Salam sejahtera,
Kali ini saya ingin bawakan kepada anda satu reviu bagi sebuah lebuh raya yang kalau diikutkan kerap saya gunakan terutamanya bagi memintas kesesakan
Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37, tetapi saya belum pernah membuat reviu mengenainya selama ini. Lebuh raya yang saya maksudkan itu ialah Lebuhraya Sungai Besi E9, juga dikenali sebagai Lebuhraya Besraya E9, sepanjang 14.8 km. Kenapa selama ini saya langsung tidak pernah mengambil kesempatan membuat reviu lebuh raya ini? Teruskan membaca reviu kali ini untuk mengetahui sebabnya.
Lebuh raya ini mempunyai sejarah awal yang saya sifatkan sebagai "agak kelakar". Projek lebuh raya ini sebenarnya adalah naik taraf bagi Jalan Sungai Besi B13 yang asalnya hanya dua lorong sahaja. Secara kebetulan, Lebuhraya KL-Seremban E37 dibina selari dengan Jalan Sungai Besi B13, dan pada awal 1990an asalnya kawasan di bahagian selatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak ramai penduduk kecuali di pekan Salak Selatan, Sungai Besi, Seri Kembangan dan Serdang Lama. Namun demikian, kawasan tersebut mula membangun dengan pesat setelah kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk membina Stadium Nasional Bukit Jalil setelah Malaysia terpilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Hasilnya, kawasan Bukit Jalil yang asalnya merupakan kawasan estet terus bertukar menjadi kawasan perumahan. Pembinaan Mines Resort City di Serdang yang dimulakan dengan pembinaan Mines Wonderland turut mencipta aura pembangunan di kawasan selatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Maka, sudah tentulah Jalan Sungai Besi B13 sedia ada tidak mampu menampung kadar aliran trafik yang naik mendadak, memandangkan jalan tersebut asalnya hanya dua lorong sahaja. Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk melancarkan projek naik taraf Jalan Sungai Besi B13 kepada jalan raya kembar.
Apa yang menjadikan sejarah awal Lebuhraya Besraya E9 ini "kelakar" ialah kerana projek tersebut asalnya dinamakan sebagai projek naik taraf Jalan Sungai Besi, tetapi entah bagaimana agaknya Jalan Sungai Besi yang dinaik taraf kepada jalan raya kembar itu diwartakan sebagai "lebuh raya ekspres" dan diberi kod E9. Ia jelas menunjukkan budaya
flip-flop Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu, terhadap projek tersebut, serta turut menyerlahkan kekorupan beliau kerana seolah-oleh memberi "lampu hijau" bagi pembinaan "lebuh raya ekspres" yang langsung tidak menepati piawaian kawalan masuk penuh. Apa tidaknya, seperti
Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang kontroversi itu, E9 dibina dengan sekadar melebarkan Jalan Sungai Besi B13 sedia ada, membina persimpangan bertingkat, memasang pembahagi jalan, membina plaza tol, dan poof! Dah siap! Bilangan simpang-simpang kecil yang sebegitu banyak tidak pula ditangani. Apa pun, nasib baik aliran trafik sepanjang E9 sentiasa lancar, jika tidak lancar maka sudah tentulah saya akan mengecam "lebuh raya" ini sehebat-hebatnya, sebagaimana nasib yang menimpa LDP E11. Kutipan tol di E9 dijalankan oleh Besraya Sdn. Bhd., anak syarikat Road Builder, bermula Mei 1999 iaitu sebaik sahaja E9 siap dibina. Road Builder kemudiannya diambil alih oleh IJM.
Saya memulakan perjalanan dari arah Sri Serdang dan UPM dam memasuki E9 melalui Exit 901 Persimpangan UPM, juga dikenali sebagai Exit 209 di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Exit 1810 di Lebuhraya Kajang Silk E18. Sebenarnya, jajaran asal B13 bukan sekadar Jalan Sungai Besi sahaja yang kini membentuk Lebuhraya Besraya E9; sebenarnya, jajaran Jalan Sungai Besi dari Exit 901 / Exit 1810 ke Exit 1809 Persimpangan Uniten membentuk sebahagian daripada Lebuhraya Kajang Silk E18, manakala Jalan Sungai Merab dari Uniten sehingga ke Bandar Baru Bangi merupakan satu-satunya jajaran B13 yang masih tinggal. Lebuhraya Sungai Besi E9 dibina selebar 6 lorong (walaupun ada sebahagian kecil jajaran yang dibina 4 lorong sahaja), manakala jajaran Uniten-UPM bagi Lebuhraya Kajang Silk E18 pula dibina 4 lorong sahaja. Sementara itu pula, Jalan Sungai Merab B13 juga dinaik taraf kepada jalan raya kembar, tetapi hanya setakat sehingga Persimpangan Sungai Merab, manakala baki jajaran selebihnya kekad 2 lorong.
Tidak lama selepas memasuki E9, sudah ada Kawasan Rehat dan Rawat Serdang, yang terdiri daripada tandas awam dan sebuah stesen minyak BHPetrol. Sekarang ada satu lagi stesen minyak di situ, iaitu stesen minyak Petronas Solaris Serdang. Kenapa namanya begitu? Stesen minyak Petronas Solaris Serdang ini sebenarnya menadah air hujan bagi membentuk sebahagian daripada bekalan airnya, serta mempunyai panel suria bagi menjana elektrik. Namun, air hujan yang ditadah itu sebenarnya hanyalah digunakan untuk kegunaan tandas serta bagi menyiram bunga, manakala kedai-kedai makanan di situ masih menggunakan air paip biasa. Stesen tersebut juga menggunakan lampu-lampu LED yang paling jimat elektrik. Seterusnya, lebihan tenaga elektrik yang dijana daripada panel suria di situ dijual semula kepada Tenaga Nasional Berhad bagi kegunaan rumah. Mesra alam, bukan? Stesen minyak tersebut memang besar; ia berupaya menyediakan bekalan petrol bagi kedua-dua Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Besraya E9, dan ada empat restoran pandu lalu termasuklah KFC. Anda juga boleh mengepam tayar kenderaan anda menggunakan gas nitrogen di sini.
Apa yang menyukarkan saya untuk mengambil gambar di sepanjang E9 ialah ketiadaan bahu jalan keras di kebanyakan jajaran. Akibatnya, saya terpaksa mencari bahu jalan lembut dan mengambil gambar dengan cepat untuk mengelakkan sebarang kebarangkalian rempuhan dari belakang. Maka, sudah tentulah saya terlepas banyak pemandangan menarik di sepanjang E9.
Sebaik melepasi pekan Serdang Lama, had laju diturunkan daripada 90 km/j kepada 60 km/j berikutan selekoh S merentangi landasan kereta api komuter dan ERL.Sebaik melepasi selekoh tersebut, saya tiba di Stesen Komuter Serdang serta Exit 902 Persimpangan Mines dan Exit 903 Persimpangan Sri Kembangan. Jika diperhatikan, Exit 902 Persimpangan Mines ini sememangnya hasil karya kejuruteraan jalan raya yang begitu indah sekali kerana berjaya dibina di kawasan yang begitu sempit. Persimpangan bertingkat yang berharga RM21 juta ini dibina pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2006. Sebelum adanya persimpangan ini, Exit 902 asalnya merupakan sebuah persimpangan lampu isyarat searas, manakala Exit 903 merupakan persimpangan separa berlian yang memang sudah lama dibina sebelum Lebuhraya Sungai Besi E9 dibina. Memang kelakar jika difikirkan, sebuah "lebuh raya ekspres" boleh ada persimpangan lampu isyarat! Sebenarnya ia bukanlah perkara baharu, memandangkan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam memang ada banyak persimpangan lampu isyarat. Kes E1 tadi boleh diterima kerana jajaran tersebut dibina sebelum piawaian sebenar lebuh raya ekspres dibangunkan. Namun bagi kes E9, ia tidak sepatutnya berlaku. Namun sebenarnya kekangan yang dialami Besraya ialah berikutan Mines Wonderland yang masih dibuka pada ketika itu. Hanya setelah Mines Wonderland ditutup, barulah Besraya memperoleh lampu hijau serta ruang mencukupi bagi membina Exit 902 Persimpangan Mines. Tidak cukup dengan itu, sepasang jejambat panjang yang memintas Mines Shopping Fair, menjadikan jajaran tersebut sebagai sebahagian daripada kawasan penyelenggaraan Besraya. Hanya setelah jejambat tersebut tamat barulah Lebuhraya Kajang Silk E18 bermula.
Jajaran dari Exit 902 sehingga ke Plaza Tol Mines pula dibina selari dengan kolam bekas lombong Sungai Besi yang kini sudah bertukar menjadi sebuah resort. Namun, pokok-pokok besar menghalang pemandangan kolam tersebut. Sementara itu pula, Plaza Tol Mines dipecahkan kepada dua bahagian - plaza tol bagi lalu lintas arah utara terletak betul-betul sebelum Exit 905 Persimpangan Sungai Besi, manakala plaza tol arah selatan pula terletak betul-betul selepas jalan masuk ke Selangor Turf Club dan Lebuhraya Bukit Jalil FT217.
Exit 905 Persimpangan Sungai Besi asalnya ialah sebuah persimpangan separa berlian dengan lampu isyarat. Akibatnya, longgokan kenderaan sering berlaku berikutan kehadiran lampu isyarat yang menghalang laluan terus tanpa gangguan. Sehubungan dengan itu, persimpangan tersebut pula diubahsuai bagi menyediakan laluan terus bagi lalu lintas dari arah utara, selatan dan pekan Sungai Besi. Sungguhpun aliran lalu lintas kali ini lebih bebas, namun satu selekoh S terhasil apabila E9 melintasi landasan kereta api komuter dan ERL, menyebabkan had laju kali ini terpaksa diturunkan kepada hanya 50 km/j. Selekoh S sudah tamat, jom kita teruskan perjalanan!
Persimpangan seterusnya ialah Exit 906A Persimpangan MRR2 bagi lalu lintas arah selatan yang hendak ke Lebuhraya Shah Alam E5 serta dari E5 ke arah utara. Persimpangan berikutnya pula merupakan satu persimpangan lengkap, bukannya persimpangan separa seperti tadi. Exit 906B Persimpangan TBS (Terminal Bersepadu Selatan) membawa anda ke Terminal Bersepadu Selatan, sebuah stesen bas besar yang disepadukan dengan beberapa mod pengangkutan awam lain seperti komuter, LRT dan ERL. Stesen bas ini mengendalikan perjalanan bas-bas bagi arah selatan sahaja.
Tidak jauh dari Exit 906B Persimpangan TBS terletaknya Kampung Malaysia Raya. Ada yang mendakwa kampung tersebut mendapat namanya daripada penubuhan Malaysia itu sendiri, tetapi sebenarnya kampung tersebut mula diteroka pada tahun 1969 setelah Pejabat Tanah Daerah Petaling pada masa itu meluluskan pembukaan kampung itu bagi pihak kerajaan negeri Selangor. Untuk pengetahuan anda, Kampung Malaysia Raya merupakan penempatan Melayu terakhir berstatus kampung di Selangor (dan seterusnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Nama Kampung Malaysia Raya sebenarnya berasal daripada nama kapal laut yang pernah berjasa mengangkut ramai jemaan haji selama lebih daripada sedekad sebelum ia musnah terbakar pada 23 Ogos 1976.
Exit 907 Persimpangan Kuchai Lama berasal daripada sebuah simpang empat sebelum ia diubahsuai bagi menyediakan laluan terus untuk E9. Akibat tidak berupaya mendapatkan shot yang paling sesuai untuk mengambil gambar, saya terlajak masuk ke bawah jejambat. Dari situ saya juga boleh nampak bahagian bawah jejambat Lebuhraya Maju E20 yang merentangi kawasan tersebut. Apa pun, nasib baik persimpangan ini membenarkan saya kembali semula memasuki E9 dengan hanya membelok ke kanan. Seterusnya, saya dikejutkan dengan laluan berasingan bagi E9 - jajaran asal Jalan Sungai Besi B13 yang melalui bahagian bawah Lebuhraya KL-Seremban E37 kini dijadikan lalu lintas arah utara, manakala bagi lalu lintas aras selatan pula, sebuah jejambat dibina di atas E37 sebelum kedua-duanya bertemu kembali di tapak asal Plaza Tol Salak.
Plaza Tol Salak dirobohkan setelah kutipan tol di situ ditamatkan pada 24 Februari 2009, hampir 10 tahun selepas pembukaan rasmi Lebuhraya Sungai Besi E9. Namun, bekas ibu pejabat plaza tol tersebut masih lagi berdiri kukuh tanpa dirobohkan. Exit 908 Persimpangan Salak Jaya terletak betul-betul selepas tapak plaza tol lama itu.
Seterusnya, Exit 909 Persimpangan Hubungan Timur-Barat dihubungkan dengan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumput E37, tetapi anda hanya boleh membelok ke kiri sahaja, seterusnya memerlukan anda membuat pusingan U jika anda berhasrat untuk ke kanan. Seterusnya, E9 melintasi landasan kereta api komuter dan ERL buat kali terakhir di Salak Selatan melalui sebuah jejantas. Sebelum itu, terdapat jalan masuk ke pekan Salak Selatan, yang sebenarnya merupakan jajaran lama B13 yang tidak digunakan.
Pemansuhan kutipan tol Salak memang mengurangkan pendapatan Besraya, tetapi Besraya sebenarnya berupaya memperoleh punca pendapatan baru setelah kerajaan bersetuju meluluskan pembinaan jajaran sambungan Lebuhraya Besraya E9 yang turut dikenali sebagai Lebuhraya Shamelin E9, bak kata pepatah "patah tumbuh, hilang berganti". Buat masa ini, kerja-kerja pembinaan masih lagi berlangsung. Lebuhraya Sungai Besi E9 tamat di Exit 910 Persimpangan Istana, yang mana ia dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 serta Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur.
Secara amnya, saya kurang berpuas hati dengan pembinaan E9 yang langsung tidak memenuhi keperluan piawaian lebuh raya ekspres, namun IJM sebenarnya sudah menunjukkan peningkatan ketara bagi kualiti pembinaan lebuh raya ekspres. Bermula dengan Lebuhraya Sungai Besi E9 yang langsung tak ikut piawaian, IJM terus mara melalui Lebuhraya baru Pantai E10, dan hasil karya terkini IJM ialah
Lebuhraya Lekas E21 yang saya sifatkan sebagai lebuh raya terbaik pernah dibina oleh IJM. Anda boleh saksikan sendiri tahap kemajuan IJM dalam industri lebuh raya ekspres. Apa pun, saya amat memuji IJM dan Besraya kerana kadar aliran trafik di sepanjang E9 sangat lancar walaupun tidak mengikut piawaian lebih raya ekspres. Lebuhraya Sungai Besi E9 juga sememangnya lebuh raya tol paling menguntungkan buat IJM.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik
sini.
Maklumat lebuh raya
Kod laluan: E9
Panjang: 14.8 km
Arah laluan: Utara-Selatan
Bilangan lorong: 4 (Exit 902 Persimpangan Mines / Exit 903 Persimpangan Sri Kembangan); 6 (semua jajaran lain)
Memasuki Lebuhraya Besraya E9 dari Exit 901 Persimpangan UPM
Stesen minyak Petronas Solaris Serdang yang mesra alam
Tandas awam di Hentian Rehat Serdang
Exit 902 Persimpangan Mines - satu bentuk mahakarya kejuruteraan lebuh raya Malaysia
Pembinaan jejambat panjang yang memintas Mines Shopping Fair ini menjadikan jajaran ini sebahagian daripada E9
Stesen kereta api Serdang
Plaza Tol Mines Selatan
Jajaran E9 di sini selari dengan landasan kereta api komuter dan ERL
Jalan masuk ke Selangor Turf Club dan Lebuhraya Bukit Jalil FT217 terletak betul-betul sebelum Plaza Tol Mines Selatan dari arah KL
Plaza Tol Mines Utara
Exit 905 Persimpangan Sungai Besi ini asalnya persimpangan separa berlian dengan lampu isyarat
Lambakan simpang-simpang jalan kecil inilah yang boleh menjadikan lebuh raya jadi sesak
Exit 606B Persimpangan TBS bagi mereka yang ingin pulang ke kampung
Kampung Malaysia Raya
Exit 907 Persimpangan Kuchai Lama
Jejambat Lebuhraya Maju E20 boleh dilihat dengan terang dan jelas
Laluan berasingan: lalu lintas arah Kuala Lumpur melalui jajaran asal manakala lalu lintas asal melalui satu jejambat berasingan merentangi Lebuhraya KL-Seremban E37
Keadaan di bekas tapak plaza tol Salak sekarang
Exit 908 Persimpangan Salak Jaya
Exit 909 Persimpangan Hubungan Timur-Barat
Projek sambungan Lebuhraya Sungai Besi E9 nampaknya berjalan dengan lancar
Lebuh raya tamat di Exit 910 Persimpangan Istana