebih pendek tetapi lebih mengelirukan, jadi baca betul-betul dan hafalkan supaya anda tidak tersesat. Anda sudah bersedia...? Mari kita mulakan...!!!

Dari arah Puchong, Shah Alam dan USJ, sila masuk ke Persiaran Saujana Puchong. Sebaik sahaja selepas selekoh 90 darjah ke sebelah kiri, terus himpit ke lorong kanan. Belok kanan ke Jalan SP1/1, simpang pertama di sebelah kanan selepas selekoh 90 darjah ke sebelah kiri tadi. Sebaik anda memasuki Jalan SP1/1, belok kiri ke Jalan SP 1/4 di simpang pertama yang anda temui. Selepas selekoh 90 darjah ke kiri, belok kanan. Teruskan perjalanan melalui jalan raya tidak bernama ini sehingga anda menemui simpang pertama di sebelah kanan. Belok kanan ke Suria Puchong, dan masuk semula ke LDP E11 melalui jalan susur masuk dari Suria Puchong.




Laluan pemintas Plaza Tol Puchong Selatan (arah Puchong / USJ / Shah Alam) melalui Saujana Puchong
(sila besarkan untuk perincian laluan)


Bagaimana pula dengan laluan balik...? Laluan balik juga sama mengelirukan, jadi baca dan fahamkan dengan teliti supaya anda tidak akan tersesat. Dari arah Putrajaya, keluar dari LDP E11 di Exit 1123 Persimpangan Seri Kembangan dan belok kanan ke arah Seri Kembangan. Seterusnya, belok kiri di simpang pertama selepas Exit 1123. Anda akan dibawa ke Suria Puchong. Seterusnya, anda akan dilencongkan ke ke Jalan Suria Puchong 2. Belok kanan dan seterusnya belok kiri sebanyak 2 kali untuk memasuki jalan tidak bernama yang saya nyatakan tadi. Seterusnya, anda hanya perlu ikut arah berlawanan daripada panduan sebelumnya sehinggalah anda bertemu semula dengan LDP E11 di simpang Persiaran Saujana Puchong. Sekarang, anda perlu mencari pusingan U untuk ke arah utara, memandangkan anda akan dilencongkan ke kiri ke Plaza Tol Puchong Selatan. Untuk membuat pusingan U, keluar ke Exit 1121 Persimpangan Bukit Puchong tetapi jangan belok kanan. Sebaliknya, belok kiri ke satu jalan susur selepas Jalan Bukit Puchong dan anda akan menemui satu terowong di sebelah kanan. Blok kanan ke terorong tersebut dan seterusnya belok kiri ke jalan susur yang akan membawa anda ke arah utara melalui LDP E11.

Nampak rumit bukan...? LDP E11 sememangnya satu lebuh raya yang sukar dipintas disebabkan oleh dasar "ke laut" oleh Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Samy Vellu yang beranggapan laluan pintasan tol LDP E11 tidak diperlukan langsung atas alasan dangkal. Akibat "dasar ke laut" tersebut, LDP E11 sering dicemuh dan dianggap sebagai "lebuh raya pukat tunda" terutamanya oleh orang-orang Puchong yang tentunya paling menderita kerana dikelilingi plaza tol di sebelah utara, selatan dan barat. Bagi mereka yang sudah puas merasa azab kerana "dipau" setiap hari ketika melalui LDP E11, panduan pemintas tol ini memang khas buat anda - tetapi kalau jalan pintasan yang saya nyatakan di atas ini sesak pada awal pagi dan lewat petang, jangan merungut pula ok...? Jadi apa lagi, sebar-sebarkanlah panduan pemintas tol ini kepada rakan-rakan serta saudara-mara di Puchong dan jadikanlah ia viral.

Selamat mencuba...!!!